Sunday, September 26, 2010

Friendship and Learning


5 lessons that we learn:

To stop fighting, is complete
To share nicely, is complete
To help each other, is complete
To be brave, is complete
To have faith, is complete

Dedicated to Mechanical & Manufacturing Engineering UKM Batch 09-13. The memory will never vanish.

Friday, September 24, 2010

Puasa 6 Syawal Penebus Dosa Ketika Ramaḍān

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH yang masih lagi memberi kesempatan kepada kita untuk terus menyedut udaranya menghabiskan sisa umur untuk menambah sebanyak mungkin koleksi pahala untuk kemaslahatan diri di hari kemudian.

Bahang idul’fitri masih jelas terasa di bumi ini saya kira kerana melihat masih ramai yang begitu bersemangat mengadakan pelbagai sambutan untuk meraikan idul’fitri ini. Minggu lepas, dalam twitter saya ada menceritakan pengalaman beraya di rumah orang Johor buat pertama kalinya dan sedikit terkejut bila tuan rumah itu memberitahu bahawa orang Johor biasanya akan menyambut idul’fitri selama sebulan lamanya.

Boleh tahan orang Johor ini beraya dan perkara-perkara sebegini saya kira hanyalah adat dan warisan amalan sahaja dan tidak lebih daripada itu. Mungkin pada yang mampu, mereka akan menyediakan stok kuih raya untuk sebulan lamanya demi menampung keperluan raya sebulan dan bermacam-macamlah ragam raya di Malaysia.

Namun, di sebalik kegembiraan dan kegirangan kita menyambut idul’fitri seharusnya kita tidak lupa bahawa diri kita ini adalah graduan Universiti Ramadan dan dari situ seharusnya kita sedar betapa menjadi salah seorang graduan Universiti Ramadan pastinya di bahu kita terletak suatu nilai yang sewajibnya kita jaga setaraf dengan kemuliaan Universiti Ramadan.

Nilai yang saya katakan itu ialah nilai TAQWA kerana nilai atau pointer itulah yang menjadi buruan kita sepanjang sebulan di Universiti Ramadan. Amat malang bagi diri kita jikalau kita sanggup menggadaikan nilai TAQWA itu ketika kita sedang bersuka ria meraikan sambutan idul’fitri.

Oleh itu, sewajarnya kita mengambil sikap berpada-pada agar kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang melampaui batas dalam menyambut idul’fitri ini insyaALLAH.

Itu mukadimah sebelum saya masuk ke dalam topik utama artikel ini tentang Puasa 6 Syawal. Pada perkiraan saya, rata-rata sahabat-sahabat pasti sudah maklum akan apa itu puasa 6 Syawal dan bagaimana pelaksanaannya. Kita juga sering dialamatkan tentang kelebihan puasa 6 Syawal ini supaya kita bersemangat untuk merebut sama hadiah daripada amalan itu sepertimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadith,
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” 
(Riwayat Muslim)
Tentunya sahabat-sahabat sudah jenuh mendengar hadith di atas. Sejak dari kecil sehingga ke besar begitulah rupa hadith itu dan tidak berubah-rubah. Alhamdulillah, ALLAH itu Maha Mengetahui akan kelemahan hamba-Nya maka Dia menghadiahkan kepada kita puasa selama 6 hari pada bulan Syawal kemudian dianugerahkan dengan pahala yang begitu menakjubkan.

Saya sifatkan bahawa pelaksanaan puasa 6 ini umpama penebus kepada kesilapan kita sepanjang menjalani ibadat di bulan Ramadan. Saya cukup yakin kerana bila berbalik kepada diri, ternyata saya melihat betapa banyak lompang dan cacat cela pada puasa ku di bulan Ramadan. Dan ternyata amat terasa kekesalannya.

Namun, hakikat masa itu tidak dapat lagi di balik di undur oleh kita. Maka, sebagai pilihannya ALLAH telah memberi peluang kepada kita untuk menebus nya pada bulan Syawal.

Jadi, sewajibnya pada diri kita meskipun hukum melaksanakannya adalah sunat cuba untuk melaksanakannya walaupun kita tahu cabaran nafsu di bulan Syawal teramat besar.

