Skip to main content

Nasihat Natrah Kepada Rakyat Malaysia

Kisah air mata dan cinta Natrah (1937-2009) yang menjadi luka pedih kepada sebahagian besar umat Islam di tanah Melayu sejak berlakunya tragedi pemisahan antara dua cinta suci yang diikatkan dengan perkahwinan yang sah masih terus menjadi igauan ngeri sehingga ke hari ini terutamanya kepada generasi yang hidup sezaman dengan peristiwa tersebut.

Kisah duka ini bukan sahaja berkisar seputar cinta antara Natrah dan Mansor Adabi, malah ia turut memberi luka mendalam terhadap umat Islam yang merasa tertipu di sebalik permainan kerajaan Belanda yang berkomplot dengan penjajah British bagi merebut hak penjagaan Natrah kepada ibu bapanya yang sebenar dan mengakibatkan Natrah yang beragama Islam ketika itu kemungkinan besar akan dipaksa untuk kembali kepada agama asal keluarganya.

Natrah sebenarnya telah menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat Malaysia khasnya tentang hubungan kaum dan agama. Menyoroti penulisan kreatif oleh Fartini Yaacob, karyawan tamu Universiti Teknologi Malaysia dalam bukunya yang berjudul Natrah membangkitkan beberapa persoalan besar terutama berkait langsung kepada hubungan agama dan kaum di Malaysia yang sedang melalui detik kritikal pada hari ini.

Kisah ini serba luas dan penulisan ini tidak bercadang untuk mengulangi satu persatu babak duka ini tetapi sekadar menyoroti beberapa sudut penting yang wajar kita membuat korektif semula tentang bagaimana kaum dan penganut agama di Malaysia bersikap dengan isu yang sedang melanda sekarang. Jika sekarang, terdapat beberapa kumpulan pelampau yang menggunakan agama sebagai sentimen untuk membangkitkan emosi dan pergaduhan. Tidak kurang juga dalam seminggu dua ini, beberapa insiden yang disengajakan, dengan motif yang begitu jelas untuk melaga-lagakan hubungan kaum atas dasar perbezaan akidah memang cukup membimbangkan.

Dalam surat terbuka Lim Kit Siang kepada Perdana Menteri tentang keperluan untuk mengadakan sidang parlimen tergempar bagi menyelesaikan masalah ini di meja rundingan dengan segera, beliau memberi mesej yang jelas bahawa jika perbuatan yang kurang sensitif dan melampau ini tidak diambil tindakan yang keras, natijahnya kemungkinan jauh lebih dahsyat.

Hal ini membimbangkan. Lagi mengharukan keadaaan adalah apabila pihak berwajib seolah sedang tidur lena. Kesan terbesar ialah masyarakat yang tidak terdidik akan menyatakan sikap yang langsung tidak menunjukkan Malaysia ini sedang berada pada landasan menuju Wawasan 2020.

Duka Natrah berpanjangan, bermula dari penempatan sementara di Gereja Good Shepperd dan Girls Home Crafts Centre Singapura sehingga kembalinya beliau di Belanda, dilayan umpama hamba oleh keluarga sendiri sebelum berupaya membebaskan diri dari cengkaman keluarganya melalui perkahwinan, dan mengalami naik surut alam perkahwinan sehinggalah akhirnya berhijrah ke Amerika Syarikat dan akhirnya menemui tuhannya di bumi Belanda akibat leukemia adalah natijah persengketaan antara dua agama terbesar di dunia, Islam dan Kristian.

Kekesalan Natrah yang diungkapkan oleh beberapa individu yang rapat dengannya terhadap segala yang terjadi akibat pertelingkahan akidah menyebabkan beliau sendiri seolah-olah tidak lagi mahu memberi apa-apa komitmen terhadap sebarang doktrin agama sehingga akhir hayatnya. Sebagai orang Islam sudah pasti perkhabaran ini mendukacitakan. Bahkan penganut Kristian sendiri berduka, tengok sahaja bagaimana sedihnya J.G. Vermeulen akan nasib Natrah yang menjadi mangsa kepada pertelingkahan agama ini.

Dalam catatan Fatini Yaacob, Natrah yang akhirnya kembali ke Malaysia sekejap pada tahun 1999 telah menyatakan isi hatinya kepada Gerda Jansen Hendriks semasa beliau melawat gereja yang menjadi tempat tinggal sementara nya di Singapura.

