Friday, July 27, 2012

Pembangkang Pasca PRU-13 Perlukan Dato’ Saifuddin Abdullah

Malaysia perlukan pembangkang yang mampu berperanan dan berfungsi dengan baik. Hal demikian hanya dengan berlakunya fenomena ini barulah kita boleh mendabik dada bahawa Negara ini praktis demokrasi tulen. Tabiat kini para pengundi dalam kalangan warga Malaysia – kerana saya kira ada ramai juga pengundi untuk PRU13 nanti bukan asalan warga Malaysia tetapi jauh nun di Asia Tengah – kalau di pihak Barisan Nasional berkempen seolah-olah Pakatan Rakyat tidak perlu wujud lansung dalam sistem pentadbiran Malaysia.

Begitu juga perangai ramai penyokong Pakatan Rakyat yang turut melahirkan perasaaan sebegini seolah-olah biarlah BN itu hancur terus.

Hal ini tidak betul. Ia amat tidak sihat. Saya dambakan PR mengambil alih Putrajaya selepas PRU13 akan tetapi saya begitu berharap BN juga akan menjadi begitu kuat semasa pemerintahan Negara ini di bawah kelolaan PR. Kuat di sini bermaksud BN mampu berfungsi sebagai sebuah pembangkang yang baik dan effektif kepada system semak dan imbang untuk setiap polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu.

Saya memandang komen-komen yang berbaur sentimen kepartian yang keterlaluan sebegini tidak sihat untuk masa depan demokrasi negara kita.

Peranan Politikus Untuk Mendidik Masyarakat


Saya antara orang yang sering mengikuti setiap siri ceramah Pakatan Rakyat dalam YouTube atau secara lansung, boleh dikatakan secara keseluruhannya politikus PR pun masih gagal menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat Malasysia dalam hal yang saya sebutkan diatas iaitu usaha kita kearah kesuburan praktis demokrasi tulen.

Kritikan saya secara terbuka terhadap Anwar Ibrahim terutamanya, lantaran imejnya yang begitu menonjol masa kini maka saya merasakan corak menghentam UMNO/BN dalam siri ceramahnya mungkin sudah tiba masanya untuk diubah. Saya tidak katakan kita tidak boleh hentam akan tetapi untuk survival demokrasi matang selepas PRU13 terjamin maka Anwar perlu mulakan dari sekarang langkah tersebut.

Maaf saya tidak bermaksud bahawa Anwar Ibrahim salah untuk berbuat demikian Cuma apa yang saya coretkan di sini semata untuk melihat cita-cita Malaysia yang lebih baik esoknya berjaya direalisasikan.

Ya kita faham kenapa ramai politikus PR dan penyokongnya suka mengambil pendekatan menghentam dan mengkritik secara keras pada setiap tertib dan laku BN. Logiknya manusia yang sering dikhianati pasti tidak akan meredhai secara mudah orang yang mengkhianatinya itu.

Dan kita sedar selama ini BN telah mengkhianati amanah kepimpinan yang rakyat berikan. Saya tidak menafikan hak masing-masing untuk merasa marah tetapi kritikan ini hanyalah memberi sikap terhadap keperluan mendidik rakyat ke arah penjenamaan semula wajah politik negara ini.

Politikus adalah golongan yang punya pengaruh masing-masing. Saya masih boleh memuji beberapa orang-orang politik di Malasia dari kedua-dua belah pihak yang sudah sedar akan hal ini. Secara konsisten saya menujukan pujian ini kepada Dato’ Saifuddin Abdullah.

Kekadang sedar atau tidak, mana-mana politikus kita dapati mereka sudah tiada modal selain ideologi dan kepentingan parti masing-masing. Bayangkan, sehingga ketika diberi ruang untuk merasmikan temasya sukan sekolah rendah pun berlambak politikus kemarau modal ini menjadikan pentas tersebut untuk berkempen demi survival politik masing-masing.

Sekolah rendah?

Ya itulah “model” rata-rata politikus di Malaysia. Masyarakat yang mendengar tidak mengenal hak untuk berbeza pendapat dalam kalangan mereka secara matang.

