Sunday, January 13, 2013

Refleksi Pasca Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112


Gambar sepanduk ini saya ambil tergantung pada dinding Stadium Merdeka semasa berlansungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat. Seingat saya, para protestan akan sentiasa menggunakan ungkapan sebegini walau di mana sahaja berlakunya perhimpunan rakyat yang tidak berpuas hati dengan system yang melingkari kehidupan mereka. Itu namanya rakyat. Mereka punya perasaan dan jiwa.

Ini coretan pasca #KL112. Mungkin nadanya sedikit sinis, sesuai dengan pengalaman penulis ketika di berada di celahan ratusan ribu manusia di Stadium Merdeka. Sebut sahaja tentang nama bangunan bersejarah ini, sudah tentu masing-masing akan terbayang apakah gerangannya stadium ini dan kenapa namanya begitu terukir dalam helaian buku teks Sejarah di sekolah-sekolah Malaysia.

Meskipun saya tidak menolak buku Sejarah itu ditulis mungkin berniat untuk menonjolkan nama UMNO berbanding nilai dan hikmah Sejarah itu sendiri.

Tidak mengapa, kita tinggalkan dahulu persoalan itu. Jika ditanya apa impian saya, sudah tentu saya mahukan sebuah dokumentasi Sejarah yang benar-benar adil dan tepat dilaksanakan dengan segera agar rakyat Malaysia tidak terus menjadi “goblok” dengan penipuan teks Sejarah bendul di sekolah-sekolah Malaysia.

HKR berlansung dengan jayanya. Soal bilangan pengunjung, kita biarkan sahaja para algojo dan bentara polis yang pening berbalah sesama mereka. Biarlah TV3 cakap itu, polis cakap ini – kita ramai-ramai tepuk tangan.

Kita tahu hanya di Malaysia sahaja polis sibuk berbalah dengan angka rakyat yang hadir ke perhimpunan aman. Kita juga sedar, hanya di Malaysia sahaja media milik kerajaan bekerja untuk parti, dan bertindak sebagai jurucakap rasmi parti.

Entah dari sekolah mana mereka belajar begitu, sila tanya Ketua Polis Dang Wangi.

HKR – Bukan perhimpunan Pakatan Rakyat

Ini juga satu penyakit. Satu sebab kenapa saya tidak membeli t-shirt yang tertera lambing parti selain gerakan ANAK, ROYALTI, BERSIH dan Anti-LYNAS adalah kerana saya tidak merasa selesa memakai t-shirt dengan lambing parti sebegitu pada perhimpunan rakyat.

Pemimpin paras atasan, tidak kira parti mana yang terlibat dalam HKR suka sangat memomokkan perhimpunan ini sebagai perhimpunan rakyat tetapi tidak sudah-sudah mengangkat nama parti mereka umpama semua yang hadir menyokong mereka.

Tolonglah faham untuk sudut ini wahai pemimpin PR. Puluhan ribu yang hadir tadi bukan kerana mereka sokong anda, tetapi kerana mereka bencikan UMNO/BN!

Ya saya tidak menafikan semangat kepartian nampaknya begitu memotivasikan para rakyat yang hadir. Politikus nampaknya bijak memainkan perasaan rakyat dengan memperalaskan lidah mereka dengan ratib “rakyat” tidak berkesudahan.

Namun ingat!

Mereka yang hadir adalah mereka yang mengimpikan perubahan Malaysia yang genuine. Mereka mendambakan demokrasi yang subur dan real. Mereka tidak mahu menukar kerajaan dari BN kepada PR umpama menukar selera dari McDonald kepada KFC. Berjanji memang mudah. Lidah lembut tidak terkata. Rakyat bukan lagi bahan mainan atau guni sasaran penumbuk.

Hal ini antara yang menerjah persoalan kepada semua yang hadir ke HKR. Mempersoalkan kemampuan PR dalam menunaikan janji – its sound so UMNO. Cuma saya mengambil sudut ini kerana saya berpendapat PR tidak perlu untuk menjadikan HKR sebagai pentas berkempen untuk pilihan raya yang akan datang. Cukuplah datang dengan fakta tanpa intonasi yang memaksa rakyat untuk mengakui bahawa PR adalah yang terbaik.

Sudah tentu lebih ramai yang akan selesa dengan perhimpunan tadi jikalau focus pada BERSIH didahulukan berbanding agenda parti masing-masing. Bukan semua yang datang kerana mereka memang akan mengundi calon PR pada PRU-13 tetapi mereka datang untuk menilai sejauh manakah perubahan itu akan dicorak dalam era pemerintahan PR nanti. Mereka mahukan perubahan yang bukan sekadar pada ucapan, tetapi tindakan.

