Saturday, December 31, 2011

2011 Tahun Kebangkitan



Mungkin ini adalah artikel terakhir blog ini untuk tahun 2011. Pengakhiran 2011, sebuah tahun kebangkitan kebenaran, telah diwarnai dengan pelbagai ragam dan adegan masyarakat seluruh dunia bermula dari sekecil-kecil kisah kehidupan kepada sebesar-besar tersungkurnya kuasa tirani.

Entah mengapa, saya suka untuk berkongsi di sini kompilasi video pendek setahun 2011 oleh Google. Videonya pendek, namun cukup menarik dan lengkap untuk menggambarkan bagaimana dunia dicorak sepanjang 2011.

Jawapannya, mungkin kerana Google, ibu pencari maklumat utama di alam maya mengkompilasikan video tersebut. Maka itulah hasilnya.

Memang benar kata bijak pandai, tiada yang tidak berubah melainkan perubahan itu sendiri. Tahun 2011 telah menjadi saksi kepada kebangkitan rakyat marhean menuntut hak mereka yang telah ditindas oleh penzalim di tanah air sendiri. Kebangkitan itu berlaku tanpa gentar. Kuat merempuh hujan darah dan air mata kesakitan.

Hasilnya, mereka merdeka di tanah air sendiri. Bangkitnya sebuah kebenaran yang selama ini disenyapkan oleh sang penzalim.

Di mana-mana sahaja. Bumi menyaksikan sang penzalim telah melakukan pelbagai onar, merosakkan masa depan anak cucu mereka sendiri bagi mengembungkan perut dalam dan nafsu haloba mereka.

Bangkit – Bangun – Lawan


Satu demi satu, rejim penzalim di Timur Tengah jatuh dalam keadaan yang begitu hina. Rakyat menjadi hakim kepada kezaliman dan kebobrokan mereka terhadap khazanah negara. Bermula dari Tunisia merebak ke Mesir kemudian bersemarak di bumi Libya dan kini, terus memburu sang tirani di bumi Syiria dan Yaman.

Bumi itu bumi kinanah, buminya punya lautan ulama, para anbiya’ berkhidmat dan wafat di sana, namun sang penzalim berusaha mengubah tanah itu menjadi penyembah-penyembah sekularisme.

Ini cerita yang dimainkan oleh BBC, FOX, New York Times, agensi-agensi berita yang menjadi aparat kepada Zionis. Semacam hanya di bumi Tiur Tengah sahaja yang bergolak. Rakyatnya bangkit menolak sang pemerintah. Seakan tidak berlaku di tempat-tempat yang lain.

Bijak aparat-aparat ini memainkan peranan mereka.

Kerana mereka bimbang, dunia akan sedar tentang kebangkitan rakyat marhean di Amerika yang bangun menentang sistem Kapitalis. Mungkin BBC terlupa untuk menghantar wartawan mereka ke Wall Streets.

Occupy Wall Streets menjadi mercu 2011 adalah tahun bangkitnya kebenaran yang cuba disembunyikan oleh penguasa-penguasa dunia. Kebangkitan ini meresahkan imam-imam Kapitalis. Laungan ekonomi mereka semakin memualkan.

Rakyat marhean sedar akan kebodohan mereka selama ini bernaung di bawah suatu sistem yang sifatnya begitu keparat. Maka, tercetuslah revolusi. Mereka menuntut hak mereka dikembalikan.

Tuntutan ini disahut sekalian rakyat tertindas di seluruh dunia. Pemimpin negara pengamal kapitalis panas punggung melihat fenomena ini. Sepanyol, Itali, Australia, Greece, Perancis, Swizerland, Kanada dan pelbagai lagi tidak terkecuali. Rakyat yang celik dapat merasai penderitaan anak cucu mereka jikalau mereka tidak berani untuk bangkit pada tahun 2011 melawan sistem aparat ini.

Saya senyum lebar. Tugasan demi tugasan saya dan rakan-rakan aturkan dalam mencernakan isu kebangkitan unusual ini.

Rupanya rakyat juga punya hati dan perasaan. Fitrah manusia lahir sebagai insan merdeka. Memaksa mereka mengikut telunjuk secara membuta tuli bakal mengundang padah. Jikalau bukan sekarang, cuma tunggulah saat akan tiba.

Demokrasi Bingai di Malaysia


Tanah bekas jajahan British ini turut tidak terlepas dari haruman revolusi. Meski ianya dalam skala yang kecil, namun begitu bermakna sebagai batu asas kepada sebuah kebangkitan rakyat besar-besaran pada masa akan datang.

Umpama cakap seorang bijak pandai, demokrasi di Malaysia sudah boleh ditalqinkan. Rupanya begitu bingai. Lagaknya tempang lagi cacat cela rupanya. Demokrasi di Malaysia adalah demokrasi korupsi. Ianya cuma pada nama, isinya adalah pada timbunan wang ringgit milik Rosmah dan kerabat dalam simpanan bank.

9 Julai 2011 – BERSIH 2.0 adalah simbol kebebasan. Mungkin Google terlupa untuk meletakkan secebis gambar kenangan rakyat Malaysia disirami air kimia demi menuntut sebuah pilihan raya yang adil dan bersih dari segala tangan-tangan ghaib dalam video di atas.

Demokrasi di Malaysia cuma pada taraf lembu diternak dalam kondominium mewah. Demokrasi di Malaysia cuma pada sebentuk cincin berharga USD 24 juta milik Hajjah Rosmah.

Malaysia sudah bosan dengan menteri-menteri yang bingai, bongkak dan tamak. Menteri-menteri yang menganggap IQ rakyat Malaysia setaraf dengan lembu peliharaan Sharizat. Sungguh, ini amat memualkan.

Rakyat bukanlah menuntut Najib untuk tidak membenarkan isterinya memborong beg tangan di gedung-gedung fesyen di London atau Paris, tapi cukup dengan berusaha secara intensif mempraktiskan sebuah wajah demokrasi yang tidak menunjukkan toleransi terhadap amalan korupsi dan penyelewengan!

Cukuplah episod 2011 memalukan para pengkaji sejarah. Berubahlah, kembalikanlah sejarah kepada rakyat. Jujurlah dalam membina bangsa dan negara.

Walk The Talk


2012 yang bakal menjelma dalam beberapa jam sahaja lagi menuntut rakyat Malaysia membuat suatu perubahan drastik demi generasi mendatang. Sedarlah dari lena kalian. Sudah tiba masanya kita mengibarkan bendera kebebasan daripada cengkaman sang penzalim UMNO/BN.



Saya berkongsikan dengan kalian, keratan lirik Uprising nyanyian Muse :

♫♫ Rise up and take the power back,
♫♫ It’s time that the fat cats had a heart attack,
♫♫ You know that their time is coming to an end,
♫♫ We have to unify and watch our flag ascend…. ♪♪♪

Benar, inilah masanya. Jika #OccupyWallStreet percaya bahawa the only solution is world revolution, maka malulah wahai Malaysiaku. Mereka di luar sudah berangan tentang sebuah perubahan, malah sudah menggerakkan tulang empat kerat mereka untuk menuntut perubahan tersebut.

Kita di Malaysia bagaimana?

Jika kalian bertanyakan apakah “New Year Wish” saya, maka jawapannya adalah tumbangnya tirani UMNO/BN pada PRU-13 akan datang.

Selamat tinggal 2011. Selamat datang 2012.

Sunday, December 25, 2011

Rebel With Attitude – Adam Adli



Saya menujukan video istimewa ini kepada hero baru anak muda, Adam Adli yang pada mulanya hanyalah “Who is this freak guy?” kepada “Wow, this guy is really amazing!” pada hampir seluruh anak muda yang cintakan keadilan di bumi bekas tanah jajahan British ini.

Tidak salah untuk saya melabelkan Adam Adli sebagai Mohammad Bouzzazi versi Malaysia yang telah menjadi subjek percikan semangat manusia di Tunisia bangkit melawan rejim Zain Ali Al-Ebidin.

Di Tunisia, Mohammad Bouzzazi sanggup membakar dirinya untuk menyedarkan rakyat di sekitarnya bahawa makhluk yang sedang memegang tampuk kuasa di negara mereka adalah penzalim.

Di Malaysia, kita mempunyai Adam Adli yang tidak memandang bendera Najib itu sebagai dewa yang wajib diagungkan oleh setiap makhluk di muka bumi Malaysia sepertimana si Armand.

Rebel with attitude!

Sunday, December 11, 2011

Hina Islam Itu OK Di Malaysia

Tadi, baru sahaja menonton video “Alahai Bob” dan “Lagi Hudud PAS” yang banyak tersebar di Facebook dan youtube. Hangat.

Video dah cantik. Kualitinya HD.

Tapi sayang sekali apabila isinya adalah sampah, malah lebih keji daripada itu. Menghina hukum ALLAH memang senang diucapkan di bibir-bibir tapi kalian mesti ingat, paling lama pun manusia hidup di dunia ini adalah 100 tahun.

Selepas itu, Akhirat adalah selama-lamanya tanpa kita ketahui lansung bilakah pengakhirannya. Ianya kekal abadi. Jika kita berani berkata demikian untuk habuan hidup yang cuma lamanya 100 tahun, maka benarlah kata tuhan betapa manusia ini lebih bodoh daripada binatang peliharaan sedangkan mereka diberi akal dan serba macam pancaindera.

Saya tidak akan meletakkan video tersebut di blog ini, kerana ianya umpama saya menyebarkan dan mempromosikan perbuatan tidak berakal begitu. Layaknya dipanggil bodoh, tapi maklumlah Malaysia ini cukup mementingkan adab sopan dalam bercakap maka ini dikatakan kasar.

Tapi dalam hal melibatkan perbuatan menghina hukum Islam, mereka tidak pernah menyoalkan tentang adab.

Hina Islam Itu OK

Pelik di Malaysia, kerana bagi saya situasi ini cuma berlaku di tanah bekas jajahan British ini sahaja. Mungkin kerana daki yang ditinggalkan oleh penjajah British masih lagi digunapakai oleh sekumpulan umat Malaysia demi kepentingan mereka.

Maka tidak hairanlah kenapa hanya di Malaysia sahaja berlaku perkara pelik sebegini meskipun 60% penduduknya adalah beragama Islam.

Malaysia, saya tengok akan bangkit umpama tsunami apabila Nameewe berusaha menyampaikan lagu “Negaraku” versi kreatif dalam Youtube. Saya masih yakin, walaupun saya sendiri tidak suka dengan perbuatan tersebut namun bagi saya lagu “Negaraku” jika diubah dan dimainkan sesuka hati ianya masih lagi tidak sampai kepada membatalkan akidah saya.

Berbanding mereka yang berulang kali mempersoalkan hukum ALLAH dan mempermainkannya umpama dendangan lagu-lagu dangdut, maka saya kira mereka yang terlibat sudah boleh berkira-kira untuk mengucapkan semula kalimah syahadah dan bertaubat daripada perbuatan keji tersebut.

Bukan itu sahaja, banyak yang pelik di Malaysia. Mungkin di negara kafir laknat seperti Amerika dan Britain tidak canggung untuk menangkap dan menyumbat si perasuah ke dalam penjara. Tapi di Malaysia, bukan si perasuah tetapi si pelapor kepada polis itu yang ditangkap.

Mungkin juga hanya di Malaysia sahaja yang menangkap sang penceramah, seorang manusia yang cuba membawa keluar masyarakat sekeliling beliau daripada belenggu jahiliyyah atas alasan tiada tauliah. Namun pada masa yang sama mereka yang berkuasa dengan bebas dan senang hati memperbaharui lesen-lesen perjudian, kasino, kelab-kelab malam dan konsert-konsert mungkar setiap tahun.

Ya, mungkin kerana penyanyi tidak memerlukan tauliah. Dan ianya tidak salah dalam pandangan pemerintah untuk melakukan perbuatan sebegitu melainkan kalau ada rakyat marhean yang berceramah dan memberi kuliah, maka itu amat salah sama sekali.

Maka, menghina Islam di Malaysia adalah OK.

Ianya bukan satu kesalahan pada pandangan pemerintah. Saya berani katakan begitu, kerana jika tidak salah saya mereka yang bertanggungjawab menyiarkan video diatas sudah pun bertapak di bumi bekas jajahan British ini hampir bertahun lamanya.

Kenapa tiada tindakan diambil ke atas mereka?

Tiada laporan poliskah ke atas krew video tersebut?

Adakah menjadi suatu kesukaran yang amat sangat buat PDRM untuk menyiasat kandungan video tersebut, siapa pelakonnya, di mana lokasi lakonannya berbanding menyiasat video fitnah seks hitam putih Anwar Ibrahim?

Jawapan yang jelasnya ialah, menghina Islam di Malaysia itu OK. Kalau tidak OK dan bersalahan dengan undang-undang, maka sudah tentu pelakon dan krew video di atas sudah berada di kandang pesalah sekarang ini.

