Wednesday, September 5, 2012

UMNO & Falasi Kemerdekaan

Minggu lepas menjelang sambutan kemerdekaan ke-55, banyak di kaca televisyen rancangan-rancangan sempena kemerdekaan. Saya antara yang mengambil peluang ini untuk menonton beberapa rancangan terutama yang berkaitan dengan sejarah dan pengorbanan orang dulu untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu – sebelum ditukar kepada Malaysia selepas 16 September 1969.

Saya menonton dengan separuh jiwa, kerana saya tahu rancangan itu tidak lebih dari untuk mendoktrinkan penonton tentang jerih perih penat susah pejuang terdahulu yang diambil cuma dari sebelah pihak sahaja dan dibuang sama sekali kebaikan jasa yang ditabur oleh penggerak kemerdekaan sebelah kiri.

Kita tinggalkan persoalan itu dahulu kerana saya menulis ini adalah respon terhadap falasi yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh media di Malaysia terutamanya media arus perdana tanpa perlu saya sebutkan nama mereka. Terima kasih untuk usaha anda pihak media yang mengadakan rancangan berkaitan sejarah ini.

Ya saya yakin skrip untuk objektif kepada rancangan ini adalah bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan penonton dan semangat cintakan negara.

Tahniah!

Saya menonton bagaimana pengacara rancangan terbabit menemubual salah seorang penjaga kawasan perkuburan pahlawan di Sabah. Rancangan itu adalah berkisar tentang askar British dan askar upahan British yang mati dibunuh ketika Jepun menyerang Tanah Melayu. Setelah 2-3 minit si pengacara terbabit bertanya soal sejarah perkuburan itu, terus beliau menyoal penjaga perkuburan itu dengan soalan yang begitu mendidik jiwa bangsa merdeka.

“Encik, di sini selalu terserempak dengan makhluk halus atau hantu berkeliaran?”. Bijak sungguh soalan dari pengacara rancangan yang bertujuan menyemai nilai patriotisme dan semangat cintakan negara itu.

Apa lagi, pak cik penjaga tersebut terus memulakan pencak tahyul mahyulnya. Sebaik habis temu bual itu, saya bertanya kepada diri saya rancangan ini untuk Hari Kemerdekaan atau salah sebuah siri Ghost Hunter?

Inilah rupa media di Malaysia. Di mana sisi mendidik dalam ruangan media kita? Masyarakat kita sejak dari berumur satu hari sehingga ke liang lahad tidak habis-habis dimomokkan dengan cerita hantu karut marut. Sehingga pada rancangan kemerdekaan pun masih lagi media Malaysia ini beriman dengan falasi yang membunuh minda anak bangsa.

Saya kira pasti nilaian wang ringgit yang dihabiskan oleh kerajaan untuk rancangan sedemikian diadakan dan disiarkan untuk tontonan umum tidak kurang dari nilai jutaan ringgit. Sebegitu besar kos yang dihabiskan, tetapi cuma mampu melahirkan rancangan bersifat sampah dan penuh dengan falasi yang mencemarkan pembangunan minda anak bangsa. Sudah pasti ia adalah petunjuk jelas kepada tahap merdekanya manusia di tanah air ini.

Sakitnya tahap pemikiran bangsa Malaysia boleh diukur dengan menonton rancangan-rancangan di kaca televisyen. Itu belum lagi dibicara tentang sambutan perayaan yang lain lagi. Persoalan di sini, sampai bila media di Malaysia terus mahu beriman dengan suasana falasi begini sedangkan setiap detik mereka begitu berperanan membentuk buah fikir dan tindak setiap warga di tanah bekas jajahan British ini.

Media perlu belajar untuk menjadi patriotik sebelum cuba mendidik rakyat ikut sama patriotik. Dirikanlah media dengan semangat yang membina bukan meruntuhkan dengan falasi yang menyesatkan. Cukuplah kemerdekaan tahun ini dirompak oleh politik sempit UMNO/BN. Jika mahu menerbitkan rancangan sedemikian, kajilah dan buatlah pemerhatian mendalam.