Ya, dengan deretan jemputan untuk ke rumah terbuka dan juga kepentingan untuk melayan tetamu yang datang berziarah tentunya menjadi satu halangan kepada kita untuk komited melaksanakannya. Namun, cubalah untuk tidak menjadikan hal-hal yang amat kebudak-budakan itu sebagai alasan. Laksanakan lah sebagaimana kesungguhan kita melaksanakan ibadat puasa Ramadan.

Saya menulis ini demi mengingatkan jiwa saya dan jiwa sahabat-sahabat tentang hakikat kita sebagai seorang hamba yang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya sendiri teramat bersyukur kerana ALLAH memudahkan kepada saya untuk melaksanakan puasa ini bersama mak dan abah di kampung dan sahabat-sahabat di kampus.

Mungkin akibat daripada kekesalan yang menebal setelah gagal memanfaatkan sebaik mungkin peluang Ramadan yang lepas menyebabkan saya merasakan begitu terkilan lantas berazam untuk menjadikan puasa 6 ini umpama Ramadan layaknya.

Insya-Allah, siapa yang berusaha maka dia akan mendapat hasilnya….

Seperti apa yang saya tulis di atas mengenai nilai yang kita bawa pada diri kita selepas Ramadan, seharusnya kita berusaha menjaga nilai tersebut agar ianya makin bertambah dan bercambah.

Berdoalah kepada ALLAH dan pintalah pertolongan nya kerana kita sedar betapa kita amat lemah dan faqir dalam segenap hal. Moga-moga ALLAH akan memberi ruang kepada kita untuk mendapat keampunan dan kasih sayangnya insya-Allah.

Ape pun, selamat menjalankan ibadah puasa 6 hari di bulan Syawal buat sesiapa yang belum atau sedang melaksanakannya dan tahniah buat sesiapa yang sudah selesai menunaikan tuntutan yang istimewa itu. Moga-moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sering mendapat keredaan-Nya.

Thursday, September 23, 2010

Berehatlah Adikku Syafiah Humaira!

Bersyukur sangat-sangat kepada ALLAH SWT kerana Dia telah memakbulkan doa seluruh rakyat Malaysia agar manusia kejam yang telah membunuh Adik Syafiah Humaira mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan kejamnya itu.

Ingat lagi tak tulisan aku tentang peristiwa tragis ini sekitar bulan Februari kira-kira 7 bulan yang lepas dalam artikel yang bertajuk tika ini aku mahu mencurahkan isi hatiku yang bertujuan untuk berkongsi rasa sedih aku dengan nasib yang menimpa si adik yang begitu mentah dengan kehidupan dunia ini.

Berehatlah Adikku Syafiah Humaira!

Semalam, si durjana yang telah menamatkan jiwa suci Syafiah Humaira telah dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Meskipun aku tidak pasti sama ada hukuman itu setimpal atau tidak dengan perbuatan kejamnya itu, tetapi sekurang-kurangnya adik Syafiah Humaira telah mendapat pembelaan dan keadilan pada mata dan jiwa rakyat Malaysia yang benci kan kekejaman dan penganiayaan.

Adik kecil ini pasti tidak menangis lagi merengek kesakitan akibat dipukul dan dia juga pasti tidak lagi ketakutan bila melihat si durjana melewati rumahnya. Pastinya si adik kecil ini sudah lena tidur daripada gangguan manusia berhati iblis.

Kerana dia pastinya berada di syurga yang nan luas nikmatnya. Sudah tentu si kecil ini senang lenang di kelilingi kemewahan kesenangan. Jauh lebih baik dan nikmat daripada kehidupan dunia yang penuh kejam ini. Tenanglah dikau di sana wahai adik ku Syafiah Humaira…

Aku tak mahu memberi respons tentang keredaan ibu si kecil ini terhadap perbuatan si durjana itu kepada anaknya. Bagi ku, cukuplah adik Syafiah Humaira merasa derita yang tak tertanggung itu seorang diri selama ini.

Biarlah cakap-cakap itu terus menjadi cakap-cakap kerana aku cuma seorang insan yang bukan berada dalam gelanggang mereka itu.

Sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui lagi Maha Adil….

Wednesday, September 22, 2010

Kes Bunuh Datuk Sosilawati

Sebelum saya melangkau dengan lebih jauh lagi, eloklah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah dan doa keampunan buat semua arwah yang telah meninggalkan kita semua dalam satu tragedi kes bunuh Datuk Sosilawati dan 3 orang peneman nya yang bersama-samanya ketika itu.

