Sunday, September 1, 2013

Kemerdekaan dan Kebuluran

Saya membaca kisah seorang lelaki yang ditahan melakukan rompakan di sebuah pejabat POS akibat terdesak untuk menyara keluarganya. Dia mengaku bersalah, dan menceritakan kenapa halnya dia begitu terdesak sehinggakan mengambil keputusan untuk merompak. Kes ini baru sahaja berlaku, ambang negara kita mahu menyambut 56 tahun kemerdekaan.

Dalam satu rancangan televisyen yang berjudul “Extreme Cheapskates” melalui saluran TLC yang mengisahkan bagaimana sesetengah warga Amerika yang hidup dalam keadaan begitu terdesak akibat kos sara hidup yang terlampau tinggi, sehinggakan melalui rancangan itu dapat dilihat bagaimana mereka cuba survive untuk hidup biarpun terpaksa melakukan sesuatu yang memalukan diri sendiri pada pandangan manusia lain. Oleh kerana terlalu lapar untuk makan, mereka mengutip sisa buangan di restoran-restoran makanan segera atau terus meminta lebihan makanan mana-mana pengunjung yang tidak dapat habiskan. Dan sebenarnya banyak perkara lagi yang mereka lakukan demi untuk terus hidup.

Saya ada membaca kisah seorang ibu tunggal di Southend, UK. Dia menulis kisah hidupnya yang tragis, semuanya atas alasan untuk terus hidup di sebuah negara yang kaya. Kisahnya membuatkan saya menangis – jujurnya. Dengan berbekalkan bajet sebanyak £10 seminggu, dia hidup dengan seorang anak lelakinya yang masih kecil dalam keadaan penuh keperitan. Bayangkan, anaknya merayu kelaparan meminta roti untuk dimakan, dan dia lansung sudah kehabisan roti untuk diberikan kepada anaknya. Dia terpaksa menipu anaknya bahawa dia tidak lapar, apabila sarapan yang disediakan hanya satu hidangan untuk anaknya sahaja. Kisahnya boleh dibaca dalam blog beliau, A Girl Called Jack – moga Tuhan sentiasa merahmati keluarganya.

Apa lagi kisah sedih yang ingin dirungkaikan di sini?

Semua perkara yang berlaku di atas – walaupun hakikatnya jutaan manusia lain juga mengalami kebuluran – berlaku dalam sebuah negara yang kaya raya, yang sudah berabad lamanya dikatakan mengecapi kemerdekaan, yang kononnya mempunyai pemimpin-pemimpn yang berwawasan dan berjiwa rakyat.

Kononnya. Apabila menelaah satu demi satu kisah ini, saya cuma mampu bertanyakan – di manakah kerajaan ketika rakyat menderita kebuluran dan kemiskinan?

Di manakah janji-janji ahli politik ketika berkempen untuk mendapatkan undi semasa pilihanraya? Di manakah lestari dan makmurnya perut-perut rakyat yang kelaparan sedang pada masa yang sama mereka tidak henti membaham kekayaan negara.

Di manakah ertinya kemerdekaan negara yang kaya raya dengan hasil bumi kalau rakyat masih lagi kebuluran untuk sebutir nasi?

Apa lagi yang ahli-ahli politik fikirkan saat rakyat mereka terpaksa memilih antara makanan atau penjara?

Jika kemerdekaan itu cuma pada kibaran bendera dan laungan merdeka siang dan malam, dalam keadaan ratyat menangis kelaparan, adalah jauh lebih baik tak usah mengaku sebagai kerajaan.

Maka tidak hairanlah, jika mengambil kira kes ini di Malaysia parti pemerintah begitu senang membeli undi ketika pilihanraya. Saya berbual dengan sorang kenalan dengan mengambil contoh hal yang terjadi di Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut, bayangkan rata-rata pengundi Dun Kuala Besut merupakan golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Parti yang bertanding di sana datang dengan gumpalan-gumpalan duit sudah tentu menjadi pilihan kerana pengundi perlukan duit untuk terus hidup.

Mereka jauh sekali mahu fikirkan soan polisi negara dalam merendahkan harga kereta, atau skim untuk turunkan harga pemilikan rumah, atau pendidikan percuma dan sebagainya dalam keadaan perut mereka kosong menanti untuk diisikan. Tidak hairanlah, mengapa ahli politik haprak begitu bijak memanipulasikan keadaan ini untuk kekal memerintah.

Umur Malaysia akan terus meningkat, dan ahli-ahli politik akan terus melaungkan slogan itu dan ini yang begitu manis kedengaran. Namun, saban tahun tidak terkira rakyat kebuluran dan kesempitan dalam nikmat kemerdekaan.

Inilah realiti sebuah negara yang kaya raya dan aman damai kononya, tetapi mempunyai barisan pemimpin yang bobrok dan keparat. Hari ini kita semua membaca kisah tragis seorang ayah merompak pejabat POS demi mencari nasi untuk anak-anaknya yang mampu mengundang jutaan tanda tanya dan air mata kepada seluruh umat manusia, lantaran apakah fungsi mereka yang diundi setiap 5 tahun berada di kerusi-kerusi Parlimen?

Menjawablah kalian di depan pengadilan Tuhan yang Maha Adil kelak dengan laungan merdeka kalian yang penuh pembohongan!