Thursday, August 4, 2011

Iklan Ramaḍān 8TV: Belajar Memahami Sebelum Anda Difahami

Saban tahun, isu iklan kontroversi sentiasa berkocak dan membentuk suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Terbaru, kedatangan Ramadan 1432H telah diraikan dengan sebuah iklan Ramadan 8TV, salah sebuah stesen televisyen yang bernaung di bawah syarikat Media Prima yang kelihatan begitu skeptikal terhadap masyarakat Cina.

Saya mendapat dan membaca beberapa “unsatisfied response” dan “anger word” dari beberapa orang rakan-rakan saya yang berbangsa Cina dan juga beberapa orang rakan-rakan saya yang beragama Islam berkenaan iklan di atas. Pandangan dan respons mereka berdiri di atas satu paksi yang sama, iaitu “respect and understand each other“.

Saya tidak menafikan, iklan di atas cuba menyampaikan beberapa mesej baik berkenaan Ramadan yang sedang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia sekarang. Saya yakin, kalian turut merasakan perkara yang sama. Namun, buat mereka yang bermain dalam dunia media haruslah faham bahawa niat yang baik itu jika tidak disertakan dengan strategi yang bijak, maka sudah tentu hasilnya akan membawa keburukan kepada diri sendiri.

Tujuan utama media ialah untuk membentuk suasana masyarakat. Zaman kini, media telah menjadi medan utama kepada proses mendoktrinkan dan propaganda demi mengaut keuntungan ke atas pihak yang lain. Realiti di Malaysia, media yang bersifat mendidik masyarakat seakan hampir tidak kelihatan lagi. Jikalau ianya masih wujud, pasti dan pasti ia umpama hidup segan mati tak mahu.

8TV Tidak Belajar Kesilapan TV3


Saya memandang isu ini sebagai kesilapan yang berulang kali dibuat dengan sengaja. Hal ini kerana saban tahun kontroversi yang melibatkan agama dan ras sentiasa berkocak dan mencetuskan ketegangan di antara satu sama lain. Tahun 2010, masyarakat Malaysia pasti masih ingat bagaimana TV3 telah dihentam serta dikecam secara teruk akibat kesilapan mereka menterjemah makna suci Aidulfitri ke dalam iklan raya mereka oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

TV3 mengambil langkah dengan menarik kembali iklan tersebut dan meminta maaf secara terbuka. Saya berharap 8TV turut melakukan tindakan yang sama. Jika dulu isunya adalah berkaitan dengan akidah dan kepercayaan umat Islam di samping kebimbangan ibu bapa akan kesalahfahaman anak-anak mereka terhadap falsafah sebenar sambutan Aidilfitri, orang ramai bangkit mengecam.

8TV kali ini nampaknya masih belum belajar kesilapan rakan media mereka itu. Iklan kali ini pula lebih berkisar dalam isu bagaimana sebuah stesen televisyen yang popular boleh menganggap remeh isu keharmonian antara agama dan amalan kehidupan sesuatu bangsa.

Apabila Media Gagal Memahami Konsep Rukun Negara


Tidak dapat tidak, dalam membicarakan isu ini pasti kita tidak dapat mengelak daripada memperkatakan tentang sejauh mana masyarakat Malaysia memahami konsep sebenar yang mahu diterapkan melalui Rukun Negara terutamanya dalam isu ini iaitu pihak media.

Saya mengajak rakan-rakan merenung sekejap makna di sebalik Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Rukun Negara perlu difahami oleh semua bahawa ia tidak hanya berkisarkan persoalan rakyat menghormati institusi istana dan Perlembagaan Malaysia, tetapi falsafah sebenar rukun kelima ini ialah peri pentingnya masyarakat Malaysia berusaha mengamalkan satu peringkat sikap yang mampu membentuk sebuah masyarakat yang serba majmuk ini hidup dalam keadaan aman dan begitu harmoni.

