Tuesday, March 15, 2011

Fukushima Bukan Chernobyl!

Mungkin ketika aku enak mencoret kan sebuah harapan, seorang anak kecil yang kelaparan dan kesejukan sedang dilambung ombak Pacific yang tidak kunjung surut di daerah Fukushima.

Atau seorang tua yang menggigil kesejukan sedang mendekam di celah-celah runtuhan rumah-rumah di daerah Fukushima menantikan pasukan penyelamat menemui dia.

Juga mungkin seorang budak lelaki sedang mengaduh kesakitan dan memanggil-manggil nama ibu dan ayahnya memohon pertolongan dalam kegelapan.

Malah, jauh lebih dahsyat apabila reaktor radiasi Fukushima mula gagal menahan asakan gelombang Pacific.

Terus satu dunia berdebar menantikan episod ngeri Chernobyl yang bakal dimainkan tidak lama lagi.

Aduh, aku cuma mampu menepuk dahi berharap Fukushima tidak menjadi Chernobyl kedua!

Sejarah sering menjadikan radiasi sebagai watak pemutus kata dalam sketsa rakyat Matahari terbit. Jika dulu, si durjana Amerika telah mengirim Fat Man kepada Nagasaki dan Little Boy kepada Hiroshima atas alasan menghentikan keganasan World War 2.Jepun meraung dalam kesakitan. Mereka merintih memohon pertolongan. Radiasi menjadi jembalang keparat buat mereka.

Sehingga kini, tiada ungkapan maaf dari sang pengirim hadiah teristimewa tersebut kepada mereka.

Lewat 56 tahun mereka menerima hadiah tersebut, sekali lagi mereka terpaksa meredam dalam kesakitan. Jembalang keparat sang radiasi mula menghantui mereka. Khabarnya Fukushima bakal menjadi Chernobyl kedua. Tsunami 110311 bukan sahaja meruntuhkan rumah-rumah dan pejabat-pejabat malah turut membuka pintu sangkar sang jembalang untuk turut keluar menuntut angin kebebasan.

Reaktor Pemanasan Air bagi Logi Nuklear Fukushima nyata tidak mampu menahan asakan sang Protestan dari arus Pacific itu. Mereka ganas dan kuat.20000 orang kehilangan jiwa. Mungkin salah seorang daripadanya adalah mereka yang akrab dengan si loji itu. Kuasa sang pencipta siapa mahu menabrak nya.

Jembalang radiasi tidak mengenal kawan dan lawan. Kesannya bukan sekejap. Nagasaki dan Hiroshima masih utuh memori hitam mereka tentang kisah ini. Berpuluh keturunan mereka tercekik dengan kesan radiasi. Jembalang ini bukan asing daripada mereka. Fukushima seolah-olah mengerti paluan ini. Fukushima amat mengerti penderitaan Chernobyl. Kita amat mengerti kenapa tidak perlu ada Chernobyl kedua. Aku tidak mahu bersyarah panjang di sini, cukuplah dengan kalian memberi sedikit masa untuk menatap perkhabaran ini.

  1. Chernobyl: A Creepy Story Told In Pictures
  2. Lost City of Chernobyl
  3. My Trip to Chernobyl
  4. Inside The Chernobyl Nuclear Power Plant

Mahu kah kalian melihat Fukushima menjadi seperti gambar sepi yang kalian tatap sebentar tadi?

Moga ALLAH melindungi mereka daripada jembalang radiasi!

Aku cuma mampu menulis sebuah harapan untuk tidak melihat Fukushima tidak menjadi Chernobyl kedua. Cukuplah sejarah dunia itu tersemat kemas dalam lipatan tanpa perlu di rungkai dalam gubahan yang lain. Aku terseksa melihat mereka menderita. Sakit mata memandang, perit malah derita lagi mereka yang disampuk jembalang radiasi!

Aku sedar, orang Jepun bukan ciptaan Tuhan yang mudah menyerah kalah. Semangat mereka mampu membangunkan Nagasaki dan Hiroshima menjadi Bandaraya terkemuka selepas 30 tahun jembalang radiasi bertamu di beranda rumah mereka. Mereka mampu bangkit. Itu pasti.