Kerana, sudah jelas video itu menghina Islam. Atau ada sesiapa di sini yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini?

Institusi Keagamaan Umpama Tunggul Kayu

Siapa mereka yang berada dalam kelompok institusi keagamaan Islam di Malaysia?

Biar saya senaraikan satu persatu institusi yang saya ingat:

  1. Yang Di Pertuan Agong dan Institusi Kesultanan Melayu
  2. Menteri di Jabatan Perdana Menteri
  3. JAKIM
  4. Jabatan-jabatan agama seluruh negeri
  5. Dan sila tambah sendiri..

Ke mana mereka semua ini?

Tidak kira lah samada sultan, atau menteri, atau pengarah JAKIM kalau semua diam maka menghina Islam itu OK di Malaysia.

Mereka adalah orang yang paling berautoriti dan bertanggungjawab atas isu ini. Saya cuma melontarkan sahaja, ikut suka hatilah pembaca nak menilai tulisan ini.

Adakah jikalau saya mengkritik institusi kesultanan melayu yang kononnya agama Islam adalah di bawah tanggungjawab mereka masih seperti tunggul kayu yang menanti reput apabila timbul isu sebegini dikira sebagai penderhaka?

Ohhh, saya rela digelar penderhaka daripada senyap umpama tunggul kayu yang reput melihat hukum-hukum syariat ALLAH dihina dan dipermainkan di bumi yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Sekali lagi, jikalau laporan-laporan polis yang dibuat ke atas krew video “Lagi Hudud PAS” ditongsampahkan maka tidak salah untuk Parlimen bersidang dan meminda Perlembagaan bahawa selepas ini bukan lagi menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk menghina dan mempermainkan Islam sewenang-wenangnya.

Dan pihak-pihak sultan yang menjadi ketua agama Islam di setiap negeri bolehlah memadam tugasan tersebut dari senarai jawatan mereka.

Malaysia ini bekas tanah jajahan British. Walaupun British sudah berambus ke tanah asal mereka, tapi kena ingat berapa ramai sudah pewaris mereka yang berjaya dilahirkan sejak kemerdekaan dahulu sehingga kini dan mereka kini sedang menakluki kerusi-kerusi penting di tanah air ini.

Mohon baca dengan akal dan penuh rasional.

Wednesday, October 26, 2011

The Freedom of Libya


Freedom is independence of the compulsory will of another, and in so far as it tends to exist with the freedom of all according to a universal law, it is the one sole original inborn right belonging to every man in virtue of his humanity.


This, then, is the state of the union: free and restless, growing and full of hope. So it was in the beginning. So it shall always be while God is willing, and we are strong enough to keep the faith.


The only way to deal with an unfree world is to become so absolutely free that your very existence is an act of rebellion.

Freedom is independence of the compulsory will of another, and in so far as it tends to exist with the freedom of all according to a universal law, it is the one sole original inborn right belonging to every man in virtue of his humanity.


In the process of gaining our rightful place, we must not be guilty of wrongful deeds. Let us not seek to satisfy our thirst for freedom by drinking from the cup of bitterness and hatred. We must forever conduct our struggle on the high plane of dignity and discipline.


There is no easy walk to freedom anywhere, and many of us will have to pass through the valley of the shadow of death again and again before we reach the mountaintop of our desires.

I put a pray on Libyan people, to see a bright atmosphere exist at Libya. We are not gonna put down a tyrant to replace it with another tyrant!

Last but not least, I want to quote a reminder from one of journalist - Dr. Larbi Sadiki,
"Libya lives on, deservedly free and proud - and forever sovereign through their glorious revolution. But for them, too, the challenge is to institute a democracy that seeks neither self-glory nor returns to corruption and oppression."

Sunday, October 16, 2011

Kembalikan Sejarah Kepada Rakyat

“Clearly, my two ancestors employed different strategies in dealing with the British. Was one a hero and the other are traitor? No, they were merely individuals trying to abide their adat while dealing with exigencies of global British power. The only way to fix this is for us to reclaim history for ourselves. Politicians must be removed from the process of writing the curriculum, and professor granted the academic freedom to include controversial viewpoints. Most importantly, the entire basis of the education system urgently needs to change from the rote learning of acceptable “facts” to the equipping of young brains to appreciate and analyse different opinions.”
- YAM Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz, founder of IDEAS

Tunku Zain Al-’Abidin merupakan putera kedua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz. Saya cukup tertarik dengan kenyataan sebegini yang keluar daripada mulut seorang putera raja yang begitu kontradik dengan suasana kehidupan dan status baginda.

Tuntasnya ucapan di atas ialah, bagaimana perlunya subjek Sejarah di negara kita dikembalikan kepada rakyat untuk dinilai secara rasional dan membuang sejauh-jauhnya segala virus doktrinisasi dalam sukatan subjek berkenaan. Ya, banyaknya tentang sejarah Malaysia.

Umum mengetahui bahawa polemik Sejarah ini telah menjadi suatu yang cukup mewarnai perjalanan setahun 2011 setelah TV3 dengan bantuan UMNO/BN sengaja memutarbelitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu ketika ceramahnya di Pulau Pinang.

Polemik ini telah memberi kesedaran yang begitu hebat dalam kalangan masyarakat. Ianya bukan cuma membuka mata pelbagai pihak untuk menilai pihak manakah yang cuba menipu rakyat malah hal ini membuka peluang kepada rakyat untuk menilai kembali fakta-fakta sejarah yang diajar dalam sukatan subjek Sejarah Tingkatan 4 & 5.

Mengapa Ada Diskriminasi?


Saya bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Mat Sabu tentang mengapa hanya tokoh-tokoh tertentu sahaja yang diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan dan ramai lagi tokoh-tokoh lain tidak disebut namanya sebagai pejuang kemerdekaan juga.

Bagi mereka yang pernah mengambil subjek Sejarah semasa di Tingkatan 4 & 5, sudah tentu kita amat terbuai dengan segala jasa dan curahan bakti yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan yang mempunyai kaitan dengan United Malay of Nationals Organisation (UMNO) berbanding tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan haluan kiri (kerana tidak menyokong British) yang turut mempertaruhkan nyawa dan keringat mereka demi kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu.

Jika kita menyelak hakikat ini, dan berfikir sejenak sudah tentu kita mampu menjawab persoalan di atas. Mengapa perlu ada diskriminasi?

Saya cukup yakin, Sejarah yang diajar di sekolah itu telah ditulis cukup signifikan dengan tujuan dan kehendak pemerintah yang menguasai Putrajaya sekarang. Malah jika Mat Sabu mendakwa bahawa sambutan kemerdekaan saban tahun makin menurun dan tidak meriah, sudah tentu sedikit sebanyak kita mengetahui bahawa inilah faktornya.

Menyambut kemerdekaan setiap tahun tidak berbeza sedikit pun dengan sambutan penubuhan UMNO. Mereka yang mempunyai susur galur keluarga para pejuang kemerdekaan seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong dan sebagainya sudah tentu akan terguris jika hanya tokoh dari UMNO sahaja dijulang setiap kali tibanya sambutan kemerdekaan.

Bahkan, sejarah sebenar terus cuba diubah dan dimanipulasikan dalam subjek Sejarah di sekolah-sekolah.

Sejarah Terus Menghukum


Jika dulu, mereka yang menentang British telah dicop sebagai pemberontak dan pengganas oleh penguasa ketika itu. Kini, keadaan nampak seakan tidak berubah sedikit pun. Sejarah yang di ajar di sekolah masih lagi mengutarakan alasan kuat British memburu Tok Kenali iaitu enggan membayar cukai berbanding membongkarkan niat jahat British mahu membunuh Tok Kenali kerana beliau merupakan Duta Khalifah Uthmaniyyah di Tanah Melayu.

Kenapa tidak menulis hal yang sebenar secara jujur dan penuh etika?

Hal ini makin menguatkan telahan saya di atas bahawa subjek Sejarah disusun sebegitu adalah amat signifikan terhadap cita-cita pemerintah yang terus-menerus mahu menguasai Putrajaya. Bukan hanya cerita tentang Tok Janggut sahaja boleh dijadikan bukti bahawa Sejarah di sekolah-sekolah terus mengukum para pejuang sebenar kemerdekaan, perkara yang sama turut terjadi kepada ramai lagi tokoh-tokoh yang lain.

Jika pembaca rajin menyelak dan mencari fakta-fakta sejarah, sudah tentu kalian akan terperanjat dengan kenyataan bahawa kumpulan yang pertama yang memperkenalkan laungan “Merdeka” ialah mereka yang dituduh pengganas oleh British iaitu Dr. Burhanuddin Helmi dan rakan-rakannya.

Dikhabarkan ketika Dr. Burhanuddin Helmi dan rakan-rakannya bersusah payah menyedarkan kaum Melayu ketika itu tentang cita-cita memerdekakan Tanah Melayu, Dato’ Onn dan pimpinan UMNO ketawa mendengar idea tersebut.

Mereka ketika itu masih sibuk denga laungan “Hidup Melayu” sedangkan mereka buta bahawa setiap hari British telah membawa keluar berjuta-juta kekayaan hasil bumi Tanah Melayu ke negara mereka!

Kemudian mereka dengan enak sekali menikmati hasil penat lelah dan lelehan darah para pejuang kemerdekaan yang sebenar dengan pelbagai sanjungan dan pengiktirafan biarpun hakikat sebenar mereka cuma pergi mengadap penguasa British di benua Eropah bagi menuntut kemerdekaan yang sekian lama telah diusahakan oleh pejuang haluan kiri.

Saya menulis sebegini bukan bermaksud saya menafikan peranan UMNO dalam memerdekakan Tanah Melayu, tetapi cuma mahu memberi rasa sedar dan bersalah kepada mereka yang menyusun silibus Sejarah yang terus menerus menghukum para pejuang haluan kiri tanpa cuba mendedahkan kebenaran yang sebenar.

Biarkan Sejarah Bernafas Dengan Bebas


Ucapan Tunku Zain Al-’Abidin di atas sewajarnya diambil perhatian oleh semua pihak. Kembalikan sejarah kepada rakyat. Malaysia tidak akan maju dengan warga yang dikongkong pemikiran mereka dan dipaksa untuk menerima sesuatu fakta tanpa diberi peluang untuk mereka menilai dan menyatakan pendapat mereka sendiri.

Bebaskan akademia, biarkan mereka berpencak dengan keintelektualan mereka secara aman daripada sebarang tekanan kepentingan politik sesiapa sekalipun. Buktinya, memperalatkan para cerdik pandai sehingga memaksa mereka mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British jelas membuatkan rakyat makin menyedari bahawa pemerintah sekarang sudah mula sedikit demi sedikit menuju ke pusara selama-lamanya.

Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan menggubal silibus Sejarah yang baru. Jika ada yang bertanya apakah subjek Sejarah masih lagi relevan untuk terus diajar di sekolah-sekolah, jawapannya sudah pasti relevan dengan bersyarat iaitu kandungannya diteliti semula dan diperbetulkan segala fakta yang menyeleweng.

Biarkan helaian sejarah itu bernafas dengan bebas. Frasa telus dan adil itu seharusnya ada dalam diri mereka yang bertanggungjawab terhadap perkara ini. Sejarah bukan hanya bertujuan melahirkan pelajar yang menghafal dan menerima fakta-fakta itu tanpa perlu berfikir, sepatutnya subjek itu mampu menatijahkan para pelajar ke arah lahirnya generasi yang mempunyai semangat patriotik matang dan demokratik.

Wawasan 2020 itu pasti tidak akan tercapai dengan hanya kemajuan teknologi dan industri semata-mata jika masyarakat negara kita masih lagi tertutup minda mereka, terkongkong dengan feudalisme yang membabi buta, kekejangan dengan semangat patriotik acuan UMNO dan terus menerus membiarkan diri sendiri ditipu dengan fakta sejarah yang serba cacat.

The only way to fix this is for us to reclaim history for ourselves!

Friday, October 14, 2011

Forever and Always!


Dream what you wanna dream,
Go where you wanna go,
Love who you need to love,
Know what you wanna know,
Think what you're gonna think,
Say what you're gonna say,
Be who you wanna be,
Forever and always.

ATA, 14 Oktober

Tuesday, September 27, 2011

Usah Bercakap Umpama Sampah, Aspirasi UKM!

Saya begitu tergerak untuk memberi sedikit respons kepada artikel yang disiarkan dalam sebuah media milik Sekretariat Aspirasi UKM, Media Kampus UKM mengenai penafian mereka tentang kenyataan bahawa Aspirasi itu sebuah kelab politik yang begitu aktif di bumi UKM.

Padahal, secara hakikatnya kalian menulis artikel penafian tersebut telah menyerlahkan bahawa Aspirasi merupakan sebuah kelab politik secara terang-terangan. Ini dinamakan sebagai politik murahan. Kalian menjual nama Aspirasi selama ini atas kapasiti sebuah parti politik yang menjadi salah sebuah rakan persaingan merebut kerusi dalam Pilihan Raya Kampus saban tahun semenjak kalian menggunakan nama Tindakan Siswa Bersatu (TSB) lagi.

