Tuesday, January 31, 2012

Jalan Perjuangan Ini Maha Panjang, Usahlah Gopoh Saudaraku

Peringatan As-syahid Hassan Al-Banna buat para pemuda yang gopoh dalam perjuangan, mahukan kemenangan datang bergolek dan sedikit peluhnya, tapi berganda ganjarannya. Sesungguhnya jalan perjuangan maha panjang saudaraku.
"Hai Ikhwanul Muslimin terutama yang gopoh dari kamu, dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu,
"Aku telah yakin dengan-Nya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya. Ya, boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan,
"Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain,
"Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserah kepada ALLAH semata-mata,
"Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang atau mati syahid dan berbahagia.
— As-syahid Imam Hassan Al-Banna

Sunday, January 22, 2012

Apa Yang Malaysia Perlu Ubah Dalam Tempoh 10 Tahun Dari Sekarang?

Malaysia, pada sekilas pandang boleh dikatakan sebagai negara yang cukup bertuah kerana ada pelbagai bantuan alam kepadanya yang tiada di negara-negara lain. Sekilas pandang juga, orang akan menyangka bahawa rakyat Malaysia sudah tentu amat beruntung dilahirkan dan dibesarkan di negara ini. Itu mungkin telahan mereka yang memandang negara ini secara “surface” tanpa menilai secara kritikal dan rasional.

Seringkali saya mengutarakan dalam banyak-banyak perbincangan yang kami adakan, bahawa setiap individu yang merasa nikmat sebagai rakyat Malaysia wajib berfikir dengan lebih matang dan mempunyai cita-cita mereka tersendiri buat negara yang dicintai ini.

Orang akan bertanya, apa lagi yang tidak cukup di Malaysia?

Bangunan tertinggi?

Lapangan terbang yang tercanggih?

Pengeluaran hasil minyak yang berjuta-juta sehari?

Tidak bersyukur lagikah kamu dengan nikmat yang pelbagai ini?

Ya, saya bersyukur. Namun itu tidaklah menyebabkan saya buta pada hal-hal yang lain yang lebih kritikal dan mampu membawa kepada kesan buruk pada masa jangka panjang.

Tahun 2012 sahaja telah mencatat pelbagai isu dan konflik yang besar sehingga bukan sahaja saya, malah sesiapa sahaja pun turut mempersoalkan tentang perkara ini iaitu di manakah letaknya bangsa Malaysia pada 50 tahun akan datang jilalau hal-hal sebegini berterusan.

Maka hal ini menjadi kebimbangan dan kegusaran terbesar dalam diri saya secara jujurnya sehingga saya merasakan bahawa perlunya ada tindakan secara progresif bagi mencapai 2-3 perkara dalam tempoh 10 tahun akan datang demi memastikan mandiri bangsa Malaysia dari sudut budaya, sahsiah dan jati diri terus wujud di dunia ini. Perkara yang Malaysia perlu ubah jika mahu terus bersaing dengan negara lain.

Rejuvenisasi Sistem Pendidikan Secara Menyeluruh


Saya merasa amat yakin bahawa, apa yang terbentuk dalam diri saya dan rakan-rakan segenerasi ini pada waktu sekarang adalah hasil didikan dan proses pembentukan yang saya lalui sepanjang berada di alam persekolahan dan universiti (sekarang) oleh guru-guru saya yang mungkin lahir pada dalam era akhir 60-an sehingga 80-an.

Mereka menjadi guru, ibu bapa dan orang-orang berkepentingan dalam masyarakat (penggubal dasar) dan kemudiannya mereka inilah yang membentuk generasi sekarang sehingga anda sendiri boleh menilai wajah dan identiti generasi kelahiran 1990 dan ke atas sekarang.

Jikalau kita jemu dengan berita buang anak hampir setiap hari pada hari ini oleh generasi saya, berita menteri dan bijak pandai rasuah sana sini, berita politikus bercakaran hampir setiap masa dan ketika, berita pelajar cemerlang tetapi rosak moralnya dan pelbagai bentuk berita lain yang memualkan, tidak pernahkah kita bertanyakan soalan – kenapa boleh menjadi begini wajah bangsa Malaysiaku?

