Thursday, May 31, 2012

Hak Rakyat Untuk Murka

Isu WWW1 kecoh seketika. Rata-rata yang kecoh adalah rakyat marhean. Mereka terkejut sebenarnya. RM500000 untuk sekeping plat kereta adalah hal begitu melampau buat golongan yang gaji cukup-cukup makan.

Untuk elitis, mungkin itu hal yang biasa. Tiada yang pelik. Ohhh, biasa lah RM500000 untuk plat kereta. Pak arab sekali bida mahu telan RM2-3 juta. Mungkin itu yang terdetik dalam hati mereka.

Mungkin. Telah hati saya juga.

Maka luahan-luahan “murka” rakyat marhean mula kedengaran. Maklumlah, sekarang nak jumpa sultan tidak perlu lagi pergi ke istana. Boleh “jumpa” direct dalam Twitter. Dunia iPhone kan?

Jadi, jalan cerita itu terus wujud. Mereka di paras elitis mula panas punggung mendengar “kemurkaan” para hamba rakyat. Biasa lah, orang yang terkejut pasti akan marah-marah. Itu lazim sebagai manusia. Lantaran mereka marah itu ada rasionalnya.

Rakyat marhean persoalkan, kenapa begitu boros?

Ramai yang di bawah masih tidak cukup makan. Berlambak hamba rakyat masih tidur berlampirkan lantai basah. Ratusan lagi ibu tunggal dan anak yatim masih kekeringan tidak cukup vitamin. Ribuan penuntut universiti terpaksa bergolok gadai keluarga mereka demi sebuah ijazah.

Sekalian mereka terkejut dengan pelaburan RM500000 semata untuk sekeping plat.

“Mind your own business!” titah para elitis.

Ya, kami faham jika itu bukan dari dana awam. Saya tak menuduh sesiapa di sini. Cuma sebagai rakyat marhean titah seperti di atas amat mengguriskan hati saya. Itu belum lagi bagaimana hati mak dan ayah saya yang membanting tulang pagi petang cari duit dan bayar cukai setiap tahun kemudian dengan cukai-cukai itu dibayar gaji-gaji para raja. Sudah tentu mereka lagi terguris.

Penat mereka memberi, tapi bila mempersoalkan dana itu mereka dimarahi?

Kemudian sekalian hamba rakyat mula ketakutan dengan perkhabaran raja murka. Alamak itu sudah boleh terkena tulah. Raja murka, elitis naik minyak sama. Golongan marhean feudal terus menyalakan api. Mereka seolah benteng sang raja.

“Hei penderhaka, kau jangan sampai aku kerah sekalian pewaris Panglima Kiyai Salleh Selempang Merah pancung seluruh keturunan kau sampai mati!” demikian marahnya si marhean berfikiran feudal ini.

Kawan, zaman sekarang sudah ada iPad.

Kamu masih lagi boleh hidup dengan istilah derhaka, murka?

Tolong, janganlah di tangan ada iPad tapi akal masih di zaman batu.

Lantaran itu ingin sekali aku luahkan isi hati. Jika sang raja boleh murka pada sekalian hamba rakyat maka untuk kami adakah tiada hak untuk “murka” pada keborosan para elitis?

Hak Rakyat Untuk Murka

Kenapa perlu ada lagi istilah feudal sebegitu?

Cita-cita Malaysia mahu lahirkan masyarakat progresif tidak memerlukan ugutan bersifat monarki. Biarkan mereka berfikir. Lepaskan lidah-lidah mereka untuk berbicara tentang hak mereka. Persoal gaya hidup sultan tidak bermaksud mereka persoal kedudukan sultan.

Itu jelas. Muktamad.

Kami hormati kedudukan institusi beraja. Apa yang kami persoalkan ialah kenapa nampak begitu boros sedangkan ramai lagi anak watan belajar di kolej-kolej yang menumpang di rumah-rumah kedai!

Bukan cuma sultan saya tujukan komentar ini, malah buat mereka di paras elitis. Mereka yang memegang tampuk kuasa tidak kira di peringkat mana institusi mereka.

Saya sudahi luahan ini, dengan untaian kata hikmah dari Umar Al-Khattab, “Jika rakyatku kenyang biar aku terakhir rasainya, jika rakyatku lapar biar aku pertama yang rasai”.

Kami ini tidak lagi lahir di zaman monarki mutlak. Itu apa yang kami faham.

Ampun Tuanku!