Tiba-tiba, hari ini kalian menafikan bahawa Aspirasi bukan kelab politik.

Kalian menghantar calon dalam pilihan raya kampus atas tiket Aspirasi, berkempen dengan risalah-risalah berlogo kan Aspirasi, memakai baju-baju Aspirasi ketika berkempen, menjeritkan slogan-slogan Aspirasi ketika berkempen, mencipta photo badge “Belajar Lebih Baik” dengan logo Aspirasi ketika musim pilihan raya, malah kalian mencipta sebuah blog khas MPP Aspirasi kemudian hari ini kalian cuba memperbodoh kan rakan-rakan saya di UKM dengan menulis artikel sebegitu.

Politik murahan teman!

Tapi saya juga tertarik dengan “kebijaksanaan” kalian mempermainkan pentadbiran UKM dengan begitu sahaja.

Bayangkan, kalian secara sah berdaftar di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM sebagai salah sebuah persatuan dengan menggunakan nama Sekretariat Aspirasi UKM kemudian kalian dengan hebatnya mampu menghantar calon-calon bertanding dalam pilihan raya kampus atas tiket Aspirasi!

Ini adalah gambar semasa penamaan calon PRK 2011 ye!

Syabas, kerana bukan mudah untuk kami dari Gabungan Mahasiswa mahu berbuat sedemikian rupa. Kami diherdik dengan nama persatuan haram kerana tidak berdaftar tetapi tidak haram untuk menghantar calon dan bertanding dalam pilihan raya kampus secara sah.

Tapi, Sekretariat Aspirasi UKM yang berdaftar boleh pula menghantar calon secara terang-terangan dalam pilihan raya kampus. Bijak sungguh kalian memperbodoh kan pentadbiran UKM.

Sedangkan peraturan jelas melarang sebarang persatuan yang berdaftar untuk menghantar calon bertanding dalam pilihan raya kampus.

Atau saya yang silap, tidak faham konteks peraturan itu secara tuntas. Mungkin.

Saya amat yakin, artikel itu memang dituju khas buat rakan-rakan mahasiswa tahun 1. Usahlah wahai rakan-rakan Aspirasi, untuk terus cuba memperbodoh kan rakan-rakan saya itu dengan kenyataan tidak ‘jantan’ sebegini.

Mungkin hari ini mereka percaya, tetapi sampai bila?

Esok, bila mereka sedar wajah sebenar Aspirasi sudah tentu mereka akan merasa jijik dengan perbuatan memperbodoh kan mereka ini. Mereka akan meluat, dan saya sudah tentu lagi meluat dengan hipokrasi kalian!

Saya mempunyai ramai rakan-rakan yang memperjuangkan hasrat dan ideologi Aspirasi. Termasuklah beberapa orang teman sekuliah saya sendiri. Saya amat-amat menghormati pendirian mereka untuk mendukung ideologi Aspirasi. Teruskan jika itu yang kalian yakin dan baik untuk kalian.

Kita sama-sama perkayakan suasana demokrasi dalam kalangan mahasiswa UKM. Usahlah terus bersembunyi di sebalik nama sebagai persatuan yang berdaftar. Tapi kalian terus menerus berlagak umpama sebuah parti politik.

Saya memandang perkara ini sebagai memalukan pentadbiran UKM. Secara tidak langsung ia membuktikan bahawa pentadbiran UKM begitu lemah untuk menghalang persatuan yang ‘berdaftar’ ini dari terus menjadi parti politik setiap kali berlangsungnya pilihan raya kampus.

Di mana pentadbiran UKM meletakkan sikap mereka dalam isu ini?

Atau mungkin juga hal ini membuktikan mahasiswa yang hebat memperjuangkan ideologi Aspirasi selama ini telah diperkuda kan oleh segelintir mereka yang berada dalam pentadbiran UKM demi kepentingan politik mereka?

Sebab itulah Aspirasi telah “dibenarkan” menjadi parti politik dalam pilihan raya kampus demi mencapai matlamat mereka yang sebenar.

Saya tidak menuduh, cuma ini telahan sahaja. Mohon faham!

Sekali lagi saya ulang, di sini cuma ada 2 kemungkinan sahaja kenapa Aspirasi yang berdaftar di bawah HEP secara sah itu boleh menghantar calon mereka bertanding dalam pilihan raya kampus iaitu samada Aspirasi begitu “bijak” mempermainkan pentadbiran UKM dan membuktikan pentadbiran UKM benar-benar lemah atau ada segelintir mereka yang berada di peringkat pentadbiran telah mencatur dan memperkuda kan mahasiswa dengan menggunakan nama Aspirasi demi kepentingan peribadi dan politik mereka.

Kepada rakan-rakan saya di sebelah sana, berhentilah dari terus menjadi hipokrit. Dulu, kini dan selamanya mahu membohongi dan memperbodoh kan mahasiswa UKM.

Jangan takut dengan bayang-bayang sendiri. Anda mahasiswa, bukan budak sekolah. Janganlah memalukan UKM dengan kualiti produknya yang begitu rendah nilai dan integriti di mata masyarakat.

Shut your mouth. Diam lebih baik daripada terus mengeluarkan kenyataan bermuka-muka sebegitu.

Jika tidak berani untuk mengaku sebagai kelab politik, TOLONG jangan menggunakan nama Aspirasi untuk menghantar calon bagi pilihan raya kampus akan datang. Jika tidak, artikel penafian kalian itu tidak lebih sekadar sampah sarap yang menyerabutkan pemikiran rakan-rakan mahasiswa UKM lagi!

Ber-GM Lebih Baik!

Friday, September 16, 2011

UNDILAH, Because You're The Boss!


Terbaik, cukup untuk menggambarkan kempen UNDILAH oleh sekumpulan artis, blogger dan juga beberapa orang ahli parlimen yang terlibat dalam pembikinan kempen ini.

Bukan senang untuk Malaysia melahirkan sekumpulan komuniti masyarakat yang benar-benar sedar akan kepentingan rasa bertanggungjawab untuk mendaftar sebagai pengundi terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.

Hangat berbicara soal politik.

Geram itu dan geram ini.

Tapi, mendaftar sebagai pengundi apabila layak pun tidak.

Jom layan!



54 tahun Malaysia merdeka, barulah kesedaran ini nampak semakin meningkat. Perlu kita ingat, tanah ini bukan milik UMNO dan sekutu!

Oleh itu, aku cukup yakin penambahan mereka yang sedar akan tanggungjawab mengundi mampu membanteras sedikit sebanyak aktiviti “mengimport” pengundi segera dari negara luar yang begitu rancak berjalan pada waktu ini. Tidak percaya?

Maka, aku menyeru rakan-rakan untuk turut sama merancakkan kempen ini.

Malaysia akhirnya mengiktiraf Nameewe, yang dulunya dikecam sedemikian rupa. Aku bukan peminat Nameewe, tapi aku terinspirasi dengan cita-citanya yang mendambakan sebuah perubahan pemikiran di Malaysai yang jelas sentiasa dan sentiasa diperbodohkan oleh UMNO dan sekutu.

54 tahun kita melaungkan merdeka, tiba-tiba kita diberitahu oleh pemerintah bahawa kita tidak pernah dijajah!

Dan aku cukup yakin, jika kita terus mengekalkan mereka yang nyanyuk ini, maka generasi mendatang akan terus diperbodohkan selama-lamanya. Kalian rela terus diperbodohkan oleh UMNO?

Sila jawab dengan mendaftar sebagai pengundi dan memilih mereka yang benar-benar layak memimpin Malaysia.

Teringat bait-bait puisi Kepada Cendekia Solidar garapan Pak Samad,

Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka.

Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya
dengan media gergasi pertajam taring dustanya.

Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.

Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.

Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.

Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.

Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.

Kita pula bagaimana?

Aku kembalikan persoalan di atas kepada semua yang membaca blog usang ini.

Sila klik LIKE pada fanpage kempen UNDILAH dan jangan lupa layari website mereka, UNDILAH.COM sebagai tanda anda menyokong.

Wednesday, September 14, 2011

Doaku Buat Adik Fathulrahman

Fathulrahman (kiri) dan Iswandi (kanan)
Semalam, adik Fathulrahman mula bergelut dengan kertas-kertas peperiksaan UPSR. Dia pernah memberitahu aku, cita-citanya mahu mendapat 5A dan menyambung pengajiannya di Sekolah Sains Kuching.

Aku doakan cita-cita adik tercapai. Cukup terkilan, kerna tak mampu untuk bertemu dengan dia sebelum dia menghadapi UPSR.

Aku sampaikan doa dari jauh, moga-moga Tuhan per mudahkan segala urusannya untuk menjawab soalan dalam helaian kertas-kertas ujian itu.

Juga buat adik-adik Segubang yang turut menduduki peperiksaan UPSR bermula semalam, aku doakan kalian berjaya dengan cemerlang!

ATA, 17 Syawal 1432H

Tuesday, August 23, 2011

Tersungkurnya Rejim Tirani

Alhamdulillah. Allahuakbar!

Maha kuasa tuhan yang memegang setiap pergerakan hatta sebutir pasir di alam ini. Semalam rejim Gaddafi akhirnya tumbang di tangan rakyat yang mahukan kebebasan daripada cengkaman sang penzalim, rejim tirani. Mungkin pada kertas namanya kumpulan itu pemberontak. Media-media akan melabelkan mereka sebagai pemberontak.

Pemberontak ini buruk wajahnya. Ya, mereka memang buruk jika kita juga termakan dengan kempen pembodohan yang sedang dijalankan secara besar-besaran di setiap media.

Tapi mereka adalah pemberontak yang lahir akibat tekanan yang maha kuat daripada sang penzalim. Mereka bangkit untuk mengubah, kerana resmi dunia kalau bukan mereka yang mengubah nasib mereka sendiri, maka siapa lagi?

Mahu mengharapkan negara jiran Arab yang lain?

Atau mahu menaruh harapan kepada Piagam Keselamatan PBB untuk membebaskan mereka?

Tiada jawapan buat persoalan di atas, melainkan cuma mereka perlu bangkit melawan dan menghancurkan segala halangan yang menjadi benteng kepada cita-cita perubahan itu.

Memang kejatuhan Gaddafi tidak menjanjikan secara total bahawa Libya akan menjadi aman dan makmur. Tetapi itu menjadi bahan pembakar kepada seluruh rakyat dunia yang menonton aksi mereka untuk percaya dan yakin bahawa setiap rejim yang zalim di atas muka bumi ini PASTI tidak akan bertahan untuk selama-lamanya.

Zalim si tirani itu bukan sedikit. Jika tidak, mana mungkin rakyat Mesir begitu benci kan Hosni Mubarak.

Jika tidak, mana mungkin rakyat Tunisia begitu benci kan Zine Al-Abidin Ben Ali.

Jika tidak, mana mungkin rakyat Libya begitu benci kan Muammar Gaddafi.

Mereka ada wakil yang sanggup bangkit menjadi tunjang kepada kebangkitan keseluruhan rakyat yang lain. Mereka terinspirasi dengan mujahadah kumpulan yang begitu sedar akan kebobrokan sang tirani yang memerintah.

Maka, mereka memilih untuk menggantikan sang tirani dengan wajah pemimpin yang sebenar.

Ramadan 1432H menjadi tarikh keramat buat rakyat Libya yang begitu mahukan perubahan. Inspirasi mereka nyata telah merobohkan pasukan bersenjata yang dipimpin Muammar Gaddafi.

Pertama, si Ben Ali jatuh tersungkur, diikuti rakan sejiwanya Hosni Mubarak yang turut tersungkur dek solidariti rakyat di Medan Tahrir.

Semalam, giliran Gaddafi pula jatuh tersungkur. Masa dunia cuma menunggu putaran itu tiba pada sang tirani yang berpangkalan di Yaman pula iaitu Ali Abdullah Salleh.

Benarlah janji ALLAH dalam kitab-Nya,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan pada sesiapa yang engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang engkau kehendaki, dan Engkau jugalah yang menghina sesiapa yang engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sahajalah ada segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha kuasa atas setiap sesuatu.” 
ali-Imraan: 26

Kembali kita di realiti Malaysia, mungkin kah cita-cita perubahan itu akan termakbul?

Teringat akan pengisahan Badar al-Kubra. Jika sebelum Rasulullah SAW mengeluarkan arahan untuk menyambut gendang perang pihak musyrikin, Baginda telah bertanyakan pendapat para sahabatnya.

Ansar diwakili oleh Saad bin Muadh dan Muhajirin diwakili oleh Miqdad bin Al-Aswad bangun menyatakan kesanggupan untuk hidup dan mati bersama Rasulullah SAW merealisasikan cita-cita tertegak nya sebuah haq.

Dan kini, sekumpulan rakyat penuh sedar di Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman bangkit mewakili komuniti mereka menentang sang penzalim.