Beliau menyatakan rasa marah pada rusuhan yang berlaku di Singapura atas nama agama, dan menegaskan bahawa tidak sepatutnya manusia bergaduh kerana perbezaan agama. Malah beliau merasa bersalah, kerana semuanya terjadi atas nama Natrah. Beliau turut menceritakan kepada Gerda isi hatinya yang sebenar tentang kisah hidupnya di gereja.

Kebaikan yang ditunjukkan oleh biarawati gereja menyebabkan beliau menjadi keliru tentang hakikat sebenar kehidupan. Sejak dari kecil lagi, iaitu bermula dia dibesarkan dan dididik oleh ibu angkatnya, Che Aminah dan menganut Islam sebagai akidah bertuhannya, apa yang sering ditanam dalam jiwanya adalah antagonis nya Kristian dalam kehidupan sebagai orang Islam. Perkara-perkara yang berlaku sebelum tragedi perpisahan inilah menyebabkan Natrah yang dilayan dengan begitu baik ketika di gereja keliru dengan anggapan sebelum ini bahawa mereka semua itu adalah musuh.

Beliau keliru dan menangis akan nasibnya yang tersepit di antara dua agama. Fatini menulis,
“Kekeliruan Natrah barangkali berlaku kerana semasa proses perbicaraan berlangsung, beliau diingatkan walau apa pun terjadi berpegang teguhlah dengan Islam, “jangan murtad, jangan masuk Kristian, nanti masuk neraka.” Pesanan-pesanan yang simplistic dan menganggap agama Kristian sebagai musuh ini, barangkali sesuai untuk pemahaman anak gadis berusia 13 tahun ketika itu.
Maka oleh sebab itu Natrah – seorang anak gadis berusia 13 tahun boleh keliru apabila rahib-rahib itu terlalu baik layanan terhadapnya, tidak umpama musuh seperti yang digambarkan kepadanya sebelum itu.”
Semua ini beraku di Tanah Melayu, dan hal yang sama turut berlaku di Belanda. Bagi memperoleh hak penjagaan dan merebut Natrah dari keluarga angkatnya, kerajaan Belanda dengan kerjasama pertubuhan Katolik telah mengatur strategi jahat yang bermula dengan motif untuk membalas dendam akibat kekalahan Belanda kepada Indonesia.

Sadisnya kisah ini, apabila Natrah tidak ubah menjadi patung bertali kerajaan Belanda yang memperalatkan agama demi kepentingan mereka untuk menutup rasa malu akibat kekalahan terhadap Indonesia. Si gadis yang masih mentah ini telah dipergunakan secukupnya kerana itu sahajalah peluang Belanda untuk menebus maruah mereka.

Akibatnya, Natrah terpaksa hidup berendam kan air mata sepanjang hidupnya dan lebih parah, beliau tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mempercayai mana-mana anutan agama lantaran kekeliruan yang tidak berkesudahan dan kegagalan agama di kedua belah pihak menunjukkan jalur kehidupan yang baik untuknya. Hakikat yang harus diperakui, Natrah pasca rusuhan hanyalah sekadar batang tubuh yang tidak lagi mempunyai jiwa dan keberanian untuk meneruskan kehidupan.

Membawakan kisah Natrah ini seolah-olah membuka parut lama. Pedihnya bukan kepalang bagi mana-mana pihak yang terlibat secara langsung. Namun begitu tulisan ini tidak bermaksud untuk mencari salah siapa, tetapi untuk membuat perbandingan terhadap kisah Natrah dan apa yang sedang Malaysia hadapi sekarang.

Terdapat perkara utama, yang kelihatan tidak mendapat perhatian sepatutnya dalam mana-mana coretan dalam penceritaan Natrah yang boleh kita bincangkan secara serius iaitu keperluan untuk mendidik generasi Malaysia tentang hidup bertoleransi, hormat-menghormati dan kasih sesama manusia. Ia hanya beberapa ungkapan ringkas yang senang untuk di ucap di hujung lidah tetapi begitu sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Kita tidak boleh menyalahkan Natrah menjadi begitu selepas mengalami trauma ngeri dalam hidupnya. Apalah yang boleh diharapkan dari seorang budak perempuan kecil yang berusia 13 tahun untuk memahami perkara ini dan berfikiran matang, sedangkan apa yang dia diberitahu sejak kecil ialah mereka yang bukan beragama Islam itu adalah musuh.

Ini kritikan terhadap corak pendidikan yang telah ditanam dalam diri Natrah, yang memberi gambaran negatif dan buruk terhadap anutan akidah yang berbeza. Tampaknya, budaya mendidik sebegini menular sehingga tahun 2014. Babak-babak mutakhir yang berlaku sejak isu kalimah ALLAH dan kangkung timbul jelas menunjukkan masyarakat Malaysia lebih gemar untuk menunjukkan sikap membenci anutan berbeza dengan mereka berbanding mengambil iktibar daripada ratusan rakaman sejarah tentang pertembungan agama dan kaum.

