Sunday, June 3, 2012

Kritikan Penambahbaikan Sistem Kontrak Pembelajaran UKM

Muttakhir, ramai graduan yang dilahirkan melalui didikan institusi pengajian tinggi tidak mampu untuk bertindak sebagai ahli komuniti masyarakat yang proaktif. Sedangkan roh universiti sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk menjadikan graduan mereka adalah berlainan dengan paras rakyat yang tidak mendapat didikan melalui sistem universiti.

Saya memandang gejala ini sebagai barah yang akan merosakkan beberapa generasi yang melalui sistem pendidikan di universiti sekarang dan masa mendatang melainkan reformasi terhadap sistem pendidikan segera dilaksanakan.

Sebagai rakyat, saya tidak pasti apakah bentuk negara yang sedang diukir oleh pemerintah untuk disediakan kepada anak cucu kita nanti. Kenyataan ini bersifat amat serius, setelah menyaksikan sendiri sistem dan proses implementasi yang sedang berjalan sekarang adalah amat-amat tidak mesra hasrat untuk melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang berjiwa progresif dan beridentiti bangsa Malaysia.

Silibus dan prores pembelajaran di sekolah-sekolah dan universiti yang cuma berhajat melahirkan pekerja bagi memenuni kehendak pasaran dan industri semata-mata menyebabkan mereka yang lahir dari sistem ini cuma mampu menjadi pekerja yang mahir dalam bidang tugas masing-masing tetapi mereka tiada bekalan yang sempurna untuk bergerak sebagai warganegara yang demokratik dan matang.

Saya mulakan dengan kita memerhatikan bagaimana proses mendidik warga Malaysia melalui subjek Sejarah di sekolah-sekolah menengah jelas gagal dan tidak mampu menyumbang ke arah lahirnya generasi bangsa Malaysia yang berjiwa patriotik matang. Menggunakan istilah gagal agak keras, tetapi itulah realitinya.

Sehingga ke saat ini, walaupun Malaysia sudah merdeka lebih dari separuh abad namun lansung tiada tanda-tanda Malaysia sudah benar-benar berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang tiada terselit perkauman sempit, ketidakadilan sosial dan buta semangat demokrasinya.

Lantaran itu apakah makna mereka terpaksa mengadap buku teks Sejarah jikalau tujuannya cuma mahu menambah bilangan “A” dalam sijil pendidikan?

Sila baca di sini, sepatutnya subjek Sejarah itu memberi nilai yang bagaimana kepada pelajar.

Begitu juga kita perhatikan, bagaimana sistem yang sedia ada cuba mendidik warga Malaysia melalui subjek Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral kepada para remaja di sekolah-sekolah. Persoalan saya, sejauh mana mereka yang mendapat didikan kedua-dua subjek ini mampu lahir sebagai seorang manusia yang bersifat seperti “manusia” di akhir pengajian mereka?

Jadi, di mana silapnya?

Mereka Cuma Mengajar Tentang Struktur


Saya membuat kesimpulan awal, sebab utama “tragedi” di atas berlaku adalah kerana mereka yang berada di pundak tanggungjawab dalam hal ini cuma tahu mengajar warga tentang struktur. Sistem yang sedia ada cuma tahu memberi faham secara kulit sahaja bukan isi kepada subjek-subjek di atas.

Inilah kebimbangan utama, kerana apa yang dilalui dan dipelajari oleh ratusan ribu pelajar sekolah melalui silibus yang ditetapkan cuma cukup untuk memberi kelayakan kepada mereka masuk ke IPTA/S sahaja tetapi tidak untuk melahirkan manusia.

Tragedi ini sangat berbahaya. Negara telah membazirkan jutaan ringgit untuk pendidikan setiapkali Bajet Tahunan diumumkan namun lansung keputusan yang lahir tidak dapat memberi manfaat kepada negara dan generasi mendatang.

Pelajar tidak pernah diajar dengan jujur apakah nilai di sebalik sejarah penjajahan British, kuasa perlombongan kaum Cina, musabab Malayan Union diwujudkan, penentangan parti-parti kiri, sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan segalanya yang ada dalam buku teks Sejarah.

Pelajar cuma tahu Dol Said itu adalah pejuang kemerdekaan. Itu sahaja.

Pelajar cuma maklum Tunku Abdul Rahman pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan, Itu sahaja.

Pelajar cuma diajar 13 Mei itu terjadi disebabkan kaum Cina mempersoalkan hak-hak Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Itu sahaja.

