Tuesday, January 3, 2012

Bagaimana Umat Malaysia Memandang Isu Amalina Che Bakri?

Mungkin ini ulangan kepada apa yang saya utarakan dalam laman Twitter. Saya merasakan perkara ini perlu diberi perhatian agar masyarakat faham apa yang sepatutnya mereka faham. Dalam isu ini, perkara pokok ialah salah siapa.

Sebelum pergi jauh, saya suka untuk perjelaskan tentang konsep adil dalam menghukum dan persepsi pada sesuatu. Adil dalam Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Maka, wajib pada setiap mereka yang mahu mengomel dalam isu ini supaya faham tentang konsep adil dalam menghukum.

Pertamanya, Islam mengajar untuk kita menutup kesalahan orang lain seboleh yang mungkin kerana bimbang ianya bakap menimbulkan fitnah berbanding memberi kefahaman kepada orang lain. Tapi bukan semua kesalahan tidak boleh kita bongkar dan sebarkan.

Dalam kes Amalina, ya mungkin pada penilaian kita ianya salah. Namun, kita tiada hak untuk menyebarkan kesalahan itu. Saya tak pasti samada dengan alsan untuk dijadikan iktibar, ianya dibolehkan oleh agama ataupun tidak.

Tapi, Al-Iman Al-Ghazali menyebut, kesalahan dan kemungkaran yang dibolehkan untuk kita sebar dan hebahkan kepada masyarakat ialah kemungkaran yang melibatkan kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

Contohnya, apabila ada seorang pemimpin yang didapati mengambil rasuah, maka wajib untuk disebarkan sebagai peringatan kepada rakyat bahawa dia sudah tidak lagi layak menjadi pemimpin dan wajib untuk turunkan dia dari pangkat itu.

Kerana si pemimpin terbabit telah melakukan suatu kesalahan yang membabitkan kepentingan orang ramai. Dia menyalahgunakan wang orang ramai. Maka, wajib untuk kita sebarkan kesalahan dan kemungkaran yang peminpin itu lakukan.

Berbalik kepada kes Amalina, mengambil iktibar adalah wajib tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menghalalkan sumpah seranah kepada dia.

Islam menyuruh kita menjadi “busy body” kerana itulah konsep ukhwah dalam Islam. Cubit peha kanan, peha kiri terasa. Akan tetapi Islam turut menyebut lunas dan sempadan dalam menjadi “busy body”.

Saranan saya, adalah 1000x lebih baik jikalau kalian yang suka untuk menasihati dia, dengan menghantar nasihat kepadanya secara hikmah melalui FB sebagai contoh. Zaman moden bukan?

Pandang Isu Secara Objektif


Fitrah manusia tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Beriman manapun seseorang itu, pasti dan pasti akan terlekat juga dosa pada diri dia setiap hari. Siapa berani jamin yang dirinya tidak dihinggapi dosa pada hari ini?

Maka saya suka untuk mengajak rakan-rakan pembaca untuk kita memandang isu ini secara objektif. Kita berdentum pasal Amalina, bagaiman pula dengan isu-isu lain yang lebih jauh lagi besar kepentingannya untuk masyarakat tahu kebenarannya dan diambil iktibar?

Bagaimana dengan isu rasuah pemimpin negara, isu sistem pendidkan yang tunggang terbalik, isu ancaman akidah dalam negara yang didalangi oleh pemimpin negara sendiri, isu masalah sosial yang tidak pernah mendapat perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab, isu hak-hak mahasiswa tertindas, isu konkongan terhadap kebebasan akademik dan isu-isu lain yang 10000x ganda lebih penting untuk diperdebatkan dan dibahaskan oleh rakyat?

Kenapa perlu pandang isu ini berbanding isu Amalina Che Bakri?

Kenapa perlu “trending” kan isu ini berbanding sibuk dengan isu-isu di atas?

Pernah atau tidak kita terfikir, sebab Amalina dan Alif Alfian jadi seperti itu adalah kerana salah sistem pendidikan yang tunggang terbalik dan cuma mampu melahirkan modal insan yang berkiblatkan sijil dan CGPA sahaja.

Cuba kita muhasabah sejenak, dari sisi manakah sistem pendidikan Malaysia sedia ada cuba untuk memandu rakyat kenal ALLAH, kenal Akhirat?

Bagaimana pula dengan kerajaan yang ditugaskan untuk menggubal dasar pendidkan ini?

Apakah tidak perlu kita letakkan kerajaan sebagai subjek utama dalam kes ini berbanding kita cuma pandai memandang batang tubuh Amalina Che Bakri sebagai subjek utama sahaja?

Ya, salah dia itu memang salah dia. Tetapi, alasan itu tak mampu untuk menutup siapakah yang sebenarnya wajib bertanggungjawab dalam isu ini!

Kerajaan Wajib Bertanggungjawab


Kenapa kerajaan?

Mungkin akan ada pembaca yang akan menjerit, “Kau ini tidak habis-habis menyalahkan kerajaan. Dalam isu Amalina pun kau salahkan kerajaan!”

Ya, kerajaan wajib bertanggungjawab dalam isu ini. Begitu juga isu Alif Alfian.