Kita memahami demografi di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya. Maka, adalah menjadi kewajipan buat seluruh warga Malaysia tidak kira apa kedudukan kita sekalipun untuk berusaha mencapai cita-cita yang tersirat di dalam rukun tersebut.

Pihak media secara pasti adalah sebuah klik yang begitu berpengaruh dalam faktor untuk menentukan tahap keberjayaan cita-cita ini. Manakan tidak, saya pasti zaman ini hampir setiap rumah akan mempunyai paling kurang sebuah radio untuk tujuan hiburan dan maklumat. Merancang dan membentuk suasana maklumat secara saling memahami pasti akan membantu ke arah tercapainya cita-cita murni di atas.

Dalam isu ini, kemungkinan 8TV terlepas pandang dan tidak memahami secara jelas makna tersirat di sebalik rukun negara tersebut.

Belajar Memahami Sebelum Anda Difahami


Rasulullah SAW tidak pernah mengajar umatnya supaya gaya hidup Islam difahami oleh orang bukan Islam. tetapi, Baginda cuma mengajar agar umat Islam sentiasa menghormati dan memahami gaya hidup dan agama orang rakan-rakan bukan Islam.

Saya cuba mengajak rakan-rakan untuk mengimbau kembali bagaimana Rasulullah SAW telah menunjukkan tahap toleransi yang begitu tinggi serta begitu memahami gaya hidup mereka yang tidak beragama Islam dalam kisah seorang arab Badwi yang datang ke masjid baginda kemudian kencing di atas lantai masjid tersebut dalam sebuah majlis ilmu yang sedang dihadiri oleh para sahabat baginda.

Perlakuan Badwi tersebut telah mengundang marah Saidina Umar Al-Khattab, salah seorang sahabat Rasulullah lantas dia telah meluru ke arah Badwi tersebut dan mencekak lehernya sambil menghunus pedang. Beliau meminta izin daripada Baginda untuk memenggal kepala Badwi tersebut, namun Rasulullah telah menghalang Umar daripada meneruskan niat itu.

Baginda mengarahkan Umar agar melepaskan Badwi tersebut sambil bersabda bahawa orang Badwi tersebut tidak bersalah sedikitpun kerana dia tidak mengetahui bahawa perbuatan dia itu adalah tidak beradab. Dia tidak pernah tahu akan perbuatannya itu adalah salah di sisi agama Islam. Malah, Rasulullah amat memahami akan gaya hidup arab Badwi berbanding arab Quraisy.

Percayalah, si arab Badwi tadi dihukum tidak bersalah oleh Rasulullah.

Iklan 8TV di atas seolah-olah “memaksa” rakan-rakan bukan Islam di Malaysia agar memahami gaya hidup yang dianjurkan oleh Islam. Saya menggunakan frasa “memaksa” bagi membayangkan babak demi babak dalam video tersebut yang begitu skeptik terhadap gaya hidup bukan Islam dan jauh daripada apa yang dianjurkan oleh agama Islam itu sendiri.

Stephen R Covey ada menulis dalam bukunya, 7 Habits of Highly Effective People supaya “Seek To Understand, Then To Be Understood”. Kenyataan yang ringkas, tetapi saya yakin ianya cukup untuk menjelaskan kenapa umat Islam perlu bersikap sedemikian terhadap rakan-rakan bukan Islam tidak kira di mana dan bila-bila masa sahaja.

Lupakah 8TV untuk menimbangkan perasaan rakan-rakan berbangsa Cina apabila mereka merancang untuk menyiarkan video tersebut dalam keadaan video tersebut memberi gambaran seolah-olah rakan-rakan berbangsa Cina di Malaysia langsung tidak tahu menghormati bulan Ramadan dan amalan agama umat Islam ini.

Adalah malang bagi sebuah stesen televisyen bertindak sebegitu sedangkan secara faktanya sudah hampir seabad lamanya manusia berbangsa Melayu dan Cina hidup bersama, manusia beragama Islam dan tidak beragama Islam berkongsi pahit manis di sebuah tanah bernama Malaysia.

