Wednesday, June 13, 2012

Rohingya dan Kebuntuan Pedulisme

Saya secara peribadi amat tidak bersetuju dengan cara perkongsian maklumat yang kerap kali dilakukan oleh ramai rakan-rakan FB saya. Mendapat sekeping gambar, kemudian “Share” dengan penuh emosi menuntut semua perhatian agar mengambil tahu hal yang berkaitan gambar itu.

Apabila ditanya, apa yang anda tahu tentang isu dalam gambar itu, masing-masing tiada jawapan. Ini malang.

Penyakit ini malang bagi institusi intelektual. Lagi malang bila ianya dilakukan atas alasan mengembangkan budaya keintelektualan. Membina rumah dalam keadaan anda tidak tahu berapa kos sebenar rumah tersebut, sudah tentu anda akan mengalami kerugian yang amat.

Menyampaikan sesuatu berdasarkan persepsi sempit tanpa maklumat yang jelas, anda melakukan pembohongan kepada masyarakat!

Saya tujukan hal ini pada isu pembantaian entik Muslim Rohingya dan Buddha Rakhine di Myanmar. Apa yang kita faham dengan keadaan di sana?

Meletakkan persepsi mendahului fakta sebenar, anda lah pengacau sebenar dunia ini. Walaupun atas alasan menyampaikan maklumat dan prihatin dengan nasib saudara di sana. Baca, kaji pelbagai sumber di atas talian. Jangan kita lagak umpama posmen tidak bergaji.

Jikalau saya katakan bahawa di Myanmar puak yang salah adalah Muslim Rohingya, sudah tentu ada yang melenting. Kenapa melenting?