Skip to main content

Kisah Bobo Dalam Politik Negara

Sejak video “Onederful Malaysia” diterbitkan, UMNO tidurnya tidak tenang. Seolah-olah video itu tidak berhenti mencucuk badan mereka yang penuh daki. Bermula daripada serendah-rendah JKKK mengomen di laman Facebook, sehingga ke setinggi-tingi pangkat menteri semuanya beratur untuk menjadi popular dengan menjadikan video itu sebagai isu.

Jika direnung dalam-dalam, rupanya UMNO ini sudah kehabisan idea. Untuk bercakap supaya nampak tidak bodoh, mereka akan gunakan hal remeh temeh ini menjadi isu yang diperlihatkan awam begitu dramatik dan berbahaya.

Kalau di luar dunia politik, umat manusia di Malaysia khususnya kalau mahu jadi popular maka buatlah video yang bodoh dan memalukan diri sendiri, muat naik di laman Youtube maka tunggulah tidak lama lagi akan sampai di depan rumah surat tawaran untuk menjadi artis rakaman di bawah naungan mana-mana produser muzik.

Barangkali itulah resam untuk terus bernyawa di Malaysia bagi yang beriman dengan UMNO. Makanya, Teresa Kok menjadi mangsa kecaman yang tak kunjung sudah. Beberapa kemungkinan yang boleh dikaitkan kenapa UMNO cuba sangat untuk bersuara atau berusaha untuk nampak masih lagi hidup sejak akhir-akhir ini.

Pertama, semua dapat merasakan UMNO terpinga-pinga dengan episod Kajang Move. Respons awal percaturan Kajang ini semuanya datang daripada kelompok penyokong Pakatan Rakyat sendiri dengan pelbagai reaksi sama ada bersetuju atau tidak. Selepas pening UMNO sudah reda sedikit, mereka kelihatan cuba bersuara dan mengacah dalam permainan ini.

Lagaknya tempang, rata-rata suara daripada UMNO semuanya seolah-olah menyalin semula rungutan dan kritikan awal pihak daripada Pakatan Rakyat sendiri. Pengkhianatan demokrasi dan pembaziran wang rakyat. Kalau mahukan kepastian, boleh tonton rakaman si Arman, ahli jawatankuasa Pemuda UMNO dalam sebuah forum anjuran TV1. Pusing sana, pusing sini, semua akhirnya mengetuk kepala UMNO sendiri.

Jadinya dalam keributan Kajang dan Anwar, UMNO terus menyepi tanpa ada sebarang pendirian yang jelas daripada pucuk kepimpinan mereka sendiri. Kesannya, berita mengenai Anwar dan Pakatan Rakyat meliputi hampir keseluruhan cerita politik tanah air. UMNO kehabisan modal untuk membuka cerita baru.

Ia mudah sahaja untuk dibaca, jika Anwar dan Pakatan Rakyat terus menguasai cerita politik di media maka segala kebaikan dan kemakmuran Selangor akan terkeluar di muka akhbar. Pak cik dan mak cik di FELDA akan tahu cerita sebenar Selangor di bawah Khalid Ibrahim. UMNO memang seriau bila cerita benar tentang Selangor ini terdedah kepada orang ramai.

Memang ada percubaan untuk UMNO melalui TV3 mereka cerita mitos tentang pilihan raya kecil Kajang ini dengan krisis dalaman Pakatan Rakyat tetapi semuanya hambar dan tak laku. Lantas UMNO kelihatan mati 2-3 minggu ini. Lalu untuk mencari modal bagi membolehkan mereka hidup, tidak hairan langsung kenapa video Teresa Kok dijadikan isu dan diperlihatkan seolah-olah itulah bahana yang sedang melanda negara.

Untuk menjangkakan akan adanya bantahan dan piket di depan pejabat Teresa Kok, rasanya tidak mustahil.

Kedua, UMNO tersepit. Mereka tersepit dengan keutuhan Pakatan Rakyat dan kelemahan kepimpinan mereka. Tidak dapat dinafikan ramai juak-juak UMNO bersorak kegembiraan apabila krisis Selangor di antara Azmin-Haid semakin menjadi-jadi. Pada mereka, ini peluang untuk merampas Selangor. Mereka cuba mempermainkan isu PKR buat kepala dalam Pakatan Rakyat dan DAP serta PAS menjadi kuda tunggangan Anwar.

