Saturday, August 25, 2012

Syawal Manusiawi

Kembalinya saya ke kampung halaman untuk menyambut Eid’fitri bersama keluarga di Kerteh minggu lepas banyak menggamit perasaan dan emosi. Orang-orang kampung masih begitu. Mereka jauh dari cakap-cakap politik yang berat dan bersifat teknikal.

Berbual dengan rakan-rakan ayah semasa menziarahi mereka sempena Eid’fitri lebih berkisar soal peribadi, kerjaya dan sedikit-sebanyak tentang pembelajaran di universiti. Saya tiada ramai rakan sebaya di kampung, mungkin kerana sejak kecil lagi sudah bersekolah jauh dari kampung dan tinggal di asrama. Jadi tidak lah janggal jika saya pulang ke kampung dan sedar bahawa tiada teman sekampung yang benar-benar rapat melainkan anak-anak rakan usrah ayah saya.

Saya merasai pengalaman hidup di kampung dan juga di bandar. Jadi untuk konteks umur saya yang baru mencecah 20-an ini saya tahu apa pahitnya hidup sebagai “country boy” dan juga apa kelatnya hidup sebagai “urban boy”. Mungkin di kampung saya – saya cuma mengandaikan sahaja – Facebook dan Twitter itu tidak seheboh di bandar-bandar. Mereka tidak begitu terkesan lagi terutama golongan yang lagi tua dari saya. Anak-anak muda mungkin tapi saya yakin ia masih tidak sekecoh di bandar.

Facebook itu subjek yang begitu “common”. Kalau berbicara tentang hipster atau lain-lain cara hidup budak bandar saya kira rakan-rakan saya di kampung sudah begitu asing. Saya perhatikan gelagat ini, masyarakat kampung lebih selesa dengan keadaan itu. Mereka lebih “content” jika dibandingkan dengan manusia di bandar.

Kehidupan mereka tidak mendesak mereka untuk bersaing dengan perasaan cemburu pada orang lain, memadai dengan keluarga mereka aman tenteram dan cukup makan minum. Frasa terbaik di sini, mungkin pada pandangan kebanyakan mereka hidup serba kekurangan namun kehidupan mereka begitu lengkap.

Berbanding dengan manusia di bandar mereka mungkin pada zahir punya kereta 2-3 buah namun itu lansung tidak menggambarkan mereka selesa dengan keadaan sedemikian.

Untuk menyaksikan bagaimana permulaan tamadun terbina, kampung-kampung di Malaysia menawarkan susuk pencerahan yang cukup baik. Nilai yang sering disebut dalam mana-mana perbincangan dan penulisan, malah sudah bersifat begitu stereotaip namun tidak dapat disangkal kebenarannya ialah bagaimana kampung merupakan tempat terbaik untuk kita menyaksikan nilai kejiranan dan kemasyarakatan yang utuh masih lagi kekal sehingga kini.

Itulah kampung. Juga kampung saya. Mereka tenang dengan kehidupan mereka. Saya tidak pasti dalam 10 tahun mendatang adakah masih ada kumpulan manusia yang bermusuh dengan binatang perosak seperti babi dan kera lagi. Atau semuanya sudah bertukar menjadi bandar?

Pun begitu sudah banyak hal yang berubah. Terutama sekali anak-anak muda di kampung. Mereka mungkin tidak kenal apa itu hipster, tetapi mereka punya watak mereka tersendiri yang, ya ianya berjaya mengusik ketenangan jiwa saya sepanjang berada di kampung untuk menyambut Eid’fitri.

Tidak dinafikan walau sejauh manapun mereka dari bahana teknologi terkini namun ia lansung tidak mampu menyekat rakan-rakan saya di sana terjebak dengan penyakit sosial. Mungkin mentaliti rata-rata anak muda begitu. Saya kurang pasti hal ini. Berhampiran kampung saya sedang dibina Lebuhraya Pantai Timur (Fasa II). Saya sudah lupa sejak tahun bilakah projek ini dimulakan namun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda bahawa ianya sudah siap dan boleh digunakan sepenuhnya.