Kesan terbesar, sepatutnya melalui didikan itu mereka mampu lahir menjadi warga yang matang tetapi yang terjadi adalah mereka keluar dalam keadaan penuh dengan prejudis dan ketidakpastian dalam pelbagai sudut. Pelbagai persoalan yang timbul dan tidak diperjelaskan kepada mereka secara tuntas melalui proses pendidikan di sekolah menyebabkan mereka menjadi generasi yang mandul dan tidak berperasaan,

Apatah lagi keadaan mereka itu ditambah dengan propaganda media siang dan malam sudah tentiu situasi generasi ini semakin parah.

Saya selalu berharap agar dengan sistem pendidikan bermula di peringkat sekolah rendah lagi menjadi tempat untuk mencari solusi kepada faham negara majmuk, atmosfera demokrasi dan patriotik matang dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Saya teringat kata-kata Dato’ Saifuddin Abdullah, dalam program The Engineering Technology Carnival 2012 di UKM bulan lepas beliau ada mengungkapkan bagaimana mahasiswa pengajian Sains Politik yang diajar tentang sistem politik dan pentadbiran di Malaysia namun untuk para mahasiswa ini menyuarakan pandangan mereka berdasarkan apa yang mereka pelajari atau terlibat dengan sistem-sistem politik yang ada secara lansung terus ada pihak yang menghalang.

Mereka diajar tentang struktur politik itu, akan tetapi mereka tidak diajar tentang nilai disebalik struktur politik itu sendiri.

Jadi apa makna mereka menghabiskan masa di perkuliahan Sains Politik jikala mereka tidak dibenarkan terlibat dalam arena keilmuan mereka?

Atau universiti cuma mahu mereka bergelar graduan Sains Politik semata-mata kelak?

Kritikan Penambahbaikan Kontrak Pembelajaran UKM


Bermula sesi 2011/2012, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melangkah ke satu tahap pembelajaran yang terkehadapan apabila berjaya memperkenalkan Sistem Kontrak Pembelajaran (Learning Contract) yang memberi peluang kepada mahasiswa UKM untuk menentukan sendiri corak dan silibus pembelajaran mereka bagi memenuhi tuntutan 8 jam kredit.

Melalui sistem ini, pelajar bebas melaksanakan apa sahaja projek atau aktiviti bagi memenuhi 8 aspek utama yang digariskan oleh pentadbiran UKM. Mereka turut bebas memilih sesiapa sahaja dalam kalangan pensyarah untuk menjadi penasihat kepada mereka. Umumnya, melalui sistem ini UKM diharapkan mampu melahirkan sekumpulan produk yang merdeka, demokratik serta mampu berfikir dan memilih perkara yang terbaik untuk diri mereka tanpa perlu terikat dengan gaya pembelajaran formal seperti kebiasaan.

Begitulah hasrat murni disebalik pelaksanaan sistem ini. Namun begitu, implementasi sistem ini terhadap para mahasiswa nampak tidak begitu enak untuk disebut. Saya tidak pasti pihak pentadbiran UKM menyedari atau tidak perkara ini.

Permasalahan sistem ini mula timbul apabila para mahasiswa tidak memahami secara tuntas nilai di sebalik pelaksanaan Kontrak Pembelajaran sebaliknya mereka lebih mudah mengambil pendekatan dengan menganggap sistem ini cuma semata-mata untuk memenuhi aspek ko-kurikulum dan layak untuk graduasi kelak.

Natijah paling negatif yang bakal terjadi ialah mahasiswa akan berlumba-lumba menyertai apa sahaja aktiviti yang mendapat status Kontak Pembelajaran bagi memenuhi 8 jam kredit. Mereka punya alasan yang begitu kukuh untuk tidak terikat dengan mana-mana program lagi setelah jam kredit mereka untuk aspek ini mencukupi.

Malang sekali, apabila sistem yang begitu cantik gagal dipersembahkan kepada mahasiswa yang akhirnya menyebabkan mereka tidak memahami secara objektif kehendak murni Kontrak Pembelajaran ini.

Saya memerhatikan beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku, antaranya:

