Saturday, June 9, 2012

Singkirkan Rejim Berlagak Umpama Tuhan

Inilah antara sebab kenapa rejim UMNO/BN wajib dihapuskan semasa PRU-13 nanti. Tidak susah untuk menyimpulkan kata putus dalam hal ini. Hanya manusia yang berjiwa hamba abdi, dan tidak pernah kenal erti kebebasan akan mengangguk kepala mengiyakan segala hal kerenah semalam.

UMNO ini sudah lama memperbodohkan marhean tanah air ini. Kira-kira separuh abad lamanya. Selama ini mereka selesa dengan segala porak pembohongan siang dan malam. Tidak cukup di akhbar, tambah lagi siang dan malam di kaca-kaca televisyen.

Zaman bergerak, rakyat mula kenal dunia atas talian. UMNO sudah hilang punca. Satu demi satu, sedikit demi sedikit rakyat sedar siapa sebenarnya mereka ini. Panas punggung setiap hari dengan pendedahan yang tak kunjung habis.

Selama ini lagak mereka umpama Tuhan. Buat apa sahaja, marhean cuma mengangguk. Kini zaman itu tidak lagi muncul.

Apa lagi strategi yang puak ini ada?

Apabila ada pihak menawarkan idea pendidikan percuma, maka berantakan mereka mencari jalan untuk menutup idea tersebut daripada didengari rakyat. Baru ketahuan rupanya pendidikan itu hak rakyat yang sewajibnya dijamin kerajaan bukan menjadi tempat mengaut laba.

Indoktrinisasi UMNO Dewa Penyelamat


Selama ini apa yang mereka tanam dalam pemikiran rakyat ialah hatta sebiji beras yang ditelan pun adalah hasil pemberian dan kebaikan UMNO/BN. Jika bukan UMNO maka kelaparanlah anak-anak mereka di rumah. Umpama UMNO lah tuhan dewa pemberi rezeki di tanah bekas jajahan British ini.

Maka, mereka cuba sekali lagi menggunakan mitos ini kepada rakyat zaman millimenium. Saya kira mereka ini masih buta huruf kerana tidak mengerti yang kini adalah zaman 2012 bukan lagi pasca 5 tahun kemerdekaan.

Sebab itulah dengan mudahnya Khaled Nordin – Menteri Paling Bijak 2012, menggertak marhean untuk ditarik pinjaman PTPTN di UNISEL dan KUIS. Tidak lain, dia pun dilahirkan dengan kepercayaan bahawa UMNO sahajalah dewa pemberi rezeki di muka bumi ini. Maka dia bersabda, “Pelajar UNISEL tidak akan mendapat pinjaman PTPTN. Siapa kamu nak melawan UMNO? Kalau rasa boleh hidup tanpa UMNO, nah sila rasakan sekarang!”

Bukan seorang, malah 2-3 menteri berjaya mendapat gelaran Menteri Paling Bijak 2012 sejak semalam. Paling cerdik antara mereka ialah Noh Omar. Sebagai wakil untuk parti yang menghimpunkan dewa-dewa penyelamat rakyat Malaysia dia cuma perlu bersabda begini, “UNISEL akan mendapat semula hak pinjaman PTPTN jika parti lawan itu sanggup mengaku salah!”.

Genius bukan?

Politik Bodoh Yang Memangsakan Rakyat


Sekafir-kafir USA ahli politik mereka masih lagi bersifat seperti manusia. Walaupun rata-rata ahli politik UK itu meminum arak, tapi mereka masih tidak berperangai seperti tuhan pemberi rezeki pada rakyat mereka.

Di Malaysia ini, menteri yang mengaku Islam dan kadang-kadang masih menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yaasin begitu ghairah berlagak umpama merekalah tuhan rahmat untuk rakyat. Jika rakyat melawan, tunggulah azabnya nanti. Jika rakyat mula merungut, mulalah pelbagai sekatan itu dan ini.

Walaupun mereka sedar – saya tidak pasti sama ada mereka sedar atau tidak – yang mereka ini pun berada di kerusi menteri itu pun masih berharap pada kertas-kertas undi yang dipangkah oleh marhean mereka!

Menteri apa begini?

Dari keturunan mana mereka ini? Thor? Dewa Zeus? Anak Raja Siam? Kaum Pagan?

Syarat utama jadi pemimpin ialah akal kena waras. Kalau untuk bezakan antara milik sendiri dan hak orang lain sudah tidak mampu, ini namanya tidak waras. Manusia yang tidak waras akalnya tidak boleh menjadi pemimpin. Apatah lagi untuk berada dalam jemaah menteri yang fungsinya adalah untuk mengukir negara ini sesuai dengan keperluan dan kebajikan 27 juta jiwa di dalamnya.

Tidak pernah terlintas akan ada suatu masa nanti seorang menteri sanggup peralatkan hak rakyat sedemikian rupa semata-mata politik bodoh mereka. Sudah tidak tahu berhujah, sudah kelu segala idea, sudah merasa ajal politiknya makin tiba maka itu cara mereka.

Singkirkan! Singkirkan rejim yang berlagak umpama tuhan begini!

Tiada guna Malaysia menyimpan orang sebegini. Tiada guna memberi harapan pada manusia yang cuba berlagak seperti Tuhan ini.

Cuma tinggal satu harapan sahaja, rata-rata mereka sudah punya gelaran politikus tua bangka.

Maka inilah masanya untuk bangunkan pemimpin muda yang masih hijau.

Fokus Bangunkan Generasi Muda


Benar kata Tunku Zain ‘Al-Abidin, negara ini sudah tiada harapan untuk bersandar pada politikus tua bangka ini. Fokus sekarang ialah bangunkan generasi muda. Dirikan dalam kalangan mereka pemimpin muda yang demokratik jiwanya.

Marhean sudah muak. Tunggulah PRU-13 nanti untuk kami memberi jawapan.

Tunggu!