Tuesday, August 2, 2011

Malam Pertama Ramaḍān 1432H

Semalam, aku menyambut kedatangan Ramadan dengan menyebut beberapa kali “esok raya” kepada ayah aku ketika berbual dengannya melalui telefon. Cepatnya raya, sedangkan malam tadi masjid masih lagi menangis dengan kepungan manusia yang datang mencari tarawih malam pertama dengan harapan menggunung aku semoga kebanjiran ini berterusan selama 30 hari lamanya.

Di Malaysia, perkara sebegitu tidak pelik. Suasana dan ragam malam pertama Ramadan. Usai 15 hari pertama Ramadhan, masjid sudah tidak lagi dikepung manusia dan kenderaan pelbagai ragam.

Malam pertama, aku ke Masjid Besi sambil menghebohkan kepada orang ramai dalam twitter aku. Eh, itu riya’. Sempat juga aku menguji ketahanan lutut aku untuk bertahan sehingga rakaat ke-8 tarawih sebelum menyerah kalah kepada panggilan moreh yang disajikan dengan puding jagung dan kopi panas. Ramai manusia, tersangat ramai. Kadangkala suara imam tarawih tenggelam dengan bual bicara manusia yang melepak sambil mengunyah puding jagung di tepian kolam masjid.

Itu aku belum bercerita kan lagi bagaimana suasana yang bingit apabila paduan suara kira-kira 100 orang kanak-kanak yang baru mengenal alam dunia berlari dan berkejar sesama mereka ketika manusia lain sedang khusyuk solat.

Havoc, kata Azan.

Ramadhan kali ini masih lagi sama, tapi mengharapkan formula 1 + (10 x 12) akan mendapat hasilnya sepertimana kebiasaan teori matematik mengira angka-angka di atas.

Ramadhan, kebiasaan manusia mengaitkan dengan janji. Manusia tika Ramadhan berlumba-lumba menagih janji Tuhan yang Esa. Janji kita dengan si Dia bagaimana pula ya?

Dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan orang-orang sebelum kamu berpuasa agar kamu menjadi orang yang bertakwa”

Tuhan bijak memainkan psikologi kepada manusia dalam pada mahu “memujuk” manusia agar berpuasa.

Seorang abang yang baru memasuki alam remaja, cuba memujuk adik lelakinya yang baru mencecah umur mukalaf supaya berpuasa. “Adik nak tau tak, abang dulu start puasa masa abang umur 4 tahun!”, si Abang cuba mengumpan.

Si adik yang baru mengenal dunia ini, mula mereng. “Alamak, adik dah 7 tahun ni abang. Mana aci abang puasa lagi awal daripada adik!”

Haha, kan dah kena tipu. Dan si adik pun dengan bersemangat nya memberitahu ibunya yang dia mahu berpuasa esok FULL DAY!

Tercengang ibu dia. Biar betul si abang ini boleh pujuk adik dia berpuasa esok. Padahal si abang itu dulu masuk sekolah menengah baru tahu yang puasa itu bermula selepas azan Subuh sehingga azan Maghrib. Kalau tidak, ayam goreng yang siap untuk berbuka puasa akan menjadi mangsa kepada si abang ini.

Kuasa psikologi.

Inikan pula seorang kanak-kanak. Tuhan pun menggunakan kaedah yang sama. Dan itulah janji kita kepada Dia. Kita wajib berpuasa. Mandatori.

Aku tidak pasti, sama ada kini hadis ataupun bukan. Sebuah kata-kata yang bermaksud seseorang itu walaupun pada luarannya nampak berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi hakikat sebenarnya dia adalah langsung tidak dikira sebagai berpuasa.

Rugi kan?

Dan kita berjanji untuk berpuasa kepada ALLAH, sedangkan hakikat sebenarnya kita adalah langsung tidak berpuasa pada pengamatan Dia. Tertunai kah janji itu?

Tapi, kita sibuk dengan Ramadan sebagai janji. Alhamdulillah, maknanya kita masih lagi sedar yang kita amat bergantung kepada si Dia.

Alhamdulillah, tarawih kedua pula aku berpeluang berimamkan Syeikh Jibrail, salah seorang imam besar dari Mesir. Bacaannya, masya-Allah. Seakan-akan aku sedang mendengar MP3 al-Quran. Beruntung teman, dapat solat di belakang beliau dan memeluk beliau selepas solat. Bukan senang orang seperti aku ini dapat bertemu dengan orang yang soleh. Haaa, lain sikit!

Aku ingin kongsi kan, sebuah ayat yang satu-satunya Syeikh Jibrail telah mengulanginya sebanyak 4 kali ketika solat witir tadi,

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada mu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan ku (dengan mematuhi perintah Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."
Al-Baqarah: 186

Aku yakin, kalian pasti lagi faham kaitan ayat di atas dengan keberkatan bulan Ramadan ini kan?

Tarawih semalam dan tadi, aku memakai kopiah yang diberikan oleh ayah aku. Kopiah itu lusuh, kerana sebelum ini ayah aku sendiri memakainya sebelum dia memberikannya kepada aku. Aku perasan, tika solat kopiah lusuh itu telah memberi tusukan sentimental kepada aku.

Terkenang ayah di rumah, dan emak yang sudah agak lama aku tidak menjenguk mereka di kampung akibat pelbagai kerja yang bertimbun di kampus. Kebiasaannya, ketika Ramadan aku akan menjadi imam solat tarawih di rumah kerana kami sekeluarga akan solat di rumah sahaja secara berjemaah. Sedih juga kan, bila memikirkan apakah Ramadan 1432H akan ada peluang untuk aku menikmati kenangan-kenangan itu lagi?

Hanya tuhan yang mengetahuinya.

Ramadhan 1432H telah menapak ke malam yang kedua. Bagaimana dengan bacaan Quran kita?

Aku tinggalkan soalan di atas untuk diri aku dan kalian semua. Agar pada pengakhiran Ramadhan kita berjaya menjadi manusia yang bertakwa.