Tuesday, May 29, 2012

Lebuhraya Rakyat: Hanya Tuhan Tahu Isi Hati Mereka

Saya begitu tertarik dengan berita pecah tanah oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membina Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer, yang akan menelan kos RM1.8 bilion. Apa yang menarik di sini ialah, lebuh raya ini merupakan jalan raya pertama yang dibina tanpa satu sen pun bantuan kerajaan pusat tetapi ianya berdiri atas sumbangan orang ramai, korporat & persendirian.

Jika tidak pun tepat, boleh lah ini dinamakan lebuhraya rakyat. Meski umum mengetahui bahawa pembinaan jalan raya bagi kemudahan rakyat adalah tanggungjawab asasi kerajaan Pusat, namun kedengkian dan ketaksuban secara membuta tuli terhadap politik sempit mereka menyebabkan rakyat di negeri itu sengsara sedemikian lama.

Semua maklum akan tugas kerajaan Pusat dalam perkara ini sebagaimana yang termaktub dalam pembahagian kuasa seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Cerita lebuh raya ini wajar dipentaskan di layar perak pada masa mendatang agar generasi akan datang tahu betapa inilah satu-satunya binaan mega dalam Malaysia yang lansung tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia. Kalau ada pun, ianya pada RMK-5 namun akhirnya dalam RMK-10 rancangan pembinaannya telah dihapuskan terus!

Saya tidak dapat membayangkan, dana RM1.8 billion yang ingin dikumpul oleh kerajaan negeri bagi membina lebuh raya ini sudah tentu ianya bukan sekadar menelan keringat peluh dan tenaga, namun mereka yang terlibat pasti dan pasti akan menelan segala sumpah seranah, kata caci nista, pandangan sinis masyarakat yang menganggap ini umpama meminta sedekah.

Namun itu sahaja peluang mereka.

Mahu meletakkan harapan pada kerajaan pusat, rasanya lebih baik menunggu bulan bertukar menjadi matahari!

Saya secara peribadi begitu kagum, apabila kerajaan Kelantan mampu membina sebuah projek mega yang bernilai billion ringgit dengan bantuan dan sumbangan ikhlas orang ramai.

Kerja ini bukan mudah. Moga Tuhan membayar setiap sen mereka yang sanggup keluarkan bagi menjayakan misi membina lebuh raya yang bakal memudahkan urusan ramai penduduk Kelantan dengan balasan yang setimpal. Ameen.

Apa yang pasti, apabila pembinaan lebuh raya ini selesai kelak sudah tentu sesiapa sahaja mampu menikmati pembangunan ini tanpa perlu membayar tol walau satu sen!

Dan nyata kisah ini telah mensurahkan suatu pengajaran, betapa jikalau kerajaan itu ikhlas mahu membantu rakyat mereka pasti tidak akan berdalih walau satu ayat.

Allah, berkatilah pemerintahan kerajaan PAS di Kelantan!