Meskipun tika saya menulis ini, coretan kes ini telah pun terpahat dalam skrol perundangan negara yang sedang menunggu masa untuk dibicarakan. Dan kita biarkanlah hal itu mengikut prosedurnya jika itu kehendak perundangan negara kita buat masa sekarang.

Namun, saya terpanggil untuk menulis sedikit catatan kecil setelah banyak kali mendengar dan menerima pelbagai sudut pandang manusia terhadap kes pembunuhan ini. Catatan ini lebih sekadar untuk kita muhasabah kembali hikmah atau siratan maksud yang Sang Pencipta mahu sampaikan kepada kita semua selaku hamba-Nya yang mengaku bahawa tiada Ilah selain ALLAH dan pesuruh-Nya ialah Muhammad SAW.

Aslim taslam, kamu terima Islam kamu SELAMAT.

Mudah kata-kata di atas semudah untuk kita memahaminya….

Saya kira tidak silap untuk saya mengatakan bahawa kegagalan kita untuk kembali kepada pusingan orbit Islam itu telah menyebabkan segala perkara di atas berlaku. Salahnya kita di sini pabila kita gagal meletakkan keyakinan dan keimanan kita terhadap sistem yang telah siap sedia diatur dan disusun oleh ALAH, pencipta batang tubuh dan nyawa kita di posisi yang sewajibnya.

Sejak peristiwa tragis ini berlaku, berkali kali khatib di mimbar Jumaat mengingatkan kita bahawa semua “holocaust” yang sedang dan telah berlaku di negara kita ini adalah disebabkan kita tidak menjadikan syariat dan panduan hidup yang diturunkan ALLAH kepada Muhammad itu sebagai pakaian utama dalam segenap segi.

ALLAH berfirman,

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” 
Surah aL-Maidah: 3

Maka, apakah masih ada kesangsian dalam diri kita untuk tidak melaksanakan segala hukum hakam yang terkandung dalam kitab suci dan kalam Rasulullah itu?

ALLAH murka pada kita dengan menarik rasa belas dan kasihan itu daripada jiwa kita lantas Dia menanam sifat ganas ke dalam sanubari kita. Malang. Sungguh malang kerana kita berusaha keras untuk memisahkan diri kita daripada orbit yang telah ditetapkan ALLAH kepada kita, maka ALLAH memberi peluang kepada kita untuk mentadbir diri kita.

Kesudahannya, mampukah kita?

Sudah tentu TIDAK. Lupa kah kita di kala Iblis begitu bongkak cuba menongkah perintah ALLAH supaya bersujud kepada Adam AS, maka kita sedia maklum kesudahan dan kehancuran yang telah menimpa pada Iblis laknatullah selepas itu gara-gara dia cuba keluar daripada batasan yang telah dibina untuk dirinya.

Inilah bahasa ALLAH kepada kita supaya kita memahami bahawa ALLAH tidak akan melakukan sesuatu itu dengan sia-sia tanpa ada kebaikannya kepada seluruh penghuni alam. Benarlah firman ALLAH dalam ayat ini buat kita yang berfikir,

“Patut kah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Surah aL-Mulk: 19

Tidakkah kita cuba memahami pesanan ALLAH dalam kejadian tragis ini?

Sudahkah kita sedar daripada lamunan kebobrokan taghut yang sedang mengganas mengoyak segala nilai-nilai Syariat yang telah ditetapkan oleh ALLAH?

Cukuplah kita menyedari daripada peristiwa kejam ini dengan menghayati mesej yang disampaikan oleh Sang Pencipta ini,

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepada mu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripada mu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.” 
Surah aL-Baqarah: 2-5

Kembalilah!

Kembalilah kepada al-kitab untuk kita merasai indahnya dan selamatnya Islam itu.

Marilah kita memperjuangkan agar hukum-hakam dan segala peraturan yang terkandung dalam kitab suci ini akan menjadi perlembagaan utama dalam kehidupan manusia. Lantas, ia akan melahirkan satu entiti yang cukup aman dan selamat dengan lindungan kasih-sayang-Nya.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang di hipnotis dengan mimpi indah tentang keamanan dan kesejahteraan di negara kita.

Di mana keamanan?

Di mana kesejahteraan?

Di mana sentosanya?

