Wednesday, August 8, 2012

Monarki Tidak Berakhlak Wajib Disanggah


Terbaru pendedahan sebuah blog mengenai tingkah laku putera raja di sebuah negeri yang bernama Selangor bukanlah yang pertama dan terakhir malah itulah warisan berita generasi demi generasi mereka selama berada di tampuk kerusi monarki.

Banyak sudah sebelum ini dilaporkan malah sudah ada si pelapor disumbat dalam tahanan reman kerana mendedahkan tingkah laku yang amat “berakhlak mulia” dalam kalangan mereka yang bakal memimpin jutaan rakyat Malaysia dan paling menguja kan bakal mendapat gelaran Ketua Agama Islam negeri secara automatik.

Saya tidak dapat membayangkan apabila anak-anak raja yang berakhlak mulia begini tiba masa mereka untuk menaiki takhta kelak, apakah rakyat akan membiarkan mereka dipimpin oleh kaki perempuan, kaki botol, kaki kelab malam, kaki judi dan lain-lain amalan mulia ini dengan rela hati dan penuh taat?

Mandul betul rakyat sebegitu!

Saya ulangi, tidak pernah terdetik dalam hati ini untuk menafikan tentang keupayaan dan fungsi serta kedaulatan Institusi Raja Melayu namun calar balar yang dibawa oleh sebahagian besar kerabat diraja dengan perlakuan yang sungguh melayakkan mereka memegang gelaran sebagai Ketua Agama Islam negeri masing-masing menyebabkan saya kira kalau masih ada rakyat yang sanggup berada di bawah pimpinan mereka maka sudah tentu adalah jauh lebih bijak binatang berkaki empat dalam urusan memilih ketua mereka berbanding mereka ini.

Jika ada yang mengatakan saya menghasut, fikirkan semula kebenaran di sebalik kata-kata ini. Mungkin WAJAR mereka yang berada di kerusi monarki ini apabila tiba waktunya mereka berundur namun gagal melahirkan penerus kepimpinan yang terbaik secocok dengan gelaran mereka selaku Ketua Agama Islam maka serahkan lah kedudukan itu kepada legasi yang lain untuk memimpin.

Jika kalian yang berada di kerusi monarki cuma mengira kedudukan itu untuk mengenyangkan perut dan membulatkan poket masing-masing maka kalian langsung tidak layak untuk digelar Sultan atau Raja Muda!

Sanggup kah sang ayah melantik orang lain jika melihat sang anaknya tidak berdaya memegang kedudukan itu lantaran akhlaknya yang tidak melambangkan sebagai seorang pemimpin agama Islam?

Kalaulah si peneguk arak itu adalah pewaris kepada pak cik menjual petai di tepi jalan saya kira tidak perlu untuk diperbesarkan dan dihebahkan sebegini.

Namun yang meneguk arak itu adalah pewaris sultan. Mereka ini pada setiap Jumaat didoakan khatib dalam khutbah. Mereka ini bakal diangkat untuk melantik mufti dan menguruskan hal ehwal agama Islam.

Kalau ada lagi yang sanggup melaungkan sumpah bai’ah setia seperti yang berlaku di selatan Malaysia baru-baru ini, maka tidak salah untuk saya menyeru agar puak ini berpindah ke zaman purba dan berkawan dengan Hang Tuah yang sanggup membunuh saudara sendiri kerana kesetiaan membabi buta terhadap seorang sultan yang zalim.

Tulisan ini menghina sultan?

Habis, perbuatan dan tingkah laku pewaris sultan itu tidak dikira sebagai menghina Institusi Raja Melayu pula yang padanya tertanggung segala beban untuk membela kesucian agama Islam di tanah air ini?

Berwaspada lah dengan kedudukan kalian.

Singgahsana monarki bukan lesen untuk kalian bertindak sesuka hati. Jangan melenting jikalau rakyat mengherdik seluruh kerabat diraja hanya kerana perangai kalian yang sungguh mulia sebegitu. Perlu untuk kalian selalu semat di dada masing-masing bahawa rakyat Malaysia ini bukan lagi tunggul seperti kayu mati. Mereka masih punya maruah dan harga diri.

Adakah mereka akan rela dan penuh taat bersetia dengan seorang pemimpin yang suka menjadikan arak sebagai minuman harian?

Alangkah singkatnya akal kalian jikalau masih menganggap rakyat Malaysia ini umpama lembu-lembu yang tidak punya perasaan!

Jagalah harga diri kalian. Jagalah maruah institusi beraja yang terhormat ini. Janganlah kerana segelintir mereka yang berperangai seperti kalian ini merosakkan keseluruhan kepercayaan rakyat pada Institusi Raja Melayu.

Paling penting, sedarlah bahawa kalian itu bakal dianugerahkan pangkat sebagai Ketua Agama Islam negeri kelak. Jikalau macam ini rupa akhlak kalian, adalah jauh lebih baik saya dipimpin oleh bukan Islam yang mulia dan terpuji akhlak mereka.

Saya menyeru rakan-rakan pembaca agar sama-sama kita menolak pemimpin yang tidak berakhlak sebegini demi kebaikan dan rahmat di Akhirat kelak!

Tuntasnya, monarki tidak berakhlak wajib disanggah!