Friday, June 1, 2012

Memacu PEMATRA Yang Berjiwa Demokrat dan Merdeka

Alhamdulillah, petang 23 Mei 2012 telah berlansung dengan jayanya sesi peralihan pucuk kepimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina UKM (PEMATRA) dalam sebuah majlis yang dinamakan secara kebiasaannya, sebagai Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-26. Ya, saya telah diamanahkan sebagai Yang Di-Pertua PEMATRA untuk sesi hadapan.

Putaran masanya telah tiba, dulu saya tidak pernah jangka bahawa keterlibatan saya dalam persatuan pelajar kejuruteraan ini telah membawa kepada banyak darjah-darjah pengalaman sehingga akhirnya diberi kepercayaan untuk menerajuinya pada sesi 2012/2013.

Saya dihadapan bersama barisan exco yang baru dilantik, sedikit kelu apabila para perwakilan mengusulkan supaya PEMATRA menjalankan sebuah program Mobility Outbound sesi depan untuk membawa nama persatuan ini ke peringkat antarabangsa. Malang buat kami, usul tersebut disokong dan diluluskan secara undian hampir 100% perwakilan bersetuju!

Itu kerja gila. Kami berhasrat, tetapi tidaklah sehingga memutuskan hal itu wajib dilaksanakan. Tetapi kini suara hati telah diterjemahkan dalam bentuk sokongan dan undian majoriti. Mahu tak mahu, kami menerimanya. Itu cabaran pertama kami hadapi semalam.

Tapi aturan Tuhan yang Maha Cantik, kami sudah merangka sebelum ini secara bayangan akan hal di atas. Cuma perlu diperkemaskan lagi. Maka pertemuan pertama dengan pihak pentadbiran Jumaat hadapan harus menjadi tapak mula untuk menggerakkan usul ini menjadi realiti.

Ucapan Pergulungan Yang Di-Pertua


Semasa diberi peluang oleh saudara pengerusi tetap mesyuarat untuk berucap bagi menggulung sesi pemilihan itu, saya ada menyentuh beberapa perkara pokok yang saya kira PEMATRA seharusnya berusaha untuk mencapainya secara kolektif dan penuh keazaman.

Jika sebelum ini Dato’ Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ada menulis tentang menghidupkan kembali roh sesebuah universiti, dengan makna kata menjadi sebuah universiti yang cukup sifat keuniversitiannya. Bukan sekadar menjadi sebuah institusi memeram orang cerdik pandai semata-mata untuk melahirkan sekumpulan pekerja yang patuh tetapi turut berperanan untuk menjadi sebuah entiti yang bergerak seiring dengan keperluan masyarakat dan daya pemikiran setiap penuntut.

Maka saya mengambil roh penulisan itu, dengan mengambil kira betapa setiap persatuan mahasiswa di UKM turut menjadi sebahagian daripada “the policy maker” untuk mennentukan sama ada cita-cita transformasi kampus tercinta ini menajdi kenyataan atau sebaliknya.

Kegagalan untuk memahami fungsi setiap persatuan yang wujud di bumi ilmu ini akan menyebabkan UKM cuma sekadar berupaya menjadi pusat pelatih bagi pekerja-pekerja yang tekun, taat dan tidak berperasaan.

Tidak lebih dari itu. Percayalah.

Ini penyakit mental yang sudah lama tertanam di minda sebahagian besar rakyat Malaysia, terutama generasi yang kini sedang mengharapkan anak-anak mereka pulang ke kampung membawa segulung ijazah sambil beranggapan dengan sekeping kertas itulah yang bakal menjamin masa depan yang cerah gemilang.

Ya itu mentaliti sakit yang cuma tahu bertunjangkan manusia itu akan cerah masa depannya dengan cuma perlu memikirkan macam mana untuk memenuhkan kehendak perut sendiri.

Tetapi, ubat kepada penyakit mental ini saya begitu optimis bahawa boleh didapati dengan keterlibatan secara sedar dan insaf mahasiswa-mahasiswa ke dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan di kampus.

Maka saya percaya PEMATRA memainkan peranan yang teramat penting bagi melestarikan hasrat ini seterusnya mencapai apa yang diimpikan oleh pentadbiran melalui Pelan Transformasi UKM. Maka adalah amat penting untuk persatuan ini terus bergerak ke hadapan menyahut seruan transformasi yang seiring dengan peredaran zaman.Saya menetapkan beberapa target yang dikira setara dengan fungsi PEMATRA sebagai sebuah organisasi yang diurustadbir oleh mahasiswa sepenuhnya antaranya:
  1. PEMATRA mencapai objektif untuk memasyarakatkan persatuan ini dan paling penting memasyarakatkan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.
  2. PEMATRA menjadi sebuah kesatuan mahasiswa yang mempunyai identiti dan wajah tersendiri tanpa perlu mengikut rentak persatuan mahasiswa yang lain.
  3. PEMATRA kembali berfungsi sebagai sebuah badan yang benar-benar proaktif memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM selari dengan idealisme penubuhannya yang bertunjangkan falsafah kebajikan mahasiswa.
  4. PEMATRA berjaya menjadi sebuah kesatuan yang demokratik dan berupaya mendidik warga fakulti menjadi sebuah komuniti masyarakat yang matang, bebas, terpimpin sosialnya dan berjiwa demokrat.
Untuk mencapai target di atas, mereka yang ingin sama-sama berkerja dalam kesatuan ini perlulah memahami nilai PEMATRA sebagai sebuah organisasi yang dinamakan persatuan. Bagi saya, persatuan adala

Erti Hidup Pada Memberi


Maka inilah roh yang sepatutnya menggerakkan jasad persatuan ini. Perlu untuk seluruh ahli PEMATRA, dan barisan kepimpinannya sedar mereka sedang memikul sebuah tanggungjawab untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Justeru, kalian bebas untuk lakukan apa sahaja selagi ianya bermanfaat kepada rakan-rakan kalian.

Kalian bebas untuk mencetak idea kalian menjadi sebuah pergerakan seterusnya mencetuskan ruang tindakan dan akhirnya memberi impak yang begitu menakjubkan kepada masyarakat sekitar.

Here, you are free to think. You are free to speak. You are free to select. You are free to act. You are free to decide. You are free to do whatever you want!

Saya membawakan semangat ini, dan berharap seluruh warga FKAB turut berusaha menyemai semangat ini.

Saya amat yakin, kita sudah tidak lagi bebas dan merdeka jikalau kita berbuat sesuatu dalam keadaan terikat dengan kepentingan. Mudahnya apabila kita bekerja dengan mengharapkan jam kredit serta sijil sudah tentu kita akan kehilangan “kehidupan” dalam setiap program yang dijalankan.

Kita tidak lagi menjiwai nilai dari program tersebut.

Saya sering menyebut frasa ini, berilah sedikit kehidupan dalam setiap perkara yang kita laksanakan termasuklah program-program yang bakal dijalankan oleh PEMATRA.

Moga-moga apa yang saya hajati ini mampu digarap sepenuhnya oleh kepimpinan PEMATRA sesi 2012/2013.

Ayuh, mari kita bekerja untuk memberi manfaat kepada manusia!