Tuesday, January 8, 2013

Nota Awal Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112



Angin perubahan kian kencang meniup di bumi Malaysia. Itulah yang sedang dinantikan sekian lama oleh jutaan umat manusia yang telah lama menjadi pemegang sah kepada kad pengenalan berwarna biru, yang tentunya pada kad itu tiada tarikh luput.

Itulah juga yang dicanangkan selama ini oleh Anwar dan politikus pembangkang dalam siri ceramah mereka. Jika pembaca ingin tahu lagi, itulah juga berita yang amat menakutkan mereka yang kekenyangan dengan rasuah dan penyelewengan selama 55 tahun tanah air ini merdeka.

Sabtu ini dengan izin Tuhan yang Maha Esa, sekali lagi bumi Kuala Lumpur akan bergegar dengan derapan segala macam saiz pengalas tapak kaki manusia yang tidak kunjung lelah bermain dengan harapan agar sebuah perubahan terlaksana di bumi ini.

Mereka datang untuk memberi amaran terakhir kepada gerombolan perasuah agar mengira tempoh 100 hari terakhir mereka untuk berfoya di kerusi parlimen!

Amaran?

Ya mungkin itu prasa terbaik bagi rakyat kepada pemerintah yang tidak tahu langit ini tinggi atau rendah. Alan Moore yang menulis dalam makalah layar perak berjudul V for Vendetta berkongsi pendapat untuk frasa ini,
“People shouldn’t be afraid of their government. Governments should be afraid of their people.”
Mereka di atas lemas dengan kuasa yang dimiliki. Duit melimpah ruah seolah hampir tiada tempat lain yang lagi memerlukan. Kekayaan bertimbun, rasuah berderetan di pintu-pintu istana mereka. Rakyat di bawah dicucuk hidung umpama lembu ternak.

Biarlah deretan NGO “non-partisan” cuba meleraikan semangat kebebasan ini dengan bermain terma pluralisme, liberalisme, sekularisme dan Melayurisme tidak kunjung habis. Tunggulah mereka terdiam dengan kepenatan hasil permainan fanatik mereka.

Mungkin ada antara mereka akan mengurut dada melihat jutaan umat Islam di Malaysia sudah terpesong akidah mereka kerana menyertai himpunan ini lantaran persepsi sempit mereka dengan terma-terma di atas tidak kunjung habis.

Usah pedulikan lawak-lawak mereka.

Kita cuma mahukan pemerintahan yang adil, saksama dan menjamin kebebasan dan hak rakyat. Kita impikan tanah air yang diperintah dengan semangat demokratik, bukan berterusan dengan projek pembodohan bangsa.

Marilah kita memberi sokongan, dan menghadiri himpunan jutaan manusia Sabtu ini. Biarlah mereka di atas cuba bermain dengan kelulusan stadium, bermain dengan amaran itu dan ini, melengahkan isu permit dan sebagainya, bermain dengan sekatan jalan raya, rampasan dan tangkapan, provokasi dan fitnah – SABTU INI TETAP BERHIMPUN!

Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112 – kita nantikan apa reaksi gerombolan perasuah!