Aku menonton video di bawah. Aku bertanyakan apakah yang pak cik dalam video di bawah cakap kepada pasukan penyelamat itu. Arigato Gozaimato SLOWARTpl kerana sudi menjawab soalan aku tadi.
“We are OK. We come over the Chile earthquake tsunami. Let’s rebuilt it again!”
Pak cik itu berkata sambil tersenyum selepas 3 hari terperangkap.



Aku berharap dia akan dapat membina rumahnya yang baru.Dia berjaya menemui sanak saudaranya semula. Itulah semangat seorang pak cik yang diselamatkan selepas terperangkap selama 3 hari. Tersenyum dan masih mampu memotivasikan diri sendiri!

Moga dia dan seluruh Fukushima terselamat daripada menjadi Chernobyl kedua. Marilah kita mendoakan agar kecelakaan ini dijauhkan daripada mereka. Namun begitu, sewajibnya kita mengingatkan diri kita tentang kekuasaan dan keangkuhan ALLAH dalam menentukan segalanya dalam alam cakerawala ini.

Mungkin sudah tiba masa untuk kita mengkoreksi diri, merenung sejauh manakah kita sudah lari daripada landasan syariat yang di wajibkan ke atas diri kita selama ini. Moga-moga tsunami 110311 bukan sekadar menjadi igauan ngeri semata-mata, tetapi sebagai punca bertambahnya keimanan kepada ALLAH dan ketakutan kita terhadap dosa yang pernah kita lakukan selama ini.

Aku bukan anti-nuklear, tetapi aku alergi dengan perkhabaran ngeri Chernobyl, Nagasaki dan Hiroshima!

Moga ALLAH melindungi kita semua daripada bala bencana dan azab seksa-Nya.

Sedikit informasi mengenai letupan Reaktor Pemanas Air Loji Nuklear Fukushima.


Apa yang pasti, Fukushima Bukan Chernobyl!

Saturday, March 12, 2011

Buku Jingga



Buku Jingga adalah sebuah tawaran bagi agenda perubahan jangka panjang yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat jika mereka diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Malaysia.

Mr. +Najib Razak  mendakwa DS +Anwar Ibrahim  pasti demam jika berdebat dengan dia tentang kandungan buku ini.

Suka untuk saya berkongsikan pandang sisi ini, PEMBOHONGAN!

Sudah tiba masa buat seluruh rakyat Malaysia bertindak ke arah sebuah perubahan. Saya bersimpati dengan nasib rakan-rakan saya dari Sarawak, yang diperintah oleh seorang rejim yang zalim dan pembohong.

Moga ada cahaya buat mereka dalam PRU-13 nanti. Saya menyarankan kepada setiap pembaca blog ini untuk menyebarluaskan Buku Jingga ini kepada rakan-rakan anda.

Ubah Sekarang,Selamatkan Malaysia!

Saturday, March 5, 2011

Pilihan Raya Kampus Medan Pergelutan Idealisme Mahasiswa

Salam kemenangan buat seluruh jentera Pro-Mahasiswa Malaysia!

Rasanya masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan takziah buat seluruh jentera Pro-Mahasiswa Malaysia kerana telah berjaya meraih sokongan dan mandat besar mahasiswa dalam Pilihan Raya Kampus 2011 seminggu lepas.

Saya di UKM, sebuah varsiti yang ampuh dengan sejarah pembangunannya di celah-celah kesusahan dan penderitaan masyarakat Melayu ketika era 70-an menyaksikan sendiri di depan mata pada malam bahagia 21 Feb apabila Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) berjaya menawan PMUKM dengan mandat 22 kerusi dari 35 kerusi yang dipertandingkan.

Saya meneruskan penulisan ini dalam “mood” kemenangan!

Terima kasih tuhan, kerana mendengar rintihan dan doa kami. Kini tinggal amanah dan beban tanggungjawab di atas pundak bahu kami.

Meski tika kami melangkah masuk ke medan ini, kami sedar dan amat sedar bahawa hakikat kami sedang bermain di padang yang tidak rata. Segalanya milik mereka, kami cuma mampu menyediakan lidah-lidah tegar untuk terus bersuara. Saya menyaksikan pertarungan ini dengan penuh minat. Malah, sesekali cuba berpartisipasi dengan mereka rakan-rakan GMUKM.

Lelah memang, tetapi puas itu janjinya.

