Wednesday, February 9, 2011

OPKIM'11: Selagi Kudrat, Islam Dinobat

Perjalanan yang menjanjikan sebuah syurga barangkali, detik hati aku selepas tamatnya OPKIM’11 minggu lepas di Bau, Sarawak.

Di bumi Kenyalang, mereka yang bekerja untuk Islam di sana seolah-olah syurga mencari mereka!

Alhamdulillah, tiada kata lain selain ucapan syukur tidak terhingga di atas nikmat kurniaan Ilahi apabila Dia membenarkan aku untuk turut sama mengikuti Program Khidmat Masyarakat 2011 (OPKIM’11) anjuran Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) pada 31 Jan sehingga 4 Feb 2011 yang lepas.

Biarpun terpaksa menanggung derita rindu untuk pulang ke kampung halaman ketika rakan-rakan yang lain enak bercuti sempena Tahun Baru Cina, kami seramai 20 orang peserta OPKIM’11 telah dibawa terbang oleh AirAsia ke bumi Kenyalang. Bah, satu takdir yang tidak pernah dirancang oleh benak minda ku selama ini untuk sampai ke bumi seberang Laut China Selatan itu!

Walaupun program kami pada awalnya agak kelam kabut akibat pertukaran tempat pada saat-saat akhir, namun kebijaksanaan dan kecekapan AJK Pelaksana OPKIM’11 yang diketuai oleh sahabat dunia akhirat aku, Fariq Fitri ternyata telah menggugah segala kecelakaan teknikal itu. Maaf, bahasa ini sesuai dengan keterujaan aku tika menulis memoir ringkas ini.

Barangkali, inilah yang dinamakan takdir.

Di sana, kami telah dibantu oleh Urusetia Saudara Kita Sarawak (USK). Moga rahmat ALLAH ke atas saudara kami, USK.

Ternyata, ISIUKM tidak kekok untuk bekerjasama dengan USK malah membuahkan satu tali persaudaraan yang erat dan mungkin hanya mereka yang memahaminya sahaja yang mampu menafsirkan betapa eratnya pertalian ini. Kami belajar bertatih, dan USK telah menawarkan tongkat kepada kami untuk bertatih dengan lebih senang. Syukran jaziilan.

Di bumi Sarawak dengan satu tujuan iaitu DAKWAH. Ia menjadi satu cita-cita kami yang begitu besar malah terasa bebannya yang terpikul di atas pundak kami semua. Bak kata Fariq Fitri, ianya adalah harapan sebuah cita-cita!

Benar, bila berdepan dengan suasana sebenar ternyata begitu terasa rasa tanggungjawab untuk terus berbakti di bumi Kenyalang.

Kami di bawa ke Kampung Segubang. Sebuah kampung kecil yang terletak dalam jajahan Bau, Sarawak dan berkapasiti penduduk yang bercampur Muslim dan Kristian. Aman dan sentosa mungkin frasa sempurna untuk menggambarkan kampung kecil ini. Satu pengalaman yang unik untuk menyaksikan sebuah kampung yang berbilang agama mampu hidup tanpa prejudis sebagaimana yang berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia. Sangat unik!

Di Kampung Segubang, aku telah jatuh cinta.

Bukan pada insan untuk dijadikan “sowon” ya!

Tapi, aku jatuh cinta pada cita-cita untuk berkhidmat di sana.

Mereka amat menghargai kedatangan kami. Mereka sanggup mengadakan sebuah jamuan kesyukuran yang besar dengan pelbagai hidangan apabila mengetahui kedatangan kami.

Anak-anak muda mereka sanggup berhenti bermain bola di padang untuk turut menemani kami bermain futsal di gelanggang.

Sekolah mereka sanggup memperuntukkan setengah hari tempoh pembelajaran di sekolah semata-mata mahu memberi ruang kepada kami untuk menjalankan program motivasi bersama adik-adik sekolah rendah.

Mak cik-mak cik pula sanggup berhabis masa menolong kami menyediakan jamuan perpisahan dengan menyediakan lemang istimewa dan belasan hidangan lain.

Imam Surau Nurul Sa’adah pula sanggup memberi rumah beliau untuk peserta Muslimat tidur di sana dan beliau hanya tidur di surau bersama kami.

Adik-adik di Kampung Segubang sanggup berletih-letihan bersama-sama kami menjayakan setiap aktiviti yang dijalankan!

Ibu bapa mereka sanggup melepaskan anak-anak mereka untuk menghadiri kelas fardhu ain yang kami jalankan dengan senang hati.

Bahkan, apa lagi mahu aku ungkapkan di sini?

Kami ke sana bukan untuk memborong kek lapis atau ikan terubuk masin. Bukan itu hajat kami.

Inilah “kick-start” ISIUKM di bumi Kenyalang untuk masa mendatang. Aku tidak mahu memandang pada ketercapaian objektif asal OPKIM’11. Bagi aku, itu persoalan yang teramat subjektif. Jika ada yang mengatakan bahawa ianya berjaya, barakallah. Namun jika sebaliknya, jom bersama-sama ISIUKM kita memperkasakan agenda dakwah di bumi Kenyalang selepas ini!

5 hari kami mengarang cinta di bumi Segubang. 5 hari kami bergelut perasaan di Segubang. Namun, ternyata pengakhirannya telah menyebabkan air mata kami berguguran ke bumi saat mahu berpisah.



Aku cinta pada adik-adik aku yang kecil di sana. Mereka yang membuatkan aku berasa yakin bahawa Islam pasti akan menjadi tunjang di Sarawak pabila mereka membesar menjadi orang dewasa kelak. Percayalah.


Aku sayang kalian.

Teramat. Aku mendoakan agar kalian menjadi penegak syiar Islam di bumi Kenyalang tika kalian menjejak umur dewasa kelak.

Moga cinta ini berterusan sehingga bertemu di gerbang syurga kelak.

Ya, tika aku mencoret ini air mata ku berguguran jatuh mengenang sebuah memoir kita bertemu dalam keadaan kita langsung tidak merancang ke arah itu.

Buat Urusetia Saudara Kita Sarawak (USK), benarlah kata kalian betapa Selagi Kudrat, Islam Dinobat!

Jika bukan kita, siapa lagi?

KEMASKINI:



Untuk coretan daripada peserta OPKIM’11 yang lain:
  1. [Diari OPKIM 2011]: Tercapai nya hasrat itu…
  2. OPKIM melalui mata hati…
  3. Bertemu kembali di Segubang,Sarawak (Part 2)
  4. Sok Bangi Koih Ndong......
  5. Aku, Ustaz Kancil & Bila Allah Berbicara..