Berbalik persoalan ini kepada diri kita, siapakah yang sanggup menjadi wakil kepada umat Malaysia untuk bangkit menentang segala pencak kezaliman yang sedang bebas menari di tanah air ini?

Jangan kita menutup mata, dengan cuma memandang rejim di Arab sahaja yang zalim dan mengesampingkan segala duka kezaliman yang sedang barah di Malaysia.

Mungkin ini masanya untuk kita membuka semula mata itu sempena Ramadan yang barakah ini.

Berdoalah agar kita terus komited dengan cita-cita perubahan!

Monday, August 22, 2011

Dalam Mihrab Cinta Ramaḍān

Semalam, ALLAH memberi kesempatan untuk aku dan Faisal hadir ke majlis berbuka puasa dan usrah bersama Abi di UKM. Kalau dikira-kira, sudah agak lama aku tidak bertemu dengan Abi. Rindu dengan celoteh Abi?

Mungkin.

Pertemuan sebegitu memang sewajarnya untuk aku hadir kerana itulah tempat untuk menilai balik diri yang penuh dengan dosa. Alhamdulillah, perkongsia dua hala semalam banyak memberi sesuatu yang lain kepada jiwa ini. Bertemu dengan abang-abang dan kakak-kakak yang dulunya pernah menenking serta ‘menyeksa’ aku dan rakan-rakan adalah umpama mengembalikan memeori lama.

Allahurabbi, semalam Abi membuka persoalan tentang puasa tahun ini. Apakah yang kami dapat sepanjang puasa tahun ini. Setiap seorang disuruh untuk respon, dan masing-masing diminta memberi tema kepada jawapan tersebut.

Pelbagai. Bermula dengan puasa itu dugaan, kesungguhan, berdikari, nafsu dan sebagainya. Aku merancang untuk menyebut tentang cinta. Haaa, lain sikit. Tapi sayang, sebahagian daripada kami tidak berkesempatan untuk berkongsi kerana Abi terpaksa pulang awal dan waktu berbuka semakin hampir.

Kenapa cinta?

Tajuk artikel diatas seakan familiar dengan semua orang. Dalam Mihrab Cinta itu sudah tidak asing dalam kalangan penggemar filem cinta yang berunsurkan islamik.

Aku cuma menambah cinta Ramadan. Mungkin sebenarnya, subjek penceritaan kali ini tertumpu pada rasa takjubku terhadap pengalaman yang baru melayan golongan masyarakat yang tidak bernasib baik di Masjid Jamek Kuala Lumpur dalam sebuah program anjuran Reach.org.

Suasana program yang diuruskan oleh segolongan manusia yang cukup berbeza daripada apa yang aku fikirkan sebelum ini pada program-program sebegini.

Inilah cinta Ramadan. Program jalinan kasih bersama golongan homeless di sekitar bandar Kuala Lumpur ini umpama manifestasi cinta Ramadan buat seluruh manusia di dunia. Konsepnya cukup mudah, cuma mengumpulkan seberapa ramai homeless, kemudian diberi makanan percuma secara mewah dan diselangi dengan sedikit pengisian rohani.

Kebajikan!

Susah untuk menyaksikan suasana sebegini di Malaysia. Seingat aku, NGO yang berperanan secara khusus dalam hal kebajikan secara sukarela ini tidak banyak di negara kita. Lain halnya di UK atau kebanyakan negara Eropah yang mempunyai ratusan NGO yang ditubuhkan hanya bertujuan untuk menolong golongan homeless, pelayan kelab-kelab malam, pelacur-pelacur yang terbiar secara sukarela.

Ini manifestasi cinta. Ramadan datang dengan pakej cinta. Jadi tidak hairan kenapa golongan masyarakat yang tidak bernasib baik ini mendapat rahmat dari cinta Ramadan.

Rahmat cinta Ramadan bukan hanya melimpah pada golongan homeless, tetapi aku cukup merasakan betapa mereka yang menguruskan program ringkas itu benar-benar disuburi dengan cinta Ramadan.

Jujurnya, aku terkejut melihat rakan-rakan yang datang menjadi sukarelawan dalam program ini. Kebanyakannya jauh dari sangkaan awal aku. Mereka ada yang Kristian, Buddha, free hair walaupun muslim dan sebagainya.

Alhamdulillah, ini bukti cinta Ramadan.

Ia tak mengenal siapa. Datangnya membawa seribu rahmat buat alam keseluruhannya. Jika kesedaran itu dipohon untuk datang kepada kumpulan sasaran, ya ALLAH biarlah kesedaran itu juga turut meresapi hati-hati para sukarelawan yang mulia itu untuk menjadikan Engkau sebagai Tuhan yang esa.



Ramadan sudah hampir berlalu pergi. Mungkin sedikit muhasabah buat diri sendiri dan sesiapa sahaja yang membaca blog ini. Moga kita masih lagi mampu meraih cinta Ramadan di saat-saat terakhir ini. Meraih keampunan sebelum tiba garisan penamat buat kali ini.

Kita hamba yang serba serbi lemah. Kita tidak punya apa-apa melainkan secebis iman yang renyuk di sini sana dan nafsu yang cukup kuat dilatih syaitan.

Ampunilah dosa-dosa kami ya ALLAH sepanjang Ramadan ini.

Friday, August 19, 2011

Terima Kasih Affan Ruslan

Alhamdulillah, syukur aku pada-Mu ya ALLAH atas kurniaan rezeki ini. Tak berharap lansung, namun Dia tahu bila hamba-Nya amat memerlukan bantuan dan pertolongan. Aku menang giveaway anjuran Affan Ruslan, bakal jurutera perisian yang sedang menuntut ilmu di bumi Kanada, betul kan?

Mungkin ada yang kata, ini cuma sekelumit giveaway saja… Atau, oh menang giveaway domain name ya?

Tak mengapa, bagi aku ini cukup berharga.

Insya ALLAH, akan ku gunakan hadiah ini untuk merealisasikan impian menaiktaraf blog ISIUKM. Dah lama merancang, hari ini Dia bagi ‘cash‘ kepada aku. Terima kasih ya Saudara Affan Ruslan, pemilik blog Critical Angle atas hadiah yang tidak disangka-sangka ini.

Moga rahmat Ramadhan ini sentiasa melimpahi kita semua.

Tuesday, August 16, 2011

2 Tahun Time To Change

Hari ini, 16 Ogos 2011. Seakan sudah agak terlambat untuk aku menulis sesuatu sempena sambutan dua tahun genapnya blog +Time To Change berada di pelayaran internet dunia.

Blog ini dibina pada 3 Ogos 2009, bermakna kira-kira 13 hari aku terlewat dari tarikh sepatutnya artikel ini ditulis. Tak mengapa, itu cuma teknikal sahaja. Apa yang penting, aku mampu untuk mecoret sesuatu di sini insya ALLAH.

Secara kasarnya, kira-kira umur blog ini sudah pun menjengah 2 tahun lamanya. Alhamdulillah, Dia masih lagi memberi kekuatan kepada aku untuk terus menulis dan mencoret segala macam perkara di sini tanpa rasa jemu.

Seingat aku, walaupun ia tergolong dalam kalangan blog yang ‘jarang-jarang’ update namun aku bersyukur kerana setiap bulan aku masih lagi diberi kekuatan untuk menulis walaupun satu artikel.Jika dulu, blog ini terkenal dengan emosi politiknya, kini mungkin wajah itu tampil dengan sedikit berbeza dari sebelumnya jika pembaca-pembaca perasan.

Aku menggunakan frasa ‘emosi politik‘ kerana terkenangkan rakan blogger aku yang cukup dikagumi iaitu Tengkorak Emas yang kini sedang dalam tempoh latihan maritim pernah mengungkapkan itu kepada aku dalam sebuah artikelnya.

Aku pernah menulis sebelum ini yang blog kecil ini adalah sebagai salah satu wadah untuk aku meluangkan sedikit masa kepada Islam. Masih terasa kesegaran kata-kata itu dalam keadaan aku sentiasa memperingatkan diri aku akan tujuan sebenar aku membina blog ini.

Alhamdulillah, rasanya aku masih lagi di dalam laluan untuk menuju ke arah cita-cita tersebut.

Setahun yang lalu, aku menulis artikel yang serupa. Aku mengulangi kata-kata ini saban tahun, dengan harapan ianya akan sentiasa memperingatkan diri sendiri akan cita-cita di atas.

Malah, dua tahun yang lepas aku menulis dalam artikel yang pertama,

“Give a second to think about Islam…. How much you are ready yourself to be mujahidden?? This is time to change ourself… insya ALLAH….”

Kini adalah zaman generasi Y. Sebuah zaman di mana media baru menjadi medan “peperangan” yang cukup perlu untuk disertai. Blog adalah cabang kepada media baru yang begitu popular dalam kalangan masyarakat dunia.

Sejarah dunia menyaksikan, blog dan media-media baru yang lain termasuklah Facebook dan Twitter telah menjadi senjata yang begitu menakutkan sehingga telah menjatuhkan rejim-rejim di Timur Tengah.

Insya ALLAH, maka aku turut berazam untuk terus menulis dan menulis, membina kesedaran dan pencerahan buat masyarakat, memanfaatkan setiap ruang kebebasan bersuara di dalam dunia blog untuk menjayakan sebuah cita-cita perubahan di bumi Malaysia ini.

Mungkin ada yang akan berkata, setakat blog yang terpencil sebegini – usah beranganlah!

Ya, mungkin terpencil. Tapi aku optimis pada sebuah janji bahawa setiap usaha itu pasti tidak akan disia-siakan oleh Tuhan yang Maha Adil.

Aku insaf dengan usaha sang pipit yang berusaha memadamkan api marak yang membakar batang tubuh Nabi Ibrahim tatkala baginda dihukum oleh Namrud dengan hanya menggunakan paruhnya yang maha kecil itu untuk mengangkut air sehingga perbuatannya itu ditertawa oleh para malaikat yang melihatnya.

Bahkan, itulah usaha yang dipandang tinggi di sisi ALLAH.

Sebagai muhasabah bersama, moga-moga Ramadhan ini memberi kekuatan unuk kita terus komited dengan cita-cita mahu menyelamatkan sebuah generasi masyarakat di bumi Malaysia. Aku berada di sini, dengan kuasa blog yang kecil ini akan terus berusaha ke arah cita-cita itu.

Doakan aku teman!

Adik-adik aku di kampus, yang baru mengenal dunia blog sering bertanya pada aku bagaimana mahu menjadi blogger yang effektif. Aku tiada jawapan yang tepat atau khusus, kerana aku pun bukanlah ahli dalam hal ini.

Aku cuma menjawab, jadilah diri kita yang sebenar ketika menulis. Be yourself, the way you are.

Insya ALLAH, kalian akan berpuas hati dengan cara kalian.

Kita cuma sebahagian yang kecil, daripada mereka yang bercita-cita mahu melihat sebuah perubahan di Malaysia. Jika 100% itu dijadikan ukuran, mungkin kita cuma tidak sampai 1% sumbangannya ke arah itu. Namun, sedar dan insaflah betapa kita sudah berusaha ke arah itu.

Kita juga termasuk dalam kalangan yang berusaha menjayakan cita-cita perubahan itu.

Walaupun cuma kerdil pada pandangan yang lain, biarkanlah mereka.

Teman, doakan aku terus komited dengan cita-cita ini. Biarlah wujudnya blog Time To Change ini turut mampu membantu aku menjawab di depan Tuhan kelak, menarik aku daripada dibakar neraka dan memudahkan urusanku di titian Siraatul Mustaqim. Siapa tahu?

Ya ALLAH, berikanlah kefahaman kepada mereka yang membaca blog ku ini agar mereka memahami setiap aksara yang aku coret di sini mudah-mudahan ianya menjadi saham buatku di Akhirat kelak!

Monday, August 15, 2011

Menarilah dan Terus Tertawa

♫♫ Menarilah dan terus tertawa
♫♫ walau dunia tak seindah dunia
♫♫ bersyukurlah pada Yang Kuasa
♫♫ cinta kita selamanya…. ♪♪♪

Indah bait lagu di atas. Saya kira semua pembaca sudah dapat meneka tajuk lagu di atas tanpa perlu berfikir panjang. Lagu yang ringkas, dinyanyikan dalam suasana penuh gembira oleh sekumpulan kanak-kanak yang membawa harapan, tetapi mempunyai maksud yang cukup mendalam.

Dan saya salah seorang yang cukup tersentuh dengan bait demi bait lagu ini.

Lagu di atas, cuba menyuruh kita bergembira. Walau pada hakikatnya kita menderita pada waktu itu. Kerana sepedih mana sekalipun penderitaan kita waktu itu, hakikatnya kita masih lagi mempunyai cinta dari Tuhan yang Esa yang sepatutnya tidak kita lupa sama sekali.

Saya mahu berkongsi, sebuah cerita bagaimana Rasulullah SAW sentiasa menghidupkan suasana bergembira dengan sahabat-sahabat baginda.

