Monday, July 2, 2012

Mesir: Penularan Kesenjangan Ijtihad Kotemporari dan Tradisi?

Membicarakan topic kebangkitan rakyat Mesir menggulingkan rejim Mubarak yang sudah berada dalam lipatan sejarah sejak setahun lalu seolah memperlihatkan tiada titik noktah. Kini perbicangan-perbincangan ini bersambung pula dengan kisah pilihan raya Mesir yang mungkin sesuai disebut sebagai pilihan raya pertama dalam usia Mesir wujud di muka bumi ini yang benar-benar merasai roh demokrasi awal tahun 2012.

Sejaran hebat ini tercipta bukan sekadar bersandar pada model tipikal – mungkin hasil propaganda media – bahawa kebangkitan ini adalah ketidakupayaan rakyat Mesir menerima kezaliman berterusan rejim Mubarak tetapi jauh mengatasi dari skeptical itu.

Menjadi semakin menarik hal ini apabila perbincangan mengenainya turut melibatkan factor dan pengaruh hasil kebangkitan marhean di Negara Uncle Sam, Occupy Wall Street dan beberapa kebangkitan lain yang berlaku di seluruh dunia dalam sekitar tempoh 3 tahun ini.

Antara mesej besar dalam pelaksanaan Maqasid Syariah adalah menegakkan keadilan dan kesamarataan dalam kehidupan manusia tidak kira apa pun kepercayaan dan warna kulit mereka. Jadi perbincangan mengenai Mesir ini sebenarnya memberi gambaran bahawa sudah tiba suatu masa yang dijanjikan satu keadaan dimana manusia akan mempersoalkan cabang-cabang tradisi yang melingkari kehidupan mereka secara terus terang dan berusaha mencari sesuatu sebagai galang penggantinya.

Cabang tradisi yang dimaksudkan disini ialah sistem pemerintahan yang korup dan kuku besi, faham keagamaan yang bersifat ritual dan eklusif, monopoli pemodal kapitalis dan hegemoni penafsiran sempit agamawan sehingga memaksa masyarakat menerima cara pandang mereka secara mutlak.

Sudah tentu sekali apabila kebangkitan ini berlansung secara mega, timbul jutaan persoalan sejauh manakah rakyat Mesir mampu bertahan dan menghidupkan Negara mereka jika cuma atas kapasiti kebangkitan itu sahaja. Masa terus berjalan.

Ia sesekali tidak pernah menunggu rakyat Mesir membuat keputusan untuk dia terus bergerak. Disebutkan dalam perbincangan-perbincangan intelektual, kebangkitan ini merupakan gerakan untuk mereka menuntut erti sebenar kemerdekaan di tanah air sendiri sahaja.

Tidak lebih dari itu. Sebab itulah adalah tidak hairan apabila beberapa pemikir Islam termasuklah cucu Hassan Al-Banna, Prof Tariq Ramadan sendiri dalam bukunya The Arab Awakening mempersoalkan tentang kemampuan dan keberdayaan rakyat Mesir untuk memberi masa berfikir sejenak tentang bentuk dan arah Mesir yang mereka mahukan selepas ini.

Dalam pada polemic-polemik ini semakin memuncak, Mesir beroleh peluang untuk kali pertama menganjurkan Piliharaya Presiden yang menyaksikan pertarungan sengit antara calon pro-kebebasan, Dr Mursi yang originnya adalah dari keluarga Ikhwanul Muslimin dan calon pro-Mubarak. Pemerhati politik memuji Mesir kerana buat pertama sekali mereka merasai roh demokrasi dalam pilihanraya mereka.

Namun begitu sehingga kini kerajaan yang dibentuk oleh Dr. Mursi masih belum benar-benar mampu menghapuskan sepenuhnya kuasa Majis Tertinggi Tentera yang dilihat menjadi ancaman kepada aspirasi sistem baru yang cuba diimplementasikan di bumi tersebut.

Siapa Yang Layak Menerajui Mesir?


Persoalan ini menjadi polemic yang mengigaukan jutaan rakyat Mesir. Sayugia dicatatkan di sini persoalan ini timbul tidak lebih dari hasil ketakutan yang menebal dalam diri setiap warga Mesir akan wajah dan hala tuju Negara tersebut selepas ini.

