Saturday, August 31, 2013

Separuh Abad Malaysia Menyambut Kemerdekaan Plastik

Saban tahun Malaysia menyambut Hari Merdeka, yang menjadi simbolik kepada tamatnya kolonial British terhadap tanah Melayu ini setelah hampir 500 tahun di bawah jajahan pelbagai kolonial. Cerita tentang penjajahan dan kemerdekaan ini bukanlah suatu yang mudah dan boleh diringkaskan.

Bayangkan, jikalau Malaysia yang baru berusia 56 tahun ini sudah tidak tertampung dengan pelbagai coretan pahit manisnya, bayangkan bagaimana sejarah 500 tahun dijajah dan diperhamba oleh kolonial mahu dicatatkan secara ringkas?

Maka sudah tentu tidak mungkin. Tetapi itulah malangnya Malaysia, apabila saban tahun ada sahaja pihak yang cuba mengkonklusikan sejarah kemerdekaan itu dalam bentuk yang penuh pembohongan dan plastik. Tahun ini kita bergelak ketawa dengan lawak yang cuba dipaparkan oleh Shuhaimi Baba melalui filemnya, Tanda Putera. Tahun depan bagaimana pula?

Ini belum lagi menyentuh perihal subjek Sejarah di sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia yang begitu berat sebelah dan menjadi alat doktrinisasi sesetengah pihak semata-mata selama ini. Jadi tidak hairanlah apabila ada pihak cuba memberitahu masyarakat bahawa Tanah Melayu pernah mempunyai bendera lain sebelum Jalur Gemilang, bergasak-gasak kumpulan manusia yang buta sejarah menghentam tanpa mereka sedar bahawa mereka lah sebenarnya yang lansung tidak pernah cuba mengambil tahu sejarah sebenar Malaysia.

Apa yang mereka tahu ialah, bila tiba 31 Ogos maka merangkak-rangkak mengibarkan Jalur Gemilang. Kalau boleh dalam tandas pun mahu ditampalnya Jalur Gemilang. Pak menteri pula sehingga umur Malaysia mencecah separuh abad masih lagi sibuk dengan kempen leceh menggesa rakyat mengibarkan bendera.

Hal ini malang sungguh apabila rakyat disuruh mengibarkan bendera tetapi dalam pada masa yang sama parti memerintah tersenyum lebar dengan kebodohan rakyat ditipu bulat-bulat oleh fakta sejarah yang menyeleweng.

Dalam ghairahnya menyambut kemerdekaan yang ke-56, rakyat lansung tidak sedar betapa beberapa monumen simbolik kemerdekaan negara yang menjadi asas kepada kelahiran sebuah negara yang baru telah habis dimusnahkan dan ada yang bakal dimusnahkan tidak lama lagi.

Cuba jawab, siapakah yang memusnahkan monumen-monumen simbolik ini? Tentera Amerika kah? Atau puak-puak Syiah? Atau Anwar Ibrahim? Atau DAP?

Inilah nilai kemerdekaan Malaysia. Saban tahun jutaan dana awam dihabiskan untuk menyambut kemerdekaan di seluruh peringkat. Saban tahun juga parti pemerintah bertepuk tangan melihat semakin dungu rakyat Malaysia untuk berfikir.

Kalau nilai merdeka itu cuma pada sorakan dan kibaran bendera, tidak perlulah Dr. Burhanuddin Al-Helmy bermati-matian berjuang melawan kolonial British.

Kalau nilai merdeka itu cuma pada tembakan bunga api jam 12 malam, mungkin sebelum 31 Ogos 1957 tidak perlu Tunku Abdul Rahman bersusah payah berunding dengan pihak penjajah.

Kalau nilai merdeka itu cuma pada kempen memakai songkok, rasanya Malaysia tidak perlu bersusah payah menuntut kemerdekaan pun.

Namun, sesekali jangan berputus harap pada cita-cita besar bangsa Malaysia. Mungkin Tuhan mahu kita terus belajar dari kesilapan-kesilapan yang lalu. Ayuh kita bersama pertahankan kemerdekaan ini, dengan mencelikkan akal dan jiwa kita terhadap kebenaran dan keadilan yang tulen. Sejarah mengajar kita supaya tidak lupa atau buat-buat lupa dengan apa yang telah berlaku.

Untuk kita benar-benar mencapai kemerdekaan, marilah kita sama-sama memerdekakan terlebih dahulu penceritaan Sejarah Malaysia. Kerana hanya rakyat yang celik sejarahnya, akan teguh jati dirinya, patriotiknya, keluhuran budinya, ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Moga sambutan kemerdekaan ke-56 ini mencetus tanda tanya ini yang besar dalam diri setiap warga Malaysia.