Kalau setiap hari bunuh, rompak, tikam, bakar, buang, ragut, rempit, dadah, rogol dan sebagainya. Maka, di manakah juzuk zarah aman dan damai tinggal di Malaysia?

Adakah kita masih lagi mahu terbuai dengan hipnotis seperti itu daripada kalam-kalam para pendusta setelah menyedari segala suasana sebenar di negara kita adalah seperti itu.

Persoalan terbesar yang sewajibnya kita semua jawab ialah,

  1. Tidak malu kah kita mendabik dada sebagai sebuah negara yang aman damai tetapi tidak melaksanakan segala tuntutan syariat sedangkan kita sepatutnya sedar apakah kita mampu menjamin kata-kata kita itu ataupun hanya gimik semata?
  2. Sedar kah kita bahawa tiada jaminan yang lebih jauh lebih terjamin selain daripada jaminan yang telah dijanjikan oleh ALLAH kepada kita?

Justeru, saya mengajak jiwa ku dan jiwa sahabat-sahabat semua untuk kita kembali menyelidik adakah kita masih berada dalam orbit yang sepatutnya ataupun sudah terkeluar jauh daripada landasan yang ditetapkan oleh Sang Pencipta kita.

Lantas, sesudah itu pasti kita akan memahami akan bahasa yang sedang ALLAH gunakan untuk bercakap dengan kita melalui peristiwa kejam ini insya-Allah.

Monday, September 20, 2010

Ayuh, Teruskan Menulis!

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan manusia dari segumpal darah.

Pesanan Manfaat Untuk Orang Beriman


Allah Ta’ala mengulang sebut dalam banyak tempat di dalam Al-Quran mengenai kepentingan pesanan. Bahawa pesanan itu memberikan manfaat kepada orang yang beriman dan pesanan itu juga menjadi tanggungjawab orang yang Beriman.

Mafhum daripada kenyataan ini ialah, sekiranya kita benar-benar beriman, kita akan gemarkan pesanan. Orang yang beriman gemar menerima dan juga memberi nasihat.

Berpesan-pesan tidak sedikit pun menjadikan mereka berasa bangga dengan kebaikan diri atau menjatuhkan maruah orang lain. Juga tidak menjadikan mereka berasa lemah dengan diri sendiri atau terlalu kagum dengan orang lain yang juga manusia biasa seperti mereka.

“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.” 
Al-Ghasyiyah, 88:21

Dalam hubungan mereka dengan manusia lain, mereka faham betapa perlunya konsep memberi dan menerima, begitu juga keperluan untuk memberi dan menerima nasihat dan pesanan.

Maka mereka melakukan aktiviti berpesan-pesan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan juga kasih sayang mereka terhadap sesama manusia, semuanya dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Menjadikan mereka bangsa yang bertamadun dan hidup dalam lindungan kasih sayang serta rahmat Allah Ta’ala.

Berpesan Pada Diri Sendiri


Walau bagaimanapun, orang-orang yang beriman sentiasa sedar bahawa mereka sentiasa tidak pernah terlepas daripada mengamalkan pesanan yang mereka terima lebih-lebih lagi pesanan yang mereka berikan.

Tanggungjawab dalam soal berpesan-pesan ini, tidak terhenti sekadar menyampaikan pesanan, bahkan orang-orang yang benar-benar beriman, akan berlumba-lumba untuk melaksanakan pesanan tersebut.

“Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia dari kejahatannya. Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan dari kata-katanya.” 
(Hadis riwayat Tabrani)

Sejujur nya, saya risau dengan diri saya sendiri, maka saya berpesan kepada diri saya untuk terlebih dahulu membuat koreksi, dalam kehidupan saya yang begini panjang, sejauh mana telah saya manfaatkan pesanan orang lain kepada saya, dan sejauh mana pula pesanan yang saya berikan telah saya amalkan.

Mungkin agak mementingkan diri, tetapi, saya rasa ada baiknya untuk saya mengambil tempoh bertenang dan menenangkan diri saya.

Kehidupan umat akhir zaman ini terlalu berkecamuk dan meruntun jiwa dan rohani saya. Sesak dada saya memikirkan nasib diri, orang-orang yang saya sayang, dan generasi akan datang. Adakah Tuhan akan menerima saya, sekiranya saya menghadap-Nya dalam keadaan begini?