  1. UKM masih gagal memanfaatkan Minggu Mesra Pelajar (kini dikenali sebagai Bulan Mesra Pelajar) untuk memberi faham secara objektif kepada setiap mahasiswa Tahun Pertama bagi pengambilan sesi baru berkenaan hasrat disebalik pelaksanaan sistem ini sebaliknya saya beranggapan kebanyakan aktiviti yang dijalankan semasa minggu terbabit tidak memenuhi aspirasi UKM sebagai sebuah tapak keilmuan ternama di tanah air. Walaupun mengikut tentatifnya masih wujud sebuah slot bagi menerangkan kepada mahasiswa tentang sistem Kontrak Pembelajaran, namun slot tersebut cuma mengajar struktur sistem tersebut tanpa mereka dapat menjiwai sepenuhnya nilai disebalik pelaksanaan sistem terbabit. Akhirnya apa yang mereka fahami ialah mereka perlu mencari program untuk memenuhi 8 jam kredit, bukan menyertai program untuk proses menyediakan diri mereka untuk menjadi warga masyarakat yang proaktif kelak.
  2. Seperti Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) yang dijalankan oleh UKM sebelum digantikan dengan Kontrak Pembelajaran, sistem baru ini turut berdepan dengan masalah sesetengah pihak pelaksana yang bersikap selektif. Apa yang diperhatikan sepanjang sesi lepas, kebanyakan aktiviti yang berjaya didaftarkan sebagai Kontrak Pembelajaran adalah aktiviti yang dijalankan oleh pihak kolej-kolej kediaman dan aktiviti yang dijalankan oleh persatuan di luar kolej seringkali berdepan kesukaran untuk bersaing dalam hal ini. Suasana ini menyebabkan begitu ramai mahasiswa lebih senang mengejar aktiviti Kontrak Pembelajaran di kolej-kolej kediaman dan persatuan luar hanya mampu memandang dalam kesukaran. Mereka tidak mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa. Pertamanya, tidak banyak program mereka mendapat status Kontrak Pembelajaran. Keduanya, kolej mengambil kesempatan ini untuk memerah sepenuhnya penghuni mereka untuk menyertai setiap program yang mereka laksanakan.
  3. Justeru, tindakan segera perlu diambil oleh pihak pentadbiran tertinggi UKM jikalau mereka tidak berhasrat untuk melihat produk UKM yang lahir dari sistem ini cuma tahu pentingkan diri sendiri (self-oriented), mandul idea, tidak berupaya membantu UKM untuk mencapai wawasan Pelan Transformasi dan paling mengerikan jikalau UKM berjaya melahirkan sekumpulan modal insan yang tidak mampu untuk membuat keputusan untuk diri mereka sendiri dan undemocratic.

Lantaran pelaksanaan sistem yang sedikit cacat, maka hasrat murninya gagal diterjemahkan oleh setiap mahasiswa yang terlibat. Saya tahu, ada juga dalam kalangan mereka menyedari hakikat ini tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengelak daripada terkena tempias bahana ini. Akhirnya mereka terpaksa mengikut rentak yang sedia ada walaupun terpaksa dan penat.

Kerana mereka sedar, apa yang mereka buat lansung tidak memberi manfaat kepada proses persediaan mereka sebagai pelapis kepimpinan kelak.

Menyedari keperluan mahasiswa memahami secara objektif hasrat disebalik pelaksanaan Kontrak Pembelajaran, maka kami di peringkat Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (PEMATRA) UKM telah menyuarakan hasrat untuk melaksanakan sebuah aktiviti yang bersifat “heart-to-heart” dengan mahasiswa FKAB Tahun Pertama sesi 2012/2013 yang akan memfokuskan pada memberi faham nilai utama kenapa mereka perlu menyertai Kontrak Pembelajaran secara objektif bukannya cuma untuk mengejar jam kredit kepada pihak pengurusan fakulti pada pertemuan pertama minggu lepas.

Alhamdulillah, respon yang kami terima agak positif dan pastinya kami akan berusaha untuk merealisasikan cita-cita ini. Penekanan di sini ialah, kami akan memberi fokus pada perspektif yang mungkin terlepas pandang oleh pihak pentadbiran UKM semasa memberi taklimat mengenai Kontrak Pembelajaran semasa Minggu Mesra Mahasiswa (MMP).

Kesimpulan


Tuntasnya, sistem pendidikan atau apa-apa sistem yang dicipta sekalipun jikalau pelaksananya cuma tahu dan faham mengenai struktur sistem tersebut sahaja tanpa dapat menjiwai nilai di sebalik sistem tersebut, maka mereka tidak ubah seperti robot yang diprogramkan untuk melaksanakan sesuatu kerja.

Di mana lagi tinggalnya istilah modal insan dalam “tragedi” ini?

Alangkah ruginya bertahun-tahun tanah air ini merdeka namun warganya masih berfikiran di tahap negara kelas ke-3 lantaran kegagalan kita melahirkan modal insan melalui sistem dan program yang telah dilaksanakan.

Alangkah ruginya negara ini menghabiskan jutaan ringgit untuk melaksanakan sesuatu sistem tetapi warganya lansung tidak diberi peluang untuk memahami dan menjiwai sistem tersebut.

Alangkah negaraku. Moga kita diberi peluang dan ruang untuk memperbaiki kesilapan ini.