Sunday, November 28, 2010

Tiada Lagi Ungkapan Itu

Mengapa tiada lagi ungkapan itu untuk aku,
Lupa atau aku sudah tidak layak lagi mendengar ungkapan itu?
Aku yakin, dikau memberikan aku ungkapan itu kerna dikau berharap,
Yakin pada aku tidak sama dengan mereka yang lain,
Dikau menaruh harapan kepada aku,
Juga memberi harapan kepada aku…

Ya aku tahu,
Aku kadang tidak bisa menunaikannya,
Aku kadang terlupa memenuhinya,
Ya aku sedar itu silap aku,
Tapi…
Aku menagih ungkapan itu,
Aku kepingan dengan suara pinta mu…

Aku hampir menangis setiap kali mengenangkan hal ini,
Aku menangis kerana aku kira dikau sudah hilang percaya pada aku ini,
Aku menangis kerana percaya aku sudah tidak sebaik dulu,
Aku menangis kerana aku ingat aku sering melupakan permintaan mu itu...

Maafkanlah daku,
Ampuni lah dosa anak mu ini,
Aku bukan lagi seperti dulu,
Mungkin dulu,
Aku naif...
Aku patuh...
Aku nampak suci…

Namun kini,
Bukan lagi hak aku untuk dipinta,
Ampuni lah dosa ku,
Ampuni lah…

Bandar Baru Bangi,
11.36 pm

Wednesday, November 24, 2010

Optimis dan Berstrategi: Syarat Kemenangan Gerakan Islam

Sesebuah gerakan yang mempunyai misi dan visi yang besar serta benar, maka sedar dan insaflah betapa misi dan visi itu hanya akan tercapai apabila pra-syarat kepada pencapaian itu dipenuhi oleh pendukung gerakan tersebut terutamanya.

Dengan kesedaran inilah akan tercetusnya sebuah gerakan dari dalam hati setiap ahli dan pendukung gerakan untuk menggembleng seluruh tenaga dan upaya mereka dalam menjayakan dan memenuhi pra-syarat untuk mencapai visi dan misi gerakan tersebut.

Perbincangan demi perbincangan dan perbahasan demi perbahasan dilakukan semata-mata mahu mendapatkan keputusan dan strategi yang benar-benar mantap dalam menjayakan visi dan misi gerakan tetapi malangnya, dalam pada masa yang sama ahli dan pendukung gerakan gagal untuk menginsafi tentang pra-syarat kepada kejayaan segala strategi dan hala tuju gerakan tersebut.

Maksud saya, kegagalan ini adalah terbahagi kepada dua iaitu kegagalan atas kapasiti individu dan juga kegagalan dalam bentuk kolektif dalam sesebuah gerakan. Di sini pertamanya, saya lebih suka untuk menjurus kepada persoalan tentang pra-syarat kemenangan yang harus diisi di atas kapasiti individu.

Untuk berbicara dengan lebih lanjut mengenai pra-syarat yang wajib dipenuhi oleh setiap ahli gerakan dalam menggapai kemenangan yang dijanjikan ALLAH, marilah kita sama-sama menghayati video ucapan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyentuh secara khusus mengenai keperibadian yang sepatutnya ada pada setiap ahli gerakan.



Itu adalah pra-syarat individu, bukan lagi berbicara soal solidariti, optimisme dan tekad sesebuah gerakan. Hal ini kerana tanpa adanya faktor kedua itu, mana mungkin sesebuah gerakan mampu merangka dan menggerakkan sesuatu kemenangan. Sebab itu, saya mengutarakan dalam artikel ini mengenai sebuah gesaan tentang peri pentingnya kita bersikap optimis terutama dalam menyampaikan idea dan melaksanakan idea yang disampaikan.

Harus diingat bahawa, setiap keputusan yang diambil bukanlah atas kapasiti individu tetapi itu adalah keputusan bersama dan perkara ini seharusnya menjadi teras keyakinan kepada kita untuk merasa optimis terhadap keputusan yang diambil. Soal komitmen dan kemampuan, hal itu sepatutnya kita selesaikan sebelum kita berbincang dan mengambil keputusan. Mengapa saya berpendapat sedemikian?

Seharusnya kita ingat bahawa tujuan berbincang atau berbahas bukan untuk menunjukkan siapa yang hebat dan cekap tetapi adalah sebuah medan untuk kita bermuhasabah dan mengatur langkah demi perjalanan gerakan untuk fasa yang seterusnya. Oleh itu, secara tidak langsung kita akan merasa kebertanggungjawaban terhadap idea dan cadangan yang kita lontarkan sesuai dengan keupayaan dan komitmen yang kita ada.