Layak kah saya menerima gelaran beriman sedangkan pesanan dari-Nya tidak saya endah kan? Layak kah saya untuk bersama-sama dengan orang-orang yang soleh apalagi bersama kekasih Allah, Nabi Muhammad di syurga kelak.

Ya Allah, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku sedang menzalimi diri aku sendiri. Aku ingin kembali, bertaubat dan memohon ampun dari-Mu Ya Allah. Sekiranya tidak engkau ampunkan, maka sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.

Ayuh!

Nota: Artikel ini adalah ulang siar daripada blog asalannya, Kaca Permata (Naqib usrah saya) sebagai peringatan dan motivasi buat semua sahabat-sahabat blogger untuk terus MENULIS demi menunaikan tanggungjawab berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran insya ALLAH.

Tuesday, September 7, 2010

Metafora Pencarian Hidayah Ramaḍān

Dulu, cikgu sekolah rendah aku pernah bertanyakan soalan 10 + 1. Jawab aku, 11.

Ya, aku masih pegang jawapan itu kerana aku amat yakin jikalau waktu sekarang aku menekan kalkulator Canon ku pasti dan pasti 10 + 1 jawapannya masih 11.

Malah, hukum alam juga begitu. Namun, bila mana masuk ke UKM aku mula merasakan jawapan 10 + 1 bukan lagi 11. Entah mengapa setelah hampir separuh buku Advanced Engineering Mathematic diulang dan di syarah oleh pensyarah, aku rasa jawapan aku kepada cikgu sekolah rendah dulu salah.

Bukan 11 dan lagi mustahil nak jadi 101. Habis?

“Syeikh, ana ni makin teruk la…”

“Teruk apa?”

“Entah la, ana ingat nak duduk dengan anta biar kasi elok balik diri ana ni…”

“Hmmm, ana OK je…”

Persoalan mengenai 10 + 1 mula berkisar dalam ruang lingkup perubahan. Bukan lagi bermain dengan sentimen hingusan. Pencarian aku terhadap jawapan persoalan itu tidak terhenti setakat itu sahaja tapi cuba untuk menusuk jauh ke dalam lagi.

Setelah sebulan, jawapan kepada soalan itu masih lagi tidak berubah. Masih gagal menjadi angka 11. Oh, mungkin ini permulaan.

Kita cuba tengok bulan seterusnya.

“Hmmm, kita makin lagha ni syeikh”

“Tau tak pe…”

“Habis camne ni?”

“Tak pe, kita berusaha lagi.”

“Kali ni ana berazam. Laptop ni ana akan tutup awal.”

“Huhu, baguslah kalau anta ada azam.”

Bulan ke-3, aku melihat dalam mimpi angka 11 masih belum mampu keluar daripada kepungan musuh. Yes, tepat sekali mimpi aku. Ternyata 10 + 1 sudah bertukar jawapan sekarang. 7!

Kalau cikgu sekolah rendah aku tanya aku sekali lagi soalan yang sama, pasti aku menjawab dengan penuh yakin.

“10 + 1 = 7, cikgu!”

Mahunya aku kena lempang. WiFi dan laptop, kau memang pengacau minda dan raga ku!

Terus mencari dan kini bulan ke-4 mula tiba bersama-samanya si cantik Ramadan. ALHAMDULILLAH.

Seakan mendapat peti oksigen maka aku mula mengatur strategi agar soalan 10 + 1 itu akan memberikan aku jawapan 11.

Tercungap-cungap mengejar segala zarah kumulatif supaya jawapan itu dapat aku temui. Helai demi helai suratan wasiat aku selak untuk mencari petua bagi memudahkan mendapat jawapan tersebut. Meskipun ke kadang tekak aku dihinggapi habuk yang melekat di celah-celah helaian suratan wasiat itu akibat sudah terlalu lama aku tidak cuba membukanya, namun jiwa ku meronta untuk meneruskan penerokaan wasiat-wasiat dari zaman purba kala tersebut.

“Alif-lam-mim…”

Cuba mencari intonasi seakan Syeikh Sudais supaya kekagetan dapat cepat dihapuskan. Hari pertama Ramadan, WOW!

Masuk hari ke-5, aku bermimpi.

“Wahai si penjaga soalan cepumas…”

“Ya, ada apa?”

“Sudah kah kau mendapat jawapannya?”

“Hah…!”

Alamak, lupa nak kira Bro!