Sebahagian jalan yang sudah siap kini secara rasmi menjadi trek lumba anak-anak muda di kampung. Jika mereka menjadikan tempat itu sebagai medan lumba semata, saya tidak hairan. Tempat lain pun begitu saya kira. Tetapi apabila jalan yang masih dalam proses pembinaan itu menjadi “port” dalam segala gejala sosial yang tidak sihat maka ia sudah tidak begitu enak untuk dipandang.

Saya mempersoalkan ini, dengan ingatan untuk diri sendiri sebenarnya. Saya yakin inilah cabaran terbesar kepada mana-mana manusia yang sedang berangan atau sudah menjadi ibu bapa kelak. Tidak kira samada di bandar atau kampung-kampung, perkara yang sama masyarakat kita berdepan sekarang. Ujian penyakit sosial yang membarah dalam kalangan anak-anak muda seolah tiada penawarnya lagi. Jika di bandar dengan gaya mereka tersendiri dan di kampung juga tidak ketinggalan.

Saya menyebut awal lagi di atas, kehidupan di kampung ternyata lebih “content” namun hal ini masih gagal menjadi faktor penghalang kepada penyakit social dalam kalangan anak-anak muda di kampung.

Jadi bagaimana mahu mengubah hal ini?

Penyakit “tak mengapa” sebenarnya amat parah lagi-lagi apabila membabitkan soal ini. Ia bukan soal akhlak si remaja itu semata-mata tetapi kritikan utama adalah sudah pasti bagaimana si ibu dan bapa membentuk mereka sejajar yang dituntut. Amat sayang apabila kegagalan ini menyebabkan masyarakat telah kerugian ribuan “minda baru” yang sepatutnya pada waktu-waktu begini mereka giat dengan aktiviti yang membina idealisme mereka selaku anak muda yang menjadi harapan masyarakat pada masa hadapan.

Jangan salah faham. Saya tidak maksudkan di sini idealisme mahasiswa tetapi idealisme untuk menjadi seorang manusia yang sedar akan tanggungjawab mereka. Tidak kira di mana mereka berada dan apa sahaja perkara yang mereka lakukan, ini memang perlu. Tetapi akhirnya akan berbalik kepada persoalan pertama tadi, bagaimana ya?

Ternyata sekali ia bukan kerja mudah. Rome wasn’t built in a day. Begitu juga hal ini. Saya lihat di bandar, kebanyakan ibu bapa lebih mudah beralasan sibuk dengan kerjaya dan tidak punya masa yang cukup untuk anak-anak mereka. Untuk di kampung, saya tidak pasti samada ibu bapa masih punya hak untuk beralasan sebegini apabila ditanya kenapa mengabaikan amanah mendekati dan membentuk anak-anak mereka.

Jujurnya saya tidak dapat menerima alasan sebegitu. Adalah sangat tidak adil untuk ibu bapa beralasan seolah-olah anak itu robot mainan. Saya tidak tujukan tulisan ini kepada sesiapa pun malah lansung tidak berniat untuk mengkritik orang-orang kampung saya. Ia cuma sekadar refleksi kepada sambutan Syawal seminggu di kampung. Saya perhatikan dan saya berfikir dan saya tulis semula apa yang saya fikir di sini.

Sebenarnya Syawal di kampung mengajar saya banyak perkara. Cuma hal di atas amat menarik untuk dikoreksi bersama. Ia tidak lain, kerana agenda Ramadan itu juga adalah untuk memanusiakan manusia. Jadi elok untuk kita bermuhasabah akan hal ini moga-moga ada kebaikannya.

Bertemu dengan saudara mara dari sebelah ayah dan emak – yang mungkin cuma berpeluang setahun sekali – adalah detik yang cukup berharga.

Syawal kali ini mengajar banyak perkara; manisnya ukhwah kekeluargaan, bahagianya menjadi orang kampung, bertuahnya dikurniakan nikmat Islam dan Iman, besarnya hikmah Ramadan dan sudah tentu Syawal ini juga menyaksikan keluarga saya makin bertambah bilangan ahlinya.

Selamat datang Muhammad Ramadan Mikhail ke dunia yang serba mengasyikkan ini. Moga awak membesar menjadi insan yang hebat!