Diceritakan dari Anas bin Malik RA, salah seorang sahabat baginda ialah Zahir yang merupakan pemuda Badwi sentiasa menjadi bahan gurauan Rasulullah. Pernah baginda datang secara senyap-senyap di belakang Zahir dan memeluknya sedang dia menjual barangan dagangannya dari belakang.

Zahir tertanya-tanya siapakah gerangan orang yang memeluknya dari belakang itu kerana dia tidak dapat berpaling untuk melihatnya sendiri.Setelah dia tahu bahawa yang memeluknya adalah Rasulullah, dia terus mendiamkan diri dan membiarkan baginda terus memeluknya. Bukan senang untuk mendapat peluang sebegitu dengan kekasih ALLAH bukan?

Kemudian dengan nada bergurau, Rasulullah mengangkatnya dari belakang sambil berkata, “Siapakah yang mahu membeli budak ini?”

Bah, setiapkali saya membayangkan cerita ini saya akan tertawa sendirian. Gaya baginda seakan sama sepertimana kami bergurau sesama kami. Alangkah indahnya jika kita berpeluang untuk bergurau sebegitu dengan Rasulullah.

Entah kenapa saya tiba-tiba ingin berkonsi segala macam ini. Mungkin kerana inilah kali pertama saya merasa cukup gembira ketika sedang menulis blog. Mungkin disebabkan itulah saya sanggup menulis semua ini dan mencoret rasa gembira ini untuk dikngsi bersama.

Perasaan saya bercampur baur. Apabila merenung bait lagu di atas, dan membaca kisah baginda rasulullah bergurau saya menjadi tidak keruan. Lagu itu memberi kekuatan kepada saya, cerita di atas turut memberi kekuatan kepada saya dan coretan ini turut memberi kekuatan kepada saya meski hanya Tuhan sahaja yang tahu caritan pedih di dalamnya.

♫♫ Cinta kepada hidup
♫♫ memberikan senyuman abadi
♫♫ walau dunia kadang tak adil
♫♫ tapi cinta lengkapi kita…. ♪♪♪

Moga saya terus mampu tersenyum dan ketawa, menikmati hidup ini dengan penuh rasa cinta pada sesiapa sahaja.

Oh ya, mungkin kalian tertanya-tanya kenapa saya mengatakan inilah kali pertama saya merasa cukup gembira ketika sedang menulis blog. Selama ini saya juga gembira, tetapi kali ini saya merasa cukup puas.

Alhamdulillah, dua tiga hari ini saya diberi kesempatan untuk membantu beberapa orang rakan “menaiktaraf” blog masing-masing. Saya cuma cuba berkongsi sedikit ilmu yang saya ada. Tetapi rasa puas itu ternyata sukar dibendung apabila melihat hasilnya di depan mata. Saya mengaku yang saya bukanlah “ahli” dalam dunia blog, apatah lagi mahu menjadi sifu kepada yang lain.

Tetapi hasil perkongsian demi perkongsian, saya dan rakan-rakan mencari penyelesaian bersama-sama nyata memberi saya ekstra rasa gembira. Dan hasilnya, saya mendapat suatu kepuasan tersendiri sepanjang saya menceburi dunia blog ini.

Alhamdulillah.

Saya merasa cukup gembira pagi ini. Moga kalian turut merasa gembira sepertimana saya rasakan ini insya ALLAH.

Dan saya turut merindui adik saya di Segubang, Fathulrahman. Lagu di atas ternyata telah memberi pukulan rindu yang amat kepada dia. Apa khabar ya Adik Fath di sana?

Moga rahmat ALLAH sentiasa melimpahi kehidupannya.

Thursday, August 11, 2011

Saya Bangga Dengan Adik Saya

Hari ini, 10 Ramadan 1432H.

Bermakna, mahu tak mahu kita terpaksa mengakui betapa Ramadan semakin pendek hayatnya. Bagaimana dengan rupa Ramadan kita semua?

Teringin sekali aku berkongsikan sebuah cerita gembira kepada kalian semua, yang aku bakal menerima “orang” baru dalam senarai ahli keluargaku tidak lama lagi insya ALLAH. Kali ini aku bakal medapat seorang adik ipar!

Walaupun pada pangkatnya nampak seperti muda, kerana namanya adik tetapi sebenarnya jauh lebih tua daripada aku sendiri.

Petang tadi, ayah di kampung menelefonku.

“Din, abah ada benda nak cakap dengan Din ni….”

“Ape dia abah?”, soal aku yang sedikit “cuak” dengan ke”excited”an suara ayah aku di hujung talian.

Ada orang masuk meminang aku kah?

Atau aku bakal dipaksa kahwin oleh ayah aku dengan gadis pilihan keluarga aku?

Hehe, jauh kan aku fikir.

“Macam ni, Masyitah dah nak kahwin da…”

“Haaaaaaaaaa, biar betul!!!!”

“Betul la, dengan orang Kampung Sura. Insya ALLAH bulan Syawal ni akad nikah”

Hampir nak luruh jantung aku mendengar khabar berita yang agak mengejutkan itu. Tak terbayang dek akal yang adik perempuan aku bakal menjadi milik orang lain tidak lama lagi. Ya adik aku!

Tapi, aku sangat gembira dan bersyukur kepada Tuhan yang memiliki hati-hati manusia.

Percaturan-Nya sangat indah. Biarpun seakan tidak mungkin pada pandangan kita, tapi tiada siapa yang lebih mengetahui hikmah sesuatu kejadian itu melainkan Dia sahaja.

Gembiranya aku petang tadi. Hampir tumpah air mata aku menyambut berita itu.

“Abah, bakal adik ipar Din tu OK tak?” , tanya aku seakan sangsi. Mungkin bahana pengalaman dulu yang mengajar aku menjadi lebih dewasa. Jika boleh, aku tidak mahu adik kesayanganku ini merasai pengalaman hitam itu juga.

Biarlah yang lepas itu lepas.

Kami adik beradik lelaki sentiasa diperingatkan oleh abah, betapa tanggungjawab menjaga kakak dan adik perempuan kami bukan hanya terletak pada bahu abah dan emak sahaja. Tetapi kami juga.

Termasuklah dalam hal mencari pasangan yang terbaik buat mereka. Aku tidak rela dipersalahkan di depan Tuhan Azza wajalla hanya kerana aku gagal menjalankan amanah sebagai seorang abang buat adik perempuan dengan baik.

Maka, aku terus bertanya akan hal calon lelaki tersebut.

“Takpe, dia jemaah kita juga…” jawab ayahku tenang.

Alhamdulillah, segala puji buat Tuhan sekalian alam. Percaturan-Mu sunggu indah.

Hilang sedikit kerisauanku.

Masyitah, adik perempuanku ini cukup istimewa di mataku. Aku berkasih dengannya. Aku ber”sms” dengan dia hampir setiap hari.

Aku berusaha tackle dia dalam setiap perkara. Kekadang berjaya, kekadang tidak.

Semua ini aku lalukan demi menarik perhatiannya terhadap aku. Agar perhatiannya tidak terarah ke mana-mana lelaki lain yang tidak sepatutnya berada dalam senarai di dalam hatinya.

Aku berikan perhatian ini, agar dia merasa dia cukup dihargai. Dia cukup diberi perhatian. Dan dia tidak perlu lagi mencari mana-mana lelaki ajnabi lain untuk mendapat perhatian dan kasih sayang.

Cukup aku dan abang-abang aku menjadi kekasihnya. Cukup aku dan abang-abangku menjadi pelindung dan buah hatinya.

Kini, dia bakal bergelar isteri orang. Aku doakan kebahagian buat adik kesayanganku ini , agar cinta dan keberkatan mahligai mereka utuh sehingga bertemu di syurga kelak.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Buat tuhan yang telah mencaturkan segala-galanya dengan begitu sempurna.

10 Ramadan 1432H, telah memberi aku sinar kegembiraan yang bukan sedikit.

Cukuplah sekadar itu, luahan perasaan gembiraku. Mungkin cuma sekadar ingin berkongsi rasa gembira ini dengan semua pembaca blog kecil ini. Doakan kebahagian untuk adik perempuan ku juga ya!

Terima kasih teman, kerna sudi membaca luahan gembira ini.

Wednesday, August 10, 2011

34 Tahun Menerjang Badai, ISIUKM Komited Mendukung Islam

Tanggal 9 Ogos 2011, Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) telah genap bertapak di bumi UKM selama 34 tahun.

Alhamdulillah, segala puji buat Tuhan Sekalian Alam yang telah memberi kekuatan buat badan dakwah induk ini untuk terus menerajui mahasiswa yang cintakan Islam di UKM dan menjadi platform utama kepada mahasiswa Islam untuk bergerak menegakkan syiar agama yang dicintai selama 34 tahun.

34 tahun ISIUKM bertapak di bumi ilmu UKM, bukan sedikit ranjau dan duri yang diterjang bagi memastikan badan dakwah ini terus bernyawa dan subur menapak dalam kalangan mahasiswa UKM.

Dengan misi mahu menjadikan Islam sebagai ad-deen atau cara hidup di bumi UKM, ISIUKM bertekad akan terus komited membawa suara Islam dan menjadi saluran utama buat mahasiswa Islam menggembleng tenaga ke arah mencapai cita-cita tersebut.

Sejarah 34 tahun bertapak di UKM, menjadikan ISIUKM membesar dan matang setelah mengalami beberapa kali jatuh bangun dan turut berperanan dalam mencorak warna sejarah kebangkitan mahasiswa era 70-an sehingga kini.<

Ikatan Studi Islam UKM ditubuhkan pada 9 Ogos 1977 oleh sekumpulan mahasiswa UKM yang datang dari pelbagai fakulti pengajian UKM.

Bermula dari saat itu, ISIUKM sudah tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berusaha mencorakkan mahasiswa dan mengembangkan pengaruhnya sehingga wujudnya branch ISIUKM di setiap kolej kediaman yang dikenali sebagai myISIUKM.

Kejayaan dan kejatuhan silih berganti, pengalaman manis dan pahit sepanjang tempoh 34 tahun telah menjadikan ISIUKM terus kuat dan komited terhadap cita-cita yang dibawa selama ini.

Sejarah ISIUKM pasti tidak akan lupa, bagaimana badan dakwah ini pernah difitnah oleh sesetengah individu sehingga namanya meniti di peringkat antarabangsa.

Malah ISIUKM turut pernah berdepan dengan ancaman pengharaman oleh pihak pentadbiran akibat kepentingan sesetengah pihak, namun kebijaksanaan kepimpinan ISIUKM dalam mendepani segala ranjau ini telah menyebabkan persatuan Islam ini terus bertahan di perbukitan ilmu sehingga ke hari ini.

ISIUKM telah berdiri di atas 3 pasak utama iaitu tarbiyyah, dakwah dan siyasah. Asas-asas ini tidak pernah diabaikan oleh generasi demi generasi kepimpinan ISIUKM bermula tahun 1977 sehingga kini. Setiap program yang dirancang dan dilaksanakan oleh ISIUKM pasti akan merangkumi 3 asas utama ini sebagai tanda aras keberjayaan sesuatu pogram.

Dalam hal tarbiyyah, selama 34 tahun ISIUKM terus komited menjadikan asas ini sebagai tunjang utama melalui kegiatan usrah secara konsisten di setiap peringlat sama ada kolej atau fakulti.

Program usrah yang diatur melalui badan dakwah ini telah disistemkan dengan sebuah sistem usrah yang lengkap serta merangkumi silibus yang mencakupi seluruh aspek kehidupan sebagai seorang mahasiswa Islam.

Begitu juga dalam pelaksanaan asas dakwah, ISIUKM tidak pernah lupa menjadikan dakwah sebagai target utama dalam setiap program yang dijalankan. Sejarah 34 tahun ISIUKM bertapak di bumi UKM, dakwah ISIUKM telah sampai sehingga ke bumi Sabah dan Sarawak malah turut menembusi sehingga ke bumi Kemboja.

Kerjasama dan jaringan yang baik dengan badan-badan dakwah yang lain telah menjadikan ISIUKM terus belajar untuk survival pada masa akan datang dan meningkatkan keberkesanan dakwah ISIUKM dalam kalangan mayarakat kampus.

Dalam hal siyasah, sejarah membuktikan ISIUKM adalah antara kilang penghasilan pemimpin yang begitu ramai tidak kira dalam kalangan mahasiswa ataupun pimpinan masyarakat pada masa kini.

Justeru, ISIUKM terus berazam untuk menerapkan professionalisme dalam setiap gerak kerja dan urus tadbir yang dibuat dan menjadi medan latihan terbaik buat setiap ahli ISIUKM melatihkan sifat kepimpinan mereka dalam segenap segi.

Kini, 2011 menyaksikan ISIUKM terus berkembang dalam pelbagai segi termasuklah jumlah keahlian, pelaksanaan program dan pelbagai lagi.