Sudah seminggu tamu Ramadan berlalu, aku masih terkial-kial dengan soalan yang sama. Teringin nak ambil Ubat Minda Jus Tok Guru kasi cerdik skit tapi bila tengok dompet lemah semangat eden. Cukup-cukup nak buat makan seminggu campur berbuka kat Surau Jubli sekali dua.

Terpaksa la aku teruskan tradisi tradisional demi memajukan minda berkarat aku ini.

Bukan apa, jawapan mesti di cari. Kalau tidak malu pada cikgu sekolah rendah aku.

Bangkit pagi 12 Ramadhan, jam sudah menunjukkan angka….. Tetttt….

Hmm, lagi sekali. Patut pun 10 + 1 jadi 7. Tak mengapa,esok kita cuba lagi.

Ziarah para wali bermula untuk mencari formula demi menyelesaikan persoalan “matematik” ini. Sampai ke Pasir Gudang mencari jawapan, namun masih gagal menemui jawapan yang diberi ketika cikgu sekolah rendah ku bertanya pada aku dulu.

“Ana baru sampai juzuk’ 7 syeikh.”

“OK la tu. Ana baru juzuk 2 rilek je…”

Aku garu kepala sendiri. Umpama seorang pengemis datang ke sebuah rumah dengan harapan ingin meminta sesuap nasi namun didapati si tuan rumah itu pun sudah tidak menyentuh nasi selama 3 hari maka?

Petang 20 Ramadan, aku terlelap seketika.

“Ustaz, kenapa semalam ana mimpi gadis cantik bla bla bla bla ana tak peduli bla bla bla bla melepas bla bla bla bla syaitan kena ikat bla bla bla rugi betul bla bla bla ……….”

“Padan muka anta…”

Padan muka aku. Siapa suruh gatal sangat?

“Syeikh, dah 25 Ramadan”

“Habis?”

“Dah dapat jawab belum?”

“Nak jawab camne kalau asyik tergelincir je kerjanya.”

“Habis lah kita.”

“Kalaulah…”

Sudah-sudah!

LailaturQard sudah berlalu. Ramadan pula nak balik ke rumah asalnya. Jawapan aku masih belum ketemu lagi. Macam mana aku nak balik beraya kat kampung nanti?

Dibuatnya cikgu sekolah rendah aku tanya soalan yang sama sekali lagi time solat raya, apa aku nak jawab?

Arghhhh!

“Syeikh, tolong ana.”

“OK, malam ni….”

Tiba-tiba Balckberry aku bergetar dengan isyarat.
“Apabila kamu terlanjur melakukan sesuatu dosa, maka janganlah kamu menjadikan ia sebagai alasan untuk kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhan mu kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu.” 
(Ibn Ata’illah)
Alhamdulillah, dapat formulanya!

Aku menghembus nafas lega kerana aku yakin selepas ini soalan “simple” itu pasti aku boleh jawab. Azam ku, lepas ini aku akan menjadi 11. Bukan lagi 1!

Nota kaki: Ini metafora pencarian hidayah ALLAH ketika Ramadan. Hidayah ALLAH itu tidak datang bergolek. Bukan orang lain, tetapi KITA yang boleh mengubah diri kita sendiri. Janganlah kita berputus asa dengan rahmat dan keampunan ALLAH. 

Aku cuma membawa nilai 1, tetapi aku mengharapkan mereka – RAKAN SEKELILINGKU – yang membawa nilai 10 akan membantu ku untuk mencapai nilai 11. 

Ramadan hampir berlalu, tanyalah soalan pada diri kita sama ada kita sudah layak untuk bergelar graduan yang berjaya atau tidak. Keseluruhan Ramadan prestasi ku? 

Ramadan itu umpama si gadis cantik yang diberi percuma kepada kita untuk dijadikan isteri, kenapa kita sombong untuk menerima hadiah itu?

Monday, September 6, 2010

Kerana Ibu Amat Merinduimu

Menitis air mata menonton video ni. Teringat mak aku yang sedang sakit di kampung. Terasa macam nak terus peluk dan cium mak sekarang. Point di sini, tak sabar nak balik beraya.


Moga kita semua tak menjadi mereka yang sibuk sehingga lupa mak dan abah di kampung. Benarlah kata orang, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tapi 10 orang anak tidak pasti lagi boleh menjaga seorang ibu.

