Tuesday, March 15, 2011

Fukushima Bukan Chernobyl!

Mungkin ketika aku enak mencoret kan sebuah harapan, seorang anak kecil yang kelaparan dan kesejukan sedang dilambung ombak Pacific yang tidak kunjung surut di daerah Fukushima.

Atau seorang tua yang menggigil kesejukan sedang mendekam di celah-celah runtuhan rumah-rumah di daerah Fukushima menantikan pasukan penyelamat menemui dia.

Juga mungkin seorang budak lelaki sedang mengaduh kesakitan dan memanggil-manggil nama ibu dan ayahnya memohon pertolongan dalam kegelapan.

Malah, jauh lebih dahsyat apabila reaktor radiasi Fukushima mula gagal menahan asakan gelombang Pacific.

Terus satu dunia berdebar menantikan episod ngeri Chernobyl yang bakal dimainkan tidak lama lagi.

Aduh, aku cuma mampu menepuk dahi berharap Fukushima tidak menjadi Chernobyl kedua!

Sejarah sering menjadikan radiasi sebagai watak pemutus kata dalam sketsa rakyat Matahari terbit. Jika dulu, si durjana Amerika telah mengirim Fat Man kepada Nagasaki dan Little Boy kepada Hiroshima atas alasan menghentikan keganasan World War 2.Jepun meraung dalam kesakitan. Mereka merintih memohon pertolongan. Radiasi menjadi jembalang keparat buat mereka.

Sehingga kini, tiada ungkapan maaf dari sang pengirim hadiah teristimewa tersebut kepada mereka.

Lewat 56 tahun mereka menerima hadiah tersebut, sekali lagi mereka terpaksa meredam dalam kesakitan. Jembalang keparat sang radiasi mula menghantui mereka. Khabarnya Fukushima bakal menjadi Chernobyl kedua. Tsunami 110311 bukan sahaja meruntuhkan rumah-rumah dan pejabat-pejabat malah turut membuka pintu sangkar sang jembalang untuk turut keluar menuntut angin kebebasan.

Reaktor Pemanasan Air bagi Logi Nuklear Fukushima nyata tidak mampu menahan asakan sang Protestan dari arus Pacific itu. Mereka ganas dan kuat.20000 orang kehilangan jiwa. Mungkin salah seorang daripadanya adalah mereka yang akrab dengan si loji itu. Kuasa sang pencipta siapa mahu menabrak nya.

Jembalang radiasi tidak mengenal kawan dan lawan. Kesannya bukan sekejap. Nagasaki dan Hiroshima masih utuh memori hitam mereka tentang kisah ini. Berpuluh keturunan mereka tercekik dengan kesan radiasi. Jembalang ini bukan asing daripada mereka. Fukushima seolah-olah mengerti paluan ini. Fukushima amat mengerti penderitaan Chernobyl. Kita amat mengerti kenapa tidak perlu ada Chernobyl kedua. Aku tidak mahu bersyarah panjang di sini, cukuplah dengan kalian memberi sedikit masa untuk menatap perkhabaran ini.

  1. Chernobyl: A Creepy Story Told In Pictures
  2. Lost City of Chernobyl
  3. My Trip to Chernobyl
  4. Inside The Chernobyl Nuclear Power Plant

Mahu kah kalian melihat Fukushima menjadi seperti gambar sepi yang kalian tatap sebentar tadi?

Moga ALLAH melindungi mereka daripada jembalang radiasi!

Aku cuma mampu menulis sebuah harapan untuk tidak melihat Fukushima tidak menjadi Chernobyl kedua. Cukuplah sejarah dunia itu tersemat kemas dalam lipatan tanpa perlu di rungkai dalam gubahan yang lain. Aku terseksa melihat mereka menderita. Sakit mata memandang, perit malah derita lagi mereka yang disampuk jembalang radiasi!

Aku sedar, orang Jepun bukan ciptaan Tuhan yang mudah menyerah kalah. Semangat mereka mampu membangunkan Nagasaki dan Hiroshima menjadi Bandaraya terkemuka selepas 30 tahun jembalang radiasi bertamu di beranda rumah mereka. Mereka mampu bangkit. Itu pasti.

Aku menonton video di bawah. Aku bertanyakan apakah yang pak cik dalam video di bawah cakap kepada pasukan penyelamat itu. Arigato Gozaimato SLOWARTpl kerana sudi menjawab soalan aku tadi.
“We are OK. We come over the Chile earthquake tsunami. Let’s rebuilt it again!”
Pak cik itu berkata sambil tersenyum selepas 3 hari terperangkap.



Aku berharap dia akan dapat membina rumahnya yang baru.Dia berjaya menemui sanak saudaranya semula. Itulah semangat seorang pak cik yang diselamatkan selepas terperangkap selama 3 hari. Tersenyum dan masih mampu memotivasikan diri sendiri!

Moga dia dan seluruh Fukushima terselamat daripada menjadi Chernobyl kedua. Marilah kita mendoakan agar kecelakaan ini dijauhkan daripada mereka. Namun begitu, sewajibnya kita mengingatkan diri kita tentang kekuasaan dan keangkuhan ALLAH dalam menentukan segalanya dalam alam cakerawala ini.

Mungkin sudah tiba masa untuk kita mengkoreksi diri, merenung sejauh manakah kita sudah lari daripada landasan syariat yang di wajibkan ke atas diri kita selama ini. Moga-moga tsunami 110311 bukan sekadar menjadi igauan ngeri semata-mata, tetapi sebagai punca bertambahnya keimanan kepada ALLAH dan ketakutan kita terhadap dosa yang pernah kita lakukan selama ini.

Aku bukan anti-nuklear, tetapi aku alergi dengan perkhabaran ngeri Chernobyl, Nagasaki dan Hiroshima!

Moga ALLAH melindungi kita semua daripada bala bencana dan azab seksa-Nya.

Sedikit informasi mengenai letupan Reaktor Pemanas Air Loji Nuklear Fukushima.


Apa yang pasti, Fukushima Bukan Chernobyl!