Sunday, January 2, 2011

Kisah Malam Tahun Baru 2011

Malam semalam, mungkin perlu disebut dengan istilah malam tahun baru 2011 aku dan beberapa orang rakan telah berjaya melalui sebuah jalan kehidupan yang amat janggal dan asing sepanjang kamus hidup ini.

Mengikuti rombongan XPDC dakwah yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan semata-mata mahu belajar melihat dan menyentuh masyarakat luar ternyata memberi seribu satu makna dalam hidup diri hambar yang serba kerdil.

Banyak peristiwa, banyak ragam yang berlaku. Rupanya inilah kisah malam tahun baru, mungkin begini saban tahun gamaknya. Ada yang serius, benar-benar serius dan ada juga yang boleh dilabelkan sebagai tidak masuk akal yang waras.

Di satu sudut Metro Point Kajang, kelihatan 2 orang pengawal keselamatan berbangsa India dimarahi oleh beberapa orang remaja Melayu yang mabuk meneguk air kencing syaitan. Puas memarahi kedua pengawal itu, mereka pun terus menghiburkan nafsu mereka dengan pelbagai aksi lain lagi. Hancur hati melihat rakan sebangsa menjadi sedemikian rupa.

Terkebil si pengawal India tersebut. Mereka sendiri senyum pabila mendapati sekumpulan anak muda berkopiah datang untuk mengedarkan risalah dakwah.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal memikirkan adegan tadi. Insiden di antara iman dan nafsu, ternyata nafsu lebih perkasa.

Di satu tempat yang lain pula, suasananya berbeza. Hal ini diceritakan oleh kawan aku tentang pengalamannya mengikuti XPDC itu.

Ditanya seorang polis yang bertugas, “Dik, kalau nak edar risalah kena ada permit. Tak boleh main terjah je!”

Rakan aku menjawab, “Alamak, nak buat baik pun kena ada permit ke? Habis tu, diorang yang sedap-sedap buat maksiat tu tak perlu mintak permit ke?”

Oh, Malaysia memang macam tu. Tak pelik rasanya. Mungkin ada yang lebih serius. Nak baca yang lebih serius, silakan klik di sini.

Bagus la tu, kerana polis menjalankan tugas yang diarahkan oleh orang atasan mereka. Standard Malaysia ialah kebaikan yang dibuat mesti bersyarat dan kejahatan yang berleluasa akan terus bebas merdeka. Nak harapkan mereka yang punya kuasa buat kerja-kerja “hamba” itu memang harapan tinggal harapan aku kira.

Tak mengapa. Walau macam mana sekalipun sekatan dibuat, apakah itu boleh mengubah kewajipan amar ma’aruf nahi mungkar ke atas setiap diri Muslim?

Di kawasan yang lain pula, rakan aku menangis. Di Bukit Bintang aku rasa. Ini pun diceritakan kepada aku dalam FB nya.

“Kenapa anta menangis?”

“Sedih syeikh, melihat manusia yang bagaikan Tuhan itu mati dalam kehidupan mereka.”

Terkedu. Membaca cerita itu di laman FB sambil cuba membayangkan keadaan seperti yang digambarkan itu. Akal waras ku berputar mencari jawapan.

Di celah-celah himpitan kekalutan fitrah itu, rupanya masih ada mereka yang mahu menagih sentuhan para dai’e. Mengharapkan si dai’e turun kepada mereka menunjukkan sinar untuk kembali ke asalan fitrah mereka.

“Macam mana nak dekatkan diri kepada ALLAH?”

Soal seorang penerima risalah dakwah semalam kepada seorang rakan ku. Kelu katanya. Mahu menangis rasanya. Mengenang diri yang langsung tidak mampu memikul amanah itu lantaran kekurangan dan kelemahan sendiri. Cuma dikuatkan dengan rasa tanggungjawab sahaja.

Teruskan wahai para dai’e sekalian!

Masih ada segelintir mereka yang mahukan sentuhan kalian.

Meminjam kata-kata seorang rakan blogger, maaf aku terlupa namanya tentang malam tahun baru dan lawak terancam yang menjadi kebiasaan kita semua. Malam tahun baru yang disulami berbagai persembahan kreatif suara dan fesyen oleh artis pujaan nafsu, turut di hiasi dalam kaca-kaca televisyen ucapan-ucapan menteri yang berkebajikan terhadap permasalahan sosial masyarakat Malaysia.

Mereka memuatkan dalam ucapan-ucapan mereka tentang harapan dari hati nurani mereka dalam soal pembangunan modal insan yang mapan dan sempurna. Mereka galak membicarakan soal permasalahan sosial remaja Malaysia dan harapan tahun baru untuk mengatasi masalah tersebut.

Dalam pada masa yang sama, mereka memberi permit dan lesen untuk menganjurkan puluhan ribu konsert di serata Malaysia dalam satu malam sambutan tahun baru. Terbaik!

Analogi nya, seorang petani merungut tentang kebunnya yang dimasuki babi hutan. Kasihan, rugi besar dia pada musim itu. Hampir kesemua tanamannya rosak angkara babi hutan. Tetapi, pada masa yang sama dia sendiri yang membuka pintu pagar utama kebun itu pada waktu malam untuk babi hutan itu memasukinya.

Itulah ceritera malam tahun baru. Sebuah epik yang sepatutnya pengarah filem di Malaysia cuba mengadaptasi nya di layar perak. Siapa tahu, kalau-kalau itu boleh pecah panggung?

Epik yang sentiasa berulang saban tahun. Epik yang tidak pernah kunjung tamat penceritaan nya. Epik yang menjadi saksi lahirnya berpuluh ribu anak yang tidak diperakui taraf sah mereka dalam kad pengenalan berwarna biru. Epik kisah malam tahun baru.

Epik yang tidak pernah cuba menghargai jerit perih seorang pengedar risalah dakwah. Epik yang membenarkan sesebuah tamadun fitrah itu runtuh dalam satu malam. Epik yang mementaskan sebuah lawak pak menteri yang enak di kerusi empuk menonton kebejatan masyarakat.

Epik yang sungguh KEJAM!

Cerita ini adalah dedikasi aku buat semua rakan-rakan yang membazirkan masa mengedarkan risalah haram kepada sebahagian masyarakat yang ghairah menyambut kelahiran tahun baru 2011.

Terima kasih buat semua sahabat-sahabat yang sanggup mengorbankan sebahagian besar masa dan tenaga pada malam sambutan tahun baru 2011 bagi menjayakan misi XPDC dakwah yang dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan JAWI.

Juga tidak lupa buat mereka yang menyertai XPDC dakwah yang dijalankan oleh Yayasan Amal Selangor dengan kerjasama JAIS, PDRM, ADK, RELA dan sebagainya.

Juga kebanyakan dialog di atas adalah hasil penceritaan sahabat-sahabat di FB yang aku ambil untuk dijadikan pengajaran bersama. Terima kasih buat yang sudi berkongsi pengalaman itu.

Moga usaha dan jerih kalian mendapat tempat di sisi Tuhan yang Esa.