Timbulkanlah persoalan dari rancangan tersebut yang boleh menjana daya fikir rakyat bawahan. Hentikanlah momok tahyul yang sifatnya begitu tempang. Lazimkanlah rancangan itu dengan fakta dan olahan yang bersifat intelektual dan tepat.

Sampai bila lagi rakyat mahu diperbodohkan dan disempitkan ruang untuk mereka berfikir?

Berilah peluang ini kepada kami yang menonton rancangan kemerdekaan anda.

British Bukan Penjajah Tetapi Hero


Seingat saya, sejak diperkenalkan dengan subjek Sejarah semasa belajar di sekolah menengah sehingga sekarang tidak pernah lagi saya menjumpai di mana-mana sudut pun suatu kenyataan yang mengiktiraf British sebagai penjajah sebaliknya kesemua gelaran itu lebih senang ditabur pada Jepun dan Komunis.

Ini juga falasi terbesar yang saya lebih suka menyebutnya sebagai agenda membebalkan rakyat jelata yang dicipta semata untuk mengekalkan pemerintahan sedia ada. Tidak susah rasanya untuk membaca permainan ini.

Frasa kekejaman pihak Jepun semasa Perang Dunia ke-2 dan tentera Komunis semasa darurat adalah zikir harian media sepanjang minggu lepas. Jadi tidaklah salah untuk saya mengatakan bahawa British adalah hero sebenar Tanah Melayu kerana mereka ini telah diangkat dalam mana-mana media pun sebagai pihak yang sering menyelamatkan umat Malaysia daripada dibunuh oleh Jepun dan Komunis. Sejak dulu lagi persoalan ini bermain di minda, kenapa media cuma memberi ruang kepada Jepun dan Komunis?

Adakah British begitu berjasa kepada Malaysia?

Kenapa media tidak sesekali menyiarkan jasa besar Komunis membunuh Sir Henry Gurney yang merupakan “Mastermind” kepada penubuhan negara haram Israel?

Kenapa media tidak sesekali cuba mendedahkan kezaliman British sepanjang ratusan tahun penjajah terbabit tinggal di bumi Tanah Melayu berbanding berkali-kali mengulangi skrip kekejaman 3 tahun pemerintahan Jepun dan beberapa bulan Komunis bermaharajalela ketika darurat?

Kenapa media lansung tidak mendedahkan angka ribuan anak-anak muda Tanah Melayu dipenjara dan disiksa semata-mata berani menyanggah setiap detik penjajah itu berada di bumi ini?

Adakah tidak ada seorang pun penduduk Tanah Melayu ketika itu tidak dibunuh dan diseksa oleh penjajah British sehingga media lansung tidak mendedahkannya?

Kenapa media begitu kejam dengan meletakkan label seperti pemberontak dan pengganas kepada ramai pejuang kemerdekaan sayap kiri seperti Shamsiah Fakeh, Dr. Burhanuddin Helmi dan lain-lain tokoh gerakan kiri sambil menyifatkan mereka sebagai pengacau sedangkan semua maklum tanpa jasa mereka ini semua sudah pasti Tunku Abdul Rahman tidak berpeluang menaiki kapal terbang ke London untuk merayu diberi kemerdekaan oleh kepala British ketika itu?

Makmurkah penduduk Tanah Melayu ketika itu dengan pemerintahan pecah dan perintah oleh British?

Dan labih parah adakah media masih terus boleh berbangga dengan hanya menyiarkan jerih perih pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan British ketika itu sahaja tanpa cuba memberitahu kepada rakyat bahawa selain Tunku Abdul Rahman masih ada ribuan tokoh kemerdekaan lain yang mungkin lagi banyak peluh dan darah terpercik semata-mata mahu melihat tanah air ini bebas dari cengkaman British.

Kenapa media begitu tidak adil dalam menyampaikan fakta sejarah?

Maka falasi yang membebalkan rakyat ini terus dimainkan. Tujuannya cuma satu, agar mereka yang berkuasa terus terjamin takhta kekuasaan mereka. Sejarah diceritakan di kaca televisyen tidak lebih dari menimbulkan spekulasi dan rasa sangsi dalam kalangan rakyat, dengan menimbulkan cerita jurang perbezaan antara kaum dan sensitiviti keagamaan. Gunanya tidak lain, supaya rakyat bawahan terus bercakaran dan mereka enak di kerusi empuk kekuasaaan.