Marilah kita berbakti pada kedua ibu bapa kita sementara sisa umur mereka di dunia ini masih ada. Janganlah kita bersifat seperti anak derhaka yang lupa segala jasa mereka yang telah penat dan bersusah payah menjaga dan membesarkan kita sejak kecil lagi.

Usrah D’One Steak

Syukur Alhamdulillah kerana pada malam 27 Ramadhan,segalanya menjadi manis buatku. Petang, sahabat dari Mesir yang sedang menjalankan attachment di Hospital Pakar Kampung Baru, Kuala Lumpur datang melawat serta tidur di bilikku. Hamzah yang datang dengan sarat ilmu perubatan di dada maka keluarlah segala mak nenek term medic yang tak pernah aku belajar ketika berborak.

Haru jadinya…

Malam 27 Ramadan selepas solat Isyak dan Terawih di Surau An-Nur, Bangi Abang Idris mengajak aku keluar makan dengannya di Kuala Lumpur. Gila jauh semata-mata nak makan malam. Maka aku pun pergilah memenuhi jemputan itu walaupun terpaksa meninggalkan 2 orang sahabat aku di bilik sekejap.

Namun, akibat sudah terlalu lewat kira-kira jam sudah menunjukkan angka 12 maka kami memilih untuk makan di sekitar Bangi sahaja. Pun boleh asalkan orang belanja, betul tak?

27 Ramadhan mesti makan western, kata Abang Idris. Jadinya aku, Azan dan Abang Idris terus keluar mencari restoran Western yang dimaksudkan itu. OK, jumpa D’One Steak Restaurant. Nampak OK dan agak koboi hiasan restorannya. Sesuai dengan jiwa dan berhentilah kami di situ.

Anyway, terima kasih Azan pasal belanja makan tadi. At least boleh la budak kampung ni merasa makanan mahal.




Untuk informasi, D’One Steak Restaurant ini baru sahaja di buka di Bandar Baru Bangi, Seksyen 6 dan kedudukannya agak strategik di tengah-tengah komplek perniagaan Seksyen 6 itu. Bertemakan Western Food maka segala menu semuanya daripada pilihan tema yang sama dan harganya pun memang berpatutan sesuai dengan rasa dan kualiti hidangan mereka.

Makanan mereka OK. Service pun OK. Suasana, yup pun OK. Sesuai jika mahu bawa keluarga untuk makan malam hujung minggu. Aku cadangkan ambil mix lamb chop sizzling. Rasanya tiada dalam menu, tapi boleh request untuk mereka buat sizzling.

CUBALAH!

OK lah, itu je kot info aku boleh kongsi pasal restoran ini. Nak tau lebih lanjut, sila-silalah menjenguk ke sana dengan persediaan beberapa keping not-not berwarna hijau kalau nak makan banyak. Normal kan untuk restoran Western?

Huhu, balik bilik semua teman sebilikku sudah dibuai mimpi. Aku pun terus mengadap laptop.

Sunday, September 5, 2010

Iklan Raya TV3 Proses Kristianisasi Malaysia

Mungkin agak keras kenyataan ini namun inilah hakikat yang sedang berlaku dalam negara kita. Kita melihat mutakhir ini kegiatan untuk menyamaratakan kesemua bidang dalam aspek beragama mula membiak sedikit demi sedikit.

Terbaru, penghasilan dan penyiaran Iklan Raya TV3 telah mendapat kecaman yang begitu hebat daripada masyarakat Islam Malaysia yang tidak berpuas hati apabila mendapati isi kandungan iklan tersebut seakan cuba menyamakan antara sambutan ibadat Raya Aidilfitri dengan sambutan Krismas apabila memasukkan unsur-unsur perayaan Krismas di dalamnya.

Namun, saya tidak pasti setakat ini pihak TV3 sudah mengambil langkah membendung atau tidak tentang isu ini kerana saya kira rata-rata dalam laman sosial seperti Facebook ramai kenalan saya yang mengecam akan perkara ini dan mereka menuntut agar pihak TV3 menarik kembali siaran iklan ini atas alasan ianya mampu menyongsangkan pemikiran dan akidah kita terutamanya kanak-kanak yang mudah terpengaruh.

