Saturday, August 31, 2013

Separuh Abad Malaysia Menyambut Kemerdekaan Plastik

Saban tahun Malaysia menyambut Hari Merdeka, yang menjadi simbolik kepada tamatnya kolonial British terhadap tanah Melayu ini setelah hampir 500 tahun di bawah jajahan pelbagai kolonial. Cerita tentang penjajahan dan kemerdekaan ini bukanlah suatu yang mudah dan boleh diringkaskan.

Bayangkan, jikalau Malaysia yang baru berusia 56 tahun ini sudah tidak tertampung dengan pelbagai coretan pahit manisnya, bayangkan bagaimana sejarah 500 tahun dijajah dan diperhamba oleh kolonial mahu dicatatkan secara ringkas?

Maka sudah tentu tidak mungkin. Tetapi itulah malangnya Malaysia, apabila saban tahun ada sahaja pihak yang cuba mengkonklusikan sejarah kemerdekaan itu dalam bentuk yang penuh pembohongan dan plastik. Tahun ini kita bergelak ketawa dengan lawak yang cuba dipaparkan oleh Shuhaimi Baba melalui filemnya, Tanda Putera. Tahun depan bagaimana pula?

Ini belum lagi menyentuh perihal subjek Sejarah di sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia yang begitu berat sebelah dan menjadi alat doktrinisasi sesetengah pihak semata-mata selama ini. Jadi tidak hairanlah apabila ada pihak cuba memberitahu masyarakat bahawa Tanah Melayu pernah mempunyai bendera lain sebelum Jalur Gemilang, bergasak-gasak kumpulan manusia yang buta sejarah menghentam tanpa mereka sedar bahawa mereka lah sebenarnya yang lansung tidak pernah cuba mengambil tahu sejarah sebenar Malaysia.

Apa yang mereka tahu ialah, bila tiba 31 Ogos maka merangkak-rangkak mengibarkan Jalur Gemilang. Kalau boleh dalam tandas pun mahu ditampalnya Jalur Gemilang. Pak menteri pula sehingga umur Malaysia mencecah separuh abad masih lagi sibuk dengan kempen leceh menggesa rakyat mengibarkan bendera.

Hal ini malang sungguh apabila rakyat disuruh mengibarkan bendera tetapi dalam pada masa yang sama parti memerintah tersenyum lebar dengan kebodohan rakyat ditipu bulat-bulat oleh fakta sejarah yang menyeleweng.

Dalam ghairahnya menyambut kemerdekaan yang ke-56, rakyat lansung tidak sedar betapa beberapa monumen simbolik kemerdekaan negara yang menjadi asas kepada kelahiran sebuah negara yang baru telah habis dimusnahkan dan ada yang bakal dimusnahkan tidak lama lagi.

Cuba jawab, siapakah yang memusnahkan monumen-monumen simbolik ini? Tentera Amerika kah? Atau puak-puak Syiah? Atau Anwar Ibrahim? Atau DAP?

Inilah nilai kemerdekaan Malaysia. Saban tahun jutaan dana awam dihabiskan untuk menyambut kemerdekaan di seluruh peringkat. Saban tahun juga parti pemerintah bertepuk tangan melihat semakin dungu rakyat Malaysia untuk berfikir.

Kalau nilai merdeka itu cuma pada sorakan dan kibaran bendera, tidak perlulah Dr. Burhanuddin Al-Helmy bermati-matian berjuang melawan kolonial British.

Kalau nilai merdeka itu cuma pada tembakan bunga api jam 12 malam, mungkin sebelum 31 Ogos 1957 tidak perlu Tunku Abdul Rahman bersusah payah berunding dengan pihak penjajah.

Kalau nilai merdeka itu cuma pada kempen memakai songkok, rasanya Malaysia tidak perlu bersusah payah menuntut kemerdekaan pun.

Namun, sesekali jangan berputus harap pada cita-cita besar bangsa Malaysia. Mungkin Tuhan mahu kita terus belajar dari kesilapan-kesilapan yang lalu. Ayuh kita bersama pertahankan kemerdekaan ini, dengan mencelikkan akal dan jiwa kita terhadap kebenaran dan keadilan yang tulen. Sejarah mengajar kita supaya tidak lupa atau buat-buat lupa dengan apa yang telah berlaku.

Untuk kita benar-benar mencapai kemerdekaan, marilah kita sama-sama memerdekakan terlebih dahulu penceritaan Sejarah Malaysia. Kerana hanya rakyat yang celik sejarahnya, akan teguh jati dirinya, patriotiknya, keluhuran budinya, ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Moga sambutan kemerdekaan ke-56 ini mencetus tanda tanya ini yang besar dalam diri setiap warga Malaysia.

Thursday, August 22, 2013

Keperluan Asasi Terhadap Capaian Internet

Saya mengikuti perkembangan ini dengan penuh minat berkenaan desakan-desakan beberapa pihak berkenaan keperluan asasi manusia terhadap akses internet.

Statistik secara umum menganggarkan hanya 1 per 3 manusia pada hari ini menikmati akses internet manakala selebihnya iaitu tidak kurang dari 3 bilion manusia masih belum mampu menikmati keperluan ini.

Saya melihat, kadangkala perbincangan mengenai hal ini sering menjurus ke aras perdebatan yang tidak berkesudahan mengenai keperluan manusia terhadap kesihatan dan nutrisi terlebih dahulu sebelum mula menjurus kepada isu akses internet.