Kebimbangan paling besar ialah pemimpin yang dipilih kelak akan menjadi Mubarak kedua. Jelas fenomena ini tidak lari dari hipotesis bahawa rakyat Mesir berlegar dalam persoalan mengenai kebebasan dan keadilan, ketakutan terhadap diskriminasi dan penindasan dan tekanan untuk membina atmosfera demokrasi yang segar.

Sebahagian besar memilih Dr. Mursi hanya kerana mereka tiada pilihan yang lain lagi. Malah tidak kurang rakyat Mesir yang memilih calon pro-Mubarak semata-mata ketakutan mereka terhadap latarbelakang Dr. Mursi yang lahir dari kantung Ikhwanul Muslimin.

Jawapan kepada ini tidak lain ialah mereka membuat pilihan tersebut dengan harapan mereka dapat melarikan diri dari hegemoni-hegemoni yang pernah menghantui mereka tidak kira sama ada agama, politik, ekonomi dan social.

Keadaan ini mengakibatkan satu tsunami pemikiran melanda di seluruh dunia terutama dalam kalangan gerakan Islam utama dan juga dalam kalangan pemikir-pemikir Islam. Istilah yang mungkin paling tepat ialah “Engaged”. Persoalan paling menarik ialah bagaimana Islam boleh meneruskan survivalnya dalam kalangan masyarakat yang multi-etnik, budaya dan kepercayaan serta desakan dunia yang semakin kencang berbicara soal pendemokrasian, kesaksamaan dan keadilan.

Maka timbul perbincangan yang menuntun Islam supaya berusaha untuk “engaged” dengan persekitaran dan desakan-desakan masa kini. Untuk rekod, Mesir bukanlah pemula kepada menularnya fenomena ini tetapi sebagai memastikan keabsahan titik tolak bahawa dunia atau dunia Islam secara khususnya mula beralih ke lekuk yang baru benar-benar tercatat dalam nota-nota Sejarah.

Diskusi ini bersifat kritikal. Mesir menjadi saksi kepada fenomena umat Islam mula beralih arah mencari idea-idea intelektual yang bersifat kotemporari dan mampu menterjemahkan Islam pada keadaan semasa dengan tepat, atau mungkin lebih tepat digelar ijtihad kotemporari. Idea intelektual dalam bahasa lainnya disebut sebagai ijtihad.

Mapannya pemikir terdahulu era Syafie, Hambali dan lain-lain pemikir itu ialah kebolehan mereka bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju. Natijahnya Islam era mereka begitu komprehensif dan holistic. Mereka ini adalah intelektual besar pada era tersebut. Idea mereka menjadi buah rujukan ramai. Kepakaran mereka tidak dipertikaikan lansung dan tidak menghairankan jikalau mereka ini layak digelar sebagai mujtahid – pembaharu agama.

Tetapi sepertimana bahasa itu adalah perkara yang hidup dengan peredaran masa, yang memberi makna ia akan berubah mengikut konteks semasa maka demikian juga halnya ijtihad atau idea-idea intelektual para pemikir dahulu. Keputusan ulama terdahulu untuk menutup pintu ijtihad dalam hal yang melibatkan urusan harian dan keagamaan khasnya terus dipatuhi sehingga kini.

Masa terus bergerak dan pastinya masyarakatnya juga berubah. Tetapi agak kurang bernasib baik sedikit apabila ruangan intelektual yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu masyarakat mengintepretasikan Islam sesuai dengan keadaan mereka pada sesuatu masa tidak terbuka. Tidak lain kecuali atas alasan bahawa Islam adalah Islam dan tiada yang lainnya.

Jika era Syafie dan rakan-rakan mereka mampu menjadikan perbalahan idea sebagai asbab kepada berkembangnya Islam menjadi sebuah tamadun yang kuat dan membantu menyumbang kearah pembinaan lain-lain tamadun juga seperti Renaissance di Eropah, tetapi kini ketidakberadaan lagi hak itu pada umat Islam maka lahirlah pelbagai kumpulan kecil Islam yang memulakan intepretasi agama ini berdasarkan faham sempit masiing-masing.

Masing-masing cuba mencari formula Islam yang bagaimana sepatutnya diimani semua penganut.Tidak dapat dinafikan kesan terburuk gejala ini ialah umat Islam dengan sengaja mengundang barah kesempitan akal dalam setiap intepretasi mereka.

Mungkin boleh ditulis sebagai keterikatan umat Islam dengan sebahagian besar idea pemikir dahulu menyebabkan Islam tidak mampu keluar dari kepompong istilah Islam itu sendiri dan tidak mampu lebih dari itu. Perlu disedari bahawa ijtihad pemikir dahulu adalah idea mereka yang begitu bertepatan dengan konteks masa tersebut.

