Saturday, June 9, 2012

Biarkan Bola Sepak Itu Menari


EURO’12 kembali. Saya menulis ini selepas menonton perlawanan pembukaan antara tuan rumah, Poland menentang Greece, sebuah negara yang telah diisytiharkan bangkrap. Saya menyokong Poland. Itu pasukan pilihan saya untuk EURO siri 2012 ini.

Malangnya perlawanan tadi berakhir dengan kekecewaan.

Sepatutnya mereka boleh keluar stadium dengan 3 mata penuh tapi malangnya kerana ketidakcerdikan penjaga gol Poland itu maka terlepas peluang mereka!

Sungguh kecewa. Gol pertama Greece dan penalti 25 minit kemudiannya adalah hasil dua kesilapan Szczesny maka itulah hasil yang Poland perolehi. Sekali lagi, selaku peminat utama Poland maka saya amat kecewa.

EURO’12 Kembali


Jarang untuk dunia menyaksikan perhimpunan manusia secara gergasi yang melibatkan semua ras yang hidup di muka bumi. Untuk sehingga saat ini hanyalah kejohanan bola sepak seperti ini sahaja yang mampu menjadi jawapan kepada soalan di atas.

Perhimpunan ini mengumpul pelbagai wajah sama ada suka atau duka. Di situ kita menyaksikan kegirangan, keghairahan, kebencian, keganasan, perkauman, pembunuhan dan kegilaan lain yang tak mampu ditulis di sini.

Manusia yang dikumpul atas semangat mungkin nasionalime, mungkin juga kesukanan, mungkin juga seksualiti malah juga ritual keagamaan maka kita menyaksikan ragam itu. Terkinja perasaan, bukan untuk satu siri bahkan untuk setiap siri yang berlansung seperti EURO’12 sekarang.

Maka, raikanlah.

Kata jurulatih Holland, Rinus Michels yang juga dikenali sebagai “The General” semasa bertanggungjawab membawa negara tersebut ke perlawanan akhir Piala Dunia 1974 menentang Jerman dengan ungkapan yang begitu popular, “Football is war”.

Football is War


Mungkin cuma bola sepak sahaja satu-satunya permainan di dunia ini yang mampu menimbulkan kegilaan yang berskala nasional. Permainan lain?

Saya tidak pasti.

Badminton? Saya rasa tidak. Begitu juga tenis. Sukan ini masih tidak mampu menandingi kegilaan manusia terhadap bola sepak. Kecuali pada 1938 apabila peninju Joe Louis yang terkenal dengan gelaran “Brown Bomber” mengalahkan wakil Nazi, Max Schmeling yang berjaya membawa sukan tinju ke dalam skala kegilaan yang mencetus “perang” antara dua negara.

Selepas itu sukan tinju lebih kepada perlawanan individu, bukan lagi negara.

Juga sukan-sukan yang lain, mereka tidak mampu menandingi bola sepak yang punya potensi untuk mencetuskan “perang” antara negara.

Perang di atas, bukan bermaksud perang senjata sahaja tetapi segala yang berkaitan dengan negara yang terbabit. Hatta jika pada perlawanan pembukaan tadi pun taraf ekonomi mereka turut jadi kayu ukur sejauh mana kemampuan mereka dalam perlawanan terbabit.

Sejarah mencatatkan betapa tidak kurang perlawanan bola sepak yang berakhir dengan pertumpahan darah dan pertempuran senjata api. Tapi saya kira kebanyakan sejarah itu lebih menunjukkan durasi sekitar 50an sehingga 70-an. Biarkan sejarah dengan sejarah.

Juga sehingga sekarang pun, bola sepak masih tidak lekang dengan mitos keagamaannya. Itu ritual manusia yang percayakan adanya Tuhan tidak kira dia itu Islam, Kristian, Yahudi atau sebagainya. Jika kita perhatikan masih ramai yang menggelarkan Ajak sebagai kelab Yahudi kerana itu sejarah mereka sejak penubuhannya lagi. Begitu juga Arsenal dan Tottenham.

Juga tidak kita lupa, bagaimana bandar Glasgow mencatatkan Celtic itu adalah kelab Kristian Katolik dan Rangers itu Kristian Protestant. Walaupun mungkin sekarang ianya sudah berkurangan tetapi pasti identiti itu masih wujud sedikit sebanyak. Mereka wujud pun kerana sejarah begitu membentuk mereka.

Maka raikan!

Kita tidak lupa, bola sepak juga punya tari yang indah. Ianya menyatukan manusia.

Bola Sepak Mempertemukan Persamaan


Di Sudan, bola sepak mereka menyatukan Islam dan Kristian. Syiah dan Sunni di Iraq. Afrika, Arab dan Eropah di Perancis.

Untuk menolak terus bola sepak hanya kerana beberapa alasan sebegini, saya kira mereka agak keanak-anakan. Untuk membersihkan terus segala kotoran itu adalah kerja yang mustahil. Saya yakin bukan semua yang berkaitan dengan bola sepak ini mendatangkan kesan negatif. Jika kita fikir rasanya ada sahaja hikmah di sebalik setiap ketetapan ini.

Siapa sangka, dengan penganjuran EURO’12 di Poland dan Ukraine akan membuka suatu rhsia yang telah tersimpan lama di kantung media daripada pengetahuan dunia?

Ya, tadi saya berbincang dengan seorang rakan. Dia memberitahu di Ukraine masalah racist mereka begitu meruncing. Mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah keganasan puak militan terhadap kumpulan minoriti Islam di negara mereka. Tetapi hal ini dunia tidak ketahuan lansung!

Begitu juga Poland yang dilanda masalah keganasan dan provokasi melampau. Semua ini bakal terbongkar hasil pemerhatian seluruh dunia ke negara mereka. Segala media akan terurus ke negara mereka. Segala macam jurnalis akan menulis tentang mereka.

Diulas segenap statistik yang ada. Berlapis budaya yang wujud. Bertimbun permasalahan yang disembunyikan selama ini.

Ini bakal menjadi makanan media luar.

Saya yakin, ada hikmah dengan ketetapan EURO’12 berlansung di Poland dan Ukraine.

Cuma tunggu sambil menonton setiap perlawanan yang ada =)

Dan raikanlah perhimpunan ini kawan!