Disebabkan faktor inilah saya mengatakan bahawa jika kita masih lagi mempersoalkan tentang kemampuan atau komitmen ahli gerakan, ternyata kita telah melakukan sesuatu keputusan yang tergantung dan tidak menjejak pada bumi yang nyata. Itu silap konsepnya.

Oleh itu, seharusnya kita OPTIMIS terhadap setiap keputusan yang diambil secara bersama dan merasakan beban tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan itu dengan penuh amanah. Namun, optimis sahaja tidak mencukupi dan tidak berupaya untuk berdiri dengan sendiri. Keputusan itu mestilah bersifat matang dan realistik dengan kata lain, keputusan itu mestilah penuh dengan STRATEGI untuk mencapainya.

Formula SMART adalah tepat dalam menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan keputusan yang berstrategi. SMART adalah:

Specific

Keputusan yang diambil sewajibnya spesifik dan menjurus pada matlamat yang hendak dicapai dan juga hal yang bersifat teknikal seperti masa, tempat, tarikh dan sebagainya.

Measurable

Keputusan yang diambil seharusnya setaraf dengan kemampuan yang kita mampu sediakan dan ini berkait rapat dengan faktor sumber manusia dalam sesebuah gerakan. Dalam kriteria ini, Key Performance Index (KPI) menjadi rujukan kepada tahap keberjayaan sesuatu keputusan tersebut.

Achievable

Keputusan itu seharusnya kita mampu mengagak pencapaian terakhir setelah keputusan itu dilaksanakan dan kesannya terhadap keseluruhan pergerakan organisasi kita.

Realistic

Sumber manusia, keterbatasan perundangan, beban dan tanggungjawab yang lain seharusnya diambil kira dalam melaksanakan strategi tersebut.

Time

Strategi tersebut seharusnya berada tepat pada masa yang sesuai dan bertindak dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh organisasi atau gerakan.

Faktor-faktor common dalam bertindak dan merencana juga seharusnya tidak diabaikan seperti pengurusan masa, kesanggupan untuk berkorban, kefahaman yang jitu dan pelbagai lagi faktor kebiasaan dalam amalan pengurusan. Inilah antara syarat kemenangan gerakan Islam.

Itulah lontaran saya dalam hal ini dan amat mengharapkan agar lontaran ini akan menjadi nasihat yang berguna kepada sang penulis sendiri dan turut memberi sedikit manfaat kepada seluruh rakan-rakan pembaca blog kecil ini. Sekali lagi saya tegaskan, saya hanyalah seorang penyampai dan amat mengharapkan keampunan daripada Tuhan Yang Esa jika ada sebarang salah dan silap dalam lontaran idea ini.

Permintaan saya, jika ada sebarang cadangan dan pembetulan sahabat-sahabat boleh lontarkan di bahagian ruangan komen.

Saturday, November 13, 2010

Menjengah Kekusutan Dengan Perbincangan

Alhamdulillah, sesi pertama perbincangan kami sudah selesai dengan memperlihatkan penumpuan pada aspek-aspek asas atau fundamental dalam sesebuah gerakan atau organisasi terutama dengan penekanan dalam aspek pengurusan organisasi, konsep bekerja secara berkumpulan yang teratur serta sistematik dan strategi pra-syarat kemenangan dan keunggulan gerakan.

Kita semuanya akan bermula dengan kusut dan serabut kerana kita sedar bahawa kita tiada peneman yang sudi menguraikan kekusutan itu. Oleh itu, dengan pertemuan dan perbincangan secara matang dan masak inilah mampu membantu ke arah membuka segala ikatan-ikatan yang bersimpul itu.

Mencetuskan penumpuan pada aspek-aspek yang kritikal sebenarnya mampu menyedarkan diri kita sebagai salah seorang ahli dalam sesebuah organisasi itu secara tidak langsung.

Baiklah, saya mahu bercakap soal menjengah kekusutan dengan perbincangan.

Maka pada pendapat saya, menjadikan perbincangan ini sebagai satu medan untuk menegur dan mengkritik secara matang dalam segala perkara tidak kira sama ada melibatkan keseluruhan organisasi ataupun atas kapasiti individu adalah langkah terbaik bagi memastikan perancangan dan pelan tindakan yang akan diambil oleh kepimpinan yang baru lebih terarah dan tersusun serta kepimpinan baru dapat belajar daripada mengulangi kesilapan yang sama.