Harapkan habuan, kata saya cubalah dengan pihak di sebelah sana. Insya ALLAH akan ada habuannya.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menyebut tentang kemenangan GMUKM tempoh hari tetapi sekadar ingin mencatat sedikit ulasan dan pandang sisi saya berkenaan jalur PRK 2011 yang rasanya sudah selesai di semua kampus Malaysia. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya masih boleh menarik nafas lega kerana medan demokrasi kampus ini masih lagi hidup dan tidak berjaya dibunuh sepenuhnya oleh tangan-tangan pencatur mahasiswa.

Ini medan mahasiswa bertatih dan berlari.Ini medan pertembungan idealisme mahasiswa yang matang.Ini medan latihan nilai dan prinsip mahasiswa.Ini medan penyuburan dogma demokrasi dalam kalangan mahasiswa!

Bermula dari peringkat atasan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEPA) sehinggalah ke seluruh masyarakat kampus yang lain perlu meletakkan sikap dalam medan demokrasi ini. Sikap yang menentukan hala tuju dan wajah sebenar Malaysia pada masa akan datang. Perlu ingat, mereka yang mengundi di kertas putih dalam PRK 2011 ini bukanlah makhluk yang cuma perlu pandai bangun pagi, mandi, sarapan, pergi ke pejabat, balik kerja dan tidur sahaja.

Mereka adalah pembentuk wajah negara pada masa hadapan.

Layanlah mereka selayak dengan harapan yang tergalas di bahu mereka. Saya cukup terkilan, sehingga kini saya masih menyuarakan rasa terkilan ini kepada beberapa orang rakan dengan sikap TNC HEPA UKM, Prof Ir Dr Othman Karim dalam menggerakkan PRK 2011.Beliau sendiri mengakui bahawa beliau tidak menyukai mahasiswa bertanding di atas tiket parti atau berkumpulan dengan alasan untuk mengelakkan perpecahan dan sebarang rasa kurang enak di sebalik pertubuhan-pertubuhan tertentu itu.

Saya sendiri tidak faham dengan pendirian sebegini, bagaimanakah TNC HEPA mahu mencorakkan PRK 2011 dan PRK seterusnya dengan gaya varsiti yang di dalamnya penuh dengan makhluk yang diakui intelek lagi bijaksana?

Pilihanraya kampus medan pertembungan idealisme mahasiswa. Jangan halang, jangan sekat. Biarkan mereka brbunga dan berbuah tanpa dikacau. Sukar kah untuk membiarkan mereka bebas bermain sesama mereka?

Madah bicara pernah menyebut, berat di mata memandang tetapi lagi berat bahu yang memikul. Saya berani mendakwa bahawa UKM gagal dalam memberi pendidikan demokrasi kepada seluruh warga kampusnya.Ini bukan kritikan membabi buta tetapi inilah realitinya. Janganlah TNC HEPA merasa malu bila mana ada dalam kalangan mahasiswa UKM yang langsung tidak sedar kewujudan Pilihan Raya Kampus!

Fikirkan, bagaimana pula dengan nasib ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa yang bergetar mahu menolong pentadbiran jika rakan-rakan mereka “tertidur” sedemikian rupa?

UKM gagal dalam memberi pendidikan demokrasi kepada warganya. Jadi, bagaimana mungkin TNC HEPA mahu mahasiswa bertanding di atas tiket perseorangan dan mereka perlu mengerah keringat menyelesaikan masalah kebajikan rakan-rakan mahasiswa yang lain tanpa ada sebarang “support group” yang berkesan di belakangnya?

Sebab itu saya nukil kan madah di atas, betapa berat pada mata namun bahu yang memikul amanah itu lagi terasa beratnya. Ini realiti yang perlu Dato’ TNC HEPA UKM nilai sebelum membuat kenyataan sebegitu. Mahasiswa di UKM rata-rata merasakan bahawa tanpa PMUKM, mereka pun mampu hidup dengan selesa bahkan tidak merasa apa-apa kekurangan pun. Bagaimana hal ini boleh terjadi kalau bukan kerana mereka tidak dididik dengan pendidikan demokrasi yang sebenar?

Mudahnya, bagaimana PMUKM mampu berfungsi sebagai “the origin” dalam kalangan mahasiswa jika keadaan ini masih membelenggu benak warga kampus dan TNC HEPA masih sibuk dengan calon MPP seharusnya bertanding di atas tiket perseorangan?