Percaya atau tidak, terjaminnya akidah setiap jiwa yang mengaku Islam dalam negara Malaysia ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk pastikan ianya terselamat dan terjamin sehingga matinya dia sebagai seorang Islam.

Susah? Sukar?

Kalaulah memimpin negara itu mudahnya seperti makan kacang, sudah pasti Umar Al-Khattab tidak akan menangis setiap malam memikirkan nasibnya di Akhirat kelak jikalau ada salah seorang rakyatnya melakukan maksiat!

Ini bukan soal politik. Ini adalah soal fiqh daulah (pemerintahan). Mengelak untuk membicarakan sisi ini dalam isu Amalina ini, maka dimanakah penyelesaian yang mahu kita cari itu akan mampu diperolehi?

Takdir kalaulah si Perdana Menteri itu adalah bapa kandung saya sendiri, maka pasti saya akan mengatakan perkara yang sama kepada dia.

Saya pulangkan isu ini kepada pihak pemerintah di Putrajaya. Apakah tindakan mereka sebagai pihak yang berkuasa?

ALLAH memberi amanah itu kepada mereka. Maka, cukupkah amanah itu cuma pada kata-kata sahaja?

Apakah mereka yang diberi amanah memimpin negara tidak berhak untuk menghalang kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat Malaysia?

Mari kita insafi, kisah Khalifah Harun Al-Rasyid (betulkan saya jika kisah ini ada kesilapan) yang telah menghantar sebatalion tentera Islam bagi menyelamatkan seorang perempuan yang beragama Islam yang telah dicabul kehormatannya di negara luar. Kata kunci di sini ialah, tanggungjawab seorang ketua negara menjaga maruah rakyatnya sehimgga diambil keputusan sedemikian rupa.

Sistem Pendidikan Memerlukan Rejuvenisasi Segera


Pernahkah kita merasa “something wrong” dalam sistem pendidikan (tarbiyyah) di Malaysia yang memaksa seorang kanak-kanak bermula umur 6 tahun sehingga menjengah umur remaja, 17 tahun mendekam di sekolah atas nama mendapat didikan?

Rasanya tidak salah jika saya menelah bahawa sistem pendidikan Malaysia adakah tidak lain cuma sekadar mahu melahirkan seorang rakyat yang boleh bekerja setelah mendapat sijil. Matlamat ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah adlah tidak lain iaitu masa depan mereka terjamin dengan adanya pekerjaan tetap.

Itu sahaja.

Saya berani jamin tidak ramai ibu bapa yang mampu berfikir lebih jauh daripada impian di atas ketika menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Hari ini, cuma tanya kepada mereka yang mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah apakah yang mereka mahu lihat dari anak mereka setelah lulus dari sekolah tersebut?

Di manakah silapnya?

Bukankah sistem pendidikan atau tarbiyyah itu tujuannya mahu memanusiakan manusia?

Tidak kiralah dari aliran apapun sekolah tersebut samada sains, agama atau sebagainya, adakah kita nampak obejktif ini tercapai?

Bukankah isu di atas juga sudah jelas membuktikan sistem pendidikan kita masih gagal?

Ya, kita memerlukan rejuvenisasi yang segera terhadap sistem pendidikan di Malaysia. Saya memuji langkah ibu bapa yang cuba sedaya upaya mencari alternatif sistem pendidikan buat kepada anak-anak mereka yang benar-benar mampu membentuk anak-anak mereka.

Akan tetapi, bukanlah semua ibu bapa mempunyai kemampuan kewangan untuk mencari alternatif tersebut. Mungkin segelintir daripada mereka sahaja mampu berbuat demikian. Maka, di sinilah tanggungjawab kerajaan untuk mengkaji dan membuat perubahan segera dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Saya ulangi, ini amanah yang kerajaan pikul untuk membentuk dasar-dasar yang mampu membina jatidiri dan modal insan yang sempurna sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam demi masa depan generasi akan datang.

Atau ini tanggungjawab pak imam di kampung untuk menggubal dasar-dasar negara?

Seruan Perubahan Itu Makin Kuat!


Kepada mereka yang telah menyebarkan berita Amalina, sedarlah sebaran itu akan cuma tinggal sebaran sahaja. Ianya tidak akan mampu mengubah apa-apa pun yang telah terjadi. Malah, jika kita cuba untuk memberi peratusan positif hasil sebaran itu, rasanya susah untuk kita mendapat skala peratusan yang besar.

Inilah masanya untuk kita lakukan sesuatu. Marilah kita berani berimpian melihat sebuah perubahan di Malaysia. Mereka di kabinet menteri, harus sedar kerusi itu bukan selamanya untuk mereka.

Jika mereka tidak berani melakukan sebarang perubahan, maka tunggulah saatnya kami akan mengubah anda dengan orang yang lebih baik untuk berada di posisi itu!

Demi anak cucu kita akan datang, marilah kita fikirkan ini bersama wahai rakan-rakanku!

NOTA: Tulisan ini tidak lagi mewakili sikap penulis pada hari ini. Justeru, pembaca harus menanggapi tulisan ini tidak lebih dari sekadar arkib penulisan blog Time To Change semata-mata. Sebarang usaha ulang siar tulisan ini ke mana-mana media adalah dilarang sama sekali.