Namun begitu, kritikan dan teguran itu haruslah menjejak pada bumi yang nyata dan bertepatan dengan ruang lingkup perbincangan. Setiap ahli perlu faham akan fungsi mereka untuk bersuara dan WAJIB menggunakan fungsi tersebut untuk menjamin kemaslahatan organisasi dan kelangsungan survival akan datang.

Mengambil langkah untuk berdiam diri atau suka bersifat menyembunyikan sesuatu daripada meluahkan kepada seluruh ahli yang lain akan mendatangkan masalah kepada pergerakan organisasi dan perancangan pada masa depan.

Hal ini perlu diambil berat oleh setiap individu yang menjadi ahli kepada sesebuah gerakan atau organisasi terutamanya apabila mereka bekerja dalam sebuah gerakan yang bersifat kritikal, berstrategi, tersusun dan mempunyai matlamat yang jelas.

Dalam menjana kritikan dan teguran terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan kelemahan atau sikap peribadi sesetengah ahli yang lain seharusnya pada masa yang sama, kita harus sedar tentang kewujudan rasa lemah dan hina dalam diri kita yang telah dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada kita agar dalam setiap kritikan dan teguran itu adalah dibuat bukan bertujuan untuk menghina sesiapa atau menjatuhkan air muka ahli yang lain.

Di sinilah indahnya Islam mengajar kita bagaimana mahu menguruskan sesebuah organisasi dengan cemerlang tidak kira di mana sahaja posisi kita dalam sesebuah organisasi itu. Agama kita telah mengajar diri kita tentang tiadanya nilai kita di sisi ALLAH jika tanpa iman dan takwa dalam hati kita.

Maka, beringatlah selalu betapa kesilapan ahli yang lain itu sepatutnya bukan dijadikan sebagai bahan gurauan atau sendaan semata tetapi selayaknya kita sendiri merasakan kebertanggungjawaban terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada pada ahli tersebut dalam menguruskan organisasi dengan cuba meletakkan diri kita pada posisi mereka itu.

Saya percaya, dengan berusaha untuk merasai kesilapan dan kelemahan ahli yang melakukan kesalahan itu akan mampu memberi satu teguran kepada diri sendiri agar kita berwaspada agar kesilapan dan kelemahan itu tidak akan berulang lagi.

Maka secara tidak langsung, segala teguran dan kritikan yang kita lontarkan itu akan turut menjadi satu peringatan dan muhasabah untuk diri sendiri. Kritikan dan teguran itu bukan hanya berlalu sebagai sebuah kritikan dan teguran yang bersifat menghentam semata-mata tetapi turut menjadi inti pati kepada peringatan untuk ahli-ahli yang lain.

Saya melihat dari pemerhatian selama ini, seringkali setiap kali lontaran kritikan dibuat ianya tidak lebih daripada sekadar bersifat menghiburkan hati atau melepaskan geram atau mungkin bertujuan menjatuhkan moral ahli yang lain. Maafkan saya jika ada yang terasa dengan penulisan ini tetapi inilah luahan dan nasihat daripada saya untuk diri saya sendiri dan juga sesiapa sahaja yang membaca artikel ini.

Dalam erti kata yang mudah, kita gagal menyerapkan semangat MEMBINA sesama ahli dalam gerakan atau organisasi kita. Walau bagaimanapun, tulisan ini bukanlah bererti kita tidak boleh mengkritik atau menegur sesiapa dalam organisasi kita tetapi berpada-padalah dan ingatkan lah diri kita tentang perkara yang sama, saya yakin natijahnya akan menjadi lebih positif.

Terma “komunikasi” akan menjadi aspek terpenting dalam situasi sebegini. Percayalah bahawa Islam itu syumul, maka sudah tentu Islam telah menggariskan panduan yang jelas dalam kita menggunakan nikmat “komunikasi” ini. ALLAH berfirman dalam Quran,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi lah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan berfatwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Surah aL-Hujurat: 12
Ya, jauhi lah sangkaan yang bukan-bukan kerana kita bimbang sangkaan itu DOSA buat kita. Seterusnya dalam ayat di atas, ALLAH menegaskan kepada kita dalam berkomunikasi, janganlah sesekali kita mencari-cari kesalahan orang lain.