Di manakah silapnya?

Ubah Paradigma Media di Malaysia


Kerap kali saya menyatakan perkara ini dalam artikel-artikel saya sebelum ini. Media di Malaysia bukan lagi bersifat mendidik masyarakat, tetapi sudah menjadi medan utama kepada proses doktrinisasi dan propaganda sesetengah pihak demi mengaut keuntungan ke atas pihak yang lain.

Tidak perlu pergi jauh, cukuplah dengan kita cuba merenung kembali bagaimana sikap yang diambil oleh hampir keseluruhan pengamal media di Malaysia setiap hari dalam usaha mereka menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat Malaysia. Walaupun di atas kertas, Malaysia dinamakan sebagai sebuah negara demokrasi namun hakikat sebenarnya demokrasi dari sudut medianya nyata telah di seleweng dan dimanipulasikan secara kritikal dan terang-terangan.

Maka, natijahnya media bukan lagi menjadi medium untuk mendidik masyarakat Malaysia untuk mencapai cita-cita murni Rukun Negara. Peranan media dalam membentuk sikap positif dalam kalangan masyarakat dan menjadi warganegara yang matang berfikir hampir tidak kelihatan. Media Malaysia seakan tidak berperanan dalam menghubungkan rasa harmoni antara agama dan ras.

Rakan saya yang belajar di UK menyebut, keadaan media di sana hampir 100% berbeza dengan Malaysia. Bayangkan, di UK dia telah mengumpul surat khabarnya bukan untuk dijual bagi mencari duit tambahan, tetapi disimpan sebagai koleksi dan buku rujukan. Hal ini kerana hampir keseluruhan kandungan akhbar tersebut mengandungi pelbagai artikel dari pelbagai lapangan ilmu dengan kupasan yang begitu analitikal dan berfakta.

Berbanding di Malaysia, media lebih mengutamakan keuntungan dengan memuatkan berita-berita sensasi serta hasutan politik secara berpanjangan sehinggakan sesetengah rakyat bosan dengan suasana media yang sebegitu rupa. Jadi, bagaimanakah media Malaysia mahu berperanan untuk mendidik rakyat ke arah mencapai cita-cita murni ini?

Ramadan Sebagai Medan Perubahan


Saya menyeru agar rakan-rakan pengamal media agar mengambil kesempatan Ramadan yang penuh berkat ini sebagai medan untuk melakukan perubahan yang diimpikan oleh seluruh warga Malaysia demi sebuah cita-cita murni dan menyelamatkan generasi akan datang daripada segala gejala yang tidak menguntungkan negara ini.

Islam itu datang dalam pakej yang serba sempurna, maka bermuhasabah lah wahai rakan-rakan seagama dengan ku agar kita sentiasa merasa berat memikul amanah untuk menjaga nama baik agama ini daripada tanggapan negatif rakan-rakan bukan Islam dengan cara kita memahami gaya hidup dan amalan agama mereka sebelum kita mengharapkan mereka memahami kita.

Kitalah sepatutnya proaktif dalam isu ini, dengan memberi kefahaman kepada mereka bahawa tindakan 8TV itu adalah bukan anjuran Islam. Hayati lah sirah Rasulullah. Hormatilah antara satu sama lain. Sedarlah bahawa kita tidak pernah meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau apa sahaja.

Kepada pengurusan 8TV, belajarlah daripada kesilapan.

Kalau bukan kita berubah, maka siapa lagi?

NOTA: Tulisan ini tidak lagi mewakili sikap penulis pada hari ini. Justeru, pembaca harus menanggapi tulisan ini tidak lebih dari sekadar arkib penulisan blog Time To Change semata-mata. Sebarang usaha ulang siar tulisan ini ke mana-mana media adalah dilarang sama sekali.