Jika disebalah BN, mereka mahu hidup selama-lamanya biarpun diri tersedar yang pakaian mereka sudah compang camping.

Jika disebelah PR pula, sering didoakan terkuburnya UMNO/BN buat selama-lamanya.

Pembaca yang budiman, ta’asub kita pada parti yang kita dokong tidak bermakna kita harus menafikan peranan pihak yang berbeza pandangan politik dengan kita daripada proaktif membantu ke arah kemajuan tanah air ini.

Pembangkang Pasca PRU-13 Perlukan Dato’ Saifuddin


Sehingga kini, amat jarang untuk kita mendapati politikus yang begitu konsisten dengan prinsip yang dipegang biarpun berdepan dengan jurang perbezaan yang begitu luas dengan prinsip parti sendiri. Contoh terbaik yang boleh dibawa ke dalam coretan ini ialah Dato’ Saifuddin Abdullah.

Secara peribadi, saya merasa jika Dato’ Saifuddin tewas atau tidak bertanding dalam PRU-13 nanti, ianya benar sebuah kerugian yang begitu besar terhadap survival demokrasi di Malaysia. Bunyinya tragis, tetapi saya amat mengambil kira peranan penting yang bakal beliau mainkan setelah BN menduduki kerusi pembangkang dalam Parlimen pasca PRU-13.

Beliau tidak perlu ke PR. Sama sekali tidak perlu. Cukup beliau di kerusi UMNO itu memainkan peranan sebagai ahli pembangkang yang berkesan. Maka UMNO/BN selepas PRU-13 jika mahu terus bernafas dalam atmosfera demokrasi di Malaysia ini, mereka perlu mengekalkan Dato’ Saifuddin dan beberapa pemimpin BN lain yang mampu berfikir dengan laras kotemporari.

Boleh dikatakan, antara penyelamat imej kerajaan masa kini terutama terhadap pandangan sisi orang muda dalam pelbagai hal dan masalah yang dicipta adalah konsistensi yang ditunjukkan oleh Dato’ Saifuddin dalam mempoertahankan prinsipnya.

Politikus yang begitu progresif sebegini, begitu juga halnya dalam Pakatan Rakyat seperti Nurul Izzah, Nik Nazmi, Dr Dzul, Tony Pua dan beberapa yang lainnya adalah amat diperlukan oleh sistem demokrasi yang menjadi amalan Negara kita sekarang. Sistem semak dan imbang yang diharapkan boleh terlaksana dengan adanya pihak kerajaan dan pembangkang hanya tinggal sebagai catitan sejarah sahaja jikalau salah satu pihak gagal memaikan peranannhya masing-masing.

Maka saya begitu yakin, Dato’ Saifuddin Abdullah mampu memainkan peranan sebagai ahli pembangkang yang berjaya kelak. Cuma tinggal samada beliau mampu menarik keluar rakan-rakan Barisan Nasional yang lain turut sama berperanan sebagai barisan pembangkang yang baik.

Biar PR Didik BN


Untuk persoalan kenapa UMNO/BN menjadi pembangkang selepas PRU-13, ya itu doa saya. Mungkin selepas BN menjadi pembangkang selama 5 penggal, barulah mereka faham bagaimana cara yang sepatutnya pihak kerajaan melayan barisan pembangkang.

Kerana selama ini BN telah gagal mendidik rakyat tentang peranan pembangkang yang sebenar sehingga hampir keseluruhan rakyat terbuai dengan mimpi indah bahawa hanyalah BN sahaja dewa penyelamat di bumi bekas jajahan British ini.

Berilah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah, dan mendidik BN tentang hakikat perlunya Negara ini terhadap sebuah sistem di mana pihak kerajaan dan pembangkang saling bermanfaat demi Negara.

Jika selepas itu ditakdirkan BN kembali ke pangkuan kuasa, saya berdoa lagi moga-moga mereka tidak kembali ke perangai lama mereka yang begitu buruk itu. Insya ALLAH.

Wallahua’lam…

------
Tulisan ini disiarkan dalam The Malaysian Insider pada 24 July 2012.