Ini lah satu sifat yang ada pada diri kita yang begitu sukar untuk dibuang iaitu sifat suka melihat orang lain jatuh. Inilah etika dan garis panduan yang pertama ditetapkan oleh ALLAH tentang ilmu komunikasi ini. Seterusnya, hamparkan sutera HIKMAH dalam kritikan dan teguran kita sebagaimana ALLAH berfirman,
“Seru lah ke jalan Tuhan mu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahas lah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan mu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Surah aL-Nahl: 125
Mana mungkin sesebuah organisasi itu tiada berlakunya pertembungan pendapat dan kritikan. Oleh itu, hamparan sutera HIKMAH ini adalah ubat kepada penyakit komunikasi ini insya ALLAH. Tujuan utama kita duduk berbincang dan berlaga pendapat adalah untuk menjengah segala kekusutan yang dialami oleh gerakan atau organisasi kita.

Jika kesudahannya adalah bersifat negatif, maka bermuhasabah lah kembali agar pulangnya kita daripada perbincangan itu dengan hati yang lapang dan yang paling penting perbincangan itu berjaya meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita kepada ALLAH SWT.

Saya amat berharap agar lontaran kecil ini dapat membuka sedikit ruang kepada kritikan dan teguran yang bakal kita lontarkan kelak pada pertemuan akan datang untuk mengenal erti matang dan malu kepada diri sendiri. Sesungguhnya saya cuma menyampaikan dan sewajibnya kita beriman betapa tiada upaya dan kudrat melainkan pemilik cakerawala ini, Rabbul Izzati.

Maka, saya menyampaikan hal ini hanya kerana-Mu ya ALLAH.

Monday, November 8, 2010

Scott Pilgrim vs. The World

Wow, ternyata filem ini bukan hanya sekadar komedi yang sia-sia semata tetapi turut menyajikan beberapa nilai positif yang boleh diambil untuk dijadikan pengajaran. Tetapi aku tak menafikan tentang bahagian negatifnya namun berpada lah untuk aku mengatakan bahawa nilai PENGORBANAN itu telah menggamit aku untuk berkongsi tentang filem komedi ini dalam blog kecil ini.

Scott Pilgrim vs The World yang mahu menjadikan si gadis berambut ungu, Ramona Flowers sebagai kekasihnya terpaksa berdepan dengan 7 orang bekas kekasih Ramona Flowers sebelum dia sah menjadi kekasih kepada gadis tersebut.

Scott begitu bertuah kerana memiliki seorang adik yang cukup mengambil berat tentang dirinya dalam segala hal. Kesabaran Scott dalam menghadapi setiap cabaran dan perlawanan dengan ex-gadis itu menyebabkan akhirnya dia telah mendapat balasan setimpal dengan usahanya.

Fakta menarik filem ini ialah perjalanan ceritanya tak ubah seperti dalam sebuah permainan komputer dengan penggunaan grafik yang cukup mengagumkan!

Mungkin ini adalah satu-satunya alasan konkrit kenapa ANDA perlu menonton filem ini iaitu bagaimana kesanggupan kita untuk menempuh segala CABARAN dan KESUSAHAN demi menggapai sebuah KEMENANGAN.

Sejarah menceritakan bukan sedikit penat lelah dan air mata darah yang tumpah oleh mana-mana pejuang demi memperjuangkan hak dan apa yang dirasakan betul oleh mereka. Diingatkan, dalam filem ini terdapat beberapa “scenes” yang agak keterlaluan dan tidak sesuai kepada iman kita!

Baik lah, itu cuma gurauan.

Tuesday, November 2, 2010

Pelan Transformasi Ekonomi: Kalau Hang Tuah Masih Hidup Hari Ini

Pernah kah Malaysia ini dicap sebagai negara bangsa yang bertamadun?

Mungkin ramai yang tidak senang dengan kenyataan ini kerana ramai yang masih lagi mengagumi kepelbagaian kemajuan kononnya yang dibawa serta dicipta di zaman Che Det berkuasa dulu. Maka ramai meletakkan bahawa itulah ketamadunan Malaysia dan tanda kemegahan selamanya dalam helaian buku teks sejarah di sekolah-sekolah menengah.

Saya tidak pernah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang bertamadun, dalam erti yang sebenar. Kerana pemimpin Malaysia dari dulu hingga sekarang telah berhutang satu perkara yang begitu besar untuk dijawab di hadapan ALLAH kelak di Padang Mahsyar.