Agar Rakyat Terus Bercakaran


Saya permudahkan untuk pembaca memahami konteks persoalan yang cuba ditimbulkan melalui penulisan ini. Rakyat Malaysia sehingga 55 tahun menyambut ulang tahun kemerdekaan masih mudah ditipu dengan ketakutan tidak berasas pada Komunis. Mudahnya bila disebut Komunis pasti lansung dikaitkan dengan kaum Cina. Kejahatan sebenar pemerintah sekarang adalah berada di titik ini.

Mereka tidak pernah berhenti melakukan dosa ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Media timbulkan tentang Jepun dan Komunis, sedarlah ia tidak lain dari bertujuan untuk terus menyemarakkan kebencian orang Melayu terhadap orang Cina!

Mereka menyemai benih kotor ini pada minda sekalian umat Malaysia bermula sekecil kanak-kanak berusia setahun sehingga mereka yang sudah tiba umur untuk berpindah ke liang lahad. Ya, ini adalah teori semata tetapi kebenaran yang terpampang di depan mata sekarang jelas menunjukkan hipotesis ini telah dibuktikan.

Tunggu lah sedikit masa lagi, bila benih jahat yang mereka semai ini mula menyubur maka mereka dengan begitu senang untuk menarik perhatian rakyat untuk membenci pihak-pihak tertentu yang mereka mahu hapuskan.

Izinkan saya menyebut pihak tersebut tidak lain adalah DAP khususnya dan Pakatan Rakyat umumnya menjadi lapangan sasaran kepada peluru-peluru kebencian ini. Sambutan kemerdekaan mereka gunakan sepenuhnya untuk rakyat merasa benci kepada Komunis. Ya tidak lama lagi mereka akan pindahkan gelaran Komunis itu kepada DAP. Ya mereka begitu hebat dalam perang media ini.

Ternyata sambutan kemerdekaan menjadi medium penerangan yang cukup berkesan. Setiap media sudi berkongsi perangai haprak ini demi menutup ketakutan pemerintah akan sebuah perubahan. Mereka tidak sedar, pelaburan berjuta ringgit bagi mendidik rakyat Malaysia agar terus berada dalam suasana ketakutan dan kebencian sesame sendiri adalah tidak menghasilkan apa-apa selain memusnahkan cita-cita untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dan demokratik.

Alangkah malangnya apabila parti pemerintah yang diasaskan oleh Dato’ Onn itu masih tidak dapat menerima hakikat sebenar Malaysia meski sudah separuh abad bebas dari cengkaman penjajahan fizikal. Sejarah pasti tidak akan lupa, betapa UMNO sendirilah yang membuang pengasas mereka cuma atas alasan idea bagi menggagaskan sebuah bangsa Malaysia itu tidak berasas sedangkan hakikatnya mereka buta untuk memandang negara ini lebih dari jangkauan biji mata mereka.

Ubah lah Sebelum Terlambat!


Pasti kita akan menyesal di kemudian hari jika hari ini kita masih gagal untuk melakukan apa-apa demi menyelamatkan anak bangsa tanah air ini terus dibebalkan oleh pemerintah. Saya bukanlah menulis atas semangat kebencian terhadap UMNO semata-mata, tetapi tulisan ini adalah manifestasi kekecewaan saya terhadap media yang sanggup menjadi alat untuk memusnahkan cita-cita murni rakyat Malaysia.

Berilah peluang kepada rakyat bawahan untuk berfikir. Sudah pasti tulisan ini tidak akan memberi kesan apa-apa kepada pihak pemerintah, tetapi saya optimis marhean yang membaca pasti mampu menilai dan befikir bagi membezakan siapakah syaitan dan siapakah malaikat.

Sekali lagi saya menyeru, UBAH lah jika kita tidak mahu melihat anak cucu kita terus dibebalkan UMNO/BN!

-----
Tulisan ini disiarkan dalam The Malaysian Insider pada 9 September 2012.