Jawapan saya, mati si MPP tersebut!

Sedang si MPP itu sibuk menguruskan PMUKM, rakan-rakan dia pula sibuk dengan nota-nota kuliah.

Tika si MPP itu meminta bantuan untuk menjayakan sebarang manifestonya, semuanya cabut lari meninggalkan dia seorang diri terkontang-kanting!

Ini realiti dunia politik di kampus. Maka, saya berani katakan bahawa cubaan memaksa mahasiswa bertanding di atas tiket perseorangan adalah satu tindakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keintelektualan sesebuah pentadbiran universiti tersebut termasuklah UKM jika mereka cuba melakukan hal sebegini.

Berbalik pada tari asal saya, itulah pertembungan kepentingan dalam menggerakkan Pilihan Raya Kampus sesi ini. Mereka yang berada di peringkat atasan tetap akan bersuara senada dengan pangkat dan kedudukan mereka. Jarang untuk melihat mereka mampu meletakkan sikap seperti Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam hal-hal kemahasiswaan.

Dalam isu ini, saya memuji langkah yang diambil oleh pentadbiran UTM yang membenarkan mahasiswa mereka bertanding di atas tiket parti atau kumpulan dalam klausa peraturan yang mereka keluarkan untuk PRK 2011. Tahniah!

Antara keintelektualan milik warga kampus menjadi pertimbangan utama atau kepentingan tertentu menjadi pemutus kata, anda yang bergelar mahasiswa pasti mampu menilainya.

Saya akan terus berharap, agar suatu hari pendidikan demokrasi di UKM akan subur dan matang. Pastinya, natijah yang mahu kita lihat ialah sebuah varsiti yang mampu melahirkan insan yang bermodal dan terpimpin nilainya.

Wujudnya dua parti mahasiswa bertanding bukan bertujuan untuk memecah belah kan perpaduan. Dua kumpulan bertanding bukan bermakna mahasiswa sudah taasub berpolitik atau terpengaruh dengan politik luar. Tidak sama sekali.

Politik memerlukan parti atau kumpulan. Politik amat memerlukan pendukung. Tetapi semua itu harus dipandu dengan nilai. Biar nilai yang memimpin perjalanan segala dogma demokrasi kita.

Seorang calon yang bertanding pasti akan mempunyai seorang pencadang dan penyokong. Secara tidak langsung dia telah membentuk partinya sendiri iaitu dia dan dua orang tulang belakangnya. Mereka bertiga bergerak untuk menjayakan misi dan wawasan si calon tersebut. Mereka pasti mempunyai gagasan untuk dilaksanakan jikalau mereka diberi mandat.

Mereka memerlukan penyokong untuk menjayakan gagasan mereka. Maka dia telah cuba berusaha membentuk sebuah kumpulan yang kuat dan ramai untuk menyokong gagasan yang dibawanya. Seterusnya, secara tidak langsung dia telah membentuk parti, atau kumpulan atau mungkin boleh disebut sebagai jemaah.

Begitu senang konsep kenapa politik memerlukan parti. Tidak dapat tidak hal ini perlu dijelaskan kepada semua pihak bukan sahaja TNC HEPA.

Sekali lagi saya berharap agar semua universiti di Malaysia berusaha memberi pendidikan demokrasi matang kepada mahasiswa mereka. Usah memperbudak kan mahasiswa. Mereka bukan lagi golongan yang hanya perlu menunggu untuk disuap. Mereka adalah golongan yang mampu membuat keputusan sendiri. Biarkanlah mereka beraksi dengan lidah dan idea mereka. Mencatur mereka bermakna anda telah membakulsampahkan nasib negara pada masa akan datang. Percayalah!

Saya masih belum puas berbicara soal Pilihan Raya Kampus ini. Sungguh berselera jari saya menaip tentang pertelagahan idealisme ini.Ini padang permainan kami, biarkanlah kami bermain di sini sepuas-puasnya. Kalian sebagai pentadbiran usahlah berlagak seperti pemain. Jadilah seorang jurulatih yang mampu memandu kami dengan jujur dan ikhlas.

Saya masih dalam mood “kemenangan”. Jika ada rakan-rakan Aspirasi membaca ini, fikir-fikirkanlah akan kebenarannya.