Dari faktor inilah, saya merumuskan bahawa, generasi saya sekarang terbentuk dengan wajah sebegini kerana memang kami dibentuk dengan acuan sebegini oleh sistem pendidikan yang bertanggungjawab membentuk kami sejak kami lahir lagi.

Maksud secara jelas ialah, sistem pendidikan yang generasi kami terima dari ibu bapa, guru-guru di sekolah, pensyarah-pensyarah di universiti, pemimpin-pemimpin masyarakat, dan suasana di sekeliling kami membesar inilah yang menjadi tukang ketuk dan bina dalam sistem ini.

Mereka di atas adalah orang yang bertanggungjawab membentuk kami. Saya tidak menyalahkan mereka secara keseluruhan, kerana mereka membentuk kami ini dengan cara seperti itu adalah juga merupakan hasil didikan yang mereka terima.

Dalam hal ini, mereka yang diberi amanah menggubal sistem pendidikan negara adalah bertanggungjawab untuk menjawab persoalan ini. Sudah tentu mereka mempunyai alasan untuk membentuk generasi bangsa Malaysia dengan cara sebegini, samada alasan itu mempunyai kaitan dengan kepentingan periuk nasi mereka atau hayat politik mereka maka hal itu saya serahkan kepada mereka untuk dijawab di hadapan ALLAH kelak.

Cuma, sebagai seorang rakyat Malaysia, saya memandang bahawa perlunya saya menyatakan pandangan dan komentar ini. Mungkin ia sama sekali tidak akan dibaca oleh para menteri (blog sebegini daif, mana mungkin menteri boleh tergugat) atau mereka yang berada di peringkat atasan, tetapi saya optimis bahawa rakan-rakan segenerasi dengan saya yang membaca artikel ini dan memahaminya, maka itu sudah menjadi suatu benih yang cukup baik untuk menimbulkan ketumbukan kesedaran dalam diri generasi akan datang mengenai hal ini.

Kita perlu berusaha mengubah kelaziman sistem pendidikan negara yang tidak mampu membentuk manusia menjadi manusia ini. Wajib untuk rakan-rakan pembaca sedar hakikat bahawa, kita sekarang dibentuk dan dididik adalah untuk memegang amanah membentuk dan mendidik generasi akan datang.

Dalam keadaan kita telah dibentuk dengan acuan yang salah, menjadi suatu produk yang tidak cukup sifatnya, tetiba kita mengharapkan generasi akan datang yang dibentuk oleh kita agar menjadi lebih baik, sudah tentu jawapannya sukar!

Mudahnya, sistem pendidikan sekarang masih gagal membentuk manusia menjadi manusia. Bagi saya, gagalnya sisitem pendidikan maka sudah pasti bangsa tersebut bakal menuju saat kehancurannya. Kerajaan di Putrajaya sekarang begitu berhak dan berkuasa untuk mengkaji dan mengubah kembali hal ini. Ini pilihan yang mereka ada.

Pilihan kami adalah cuma memilih siapa yang bakal menduduki pejabat di Putrajaya itu.

Perubahan Politik Negara – Perubahan Tahap Pemikiran Masyarakat


Saya yakin pasti ada yang tertanya-tanya, kenapa tidak meletakkan perubahan politik itu di tempat yang pertama?

Bagi saya, kerajaan yang sedia ada lebih dari mampu untuk merealisasikan hasrat di atas. Mereka ada kuasa dan diberi amanah untuk membentuk bangsa Malaysia sekarang. Jika mereka benar-benar amanah, sudah pasti mereka akan memikirkan persoalan di atas.

Jika mereka keras kepala, maka pilihan yang kami ada ialah menukarkan mereka dengan orang yang lagi baik untuk berada di tempat itu dan menjalankan amanah ini.

Kenapa Malaysia wajib melalui perubahan suasana politik?