Kami di peringkat kepimpinan Ikatan Studi Islam UKM mngucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh warga kampus yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap badan dakwah ini sepanajang keberadaannya di bumi UKM.

Kami sekali lagi bertekad, akan terus komited mendukung Islam sebagai wadah perjuangan ISIUKM di perbukitan ilmu ini.

Sokongan dan bantuan dari seluruh warga kampus UKM adalah amat-amat diharapkan untuk kami terus mengorak langkah mencorakkan mahasiswa UKM ke arah seperti yang tercatat dalam lembaran visi dan misi kami.

“Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah”

Thursday, August 4, 2011

Iklan Ramaḍān 8TV: Belajar Memahami Sebelum Anda Difahami

Saban tahun, isu iklan kontroversi sentiasa berkocak dan membentuk suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Terbaru, kedatangan Ramadan 1432H telah diraikan dengan sebuah iklan Ramadan 8TV, salah sebuah stesen televisyen yang bernaung di bawah syarikat Media Prima yang kelihatan begitu skeptikal terhadap masyarakat Cina.

Saya mendapat dan membaca beberapa “unsatisfied response” dan “anger word” dari beberapa orang rakan-rakan saya yang berbangsa Cina dan juga beberapa orang rakan-rakan saya yang beragama Islam berkenaan iklan di atas. Pandangan dan respons mereka berdiri di atas satu paksi yang sama, iaitu “respect and understand each other“.

Saya tidak menafikan, iklan di atas cuba menyampaikan beberapa mesej baik berkenaan Ramadan yang sedang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia sekarang. Saya yakin, kalian turut merasakan perkara yang sama. Namun, buat mereka yang bermain dalam dunia media haruslah faham bahawa niat yang baik itu jika tidak disertakan dengan strategi yang bijak, maka sudah tentu hasilnya akan membawa keburukan kepada diri sendiri.

Tujuan utama media ialah untuk membentuk suasana masyarakat. Zaman kini, media telah menjadi medan utama kepada proses mendoktrinkan dan propaganda demi mengaut keuntungan ke atas pihak yang lain. Realiti di Malaysia, media yang bersifat mendidik masyarakat seakan hampir tidak kelihatan lagi. Jikalau ianya masih wujud, pasti dan pasti ia umpama hidup segan mati tak mahu.

8TV Tidak Belajar Kesilapan TV3


Saya memandang isu ini sebagai kesilapan yang berulang kali dibuat dengan sengaja. Hal ini kerana saban tahun kontroversi yang melibatkan agama dan ras sentiasa berkocak dan mencetuskan ketegangan di antara satu sama lain. Tahun 2010, masyarakat Malaysia pasti masih ingat bagaimana TV3 telah dihentam serta dikecam secara teruk akibat kesilapan mereka menterjemah makna suci Aidulfitri ke dalam iklan raya mereka oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

TV3 mengambil langkah dengan menarik kembali iklan tersebut dan meminta maaf secara terbuka. Saya berharap 8TV turut melakukan tindakan yang sama. Jika dulu isunya adalah berkaitan dengan akidah dan kepercayaan umat Islam di samping kebimbangan ibu bapa akan kesalahfahaman anak-anak mereka terhadap falsafah sebenar sambutan Aidilfitri, orang ramai bangkit mengecam.

8TV kali ini nampaknya masih belum belajar kesilapan rakan media mereka itu. Iklan kali ini pula lebih berkisar dalam isu bagaimana sebuah stesen televisyen yang popular boleh menganggap remeh isu keharmonian antara agama dan amalan kehidupan sesuatu bangsa.

Apabila Media Gagal Memahami Konsep Rukun Negara


Tidak dapat tidak, dalam membicarakan isu ini pasti kita tidak dapat mengelak daripada memperkatakan tentang sejauh mana masyarakat Malaysia memahami konsep sebenar yang mahu diterapkan melalui Rukun Negara terutamanya dalam isu ini iaitu pihak media.

Saya mengajak rakan-rakan merenung sekejap makna di sebalik Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Rukun Negara perlu difahami oleh semua bahawa ia tidak hanya berkisarkan persoalan rakyat menghormati institusi istana dan Perlembagaan Malaysia, tetapi falsafah sebenar rukun kelima ini ialah peri pentingnya masyarakat Malaysia berusaha mengamalkan satu peringkat sikap yang mampu membentuk sebuah masyarakat yang serba majmuk ini hidup dalam keadaan aman dan begitu harmoni.

Kita memahami demografi di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya. Maka, adalah menjadi kewajipan buat seluruh warga Malaysia tidak kira apa kedudukan kita sekalipun untuk berusaha mencapai cita-cita yang tersirat di dalam rukun tersebut.

Pihak media secara pasti adalah sebuah klik yang begitu berpengaruh dalam faktor untuk menentukan tahap keberjayaan cita-cita ini. Manakan tidak, saya pasti zaman ini hampir setiap rumah akan mempunyai paling kurang sebuah radio untuk tujuan hiburan dan maklumat. Merancang dan membentuk suasana maklumat secara saling memahami pasti akan membantu ke arah tercapainya cita-cita murni di atas.

Dalam isu ini, kemungkinan 8TV terlepas pandang dan tidak memahami secara jelas makna tersirat di sebalik rukun negara tersebut.

Belajar Memahami Sebelum Anda Difahami


Rasulullah SAW tidak pernah mengajar umatnya supaya gaya hidup Islam difahami oleh orang bukan Islam. tetapi, Baginda cuma mengajar agar umat Islam sentiasa menghormati dan memahami gaya hidup dan agama orang rakan-rakan bukan Islam.

Saya cuba mengajak rakan-rakan untuk mengimbau kembali bagaimana Rasulullah SAW telah menunjukkan tahap toleransi yang begitu tinggi serta begitu memahami gaya hidup mereka yang tidak beragama Islam dalam kisah seorang arab Badwi yang datang ke masjid baginda kemudian kencing di atas lantai masjid tersebut dalam sebuah majlis ilmu yang sedang dihadiri oleh para sahabat baginda.

Perlakuan Badwi tersebut telah mengundang marah Saidina Umar Al-Khattab, salah seorang sahabat Rasulullah lantas dia telah meluru ke arah Badwi tersebut dan mencekak lehernya sambil menghunus pedang. Beliau meminta izin daripada Baginda untuk memenggal kepala Badwi tersebut, namun Rasulullah telah menghalang Umar daripada meneruskan niat itu.

Baginda mengarahkan Umar agar melepaskan Badwi tersebut sambil bersabda bahawa orang Badwi tersebut tidak bersalah sedikitpun kerana dia tidak mengetahui bahawa perbuatan dia itu adalah tidak beradab. Dia tidak pernah tahu akan perbuatannya itu adalah salah di sisi agama Islam. Malah, Rasulullah amat memahami akan gaya hidup arab Badwi berbanding arab Quraisy.

Percayalah, si arab Badwi tadi dihukum tidak bersalah oleh Rasulullah.

Iklan 8TV di atas seolah-olah “memaksa” rakan-rakan bukan Islam di Malaysia agar memahami gaya hidup yang dianjurkan oleh Islam. Saya menggunakan frasa “memaksa” bagi membayangkan babak demi babak dalam video tersebut yang begitu skeptik terhadap gaya hidup bukan Islam dan jauh daripada apa yang dianjurkan oleh agama Islam itu sendiri.

Stephen R Covey ada menulis dalam bukunya, 7 Habits of Highly Effective People supaya “Seek To Understand, Then To Be Understood”. Kenyataan yang ringkas, tetapi saya yakin ianya cukup untuk menjelaskan kenapa umat Islam perlu bersikap sedemikian terhadap rakan-rakan bukan Islam tidak kira di mana dan bila-bila masa sahaja.

Lupakah 8TV untuk menimbangkan perasaan rakan-rakan berbangsa Cina apabila mereka merancang untuk menyiarkan video tersebut dalam keadaan video tersebut memberi gambaran seolah-olah rakan-rakan berbangsa Cina di Malaysia langsung tidak tahu menghormati bulan Ramadan dan amalan agama umat Islam ini.

Adalah malang bagi sebuah stesen televisyen bertindak sebegitu sedangkan secara faktanya sudah hampir seabad lamanya manusia berbangsa Melayu dan Cina hidup bersama, manusia beragama Islam dan tidak beragama Islam berkongsi pahit manis di sebuah tanah bernama Malaysia.

Di manakah silapnya?

Ubah Paradigma Media di Malaysia


Kerap kali saya menyatakan perkara ini dalam artikel-artikel saya sebelum ini. Media di Malaysia bukan lagi bersifat mendidik masyarakat, tetapi sudah menjadi medan utama kepada proses doktrinisasi dan propaganda sesetengah pihak demi mengaut keuntungan ke atas pihak yang lain.

Tidak perlu pergi jauh, cukuplah dengan kita cuba merenung kembali bagaimana sikap yang diambil oleh hampir keseluruhan pengamal media di Malaysia setiap hari dalam usaha mereka menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat Malaysia. Walaupun di atas kertas, Malaysia dinamakan sebagai sebuah negara demokrasi namun hakikat sebenarnya demokrasi dari sudut medianya nyata telah di seleweng dan dimanipulasikan secara kritikal dan terang-terangan.

Maka, natijahnya media bukan lagi menjadi medium untuk mendidik masyarakat Malaysia untuk mencapai cita-cita murni Rukun Negara. Peranan media dalam membentuk sikap positif dalam kalangan masyarakat dan menjadi warganegara yang matang berfikir hampir tidak kelihatan. Media Malaysia seakan tidak berperanan dalam menghubungkan rasa harmoni antara agama dan ras.

Rakan saya yang belajar di UK menyebut, keadaan media di sana hampir 100% berbeza dengan Malaysia. Bayangkan, di UK dia telah mengumpul surat khabarnya bukan untuk dijual bagi mencari duit tambahan, tetapi disimpan sebagai koleksi dan buku rujukan. Hal ini kerana hampir keseluruhan kandungan akhbar tersebut mengandungi pelbagai artikel dari pelbagai lapangan ilmu dengan kupasan yang begitu analitikal dan berfakta.

Berbanding di Malaysia, media lebih mengutamakan keuntungan dengan memuatkan berita-berita sensasi serta hasutan politik secara berpanjangan sehinggakan sesetengah rakyat bosan dengan suasana media yang sebegitu rupa. Jadi, bagaimanakah media Malaysia mahu berperanan untuk mendidik rakyat ke arah mencapai cita-cita murni ini?

Ramadan Sebagai Medan Perubahan


Saya menyeru agar rakan-rakan pengamal media agar mengambil kesempatan Ramadan yang penuh berkat ini sebagai medan untuk melakukan perubahan yang diimpikan oleh seluruh warga Malaysia demi sebuah cita-cita murni dan menyelamatkan generasi akan datang daripada segala gejala yang tidak menguntungkan negara ini.

Islam itu datang dalam pakej yang serba sempurna, maka bermuhasabah lah wahai rakan-rakan seagama dengan ku agar kita sentiasa merasa berat memikul amanah untuk menjaga nama baik agama ini daripada tanggapan negatif rakan-rakan bukan Islam dengan cara kita memahami gaya hidup dan amalan agama mereka sebelum kita mengharapkan mereka memahami kita.

Kitalah sepatutnya proaktif dalam isu ini, dengan memberi kefahaman kepada mereka bahawa tindakan 8TV itu adalah bukan anjuran Islam. Hayati lah sirah Rasulullah. Hormatilah antara satu sama lain. Sedarlah bahawa kita tidak pernah meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau apa sahaja.

Kepada pengurusan 8TV, belajarlah daripada kesilapan.

Kalau bukan kita berubah, maka siapa lagi?

NOTA: Tulisan ini tidak lagi mewakili sikap penulis pada hari ini. Justeru, pembaca harus menanggapi tulisan ini tidak lebih dari sekadar arkib penulisan blog Time To Change semata-mata. Sebarang usaha ulang siar tulisan ini ke mana-mana media adalah dilarang sama sekali.

Tuesday, August 2, 2011

Malam Pertama Ramaḍān 1432H

Semalam, aku menyambut kedatangan Ramadan dengan menyebut beberapa kali “esok raya” kepada ayah aku ketika berbual dengannya melalui telefon. Cepatnya raya, sedangkan malam tadi masjid masih lagi menangis dengan kepungan manusia yang datang mencari tarawih malam pertama dengan harapan menggunung aku semoga kebanjiran ini berterusan selama 30 hari lamanya.

Di Malaysia, perkara sebegitu tidak pelik. Suasana dan ragam malam pertama Ramadan. Usai 15 hari pertama Ramadhan, masjid sudah tidak lagi dikepung manusia dan kenderaan pelbagai ragam.

