Monday, August 13, 2012

Refleksi 10 Malam Terakhir Ramadan

Meniti jalur masa di laman mikro Twitter pada fasa penghabisan Ramadan menemukan saya dengan puluhan kata-kata peringatan tentang manfaat 10 malam terakhir Ramadan dan ruginya mereka yang tidak tahu menghargai masa-masa begini.

Namun satu frasa yang tersemat terus biarpun laju jalur masa itu memberi ingatan kepada kita ialah Ramadan itu hanya untuk mereka yang berusaha dan mencari dengan penuh keikhlasan.

Menulis soal ini bukan mudah. Seolah ianya memberi gambaran betapa saya yang menulis ini begitu hebat melayan Ramadan selama ini.

Tidak. Saya cuma menulis untuk ‘refresh’ setelah 20 hari Ramadan berlalu. Berani saya katakan betapa rakan-rakan pembaca jauh lebih hebat mencari makna Ramadan berbanding saya. Moga-moga segala kebaikan dan kesalahan yang kita buat sepanjang Ramadan ini menjadi pintu kepada turunnya petunjuk dan keampunan Tuhan yang Esa kepada kita.

Insya ALLAH. Kita perlu optimis. Biarpun kita sedar sudah berkali kita tersadung dek dosa dan kesilapan sepanjang 20 hari yang lalu. Tuhan tulisan ini untuk diri sendiri dan rakan pembaca. Anugerahkanlah sedikit kebaikan Engkau pada mata-mata yang membaca tulisan ini.

Saya membaca beberapa catatan pemikir Islam. Mereka mendiskripsikan Ramadan dalam tona yang begitu lunak. Sebab itu saya menyifatkan tulisan ini sebagai ‘refreshment’ agar ianya menjadi suatu tujahan samada objektif Ramadan yang dikurniakan pada tika ini benar-benar tercapai.

Jika ya, masya ALLAH tabarakallah! Teruskan!

Jika tidak, optimislah wahai rakan-rakan pembaca. Sungguh Tuhan itu tidak pernah buta dan pekak pada setiap rintih rayu kita.

Mereka menyebut Ramadan sebagai “A Month of Humanist Spirituality”. Tertanya saya sejauh manakah kita menyedari hakikat Ramadan itu sebagai bulan kerohanian atau cuma layak pada kita dipanggil sebagai bulan pesta Terawih sahaja?

Saya sendiri cuba mencari maksud ini. Bayangkan jika pada bulan Ramadan pun tidak tergerak sedikit pun hati kita pada mana-mana janji Tuhan atau begitu sombong untuk tunduk menyembah ke bumi alangkah tidak terbayang kerugian. Bukan orang lain tetapi diri sendiri cukup merasa malas untuk berbuat lebih dari bulan-bulan yang lain.

Hari ini 24 Ramadan, sekali lagi Tuhan memberi peluang kepada kita untuk memperbaiki kesilapan semalam. Optimislah! Mari kita manfaatkan hari ini sebaiknya. Moga 10 malam terakhir ini membuka pintu kepada kita untuk meloloskan diri dari api neraka. Insya ALLAH.

Saya menulis artikel ini sejak 20 Ramadan lagi cuma hari ini baru berkesempatan untuk menyambung semula saki baki tulisan. Menulis ini bukanlah keutamaan di bulan Ramadan. Namun demi menjalankan tanggungjawab untuk kita saling ingat memperingati saya yakin masa saya diluangkan untuk menulis artikel ini pasti tidak akan dipersiakan Tuhan.

Begitu juga apa sahaja yang kita lakukan. Seorang ilmuan mengungkapkan Lailatur Qadar itu bukan untuk mereka yang solat malam tanpa henti sahaja tetapi ia hadiah untuk mereka yang berusaha mencari sesuatu dalam tempoh sebulan ini. Jelas bukan, Tuhan tidak lokek untuk memandang hamba-Nya biarpun sekecil kebaikan yang dilakukan dalam tempoh ini.

Maka ambillah kesempatan yang ada untuk mencari sesuatu yang dijanjikan ketika Ramadan masih berbaki lagi ini. Tiada istilah terlambat dalam kamus taubat. Berusahalah meminta keampunan!

Ya ALLAH jika ini ditakdirkan Ramadan yang terakhir buat kami maka kami memohon agar Engkau memberi kekuatan dan hidayah-Mu untuk kami manfaatkan sepenuhnya detik Ramadan yang masih berbaki ini.

Ameen…