Ayat mudah di sini, HKR sebenarnya masih gagal menonjolkan “the real power of peoples” sebetulnya. Ia sekadar boleh membuktikan bahawa rakyat mahukan perubahan kerajaan – dari BN kepada PR. Ini jelas.

Tetapi para hadirin himpunan nampaknya masih gagal menonjolkan semangat yang bukan sekadar memberi amaran kepada BN, malah turut kepada barisan pimpinan PR yang duduk di atas pentas Stadium Merdeka bahawa tanah air ini milik bangsa Malaysia, bukan politikus!

Tidak mengapa, jika PR cuba belot kepada amanah ini maka tunggulah saat rakyat menghukum anda pula.

HKR – Pengisytiharan kemerdekaan kedua barangkali?

Ungkapan ini disebut oleh Anwar dalam pidatonya di pentas HKR. Tidak dinafikan bahawa Malaysia cuma merdeka atas kertas sahaja. Mungkin pada fizikal nampak merdeka, sebenarnya jiwa dan akal rakyat di Negara ini tidak pernah merdeka.

Kebiasaannya ayat ini sering mengundang marah puak UMNO atau budak-budak ASPIRASI di kampus-kampus Malaysia.

Buatlah sedikit kajian, sudah tentu ayat diatas dapat dibuktikan dengan begitu mudah. Jika tidak, tentu UMNO sudah terkubur puluhan tahun yang lepas.

Selama puluhan tahun dikongkong, hak dinafikan, dizalimi dan ditindas dengan segala macam undang-undang yang zalim, diskriminasi kaum dan agama, pergaduhan ras yang tidak berkesudahan, percaturan politik yang membingungkan, polisi yang tidak menghormati kumpulan minoriti, kedangkalan moral dan sahsiah pimpinan utama, serta segala macam lagi kebejatan yang menjajah setiap isi penduduk tanah air ini.

Jika dulu Tunku Abdul Rahman Al-Haj melaungkan kemerdekaan dengan harapan Malaysia benar-benar merdeka, tetapi harapan itu nyata jadi abu lantaran kebobrokan dan kerakusan pemimpin BN.

Kini pilihan rakyat untuk melihat kata-kata Anwar terlaksana iaitu Malaysia melalui sekali lagi majlis pengisytiharan kemerdekaan yang kedua lantas ianya benar-benar akan memerdekakan rakyat.

Ini janji super-hebat dari PR. Memerdekakan rakyat bukan dengan sekadar dengan menulis polisi, tetapi bagaimana mereka yang diletakkan sebagai calon pada PRU-13 sedar dan insaf bahawa mereka adalah hamba kepada rakyat.

Meletakkan calon pemimpin PR yang menjadikan matlamat istana mewah atau syarikat perniagaan atau gelaran istana atau gaji yang bertimbun sebagai motivasi utama adalah jalan pintas kepada PR untuk menggali kubur mereka sendiri.

Saya berharap sebagai salah seorang peserta HKR untuk melihat ungkapan ini direalisasikan, bukan sekadar menjadi cakap-cakap politik.

Tuntasnya, saya hadir ke HKR sebagai rakyat yang mahukan perubahan sebenar di tanah air ini. Saya tidak datang kerana mewakili mana-mana parti politik. Jadi sudah tentu amat jelas kenapa saya membawakan sudut penulisan sebegini.

Saya bersetuju dengan ucapan Anwar pada hari ini tidak membawa makna saya menyokong Anwar. Begitu halnya jika saya menyokong Anwar, ia tidak menjadi syarat kepada saya untuk bersetuju dengan sagala butiran kata yang keluar dari mulutnya.

Situasi ini pun, saya hadir ke HKR bukan bermakna saya adalah penyokong fanatik Pakatan Rakyat. Kalaupun saya menyokong dan mengundi PR ia tidak bermakna saya perlu bersetuju dengan segala macam polisi yang dirancang dan dilaksanakan oleh PR.

Memerdekakan rakyat adalah membawa maksud kerajaan tidak sesekali cuba membentuk cara fikir rakyat mengikut acuan yang mereka mahukan sesuai dengan kehendak politik mereka.

Tidak begitu. Jika PR masih terpesorok dengan mainan ini – ya kami sudah menonton adegan di Kedah sebagai contoh – maka tunggulah saat rakyat bangkit dan menghukum Pakatan Rakyat.

Memerdekakan rakyat hanya berjaya dengan syarat Pakatan Rakyat harus merdeka terlebih dahulu dari sebarang cita-cita untuk mengenyangkan perut sendiri berbanding perut golongan rakyat bawahan.

Moga refleksi ini tidak membawa dosa kepada saya dan para pembaca yang bersetuju dengan penulisan ini.