Hal ini berkait rapat dengan tahap pemikiran masyarakat. Jikalau saya diberi peluang untuk migran ke negara lain, maka saya akan memilih negara yang pernah melalui prubahan politiknya secara menyeluruh dan matang. Contoh yang mudah ialah, Jepun dan Korea.

Masyarakat mereka begitu matang dalam hal politik sehingga mereka tidak lansung terkongkong dengan stigma bahawa cuma parti itu sahaja mampu membimbing negara mereka, dan yang lain tidak.

Seingat saya, Jepun mengalami tsunami politik secara besar-besaran dalam 3-4 tahun yang lepas apabila parti yang sudah memerintah negara itu puluhan tahun akhirnya tumbang kepada sebuah parti lain yang membawa harapan baru kepada penduduk negara matahari terbit tersebut.

Mungkin isu yang dihadapi oleh rakyat mereka tidak sama seperti yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Namun, nilai utama di sini ialah mereka berani dan matang dalam membuat keputusan sehingga rakyat Jepun sanggup mengubah kelaziman dengan suatu yang begitu mengejutkan.

Hal ini jelas menggambarkan tahap pemikiran rakyat mereka jauh lebih matang dan mereka memahami konsep patriotik secara jelas. Begitu juga hal yang berlaku di Taiwan dan Korea Selatan.

Maka, rakyat mereka tidak akan senang dikongkong dan ditipu oleh pemerintah. Mereka yakin dengan kuasa mereka sebagai rakyat yang berhak memilih siapa pemimpin mereka.Berbanding di Malaysia, kita masih tidak dapat mengelak dari stigma bahawa, dulu kini dan selamanya hanyalah UMNO/BN sahaja mampu menyelamatkan bangsa Malaysia.

Ini yang menjadi barah dalam masyarakat terutamanya kepada lapisan yang tidak mampu untuk mencapai maklumat dalam pelbagai isu secara tepat. Mudahnya mereka di felda-felda dan pedalaman masih kuat memegang stigma ini.

Saya tidak mengatakan semua dari mereka masih berkeadaan sebegitu, cuma sebahagian besarnya adalah begitu. Maka tidak hairanlah kenapa UMNO/BN masih mengharapkan felda-felda sebagai kubu kuat mereka untuk meraih undi dalm pilihan raya.

Berbanding di kawasan yang mempunyai akses maklumat secara meluas, kebanyakan rakyat Malaysia di kawasan-kawasan bandar sudah berani mengubah kelaziman ini. Buktinya, PRU-12 jeas menunjukkan UMNO/BN tergugat di kawasan-kawasan bandar.

Namun begitu, hal ini sepatutnya tidak menyebabkan Pakatan Rakyat merasa selesa kerana tugas menjernihkan stigma ketakutan kepada perubahan ini wajib terus dilaksanakan demi mencapai cita-cita berlakunya perubahan politik secara menyeluruh di Malaysia.

Saya sendiri kecewa, dengan kenyataan berupa ketakutan yang tidak berasas oleh rakan-rakan saya berkenaan dengan “ruler party”, kedudukan Islam dan orang Melayu, Cina menguasai politik, dan sebagainya yang asalnya merupakan kesan daripada didikan yang mereka terima bahawa cuma UMNO/BN sahaja yang terbaik dulu kini dan selamanya.

Jikalau masyarakat Malaysia ingin melihat bangsa ini terus maju ke hadapan, adalah menjadi kewajipan untuk kita menghapuskan stigma ini dan melakukan sebuah perubahan politik secara besar-besaran dengan harapan ini akan membuka minda sesetengah rakyat yang masih terkongkong pemikiran mereka dengan ketakutan-ketakutan tersebut.

Secara asasnya, hal ini juga merupakan kesan daripada sistem pendidikan di Malaysia yang tidak pernah berhasrat melahirkan warga yang benar-benar matang politiknya secara jujur. Maka, untuk mencapai taraf yang lebih baik dan melihat negara dan bangsa Malaysia semakin maju, maka mereka perlu berani melakukan perubahan ini.