Malam pertama, aku ke Masjid Besi sambil menghebohkan kepada orang ramai dalam twitter aku. Eh, itu riya’. Sempat juga aku menguji ketahanan lutut aku untuk bertahan sehingga rakaat ke-8 tarawih sebelum menyerah kalah kepada panggilan moreh yang disajikan dengan puding jagung dan kopi panas. Ramai manusia, tersangat ramai. Kadangkala suara imam tarawih tenggelam dengan bual bicara manusia yang melepak sambil mengunyah puding jagung di tepian kolam masjid.

Itu aku belum bercerita kan lagi bagaimana suasana yang bingit apabila paduan suara kira-kira 100 orang kanak-kanak yang baru mengenal alam dunia berlari dan berkejar sesama mereka ketika manusia lain sedang khusyuk solat.

Havoc, kata Azan.

Ramadhan kali ini masih lagi sama, tapi mengharapkan formula 1 + (10 x 12) akan mendapat hasilnya sepertimana kebiasaan teori matematik mengira angka-angka di atas.

Ramadhan, kebiasaan manusia mengaitkan dengan janji. Manusia tika Ramadhan berlumba-lumba menagih janji Tuhan yang Esa. Janji kita dengan si Dia bagaimana pula ya?

Dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan orang-orang sebelum kamu berpuasa agar kamu menjadi orang yang bertakwa”

Tuhan bijak memainkan psikologi kepada manusia dalam pada mahu “memujuk” manusia agar berpuasa.

Seorang abang yang baru memasuki alam remaja, cuba memujuk adik lelakinya yang baru mencecah umur mukalaf supaya berpuasa. “Adik nak tau tak, abang dulu start puasa masa abang umur 4 tahun!”, si Abang cuba mengumpan.

Si adik yang baru mengenal dunia ini, mula mereng. “Alamak, adik dah 7 tahun ni abang. Mana aci abang puasa lagi awal daripada adik!”

Haha, kan dah kena tipu. Dan si adik pun dengan bersemangat nya memberitahu ibunya yang dia mahu berpuasa esok FULL DAY!

Tercengang ibu dia. Biar betul si abang ini boleh pujuk adik dia berpuasa esok. Padahal si abang itu dulu masuk sekolah menengah baru tahu yang puasa itu bermula selepas azan Subuh sehingga azan Maghrib. Kalau tidak, ayam goreng yang siap untuk berbuka puasa akan menjadi mangsa kepada si abang ini.

Kuasa psikologi.

Inikan pula seorang kanak-kanak. Tuhan pun menggunakan kaedah yang sama. Dan itulah janji kita kepada Dia. Kita wajib berpuasa. Mandatori.

Aku tidak pasti, sama ada kini hadis ataupun bukan. Sebuah kata-kata yang bermaksud seseorang itu walaupun pada luarannya nampak berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi hakikat sebenarnya dia adalah langsung tidak dikira sebagai berpuasa.

Rugi kan?

Dan kita berjanji untuk berpuasa kepada ALLAH, sedangkan hakikat sebenarnya kita adalah langsung tidak berpuasa pada pengamatan Dia. Tertunai kah janji itu?

Tapi, kita sibuk dengan Ramadan sebagai janji. Alhamdulillah, maknanya kita masih lagi sedar yang kita amat bergantung kepada si Dia.

Alhamdulillah, tarawih kedua pula aku berpeluang berimamkan Syeikh Jibrail, salah seorang imam besar dari Mesir. Bacaannya, masya-Allah. Seakan-akan aku sedang mendengar MP3 al-Quran. Beruntung teman, dapat solat di belakang beliau dan memeluk beliau selepas solat. Bukan senang orang seperti aku ini dapat bertemu dengan orang yang soleh. Haaa, lain sikit!

Aku ingin kongsi kan, sebuah ayat yang satu-satunya Syeikh Jibrail telah mengulanginya sebanyak 4 kali ketika solat witir tadi,

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada mu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan ku (dengan mematuhi perintah Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."
Al-Baqarah: 186

Aku yakin, kalian pasti lagi faham kaitan ayat di atas dengan keberkatan bulan Ramadan ini kan?

Tarawih semalam dan tadi, aku memakai kopiah yang diberikan oleh ayah aku. Kopiah itu lusuh, kerana sebelum ini ayah aku sendiri memakainya sebelum dia memberikannya kepada aku. Aku perasan, tika solat kopiah lusuh itu telah memberi tusukan sentimental kepada aku.

Terkenang ayah di rumah, dan emak yang sudah agak lama aku tidak menjenguk mereka di kampung akibat pelbagai kerja yang bertimbun di kampus. Kebiasaannya, ketika Ramadan aku akan menjadi imam solat tarawih di rumah kerana kami sekeluarga akan solat di rumah sahaja secara berjemaah. Sedih juga kan, bila memikirkan apakah Ramadan 1432H akan ada peluang untuk aku menikmati kenangan-kenangan itu lagi?

Hanya tuhan yang mengetahuinya.

Ramadhan 1432H telah menapak ke malam yang kedua. Bagaimana dengan bacaan Quran kita?

Aku tinggalkan soalan di atas untuk diri aku dan kalian semua. Agar pada pengakhiran Ramadhan kita berjaya menjadi manusia yang bertakwa.

Tuesday, July 12, 2011

Tulusnya Hatimu Wahai Teacher Sally Sombutruk!


Shell Eco-marathon Asia 2011 bukan sahaja menjanjikan kelelahan yang tidak terhingga kepada otak dan jiwa ku, tetapi turut memberi peluang kepada aku untuk mengenal peribadi seorang wanita yang cukup mulia pada pandangan aku lantaran sikap dedikasi nya dalam membimbing anak-anak didiknya menghadapi kejohanan serba lelah itu.

Sally Sombutruk, penasihat kepada kumpulan P.K. Evolution dari Thailand cukup istimewa di mata ku. Seorang wanita yang cukup tabah dan cekal semata-mata mahu menunaikan hasrat berkobar-kobar sekumpulan pelajar sekolah menengah untuk bertanding di peringkat Asia dalam Shell Eco-marathon Asia 2011 yang lepas.

Di Litar Sepang, garaj kumpulan kami cuma bersebelahan dengan kumpulan P.K. Evolution. Malah kami bertanding dalam kategori yang sama. Keadaan ini menjadikan kami pada mulanya cuma berbalas senyuman, kemudian semakin erat terutamanya apabila kumpulan P.K. Evolution menghadapi masalah untuk melepasi pemeriksaan kereta sebelum layak berlumba di dalam litar.

Di sini, terbukti sikap dedikasi nya sebagai seorang guru kepada sekumpulan remaja yang berumur rata-rata 16 tahun apabila sanggup bersusah payah memulihkan masalah tersebut sehingga lewat malam.
Semangatnya tidak luntur. Bahkan, itu adalah hari ketiga sebelum menghadapi hari terakhir kejohanan pada keesokannya.

Jika dihitung pada perkiraan realiti, pastinya lebih baik untuk dia dan pasukannya tidak membazir tenaga dan wang kerana sudah tahu siapakah pemenangnya dalam kategori itu.
“Saya bukan mahukan kemenangan dalam kejohanan ini. Saya cuma mahu anak murid saya dapat menyaksikan kereta ini bergerak dalam Litar Sepang dengan jayanya. Mereka telah memberi hampir seluruh kehidupan mereka terhadap kereta ini dan saya sebagai gurunya, wajib memastikan harapan mereka itu tertunai. Jika harapan ini tertunai, itu sudah cukup memuaskan hati saya sebagai guru mereka.”
Cikgu itu terus bercerita bagaimana dia membentuk kumpulan tersebut. Bermula apabila sekumpulan pelajar Pakkred Secondary School yang datang bertemu dengannya meminta untuk dia menjadi penasihat dan pembimbing mereka bagi menyertai Shell Eco-marathon Asia edisi 2011 di Sepang.
“Mereka datang beramai-ramai menemui saya dan meminta saya menjadi penasihat mereka. Pada mulanya saya menolak, tapi apabila mereka tidak berhenti-henti memujuk saya, saya bersetuju. Tujuan saya cuma mahu melihat generasi muda Thailand seperti mereka terus bersemangat untuk menerokai perkembangan dunia permotoran sekarang. Saya mempunyai banyak jaringan rakan yang baik serta begitu mudah untuk menolong saya apabila saya meminta bantuan. Malah mereka menawarkan saya pelbagai bantuan apabila mengetahui bahawa saya akan membimbing sekumpulan pelajar sekolah menengah untuk bertanding dalam Shell Eco-marathon Asia 2011.”
Aku cukup tersentuh apabila dia menceritakan bagaimana dia memulakan cabaran membimbing sekumpulan pelajar sekolah menengah untuk menghadapi sebuah kejohanan yang rata-rata disertai oleh mahasiswa-mahasiswa di seluruh universiti di Asia.
“Mereka cuma pelajar sekolah menengah. Amat jauh sekali untuk dibandingkan dengan kamu semua yang belajar di universiti dan mengambil kursus kejuruteraan. Tapi pelajar saya mempunyai semangat yang luar biasa. Saya mengajar mereka bermula dengan kosong. Mereka tidak pernah belajar dalam kelas tentang bagaimana mahu membina sebuah kereta dengan lengkap dan mampu beroperasi di atas litar dengan jayanya.”
“Permulaannya, saya membimbing mereka dan mengajar bagaimana untuk melukis dan melakar reka bentuk kereta yang mereka mahukan. Saya mengajar satu persatu kerana saya faham mereka tidak pernah diajarkan perkara ini di dalam kelas. Kemudian saya membawa pelajar-pelajar ini bertemu dengan rakan saya bagi mempelajari proses membina badan kereta sepertimana industri kereta lakukan. Namun malangnya, rakan saya itu meninggal sebelum dia sempat mengajarkan teknik yang betul membina sebuah kereta dengan menggunakan acuan tanah liat. Namun saya teruskan juga perancangan itu dan mengajar sendiri proses pembuatan kereta itu.”
Kumpulan P.K. Evolution tidaklah mempunyai ahli seramai kami di UKM. Malah mereka cuma mempunyai 2 orang guru yang membimbing mereka. Dan yang paling mengharukan, salah seorang ahlinya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menggunakan sepenuhnya kerusi roda untuk bergerak. Akan tetapi, semangat mereka amat luar biasa.
“Ibu bapa mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menjaga anak-anak mereka. Hampir setahun, saya menjaga mereka dan mendidik mereka dengan ilmu yang tidak dapat mereka pelajari di sekolah biasa. Setiap hari selepas selesai kerja sekitar pukul 3-4 pagi, saya akan menghantar mereka pulang ke rumah dengan selamat menggunakan kereta saya seorang demi seorang. Saya lakukan ini kerana saya tahu ibu bapa mereka amat mempercayai saya untuk menjaga anak-anak mereka. Mereka turut sanggup melepaskan anak-anak mereka bersama saya datang ke Malaysia hari ini.”
Ceritanya yang membuatkan aku hampir menangis di hadapan beliau ialah bagaimana permintaan beliau telah diambil mudah oleh pihak yang membekalkan sistem kereta fuel sel kepada beliau dengan membekalkan sistem yang serba tidak lengkap.

Akibatnya, pasukan P.K. Evolution telah menghadapi masalah yang cukup serius di Litar Sepang. Pelbagai komponen dalam sistem yang dibelinya tidak dibekalkan secara jujur oleh pihak yang bertanggungjawab di sana telah menyebabkan pasukannya menghadapi kesusahan ketika melalui proses pemeriksaan kereta oleh pihak Shell.


Dia menggunakan duitnya sendiri untuk membina pasukan itu. Hanya beberapa komponen sahaja dibayar menggunakan duit pengetua sekolah itu.

Dia telah puas dan jenuh bertanyakan pihak yang membekalkan sistem tersebut tentang perkara-perkara yang merunsingkannya, namun jawapan yang diterimanya adalah negatif. Namun alhamdulillah, di Sepang kumpulannya telah mendapat perhatian oleh semua pihak yang bersimpati. UiTM, antara kumpulan pelajar yang begitu mulia menawarkan bantuan kepada mereka. Malah, UiTM turut membantu kumpulan kami bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Saya faham, apa yang Shell mahukan ialah kami datang dengan selamat dan pulang dengan selamat. Mereka tidak membenarkan kami sebegitu mudah dalam proses pemeriksaan kerana masalah keselamatan. Tapi, saya amat mahukan agar pelajar-pelajar saya dapat menyaksikan kereta ini dapat bergerak di atas litar.”
Ya, akhirnya kereta itu berjaya melepasi proses pemeriksaan. Walaupun hari sudah tiba di penghujung kejohanan, namun P.K. Evolution dan pastinya Teacher Sally Sombutruk tersenyum girang nan lebar apabila menyaksikan kereta hijau nya itu bergerak di atas Litar Sepang.

Sungguh cekal dan tabah hati wanita mu itu wahai Teacher Sally Sombutruk!

Usaha mu tidak sia-sia. Harapan mu nyata dimakbulkan Tuhan.

Dia begitu puas melihat anak-anak generasi mudanya tersenyum dan puas melalui pelbagai cabaran dalam kejohanan ini.