Percubaan mereka gagal apabila PAS dan DAP tidak goyah. Akibatnya, mereka menanggung malu apabila kedua-dua pucuk pimpinan PAS dan DAP mengeluarkan pendirian rasmi menyokong percaturan Kajang. Tinggallah Najib yang akhirnya bersuara bahawa Kajang tu bukan masalah dia. Ramai tertanya-tanya, hanya respons begitu kah seorang Perdana Menteri mampu keluarkan?

Hasilnya, pemimpin dalam UMNO cuba menutup malu. Ada antara mereka cuba mengambil bahagian dalam permainan di Kajang. Selebihnya, seronok bermain dengan video Teresa Kok dalam Facebook, Twitter dan warung kopi. Kalaulah ada usaha untuk mengumpulkan setiap kenyataan yang dibuat oleh menteri dan pimpinan UMNO tentang video itu dan dijilidkan menjadi buku teks ke sekolah, sudah tentu ranking PISA negara ini meningkat.

Meletakkan UMNO berseorangan nampak macam tidak adil. Pada hal MCA turut cuba bermain sama. Gelagak mereka berdua nampak lucu dan mampu mengalirkan air mata. Bayangkan betapa lucunya, video sependek 11 minit itu boleh didakwa bahayanya setinggi Peristiwa 13 Mei. Tidak habis-habis, semua benda mahu dikatakan mengancam kedudukan orang Melayu dan menggugat kemakmuran negara. Inilah yang dikatakan, berotak tapi tidak berakal. Itu belum lagi dikira mereka yang menggelarkan Teresa Kok sebagai kafir harbi.

Paling mengujakan adalah gesaan kepada pihak berkuasa untuk menangkap dan mendakwa Teresa Kok mengikut Akta Hasutan. Aduh, kegilaan apa ini yang sedang melanda negara Malaysia?

Semua maklum.

Malangnya, semua kecaman mereka terhadap Teresa Kok dan DAP umumnya bunyinya membodek. Hal ini menjadikan kritikan mereka berbau muntah. Ini kemungkinan ketiga kenapa mereka begitu lantang mengkritik Teresa Kok. Mahu ambil hati Rosmah kah?

Sedarlah, Najib dan Rosmah sudah tidak lama di takhta. Bertaubatlah daripada terus berperangai sebegitu.

Mahu juga bertanya di sini, kenapa dengan kamu ini UMNO? Demam panas atau mabuk todi?

Ini namanya satira. Satira politik. Ia tidak kurang bezanya dengan lawak spontan peserta Maharaja Lawak mengenai hal yang melingkari kehidupan rakyat Malaysia. Cuma ini dalam dunia politik, maka Teresa Kok akan berlawak dalam hal yang melingkari politik negara.

Kalau betul terdapatnya dialog yang tidak benar tentang Malaysia, sila kemukakan babak mana dan minit ke berapa dalam video tersebut yang mengatakan begitu. Siarkan buktinya dan semua orang dapat menilai. Itu kalau wujud.

Jika cuma pandai berkokok dengan nada yang bodoh semata-mata untuk mencari populariti, maka andalah Bobo dalam dunia politik Malaysia.

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 7 Februari 2014.

Comments

Popular posts from this blog

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…

Tentang Si Genius Adi Putra

Ini coretan ringkas awal Mac 2015, beberapa hari lagi sebelum kita akan tiba pada hari yang menandakan setahun hilangnya MH370 tidak ketemu. Coretan ini tentang Adi Putra, si genius cilik yang dulunya begitu popular, semua media mahu mendapatkan cerita tentangnya.

Kini, di mana Adi Putra? Kita bertanyakan soalan begitu kerana kerisauan kita adalah kisah Adi Putra ini akan menjadi senasib generasi genius Malaysia lain-lainnya. Tentulah kita berharap ianya tidak berlaku demikian.

Hari ini mStar kembali dengan cerita tentang si Adi Putra ini. Saya antara peminat beliau. Saya kepingin mahu bertemu dan berbual dengan Adi Putra. Saya mahu berkawan dengan beliau – dan belajar dengannya. Tapi, Adi di mana?

Jika membuat carian di Google, yang berderet keluar di halaman utama adalah kisah tentang Adi Putra, si pelakon layar teater. Untuk apa ambil tahu tentang si pelakon itu. Bukanlah mendapat apa-apa manfaat pun pada perkembangan akal dan ilmu pengetahuan. Entahlah.

Cerita mStar membuka episo…