Media Yang Membina, Bukan Meruntuhkan


Kekadang, masyarakat boleh berubah kerana peranan yang media mainkan secara progresif dan konsisten. Peranan media adalah untuk membentuk suasana dalam masyarakat. Jika media sifatnya membina, maka masyarakat yang positif akan terbina.

Namun, jika medianya bersifat meruntuhkan, maka masyarakat pasti akan runtuh sepertimana yang ditunjuk oleh media tersebut.

Media juga merupakan medan pendidikan kepada masyarakat, malah mungkin memainkan peranan besar dalam membentuk rakyat Malaysia selama 54 tahun kemerdekaan ini. Jika kita merenung kembali mengenai peranan media di Malaysia, kita akan dapati bahawa wajah generasi Malaysia menjadi sebegini adalah kerana peranan yang dimainkan oleh media selama ini.

Saya ada menulis mengenai media di Malaysia semasa memberi komentar mengenai isu iklan Ramadan 8TV tahun lepas, iaitu perlunya media di Malaysia bergerak ke hadapan mengubah paradigma yang menyelubungi mereka selama ini.

Dalam artikel tersebut, saya mempertegaskan bahawa media Malaysia cuma menjadi alat propaganda sesetengah pihak berbanding mereka cuba berperanan mendidik masyarakat melalui penyiaran mereka. Sambil mengambil kira faktor tekanan politik, saya merumuskan bahawa inilah rupa media di Malaysia yang begitu meruntuhkan masyarakat.

Dalam pemerhatian saya terhadap rakan-rakan di kampus dan corak penyiaran media di Malaysia, saya merasa bimbang dengan generasi saya yang bakal memegang amanah kepimpinan masa hadapan dibentuk dengan cara sebegini. Ia seolah-olah telah menjadi suatu ukiran kekal bahawa anak-anak muda atau remaja di Malaysia pada waktu sekarang begitu mandul dalam mengambil tahu tentang isu yang kritikal dan berat yang sedang berlaku berbanding mereka lebih senang terbuai-buai dengan isu-isu sensasi seperti gosip artis, sukan, filem bapa rogol anak, bola sepak dan pelbagai lagi.

Ini hakikat yang mungkin menteri penerangan pun tidak sedar. Media di Malaysia telah berperanan mendidik masyarakat di negara ini supaya suka dan terbiasa dengan isu-isu sensasi yang akhirnya menyebabkan generasi kami terutamanya gagal untuk bertindak secara efektif sebagai warganegara yang demokratik dalam apa jua isu lain yang lebih kritikal.

Walaupun mereka berada di kampus-kampus pengajian yang di atas bahu mereka sudah jelas bebanan amanah untuk membentuk generasi selepas mereka, namun lansung tiada kesedaran dalam diri mereka untuk mengambil tahu isu-isu yang lebih kritkal dan berkait rapat dengan pembentukan generasi akan datang untuk dibicarakan berbanding lebih mudah bersenang-lenang dengan isu-isu sensasi.

Saya tidak akan salahkan mereka, kerana setiap pagi apabila mereka menyelak halaman surat khabar sudah pasti mereka akan membaca tajuk berita utama yang kebanyakannya berbunyi, “Artis A Kahwin Lari Di Siam”, “Bapa Bersifat Iblis Rogol Anak Gadisnya”, “Angkara Cinta Terlarang, Artis Bunuh Diri” dan pelbagai lagi tajuk berita yang begitu memualkan!

Maka, suasana media yang sebegini kah yang mahu kita harapkan demi membentuk jiwa generasi di Malaysia?

Sampai bila hal ini mahu diteruskan oleh pengamal-pengamal media di Malaysia?

Tidakkah mereka memikirkan tentang kesan negatif yang begitu dahsyat akibat penularan paradigma sebegini terhadap seluruh bangsa ini?

Maka tidak hairanlah ramai rakan-rakan saya di kampus, juga di halaman sosial seperti Twitter, blog dan Facebook lebih selesa mengisi masa mereka dengan perbincangan isu-isu yang sensasi dan remeh-temeh sebegini.

Timbul persoalan dalam benak saya, mampu kah generasi saya yang terbiasa dengan keadaan ini mahu mengambil alih tampuk amanah mentadbir negara pada masa hadapan dan menjadi lebih baik dari sekarang jika hal ini berterusan.

Rakan saya yang belajar di UK memberitahu, sebelum dia pulang ke tanah air selepas tamat pengajian, antara perkara yang dia lakukan ialah dia menyusun dan mengumpulkan surat khabar di sana menjadi bahan rujukan atau “buku teks” kerana isi kandungan akhbar berkenaan yang begitu analitis dan berfakta.

Hampir keseluruhan akhbar berkenaan menyiarkan artikel yang berkualiti, membicarakan isu-isu kenegaraan secara kritikal, menyiarkan komentar kolumnis yang berwibawa, dengan cuma memberi ruang yang sedikit untuk isu-isu hiburan semasa dan memberi maklumat secara jujur kepada pembaca. Ini yang diperkatakan oleh rakan saya, kini dia sedang menjawat jawatan peguam di sebuah firma di Malaysia.

Hari demi hari, tahun demi tahun, dekad demi dekad masyarakat di UK dibiasakan minda dan pembacaan mereka dengan suasana media sebegini. Dan kita melihat hasilnya sekarang yang mungkin menerbitkan perasaan cemburu dalam hati kita kepada mereka.

Begitu juga dalam hal penghasilan filem, drama, majalah, dan pelbagai lagi bentuk media, Malaysia perlu mengubah hakikat ini.

Saya mempersoalkan kenapa Filem Gadoh (2009) diharamkan penyiarannya secara rasmi sedangkan filem berkenaan begitu bagus dan penuh dengan nilai mendidik masyarakat Malaysia. Jikalau pihak kerajaan memberi alasan filem tersebut diharamkan kerana penggunaan dialog yang kasar dan berterus terang, saya ingin bertanyakan pula apakah babak-babak ranjang dalam Ombak Rindu dan pelbagai filem Melayu sebelum ini begitu baik nilainya untuk tontonan umum?

Atau filem itu diharamkan semata-mata filem tersebut membawa idea bahawa kesilapan terbesar dalam proses pembentukan pelajar di sekolah adalah SISTEM yang menyebabkan semangat perkauman begitu tinggi, pergaduhan antara para pendidik dan sebagainya.

Secara halusnya, filem tersebut dianggap mengkritik kerajaan. Maka saksikanlah kejujuran media di Malaysia yang cuma menjadi medan mengaut keuntungan dan menjaga kepentingan politik sesetengah pihak.

Maka, lahirlah generasi Malaysia sepertimana yang kita saksikan di kampus-kampus, kampung, jalan raya, pusat serenti, pasar raya dan sebagainya.

Jika masyarakat Malaysia mahu melihat generasi ini berubah, maka lihat dulu bagaiman rupa media kita.

Bulatkan Tekad, Pilihan Di Tangan Kita


Pilihan di tangan kita. Saya cuma mengutarakan 3 perkara utama ini sebagai pemain utama yang perlu diubah oleh semua rakyat Malaysia sekiranya kita bercita-cita mahu melihat generasi akan datang yang lahir di tanah bekas jajahan British ini akan terus mampu mandiri dengan jati diri, budaya dan sahsiah yang begitu tinggi.

Kalau kita menghisab nya secara teliti, sudah pasti pelbagai masalah lagi yang perlu diubah. Itu tidak dinafikan. Namun, perlu kita sedar bahawa bukan semua perubahan yang kita harapkan dapat dilaksanakan dalam sekelip mata.

Dalam perbincangan ini, tiada istilah silap mata. Masing-masing perlu berperanan secara progresif menimbulkan kesedaran demi cita-cita Malaysia lebih baik pada masa akan datang. Kerana itulah saya meletakkan tempoh selama 10 tahun dari sekarang untuk melihat perubahan ini benar-benar berlaku.

Kerajaan yang sedia ada sekarang, lebih dari mampu untuk melaksanakan perubahan-perubahan di atas, Maka, ini juga merupakan teguran kami di peringkat rakyat terhadap kepimpinan negara ini.

Kalian punya kuasa untuk mengubahnya menjadi lebih baik. Kalian diberi amanah mentadbir dan membentuk kami di peringkat rakyat untuk menjadi manusia yang bersifat seperti manusia.

Tugas kami yang kalian sedia maklum, ialah memilih siapa yang berhak untuk berada di Putrajaya. Jika kalian enggan mengubah keadaan, kami bersedia mengubah kalian dengan orang yang lagi beramanah untuk mengubah keadaan masyarakat sekarang.

Dalam isu ini, saya tidak akan mengajak pembaca untuk menyokong sesiapa baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Buatlah pilihan sendiri secara bijak. Namun, saya masih yakin bahawa, PR adalah pilihan yang lagi baik untuk rakyat Malaysia pada PRU-13 daripada BN.

Namun itu tidak bermakna mereka adalah yang terbaik!

Cuma, di peringkat kita teruskanlah usaha memberi kefahaman dan pencerahan kepada masyarakat di luar sana. Itu tanggungjawab hakiki. Seperti saya katakan di atas, perkara ini tiada istilah silap mata di dalamnya. Ia merupakan suatu proses, sudah tentu ianya akan memakan suatu tempoh masa yang lama.

Wallahualam.

-------
Artikel ini disiarkan oleh HarakahDaily pada 24 Januari 2012.

Tuesday, January 3, 2012

Bagaimana Umat Malaysia Memandang Isu Amalina Che Bakri?

Mungkin ini ulangan kepada apa yang saya utarakan dalam laman Twitter. Saya merasakan perkara ini perlu diberi perhatian agar masyarakat faham apa yang sepatutnya mereka faham. Dalam isu ini, perkara pokok ialah salah siapa.

Sebelum pergi jauh, saya suka untuk perjelaskan tentang konsep adil dalam menghukum dan persepsi pada sesuatu. Adil dalam Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Maka, wajib pada setiap mereka yang mahu mengomel dalam isu ini supaya faham tentang konsep adil dalam menghukum.

Pertamanya, Islam mengajar untuk kita menutup kesalahan orang lain seboleh yang mungkin kerana bimbang ianya bakap menimbulkan fitnah berbanding memberi kefahaman kepada orang lain. Tapi bukan semua kesalahan tidak boleh kita bongkar dan sebarkan.

Dalam kes Amalina, ya mungkin pada penilaian kita ianya salah. Namun, kita tiada hak untuk menyebarkan kesalahan itu. Saya tak pasti samada dengan alsan untuk dijadikan iktibar, ianya dibolehkan oleh agama ataupun tidak.

Tapi, Al-Iman Al-Ghazali menyebut, kesalahan dan kemungkaran yang dibolehkan untuk kita sebar dan hebahkan kepada masyarakat ialah kemungkaran yang melibatkan kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

Contohnya, apabila ada seorang pemimpin yang didapati mengambil rasuah, maka wajib untuk disebarkan sebagai peringatan kepada rakyat bahawa dia sudah tidak lagi layak menjadi pemimpin dan wajib untuk turunkan dia dari pangkat itu.

Kerana si pemimpin terbabit telah melakukan suatu kesalahan yang membabitkan kepentingan orang ramai. Dia menyalahgunakan wang orang ramai. Maka, wajib untuk kita sebarkan kesalahan dan kemungkaran yang peminpin itu lakukan.

Berbalik kepada kes Amalina, mengambil iktibar adalah wajib tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menghalalkan sumpah seranah kepada dia.

Islam menyuruh kita menjadi “busy body” kerana itulah konsep ukhwah dalam Islam. Cubit peha kanan, peha kiri terasa. Akan tetapi Islam turut menyebut lunas dan sempadan dalam menjadi “busy body”.

Saranan saya, adalah 1000x lebih baik jikalau kalian yang suka untuk menasihati dia, dengan menghantar nasihat kepadanya secara hikmah melalui FB sebagai contoh. Zaman moden bukan?

Pandang Isu Secara Objektif


Fitrah manusia tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Beriman manapun seseorang itu, pasti dan pasti akan terlekat juga dosa pada diri dia setiap hari. Siapa berani jamin yang dirinya tidak dihinggapi dosa pada hari ini?

Maka saya suka untuk mengajak rakan-rakan pembaca untuk kita memandang isu ini secara objektif. Kita berdentum pasal Amalina, bagaiman pula dengan isu-isu lain yang lebih jauh lagi besar kepentingannya untuk masyarakat tahu kebenarannya dan diambil iktibar?

Bagaimana dengan isu rasuah pemimpin negara, isu sistem pendidkan yang tunggang terbalik, isu ancaman akidah dalam negara yang didalangi oleh pemimpin negara sendiri, isu masalah sosial yang tidak pernah mendapat perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab, isu hak-hak mahasiswa tertindas, isu konkongan terhadap kebebasan akademik dan isu-isu lain yang 10000x ganda lebih penting untuk diperdebatkan dan dibahaskan oleh rakyat?

Kenapa perlu pandang isu ini berbanding isu Amalina Che Bakri?

Kenapa perlu “trending” kan isu ini berbanding sibuk dengan isu-isu di atas?

Pernah atau tidak kita terfikir, sebab Amalina dan Alif Alfian jadi seperti itu adalah kerana salah sistem pendidikan yang tunggang terbalik dan cuma mampu melahirkan modal insan yang berkiblatkan sijil dan CGPA sahaja.

Cuba kita muhasabah sejenak, dari sisi manakah sistem pendidikan Malaysia sedia ada cuba untuk memandu rakyat kenal ALLAH, kenal Akhirat?

Bagaimana pula dengan kerajaan yang ditugaskan untuk menggubal dasar pendidkan ini?

Apakah tidak perlu kita letakkan kerajaan sebagai subjek utama dalam kes ini berbanding kita cuma pandai memandang batang tubuh Amalina Che Bakri sebagai subjek utama sahaja?

Ya, salah dia itu memang salah dia. Tetapi, alasan itu tak mampu untuk menutup siapakah yang sebenarnya wajib bertanggungjawab dalam isu ini!

Kerajaan Wajib Bertanggungjawab


Kenapa kerajaan?

Mungkin akan ada pembaca yang akan menjerit, “Kau ini tidak habis-habis menyalahkan kerajaan. Dalam isu Amalina pun kau salahkan kerajaan!”

Ya, kerajaan wajib bertanggungjawab dalam isu ini. Begitu juga isu Alif Alfian.

Percaya atau tidak, terjaminnya akidah setiap jiwa yang mengaku Islam dalam negara Malaysia ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk pastikan ianya terselamat dan terjamin sehingga matinya dia sebagai seorang Islam.

Susah? Sukar?

Kalaulah memimpin negara itu mudahnya seperti makan kacang, sudah pasti Umar Al-Khattab tidak akan menangis setiap malam memikirkan nasibnya di Akhirat kelak jikalau ada salah seorang rakyatnya melakukan maksiat!

Ini bukan soal politik. Ini adalah soal fiqh daulah (pemerintahan). Mengelak untuk membicarakan sisi ini dalam isu Amalina ini, maka dimanakah penyelesaian yang mahu kita cari itu akan mampu diperolehi?

Takdir kalaulah si Perdana Menteri itu adalah bapa kandung saya sendiri, maka pasti saya akan mengatakan perkara yang sama kepada dia.

Saya pulangkan isu ini kepada pihak pemerintah di Putrajaya. Apakah tindakan mereka sebagai pihak yang berkuasa?

ALLAH memberi amanah itu kepada mereka. Maka, cukupkah amanah itu cuma pada kata-kata sahaja?

Apakah mereka yang diberi amanah memimpin negara tidak berhak untuk menghalang kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat Malaysia?