Dia kelihatan begitu gembira menyaksikan anak didiknya dapat mempelajari sesuatu yang lain daripada apa yang mereka dapat dalam kelas pembelajaran di sekolah mereka.

Apa yang pasti, dia begitu puas melihat generasi muda Thailand yang bakal menakluki kedudukan penggubal dasar negaranya pada masa hadapan begitu luar biasa semangatnya untuk menyertai sebuah kejohanan yang dipenuhi mahasiswa-mahasiswa universiti Asia tanpa rasa takut dan gentar!

Dan pastinya aku tidak akan dapat melupai kisah seorang guru yang begitu tabah dan berdedikasi, mendidik pelajarnya bermula dari kosong, mengorbankan wang kepunyaannya tanpa sebarang sokongan tajaan dan mampu keluar dari Litar Sepang dengan penuh kegirangan dan senyuman yang melebar.

Dia membuktikan bahawa guru itu mampu menjadi seorang pendidik yang baik.

Dia membuktikan bahawa guru itu mampu memberikan sepenuh kepercayaan kepada pelajarnya tanpa rasa prejudis.

Dan, dia membuktikan bahawa dia bukanlah seorang yang laparkan kemenangan namun dia cuma berusaha sedaya mungkin bagi memenuhi harapan anak-anak didiknya.

Terima kasih Teacher Sally Sombutruk, kerana telah mengajarkan aku suatu pengajaran kehidupan yang cukup bernilai.

Aku menukilkan artikel ini, dedikasi khas buat pendidik tegar itu Sally Sombutruk. Agar menjadi inspirasi buat setiap insan yang bercita-cita mahu menjadi pendidik generasi mudanya.

Monday, July 11, 2011

Aksara Sebuah Pejalanan Hidup


Alhamdulillah, aku memulakan sedikit coretan pada malam ini tika rancak dalam persiapan menghadapi Shell Eco Marathon Asia 2011 bermula esok. Mungkin ini waktu paling sesuai untuk menulis sedikit, moga dapat mengubat rindu mengait butang-butang abjad pada laptop lusuh ku ini membentuk kalimah demi kalimah.

Ya, sudah lama aku tidak merasai roh mencoret dan membebel seorang diri dalam blog. Semalam hasil usaha kami selama hampir 2 bulan di sebuah kilang membina kapal telah selamat tiba di UKM. Mungkin ada antara kalian yang pernah membaca diari sepanjang aku di sana dalam blog Little Horseman sebelum ini. Itu ketentuan Tuhan yang Esa. Dia mengatur segala-galanya. Cuma tinggal aku untuk percaya atau tidak, pada suatu ketetapan yang pasti ada 1000 kebaikan di sebaliknya.

Di Melaka, doa ku dimakbulkan ALLAH. Untuk belajar dan terus belajar menjadi hamba Dia yang serba taat. Kadang kala gagal itu lebih banyak peratusannya berbanding lawannya. Tinggal sebumbung dengan rakan-rakan bukan Islam, sebuah nikmat yang wajib aku syukuri.

Masya-Allah, kadang kala mereka yang bukan Islam itulah mengajar aku tentang nikmatnya menjadi seorang yang mengakui tiada tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad SAW itu pesuruh-Nya.

Mungkin sesetengah daripada kalian skeptikal pada tulisan ini, namun itulah hakikatnya. Aku berterima kasih kerana mereka mengajarkan aku menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

Saat-saat begitu, telah menginsafkan aku betapa Muhammad SAW begitu memuliakan jiran-jiran Yahudi nya, musuh-musuh tawanan perang dan pemuda-pemuda Badwi yang belum mengenal cahaya Tuhan.

Cukup sebuah sketsa kehidupan, sepanjang di Melaka untuk aku mengenali ukiran sebenar hati manusia. Kadang-kala aku terduduk dengan sendirinya, sedih dan patah hati apabila melihat sendiri ukiran hati itu.

Ini kah ukiran yang Muhammad SAW mengajar kami sehingga penuh kasutnya dengan darah dilontar batu?

Mahu menyahut untuk membetulkan, ya ALLAH ampuni lah aku kerna aku tidak punya kekuatan. Maafkanlah aku sahabat. Mulut ini hanya mampu bermonolog sendirian, bila mengenangkan babak demi babak sepanjang bergelumang di sana.

Namun begitu, optimis aku akan hikmah segala yang berlaku itu. Seperti yang aku tulis di atas, hanya Dia mengetahui segalanya kenapa begini dunia ini berputar selama 2 bulan aku di Melaka. OK, cukup sekadar itu celoteh kecil ku.

Bekerja di sebuah kilang pembuatan yang menghasilkan kapal-kapal besar merupakan sesuatu yang cukup baru dan menarik untuk aku. Malah aku cukup yakin bukan semua orang dapat merasai pengalaman yang sama.

Letih dan menyakitkan memang perkara biasa, tapi itulah ramuan utama untuk membuka mata aku dan memikirkan sesuatu yang berlainan perspektifnya. DK Composites dan Melaka, dua tempat yang banyak mengajar aku akan sebuah kehidupan.

Alhamdulillah, merasai kehidupan seorang pekerja kilang yang dibayar gaji dalam nilai yang sebegitu rendah biarpun mereka memerah keringat dari seawal pukul 8 pagi sehingga 11 malam setiap hari dengan kerja-kerja yang boleh memendekkan jangka hayat kesihatan mereka, itu merupakan sesuatu yang cukup berharga.

Merasai keadaan ini, aku mengakui benarlah kata blogger Hisyam Rais, betapa pada akhirnya setiap pertembungan dalam kehidupan ini berbalik kepada kasta dan taraf kehidupan seseorang manusia itu.

Pertembungan politik, kepentingan peribadi, agama, ras, ideologi dan sebagainya adalah akhirnya berlutut di bawah kasta mereka berada. Masing-masing akan cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Seperti di kilang, kadang-kala hati aku terusik melihat kegagalan syarikat menguruskan “natural humankind” ke atas setiap pekerja mereka.

Ya malang sekali, bila manusia gagal memahami ukiran sempurna yang telah diajarkan Muhammad SAW kepada kita. Kadang kala manusia cuba membantah ukiran tersebut, dengan cuba membina ukiran sendiri. Sumpah penuh dengan cacat celanya.

Menyakitkan segala pandangan yang melihat.

Begitulah dunia ini bergerak. Tapi apa yang harus aku buat?

Teruskan kehidupan, berusaha sedaya mungkin, kuatkan semangat insya-Allah pasti ada imbalan nya kemudian.

10 Julai 2011

Hari ini, aku meneruskan coretan yang telah tergantung selama beberapa hari akibat sibuk bermain dengan lelah di Litar Sepang. Alhamdulillah, Ferrari kami telah berjaya menakluki Litar Sepang dengan bergaya sekali.

Terima kasih Tuhan, kerna mentakdirkan aku berada bersama-sama rakan-rakan Kencana Gen2. Begitu banyak pengajaran yang aku perolehi dari kejohanan serba lelah ini.

Mungkin jika bukan kelelahan ini, aku tidak mengenali Marvin, Bernard, Sean Ooi, Daniel, Soon Yong, Hui Yi, Boon Siang dan Thomas.

Dan juga mungkin aku tidak dapat mengenal siapa sebenarnya Rashdan, Meor, Hafiez, Khoiri, Syazwan dan Hafiz.

Tapi yang paling pasti ialah, aku amat berbangga dan bersyukur menjadi sahabat kalian!

Moga persahabatan ini kekal selamanya.

Kita cuma merancang, namun Tuhan lebih mengetahui yang terbaik untuk kita semua.

Ini cuma titipan aksara sebuah perjalanan hidup, moga ianya diberkati tuhan.

Thursday, June 30, 2011

Unggun BERSIH


Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

-------
Bicara ikhlas ini dipena oleh seorang insan seni yang cukup aku kagumi, Pak Samad atau mungkin kalian lebih mengenali abjad A. Samad Said dengan judul Unggun BERSIH, sempena Himpunan Aman BERSIH. 

Imejnya menjelaskan segala-galanya. Kini dakwat penanya bukan hanya menjadi halwa telinga, bahkan telah menjadi igauan ngeri dan senjata merbahaya buat meruntuhkan sebuah kebobrokan pemerintahan UMNO/BN.

Pak Samad, aku teramat rindu untuk bersua muka dengan susuk senimu!

Monday, May 16, 2011

Bingkisan Kecil Buat Guru

Kata seorang sarjana Barat,
“Guru yang terbaik adalah seorang guru yang memotivasikan pelajarnya berbanding mendominasi mereka, dan menginspirasi mereka dengan harapan untuk mendidik dirinya juga” – Edward Bulwer-Lytton
Dialah seorang insan mulia, yang ditakdirkan ALLAH SWT untuk mendidik sekalian makhluk manusia di muka bumi ini dalam kepelbagaian cabang keilmuan. Madah sang seni di pentas dunia mengungkapkan tidak mungkin seorang yang bergelar raja itu tidak berguru dengan seorang guru.

Tidak mungkin pada akal seorang alim itu tidak berguru dengan seorang guru.

Tidak mungkin seorang hakim itu tidak berguru dengan seorang guru.

Tidak mungkin seorang pereka cipta itu tidak berguru dengan seorang guru.

Tidak mungkin seorang pemimpin masyarakat tidak berguru dengan seorang guru.

Bahkan, itulah jasa seberat Gunung Uhud oleh seorang insan yang bergelar guru!

Sebaik-baik raja, Sultan Muhammed Al-Fateh turut mengungkapkan bahawa gurunya adalah insan yang paling dia hormati. Kerana dia serba sedar bahawa dirinya adalah bukan sesiapa jika bukan kerana asuhan dan didikan penuh dedikasi dan kesabaran seorang insan yang berjawatan guru itu.

Mulianya darjat kalian sebagai pendidik bangsa dan agama. Guru bukan hanya sekadar mengajar mengenal ABC dan 123, tetapi dialah guru yang menjadi pendidik sejati dan pencorak tegar perjalanan yang bakal ditempuhi oleh setiap anak muridnya.

Kalian adalah ibu bapa kedua aku sepanjang badan yang dikandungi nyawa ini terus bernafas dan menghela lelah. Kamus kehidupan ku mencatatkan kalian adalah insan yang tidak lekang memberi panduan dan nasihat buat pedoman menghadapi segala mehnah kehidupan dunia. Jikalau kalungan kemuliaan itu wujud, pasti akan ku kalungkan ia pada leher yang penat menjerih urat memarahi aku tatkala melihat diri aku terlajak batasan yang sepatutnya.

Ungkapan serba sentimental ini bukan untuk membalas jasa seorang guru yang pernah mendidik diri ini, kerana dunia pasti akan mentertawakan aku jika cuba membalas jasa seorang guru dengan cebisan coretan kecil sebegini. Akan tetapi ia tidak lain cuma penghargaan hati kecil diri ini yang pernah bergelar pelajar yang dididik oleh seorang insan bergelar guru.

Mulianya darjat kalian, dan peri pentingnya kalian yang bergelar seorang guru sehinggakan diungkapkan sebegini,
“If a doctor makes a mistake, it will kill a life but if a teacher makes a mistake, it will kill a generation.”
Beruntunglah kalian yang diberi jawatan oleh Pemilik syurga dan neraka sebagai seorang guru. Di pundak mu terletak sejuta harapan, sejuta bebanan, sejuta emosi, sejuta kasih sayang, sejuta kegirangan, sejuta penah lelah dan sejuta segala-galanya.

Namun, percaya dan yakinlah betapa jerih perih itu pasti dibayar tunai nya kelak. Tiara kemuliaan seisi langit dan bumi pasti melingkari kalian kelak. Percayalah.

Buat guru-guru ku yang pernah mengungkapkan sebutir abjad kepada aku di PASTI Al-Abra.

Buat guru-guru ku yang pernah mengungkapkan sebutir abjad kepada aku di Sekolah Rendah Kerteh.

Buat guru-guru ku yang pernah mengungkapkan sebutir abjad kepada aku di Sekolah Rendah Kampung Chabang.

Buat guru-guru ku yang pernah mengungkapkan sebutir abjad kepada aku di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail.

Buat guru-guru ku yang pernah mengungkapkan sebutir abjad kepada aku di SBPI Batu Rakit.

Buat guru-guru ku yang pernah mengungkapkan sebutir abjad kepada aku di Kolej Matrikulasi Melaka.

Buat guru-guru ku yang pernah mengungkapkan sebutir abjad kepada aku di UKM.

Buat insan teristimewa yang bernama Cikgu Wan Mahmud, murabbiku yang dirindui.

Aku dedikasi kan bingkisan kecil buat guru, buat kalian yang telah bersusah payah memanusiakan diriku ini sejak aku kecil lagi sehingga sekarang.

Moga segala jasa dan perit kalian akan dibayar tunai oleh Tuhan yang Maha Esa kelak. Aku sentiasa mendoakan kalian. Selamat Hari Guru, kalian lah guruku!