Friday, December 28, 2012

Protes Lapar 100: Tolak Ancaman Alam


Protes ini bermula semalam, 27 December 2012 selama 100 jam tanpa henti. Insya ALLAH dengan keizinan-Nya dijangka akan tamat pada 1 Januari 2013 jam 12:00 AM. Saya kira mereka yang datang ke Dataran Merdeka bagi menyambut perayaan tahun baru boleh menjenguk mereka dan paling tidak memberi sokongan moral kepada para protestan.

Kita bicarakan soal mengubah nasib Malaysia. Ini bukan soal mengubah susun atur sofa dalam pejabat atau soal mahu pilih restoran mana untuk makan malam. Berilah sedikit ruang kepada diri untuk menjengah apa yang dibicarakan umum sekali sekala. Jangan terus merasa cerdik dengan "smartphone" di tangan dan Twitter 24 jam sehari. Maaf saya terpaksa menyindir sebegini.

Moga kita termasuk dalam golongan mereka yang cuba berusaha dan ada cita-cita untuk melihat Malaysia berubah ke arah yang lebih baik.

Meningkatkan kesedaran orang ramai tentang projek-projek yang mengancam alam sekitar dan kehidupan rakyat Malaysia seperti kilang nadir bumi Lynas, lombong emas cyanide Bukit Koman, projek Rapid di Pengerang, pembinaan empangan-empangan di Sarawak (Baram, Murum, dll), projek laluan kabel kuasa tinggi Rawang, dll.

Menggesa agar pihak berkuasa menguruskan projek- projek yang berkontroversi dengan lebih bertanggungjawab serta mendapat persetujuan penduduk setempat dan orang ramai sebelum meluluskan projek berkenaan.

Pihak berkuasa juga harus bersikap terbuka dan membuktikan kepada orang ramai melalui kaedah yang saintifik bahawa segala projek yang diluluskan adalah selamat dan tidak akan mengancam alam sekitar.

TUNTUTAN

Kami meminta supaya lesen operasi sementara (TOL) Lynas ditarik balik dengan segera memandangkan terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan bahawa projek ini akan membinasakan alam sekitar dan mengancam kesihatan penduduk yang tinggal di sekitarnya.

Selain itu, terdapat bukti bahawa berlakunya penyelewengan dalam proses pengeluaran lesen kepada pihak Lynas dan kami menegaskan bahawa lesen operasi sementara Lynas mesti digantung sehingga segala pembicaraan di makamah selesai.

Kami menuntut supaya pihak Lynas mesti menyediakan Kajian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA), dan laporan kajian tersebut harus didedahkan secara telus kepada orang awam sebelum pengeluarkan semula lesen operasi sementara.

Untuk info lanjut boleh klik link ini, Facebook.

Atau mahu merasa protes secara live sila ke Dataran Merdeka sekarang!