Boleh jadi pandangan ini ada benarnya, dengan mendahulukan keperluan asasi iaitu makanan, tempat tinggal dan kesihatan.

Menariknya bagi mencari definisi baru kepada keperluan asasi, ada pihak berpendapat capaian atau akses internet ini sepatutnya tidak menjadi pilihan antara ia dan makanan sepertimana keperluan makanan dan kesihatan.

Rata-rata pihak yang mengangkat sudut pandang ini mula mengambil langkah proaktif, dengan mewujudkan satu rangka kerja yang kelihatan agak memberangsangkan melalui platform +Internet.org.


Facebook melalui pengasasnya, Mark Zuckerberg kelihatan begitu agresif dalam perkara ini. Dalam laporan CNN yang terbaru turut mengaitkan tentang obsesi Mark terhadap isu-isu yang tiada kaitan kepada Facebook secara lansung, dan ini menjadikan dia seolah berada di kumpulan yang berbeza berbanding rakan-rakannya dalam industri ini.

Facebook’s Mark Zuckerberg is increasingly speaking up on non-Facebook issues. See the five ways he is trying to change the world: http://on.cnn.com/12pEJ53

Posted by CNN on Wednesday, August 21, 2013

Secara teknikalnya, ia kelihatan tidak berkait. Namun meneliti taktikal Mark Zuckerberg, usaha memperjuangkan kebolehcapaian internet kepada seluruh penduduk dunia boleh jadi sebagai strategi Facebook untuk terus bertahan dan terus menjana keuntungan.

Formula yang mudah, semakin ramai yang mendaftar di laman sosial tersebut maka jumlah keuntungan yang diperoleh bakal meningkat. Skeptikal ini menjalar dalam kalangan peneliti isu ini tanpa ragu.

Walaubagaimanapun, saya lebih suka meninjau perkembangan ini secara positif. Dengan meminjam sedikit masa bagi membaca perancangan dasar Mark bagi mencapai hasrat ini melalui tulisan terbaru beliau di laman Facebook membuktikan Mark bukanlah sembarangan entrepreneur.

Titik asas kepada kasus beliau ialah memastikan kebolehcapaian internet kepada keseluruhan penduduk dunia dengan memberi penekanan terhadap penurunan kos penghantaran data melalui data-compression technology dan penghasilan teknologi yang affordable bagi semua lapisan masyarakat.

For nine years, we've been on a mission to connect the world. We now connect more than 1 billion people, but to connect...

Posted by Mark Zuckerberg on Tuesday, August 20, 2013

Menariknya, dalam desas desus ini Google telah pun melancarkan +Project Loon, iaitu sebuah projek menghasilkan belon udara panas yang akan menjadi router bergerak bagi kawaan pendalaman untuk tujuan pencapaian internet.

Projek ini telah dilancarkan awal tahun ini dengan menjadikan sebuah kawasan di New Zealand sebagai kawasan kajian bagi melihat tahap kebolehlaksaan projek ini. Google seolah menyendiri dalam isu ini. Melalui video ini, kita dapat melihat mekanisme projek ini dijalankan.



Kita tunggu dan lihat bagaimana mereka selaku pemain-pemain utama dalam industri teknologi dalam talian ini membentuk dunia baru bagi seluruh warga dunia. Usaha +Google amat terpuji dan boleh diiktiraf sebagai contoh terbaik bagi social business cases.

Bagaimana di Malaysia?

Ini persoalan yang perlu setiap rakyat menjawabnya. Saya yakin tidak kurang dari 50% populasi di Malaysia masih belum menikmati capaian internet terutama dalam kalangan penduduk di Sabah dan Sarawak. Sudah lama saya berhajat untuk memberi komen dalam perkara ini.

Amnya, Malaysia mempunyai kekuatan yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini untuk mengadakan capaian internet ke seluruh pelusuk bumi Malaysia. Tidak mengapa hal ini kita akan bincangkan dalam tulisan akan datang.

BUDGET 2013 HIGHLIGHTSPROGRAM JALUR LEBAR RAKYAT 96. Mewujudkan 100 Pusat Internet 1Malaysia di kawasan perumahan rakyat

Posted by Najib Razak on Friday, September 28, 2012

Saya mahu memberi kredit kepada usaha kerajaan melalui projek mereka iaitu Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia dan pelbagai lagi inisiatif bagi menggalakkan celik IT yang dilancarkan oleh Perdana Menteri DS +Najib Razak. Optimis saya, niat awal projek ini begitu baik.

Namun seperti yang kita maklum, projek ini kelihatan tidak kemana. Saya sendiri bimbang jikalau ada yang mempersoalkan tentang impak sebenar projek ini yang telah menelan jutaan inggit dana awam terhadap perkembangan celik IT masyarakat luar bandar khususnya.

Sehingga kini laporan Bernama menunjukkan sudah wujud 4210 kampung tanpa wayar seluruh negara.


Usaha ini bagus dan terpuji. Cuma saya selaku rakyat yang merasa bertanggungjawab membangkitkan perkara ini ingin mengingatkan kerajaan tentang keperluan perlaksanaan yang berkesan bagi memastikan projek ini benar-benar menghasilkan impak kepada masyarakat Malaysia.

Sebelum meninggalkan ruang perbincangan ini, satu persoalan yang perlu dijawab iaitu adakah capaian internet itu benar-benar boleh diangkat sebagai keperluan asasi manusia menyamai keperluan manusia terhadap makanan, kesihatan dan tempat tinggal?

Moga ianya bermanfaat.