Semua ini bertitik tolak dari kegagalan sistem pendidikan negara yang tidak mencerminkan langsung cita-cita Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang damai dan sentosa. Bermula dari laman sekolah, anak-anak tidak pernah diajar untuk jujur dengan coretan sejarah negara sendiri dan belajar hikmah di sebalik peristiwa yang telah negara ini lalui.

Contoh mudah, cerita Natrah langsung tidak menyentuh mana-mana halaman buku teks sekolah rendah dan menengah sedangkan pada hakikatnya, inilah cerita sejarah yang akan mematangkan anak-anak generasi muda sejak kecil lagi. Keributan silibus pengajaran lebih terarah kepada memuji UMNO sebagai parti yang penuh jasa siang dan malam tidak kira sama ada dalam teks Bahasa Melayu, Pendidikan Moral atau Sejarah sendiri.

Ini cerita Natrah yang digelapkan, belum lagi dihitung ratusan cerita lain yang sengaja digelapkan dari minda generasi muda semata-mata ketakutan terhadap kesan rakyat yang akan bijak berfikir kelak. Di luar laman sekolah pula, anak-anak kecil dihidangkan dengan media-media dan persekitaran yang tidak pernah cuba memandaikan bangsa. PERKASA yang berbangga dengan rancangan roadshow ke seluruh negara boleh ditanya untuk maksud apa mereka berbuat demikian.

Persetankan politik sempit yang mereka anuti, natijah ketidakcerdikan mengatur strategi dengan memperalatkan agama dan sentimen perkauman semata-mata mencapai matlamat yang begitu kabur hanya akan mengundang bala yang tidak berkesudahan. Inilah yang mendidik generasi Malaysia siang dan malam. Ambil lah iktibar dari kekeliruan dan kesempitan Natrah, yang menjadi mangsa pergolakan agama yang tiada penghujungnya.

Anak-anak yang membesar penuh keliru dan perasaan benci akibat hasutan dan momokan yang tidak benar. Tidak hairanlah jika mendengar berita saban hari tentang diskriminasi dalam syarikat korporat terhadap wanita bertudung, atau diskriminasi sekolah terhadap pelajar bukan Islam, atau seumpamanya. Ke mana mahu di bawa negara ini jika langsung tiada usaha untuk menyekat perbuatan meniupkan kebencian melalui sentimen agama dan kaum ini?

Kita menyoroti hakikat ini perlahan-lahan akan memahami inilah bentuk hegemoni agama yang menjadi real politik kebanyakan kumpulan yang mahu mencapai sesuatu matlamat dengan memperalatkan agama secara membuta tuli. Maksud membuta tuli ialah menggunakan agama sebagai alat untuk mengatakan pihak lain adalah sesat dan menimbulkan kebencian sesama manusia. Jadi tidak hairanlah kenapa timbulnya pertubuhan seperti ISMA, JATI dan seangkatannya yang bertopengkan Islam semata-mata untuk mencapai maksud tertentu.

Kerajaan Belanda telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana untuk memperalatkan sentimen agama bagi mencapai matlamat biarpun betapa kotor sekalipun hasrat tersebut.

Masyarakat Malaysia perlu bersikap dengan sikap yang betul dalam mendepani isu ini. Cubaan menyelesaikan isu ini melalui komen-komen di laman-laman sosial sebenarnya tidak membantu malah berkemungkinan mengakibatkan kesan yang lagi buruk.

Fatini mengandaikan, apa yang Natrah perlu faham adalah persefahaman bahawa setiap agama itu berbeza, oleh itu hormatilah perbezaan agama itu, bukan mengambil kesempatan untuk memburukkan dan menghina apa yang berbeza. Seruan ini hakikatnya wajib dipelajari oleh setiap warga negara ini, bukan sahaja berkisar tentang perbezaan agama bahkan warna kulit, manusia di tanah air ini perlu banyak belajar lagi.

Ambil lah iktibar dan pengajaran dari kisah duka Natrah yang menjadi kijang yang tersepit antara pergelutan Islam dan Kristian. Mungkin kita wajar belajar dari Che Aminah, bagaimana beliau boleh mendidik dan memelihara dua orang anak angkat, seorang dari timur – Jepun dan seorang dari barat –Belanda sebumbung tanpa sebarang konflik darah, benci dan air mata.

Comments

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…