Perubahan zaman menjadi factor pendesak utama kepada umat Islam terhadap keperluan idea baru dan meninggalkan ijtihad bersifat tradisi begini. Di sinilah gejala kesenjangan antara ijtihad kotemporari dan ijtihad bersifat tradisi mula menular.

Pengislahan Pemikiran


Kesenjangan membawa maksud wujudnya jurang pemisah atau pemutus di antara dua aliran pemikiran ini. Hasilnya kita dapat menyaksikan banyak gerakan Islam mula merejuvenisasikan dasar dan pembawakan mereka. Bermula dari Shaikh Rashid al Ghanousi di Tunisia dan merebak kini ke serata dunia.

Pada sisi yang lain adalah sama sekali kita tidak mempertikaikan keputusan barisan ulama’ silam menutup pintu ijtihad dalam kalangan umat Islam. Sudah tentu mereka lagi arif tentang keadaan pada waktu tersebut. Maka aspek yang begitu penting sekarang ialah keberanian gerakan Islam dan penganut khususnya menerima keperluan perubahan ini. Prof Tariq Ramadan berulang kali menyebut apa yang diperlukan oleh dunia Islam sekarang ialah perubahan cara pandang penganut Islam terhadap agama mereka itu sendiri.

Antara pertanyaan yang wajib dicari jawapan penyelesaiannya ialah bagaimana untuk mempertahankan prinsip Islam dalam suasana perbezaan dan pelbagai dengan memberi kredit yang penuh pada keperluan memahami konteks semasa.

Mesir telah memberi suatu pengajaran besar terhadap dunia Islam. Dan tepatnya ialah kebangkitan Negara Arab telah membuka lembaran baru kepada pemikir-pemikir Islam kotemporari untuk memberi faham kepada masyarakat tentang kesenjangan ini dan membawa perubahan dimensi yang begitu besar terhadap Islam oleh dunia bukan Islam.

Kita menyaksikan wujudnya diskusi berkenaan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) bagi menggantikan konsep kafir harbi-zimmi. Tidak lupa juga di Mesir Dr. Mursi lebih senang mengangkat seorang wanita Kristian sebagai Timbalan Presiden Mesir.

Di tanah air ini juga, PAS tidak ketinggalan apabila menukar konsep Negara Islam yang diperjuangkan selama ini kepada konsep Negara Berkebajikan bagi mendepani keperluan semasa di Malaysia yang menuntut gerakan Islam ini cair dan mengalir dengan lekuk masyarakat.

Memerdekakan Martabat Insan


Mengangkat Islam melalui nilai-nilai sejagat iaitu kebebasan, keadilan dan kesamarataan sepatutnya tidak lagi menjadi stigma dalam masyarakat Islam. Zaman untuk penganut Islam bekerja mengsejagatkan agama ini dengan nilai yang sebenar sudah tiba.

Perlu dinukilkan di sini peringatan Prof Dr. Yusuf Qaradhawi semasa menyampaikan khutbah beliau di Medan Tahrir setahun yang lalu, 4 perkara yang dijamin dalam syariat adalah huriyyah (kebebasan), izzah (pemerkasaan), karamah (kemuliaan manusia) dan ‘adalah (keadilan). Namun begitu kebijaksanaan kita dalam menyeimbangkan antara nilai dan polisi dalam setiap perkara di atas wajar ditimbang tara.

Prof Tariq Ramadan turut menyebut ketika syarahan umum dalam Seminar Rethinking Islamic Reform di Kuala Lumpur bahawa, Islam bukan sekadar berdiskusi soal melibatkan diri dalam sistem demokrasi dan persoalan mengenai penerimaan nilai demokrasi malah Islam turut mesti berusaha mencari titik pertemuan bagi menyelesaikan pergelutan antara sistem ekonomi dunia sekarang.

Menurut beliau, maksud Islam itu sendiri membawa makna ajaran agama itu boleh bekerja dengan apa sahaja perkara yang baik di dunia ini demi mewujudkan dunia yang lebih baik.

Justeru, jawapan kepada persoalan yang diutarakan dalam tulisan ini sudah pasti ya, Mesir dan Arab umumnya telah menserenjangkan umat Islam dari ijtihad tradisi dan membawa kepada satu dimensi baru iaitu Moderate Islamism.

Wallahualam.