Sunday, April 28, 2013

Jangan Ragu, Pulanglah Mengundi Wahai Rakyat Malaysia!

Jika buat kira-kira secara tepat – maaf kerana saya tidak menjumpai statistik terkini rakyat Malaysia yang menetap di luar negara – tentu sudah sampai angka jutaan rakyat Malaysia berpindah dan menetap di luar Malaysia atas beberapa alsan tersendiri.

Jika sesiapa yang pernah ke Sunday’s (Up) Market di London, kita akan bertemu dengan ramai rakyat Malaysia yang tinggal di sana bukan kerana untuk menyambung pelajaran tetapi untuk meneruskan kehidupan dan mempunyai perniagaan di sana. Saya cukup yakin, bukan di London sahaja tetapi juga di merata pelosok dunia.

Tidak dinafikan, hakikat kenapa mereka memilih untuk berhijrah adalah kerana merasakan di bumi bertuah ini mereka tidak mendapat layanan dan perhatian yang adil dari pemerintah. Mereka tidak dapat mengagak apakah masa depan untuk mereka dan anak-anak mereka jika meneruskan kehidupan di Malaysia dalam keadaan sistem pendidikan yang begitu teruk kualitinya, keseimbangan sosio yang parah dan penuh dengan kesangsian sesama sendiri.

Membuat keputusan untuk berhijrah ini saya cukup yakin bukanlah keputusan yang mudah untuk diambil. Namun, membuat keputusan untuk tidak balik mengundi pada 5 Mei ini dengan kata mudahnya lebih senang peranan itu diambil oleh oleh rakyat Bangladesh dan Indonesia, maka itu satu keputusan yang sangat tidak masuk akal.

Sesetengah rakan saya mempertikaikan tahap integriti undi pos dan mereka mengambil keputusan untuk tidak mendaftar undi pos. Menilai alasan kebimbangan mereka, ya tidak dinafikan kemungkinan berlakunya penipuan itu. Jika tidak salah saya, hari ini warga Malaysia di UK sudah mula membuang undi. Moga anda membuat pilihan yang tepat dan SPR bertindak jujur terhadap undi-undi mereka.

Saya berani dedahkan di sini, sekitar Manchester sahaja hampir 500 warga yang layak mengundi tidak mendaftar dan rata-rata alasan mereka adalah mereka tidak mempercayai sistem pemilihan sekarang. Itu hak mereka, tetapi jauh di sudut hati saya alangkah kasihannya pada tanah air ku pada 5 Mei ini.

Biarkanlah perkara yang sudah menjadi bubur itu. Hakikat yang berada di depan mata sekarang ialah, kita masih punya baki seminggu sebelum proses pengundian di Malaysia berlansung. Adalah lagi baik jika kalian memikirkan semula keputusan untuk menempah tiket kapal terbang dan menunaikan balik mengundi.

Kerana pertimbangan dan keputusan itulah yang bakal menentukan corak pentadbiran, polisi dan dasar kerajaan, serta hala tuju masa depan Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang. Kita sangat mengharapkan suatu perubahan yang benar-benar menjamin masa depan negara dapat dilakukan.

Seruan ini khas buat mereka yang tidak mendaftar undi pos tetapi masih ragu dengan keputusan untuk pulang mengundi pada 5 Mei ini.

Jika bukan sekarang bila lagi?

Ini kalilah!