Bahaya besar akan menanti kita apabila kegiatan menyamaratakan agama ini terus berleluasa tanpa sekatan daripada pihak berwajib dan semestinya ancaman akidah menjadi persoalan utama di sini. Kemasukan berbagai unsur Kristian dalam usaha untuk menggambarkan suasana ibadat dalam Islam sepatutnya tidak berlaku dan wajib untuk kita membanteras perkara ini.

Ancaman penyongsangan pemikiran dan seterusnya akidah berlaku apabila kita merasakan gambaran dalam iklan itulah gambaran suasana hari raya yang penuh magis dan impian riang ria Santa Claus.

Padahal hakikatnya TIDAK sama sekali. Unsur-unsur Krismas inilah yang saya katakan sebagai proses Kristianisasi yang sedang berjalan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Secara tidak sedar, pemikiran kita sedang cuba dipengaruhi oleh proses Kristianisasi agar kita merasakan bahawa sambutan Aidilfitri itu hanyalah sambutan riang ria semata-mata dan merupakan hari penuh kebahagiaan sahaja tanpa kita menghiraukan faktor holistik dan ketuhanan dalam perayaan umat Islam tersebut.

Kesan terbesar adalah kesan terhadap pemikiran kanak-kanak yang sedang dalam proses belajar dan menerima. Kekeliruan boleh berlaku dengan begitu mudah lantaran tidak ada usaha penerangan yang sesuai terhadap mereka.

Perkara yang perlu kita pertimbangkan di sini dan sepatutnya pihak TV3 sebagai salah sebuah stesen televisyen yang terbesar di Malaysia sedia maklum akan hakikat ini bahawa medium televisyen menjadi faktor terbesar dalam mempengaruhi pembentukan minda kanak-kanak terutamanya.

Sebab itulah, atas dasar rasa tanggungjawab maka saya mencadangkan agar iklan tersebut ditarik balik dan dihentikan penyiarannya. Lakukan siasatan segera terhadap produksi yang bertanggungjawab menghasilkan iklan tersebut agar kita dapat membendung segala langkah dan strategi Kristianisasi di Malaysia.

Perkara yang dibimbangkan di sini ialah berleluasanya pemikiran pluralisme agama dalam kehidupan seharian kita. Maksudnya lahirnya pemikiran yang suka menyamaratakan semua agama tidak kira Islam, Kristian, Hindu atau Buddha dan lain-lain dalam semua aspek.

Cuma bagi kita agama ini dipisahkan oleh acuan secara fizikal semata-mata tetapi matlamatnya semua sama iaitu menuju tuhan. Konsep dan pemikiran ini di dokong dan dipelopori oleh beberapa orang tokoh pluralisme agama antaranya John Harwood Hick. Kita merasakan kesemua amalan dan unsur agama lain itu adalah benar dan baik serta boleh diikuti dengan sewenang-wenangnya. Ini perkara paling bahaya terhadap akidah kita.

Merujuk kepada iklan tersebut, kemasukan unsur sambutan Krismas seperti lelaki tua yang berlagak seperti Santa Klaus benar-benar akan menerbitkan kekeliruan terhadap konsep perayaan Aidilfitri yang sebenar sebagaimana dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Kebanyakan mereka yang mempelopori dan menganjurkan kepada konsep pluralisme beragama ini adalah bertujuan untuk menyesatkan akidah umat Islam dan ini adalah senjata terbesar missiniori Kristian dalam memurtadkan umat Islam di Nusantara.

Bukan sekadar unsur-unsur Kristian, malah penggunaan bunga teratai adalah memberi maksud kepada Tuhan Brahma dalam agama Buddha. Perbetulkan saya jika fakta ini salah.

Mesej apa yang hendak disampaikan oleh TV3 melalui iklan ini sebenarnya? Hal ini perlu diperjelaskan.

Maka, berhati-hatilah. Jangan biarkan diri kita begitu mudah dipengaruhi dengan unsur Kristianisasi sehingga kita keliru dengan tujuan asal sesuatu ibadat itu disyariatkan. Dari sini, kita dapat membicarakan satu lagi persoalan iaitu konsep beribadat dalam Islam.

Aidilfitri bukan semata-mata sambutan keriangan dan kegembiraan dengan kuih raya, baju raya, duit raya dan segala rayanya. Ini konsep yang salah. Apatah lagi kita cuba menyamakan cara sambutan Aidilfitri dengan sambutan perayaan Krismas.

Sudah tentu amat tidak wajar. