Tuesday, July 12, 2011

Tulusnya Hatimu Wahai Teacher Sally Sombutruk!


Shell Eco-marathon Asia 2011 bukan sahaja menjanjikan kelelahan yang tidak terhingga kepada otak dan jiwa ku, tetapi turut memberi peluang kepada aku untuk mengenal peribadi seorang wanita yang cukup mulia pada pandangan aku lantaran sikap dedikasi nya dalam membimbing anak-anak didiknya menghadapi kejohanan serba lelah itu.

Sally Sombutruk, penasihat kepada kumpulan P.K. Evolution dari Thailand cukup istimewa di mata ku. Seorang wanita yang cukup tabah dan cekal semata-mata mahu menunaikan hasrat berkobar-kobar sekumpulan pelajar sekolah menengah untuk bertanding di peringkat Asia dalam Shell Eco-marathon Asia 2011 yang lepas.

Di Litar Sepang, garaj kumpulan kami cuma bersebelahan dengan kumpulan P.K. Evolution. Malah kami bertanding dalam kategori yang sama. Keadaan ini menjadikan kami pada mulanya cuma berbalas senyuman, kemudian semakin erat terutamanya apabila kumpulan P.K. Evolution menghadapi masalah untuk melepasi pemeriksaan kereta sebelum layak berlumba di dalam litar.

Di sini, terbukti sikap dedikasi nya sebagai seorang guru kepada sekumpulan remaja yang berumur rata-rata 16 tahun apabila sanggup bersusah payah memulihkan masalah tersebut sehingga lewat malam.
Semangatnya tidak luntur. Bahkan, itu adalah hari ketiga sebelum menghadapi hari terakhir kejohanan pada keesokannya.

Jika dihitung pada perkiraan realiti, pastinya lebih baik untuk dia dan pasukannya tidak membazir tenaga dan wang kerana sudah tahu siapakah pemenangnya dalam kategori itu.
“Saya bukan mahukan kemenangan dalam kejohanan ini. Saya cuma mahu anak murid saya dapat menyaksikan kereta ini bergerak dalam Litar Sepang dengan jayanya. Mereka telah memberi hampir seluruh kehidupan mereka terhadap kereta ini dan saya sebagai gurunya, wajib memastikan harapan mereka itu tertunai. Jika harapan ini tertunai, itu sudah cukup memuaskan hati saya sebagai guru mereka.”
Cikgu itu terus bercerita bagaimana dia membentuk kumpulan tersebut. Bermula apabila sekumpulan pelajar Pakkred Secondary School yang datang bertemu dengannya meminta untuk dia menjadi penasihat dan pembimbing mereka bagi menyertai Shell Eco-marathon Asia edisi 2011 di Sepang.
“Mereka datang beramai-ramai menemui saya dan meminta saya menjadi penasihat mereka. Pada mulanya saya menolak, tapi apabila mereka tidak berhenti-henti memujuk saya, saya bersetuju. Tujuan saya cuma mahu melihat generasi muda Thailand seperti mereka terus bersemangat untuk menerokai perkembangan dunia permotoran sekarang. Saya mempunyai banyak jaringan rakan yang baik serta begitu mudah untuk menolong saya apabila saya meminta bantuan. Malah mereka menawarkan saya pelbagai bantuan apabila mengetahui bahawa saya akan membimbing sekumpulan pelajar sekolah menengah untuk bertanding dalam Shell Eco-marathon Asia 2011.”
Aku cukup tersentuh apabila dia menceritakan bagaimana dia memulakan cabaran membimbing sekumpulan pelajar sekolah menengah untuk menghadapi sebuah kejohanan yang rata-rata disertai oleh mahasiswa-mahasiswa di seluruh universiti di Asia.
“Mereka cuma pelajar sekolah menengah. Amat jauh sekali untuk dibandingkan dengan kamu semua yang belajar di universiti dan mengambil kursus kejuruteraan. Tapi pelajar saya mempunyai semangat yang luar biasa. Saya mengajar mereka bermula dengan kosong. Mereka tidak pernah belajar dalam kelas tentang bagaimana mahu membina sebuah kereta dengan lengkap dan mampu beroperasi di atas litar dengan jayanya.”
“Permulaannya, saya membimbing mereka dan mengajar bagaimana untuk melukis dan melakar reka bentuk kereta yang mereka mahukan. Saya mengajar satu persatu kerana saya faham mereka tidak pernah diajarkan perkara ini di dalam kelas. Kemudian saya membawa pelajar-pelajar ini bertemu dengan rakan saya bagi mempelajari proses membina badan kereta sepertimana industri kereta lakukan. Namun malangnya, rakan saya itu meninggal sebelum dia sempat mengajarkan teknik yang betul membina sebuah kereta dengan menggunakan acuan tanah liat. Namun saya teruskan juga perancangan itu dan mengajar sendiri proses pembuatan kereta itu.”
Kumpulan P.K. Evolution tidaklah mempunyai ahli seramai kami di UKM. Malah mereka cuma mempunyai 2 orang guru yang membimbing mereka. Dan yang paling mengharukan, salah seorang ahlinya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menggunakan sepenuhnya kerusi roda untuk bergerak. Akan tetapi, semangat mereka amat luar biasa.
“Ibu bapa mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menjaga anak-anak mereka. Hampir setahun, saya menjaga mereka dan mendidik mereka dengan ilmu yang tidak dapat mereka pelajari di sekolah biasa. Setiap hari selepas selesai kerja sekitar pukul 3-4 pagi, saya akan menghantar mereka pulang ke rumah dengan selamat menggunakan kereta saya seorang demi seorang. Saya lakukan ini kerana saya tahu ibu bapa mereka amat mempercayai saya untuk menjaga anak-anak mereka. Mereka turut sanggup melepaskan anak-anak mereka bersama saya datang ke Malaysia hari ini.”
Ceritanya yang membuatkan aku hampir menangis di hadapan beliau ialah bagaimana permintaan beliau telah diambil mudah oleh pihak yang membekalkan sistem kereta fuel sel kepada beliau dengan membekalkan sistem yang serba tidak lengkap.

Akibatnya, pasukan P.K. Evolution telah menghadapi masalah yang cukup serius di Litar Sepang. Pelbagai komponen dalam sistem yang dibelinya tidak dibekalkan secara jujur oleh pihak yang bertanggungjawab di sana telah menyebabkan pasukannya menghadapi kesusahan ketika melalui proses pemeriksaan kereta oleh pihak Shell.


Dia menggunakan duitnya sendiri untuk membina pasukan itu. Hanya beberapa komponen sahaja dibayar menggunakan duit pengetua sekolah itu.

Dia telah puas dan jenuh bertanyakan pihak yang membekalkan sistem tersebut tentang perkara-perkara yang merunsingkannya, namun jawapan yang diterimanya adalah negatif. Namun alhamdulillah, di Sepang kumpulannya telah mendapat perhatian oleh semua pihak yang bersimpati. UiTM, antara kumpulan pelajar yang begitu mulia menawarkan bantuan kepada mereka. Malah, UiTM turut membantu kumpulan kami bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Saya faham, apa yang Shell mahukan ialah kami datang dengan selamat dan pulang dengan selamat. Mereka tidak membenarkan kami sebegitu mudah dalam proses pemeriksaan kerana masalah keselamatan. Tapi, saya amat mahukan agar pelajar-pelajar saya dapat menyaksikan kereta ini dapat bergerak di atas litar.”
Ya, akhirnya kereta itu berjaya melepasi proses pemeriksaan. Walaupun hari sudah tiba di penghujung kejohanan, namun P.K. Evolution dan pastinya Teacher Sally Sombutruk tersenyum girang nan lebar apabila menyaksikan kereta hijau nya itu bergerak di atas Litar Sepang.

Sungguh cekal dan tabah hati wanita mu itu wahai Teacher Sally Sombutruk!

Usaha mu tidak sia-sia. Harapan mu nyata dimakbulkan Tuhan.

Dia begitu puas melihat anak-anak generasi mudanya tersenyum dan puas melalui pelbagai cabaran dalam kejohanan ini.

Dia kelihatan begitu gembira menyaksikan anak didiknya dapat mempelajari sesuatu yang lain daripada apa yang mereka dapat dalam kelas pembelajaran di sekolah mereka.

Apa yang pasti, dia begitu puas melihat generasi muda Thailand yang bakal menakluki kedudukan penggubal dasar negaranya pada masa hadapan begitu luar biasa semangatnya untuk menyertai sebuah kejohanan yang dipenuhi mahasiswa-mahasiswa universiti Asia tanpa rasa takut dan gentar!

Dan pastinya aku tidak akan dapat melupai kisah seorang guru yang begitu tabah dan berdedikasi, mendidik pelajarnya bermula dari kosong, mengorbankan wang kepunyaannya tanpa sebarang sokongan tajaan dan mampu keluar dari Litar Sepang dengan penuh kegirangan dan senyuman yang melebar.

Dia membuktikan bahawa guru itu mampu menjadi seorang pendidik yang baik.

Dia membuktikan bahawa guru itu mampu memberikan sepenuh kepercayaan kepada pelajarnya tanpa rasa prejudis.

Dan, dia membuktikan bahawa dia bukanlah seorang yang laparkan kemenangan namun dia cuma berusaha sedaya mungkin bagi memenuhi harapan anak-anak didiknya.

Terima kasih Teacher Sally Sombutruk, kerana telah mengajarkan aku suatu pengajaran kehidupan yang cukup bernilai.

Aku menukilkan artikel ini, dedikasi khas buat pendidik tegar itu Sally Sombutruk. Agar menjadi inspirasi buat setiap insan yang bercita-cita mahu menjadi pendidik generasi mudanya.

Monday, July 11, 2011

Aksara Sebuah Pejalanan Hidup


Alhamdulillah, aku memulakan sedikit coretan pada malam ini tika rancak dalam persiapan menghadapi Shell Eco Marathon Asia 2011 bermula esok. Mungkin ini waktu paling sesuai untuk menulis sedikit, moga dapat mengubat rindu mengait butang-butang abjad pada laptop lusuh ku ini membentuk kalimah demi kalimah.

Ya, sudah lama aku tidak merasai roh mencoret dan membebel seorang diri dalam blog. Semalam hasil usaha kami selama hampir 2 bulan di sebuah kilang membina kapal telah selamat tiba di UKM. Mungkin ada antara kalian yang pernah membaca diari sepanjang aku di sana dalam blog Little Horseman sebelum ini. Itu ketentuan Tuhan yang Esa. Dia mengatur segala-galanya. Cuma tinggal aku untuk percaya atau tidak, pada suatu ketetapan yang pasti ada 1000 kebaikan di sebaliknya.

Di Melaka, doa ku dimakbulkan ALLAH. Untuk belajar dan terus belajar menjadi hamba Dia yang serba taat. Kadang kala gagal itu lebih banyak peratusannya berbanding lawannya. Tinggal sebumbung dengan rakan-rakan bukan Islam, sebuah nikmat yang wajib aku syukuri.

Masya-Allah, kadang kala mereka yang bukan Islam itulah mengajar aku tentang nikmatnya menjadi seorang yang mengakui tiada tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad SAW itu pesuruh-Nya.

Mungkin sesetengah daripada kalian skeptikal pada tulisan ini, namun itulah hakikatnya. Aku berterima kasih kerana mereka mengajarkan aku menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

Saat-saat begitu, telah menginsafkan aku betapa Muhammad SAW begitu memuliakan jiran-jiran Yahudi nya, musuh-musuh tawanan perang dan pemuda-pemuda Badwi yang belum mengenal cahaya Tuhan.

Cukup sebuah sketsa kehidupan, sepanjang di Melaka untuk aku mengenali ukiran sebenar hati manusia. Kadang-kala aku terduduk dengan sendirinya, sedih dan patah hati apabila melihat sendiri ukiran hati itu.

Ini kah ukiran yang Muhammad SAW mengajar kami sehingga penuh kasutnya dengan darah dilontar batu?

Mahu menyahut untuk membetulkan, ya ALLAH ampuni lah aku kerna aku tidak punya kekuatan. Maafkanlah aku sahabat. Mulut ini hanya mampu bermonolog sendirian, bila mengenangkan babak demi babak sepanjang bergelumang di sana.

Namun begitu, optimis aku akan hikmah segala yang berlaku itu. Seperti yang aku tulis di atas, hanya Dia mengetahui segalanya kenapa begini dunia ini berputar selama 2 bulan aku di Melaka. OK, cukup sekadar itu celoteh kecil ku.

Bekerja di sebuah kilang pembuatan yang menghasilkan kapal-kapal besar merupakan sesuatu yang cukup baru dan menarik untuk aku. Malah aku cukup yakin bukan semua orang dapat merasai pengalaman yang sama.

Letih dan menyakitkan memang perkara biasa, tapi itulah ramuan utama untuk membuka mata aku dan memikirkan sesuatu yang berlainan perspektifnya. DK Composites dan Melaka, dua tempat yang banyak mengajar aku akan sebuah kehidupan.

Alhamdulillah, merasai kehidupan seorang pekerja kilang yang dibayar gaji dalam nilai yang sebegitu rendah biarpun mereka memerah keringat dari seawal pukul 8 pagi sehingga 11 malam setiap hari dengan kerja-kerja yang boleh memendekkan jangka hayat kesihatan mereka, itu merupakan sesuatu yang cukup berharga.

Merasai keadaan ini, aku mengakui benarlah kata blogger Hisyam Rais, betapa pada akhirnya setiap pertembungan dalam kehidupan ini berbalik kepada kasta dan taraf kehidupan seseorang manusia itu.

Pertembungan politik, kepentingan peribadi, agama, ras, ideologi dan sebagainya adalah akhirnya berlutut di bawah kasta mereka berada. Masing-masing akan cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Seperti di kilang, kadang-kala hati aku terusik melihat kegagalan syarikat menguruskan “natural humankind” ke atas setiap pekerja mereka.

Ya malang sekali, bila manusia gagal memahami ukiran sempurna yang telah diajarkan Muhammad SAW kepada kita. Kadang kala manusia cuba membantah ukiran tersebut, dengan cuba membina ukiran sendiri. Sumpah penuh dengan cacat celanya.

Menyakitkan segala pandangan yang melihat.

Begitulah dunia ini bergerak. Tapi apa yang harus aku buat?

Teruskan kehidupan, berusaha sedaya mungkin, kuatkan semangat insya-Allah pasti ada imbalan nya kemudian.

10 Julai 2011

Hari ini, aku meneruskan coretan yang telah tergantung selama beberapa hari akibat sibuk bermain dengan lelah di Litar Sepang. Alhamdulillah, Ferrari kami telah berjaya menakluki Litar Sepang dengan bergaya sekali.

Terima kasih Tuhan, kerna mentakdirkan aku berada bersama-sama rakan-rakan Kencana Gen2. Begitu banyak pengajaran yang aku perolehi dari kejohanan serba lelah ini.

Mungkin jika bukan kelelahan ini, aku tidak mengenali Marvin, Bernard, Sean Ooi, Daniel, Soon Yong, Hui Yi, Boon Siang dan Thomas.

Dan juga mungkin aku tidak dapat mengenal siapa sebenarnya Rashdan, Meor, Hafiez, Khoiri, Syazwan dan Hafiz.

Tapi yang paling pasti ialah, aku amat berbangga dan bersyukur menjadi sahabat kalian!

Moga persahabatan ini kekal selamanya.

Kita cuma merancang, namun Tuhan lebih mengetahui yang terbaik untuk kita semua.

Ini cuma titipan aksara sebuah perjalanan hidup, moga ianya diberkati tuhan.