Mari kita insafi, kisah Khalifah Harun Al-Rasyid (betulkan saya jika kisah ini ada kesilapan) yang telah menghantar sebatalion tentera Islam bagi menyelamatkan seorang perempuan yang beragama Islam yang telah dicabul kehormatannya di negara luar. Kata kunci di sini ialah, tanggungjawab seorang ketua negara menjaga maruah rakyatnya sehimgga diambil keputusan sedemikian rupa.

Sistem Pendidikan Memerlukan Rejuvenisasi Segera


Pernahkah kita merasa “something wrong” dalam sistem pendidikan (tarbiyyah) di Malaysia yang memaksa seorang kanak-kanak bermula umur 6 tahun sehingga menjengah umur remaja, 17 tahun mendekam di sekolah atas nama mendapat didikan?

Rasanya tidak salah jika saya menelah bahawa sistem pendidikan Malaysia adakah tidak lain cuma sekadar mahu melahirkan seorang rakyat yang boleh bekerja setelah mendapat sijil. Matlamat ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah adlah tidak lain iaitu masa depan mereka terjamin dengan adanya pekerjaan tetap.

Itu sahaja.

Saya berani jamin tidak ramai ibu bapa yang mampu berfikir lebih jauh daripada impian di atas ketika menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Hari ini, cuma tanya kepada mereka yang mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah apakah yang mereka mahu lihat dari anak mereka setelah lulus dari sekolah tersebut?

Di manakah silapnya?

Bukankah sistem pendidikan atau tarbiyyah itu tujuannya mahu memanusiakan manusia?

Tidak kiralah dari aliran apapun sekolah tersebut samada sains, agama atau sebagainya, adakah kita nampak obejktif ini tercapai?

Bukankah isu di atas juga sudah jelas membuktikan sistem pendidikan kita masih gagal?

Ya, kita memerlukan rejuvenisasi yang segera terhadap sistem pendidikan di Malaysia. Saya memuji langkah ibu bapa yang cuba sedaya upaya mencari alternatif sistem pendidikan buat kepada anak-anak mereka yang benar-benar mampu membentuk anak-anak mereka.

Akan tetapi, bukanlah semua ibu bapa mempunyai kemampuan kewangan untuk mencari alternatif tersebut. Mungkin segelintir daripada mereka sahaja mampu berbuat demikian. Maka, di sinilah tanggungjawab kerajaan untuk mengkaji dan membuat perubahan segera dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Saya ulangi, ini amanah yang kerajaan pikul untuk membentuk dasar-dasar yang mampu membina jatidiri dan modal insan yang sempurna sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam demi masa depan generasi akan datang.

Atau ini tanggungjawab pak imam di kampung untuk menggubal dasar-dasar negara?

Seruan Perubahan Itu Makin Kuat!


Kepada mereka yang telah menyebarkan berita Amalina, sedarlah sebaran itu akan cuma tinggal sebaran sahaja. Ianya tidak akan mampu mengubah apa-apa pun yang telah terjadi. Malah, jika kita cuba untuk memberi peratusan positif hasil sebaran itu, rasanya susah untuk kita mendapat skala peratusan yang besar.

Inilah masanya untuk kita lakukan sesuatu. Marilah kita berani berimpian melihat sebuah perubahan di Malaysia. Mereka di kabinet menteri, harus sedar kerusi itu bukan selamanya untuk mereka.

Jika mereka tidak berani melakukan sebarang perubahan, maka tunggulah saatnya kami akan mengubah anda dengan orang yang lebih baik untuk berada di posisi itu!

Demi anak cucu kita akan datang, marilah kita fikirkan ini bersama wahai rakan-rakanku!

NOTA: Tulisan ini tidak lagi mewakili sikap penulis pada hari ini. Justeru, pembaca harus menanggapi tulisan ini tidak lebih dari sekadar arkib penulisan blog Time To Change semata-mata. Sebarang usaha ulang siar tulisan ini ke mana-mana media adalah dilarang sama sekali.