Persoalan tentang penghinaan terhadap agama ALLAH selama separuh abad lebih walaupun mereka yang memegang tampuk pemerintahan adalah terdiri rata-rata daripada mereka yang masih mengaku ALLAH itu tuhan mereka dan Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya.

Maka di mana bertamadun nya Malaysia ini jika persoalan penghinaan terhadap akidah sendiri tidak pernah selesai?

Jika sekadar berjaya membina Menara Berkembar PETRONAS, Jambatan Pulau Pinang, PROTON dan segala bagai lagi sudah dikira sebagai sebuah negara yang bertamadun, sudah tentu begitu banyak tamadun yang wujud di dunia dengan begitu senang. Sebuah tamadun yang berdiri hanya cuma pada pandangan lahiriah dan material semata maka tunggulah kehancurannya tidak lama lagi.

Usahlah marah jika saya mengatakan bahawa kita masih lagi berada dalam sebuah masyarakat yang dijeruk dengan kehaprakan sebuah angan-angan moden segelintir pemimpin sekular. Bermula dari dulu sehingga sekarang. Kita telah dipimpin oleh sebarisan pemimpin yang menjadi pewaris kepada sistem penjajahan kolonial barat dengan membenarkan segala tingkah laku penjajah terus menjadi resmi dalam pembentukan corak pemerintahan mereka.

Bermula 31 Ogos 1957 sehingga sekarang, Malaysia akan terus menangis merindui sebuah kepimpinan yang bebas daripada penjajahan barat. Saya berani mengatakan bahawa merekalah penjajah Malaysia yang kini sedang enak menjajah negara yang kita cintai ini.

Kini, air mata ketamadunan Malaysia makin lebat gugur ke bumi petualang ini.
“Tak kan Melayu hilang di dunia!”
Seakan masih terdengar jeritan penuh semangat Laksamana Hang Tuah 500 tahun yang dulu itu. Kalau lah Hang Tuah masih lagi hidup pada saat ini, sudah tentu Taming Sarinya sudah bergetar mahu mengerobek perut-perut sang penguasa Malaysia pada hari ini yang begitu rakus memusnahkan bangsa Melayu dengan tangan mereka sendiri.

SUDAH TENTU!

Terbaru, Plan Transformasi Ekonomi merupakan satu lagi titik tolak kepada lenyapnya ketamadunan Malaysia sedikit masa lagi. Bukanlah mendoakan sebegitu tetapi sejarah dunia telah pun membuktikan segalanya.

Lihat sahaja kemegahan dan kekuasaan Tamadun Rom di bawah kekuasaan Julius Cesar lenyap hanya kerana mereka menolak kewujudan ALLAH dalam pemerintahan mereka. Hancurnya beberapa tamadun besar lain adalah kerana mereka gagal meletakkan ALLAH dalam perancangan kekuasaan mereka.

GAGAL bererti menuju KEHANCURAN sambil bertasbih menunggu BALA!

Saya bukannya mengharapkan sedemikian tetapi mengungkapkan amaran yang tercatat dalam lipatan sejarah dunia. Mahukan kita menjadi seperti itu?

Saya malas nak mengulas tentang ETP ini kerana ianya seolah-olah mengulas tentang sebuah epik kejahilan seorang pemimpin negara. Saya bukanlah seorang pengulas atau pengkritik sastera dan epik moden tetapi cuma ingin berkongsi sebuah nasihat agar kita berhati-hati dan bertindak untuk menghapuskan epik kejahilan ini daripada terus menguasai masyarakat Malaysia sehingga menyebabkan lenyapnya sebuah bangsa yang bernama Malaysia di dunia ini.

Nak muntah bila mendengar ucapan perasmian agung UMNO yang lepas, bilamana Najib menyebut, “Demi Islam, demi bangsa, demi negara!” kemudian selepas tamatnya sidang raja lawak itu, dengan bangganya Najib mengumunkan pelancaran ETP yang di dalamnya terkandung bermacam perisa yang mampu melenyapkan ketamadunan Malaysia selamanya.

Semangatnya seperti Salahuddin aL-Ayubi ketika mahu menawan Kota Baitul Maqdis dalam Perang Salib. Jangan main-main. Tapi, lagi bagus kalau Hang Tuah masih hidup lagi saat ini. Boleh la Hang Tuah mendengar ucapan ini sambil mengasah keris Taming Sarinya bagi lebih ampuh dan tajam.

Apa lagi, sudah tiba masanya untuk kita berubah. Time To Change!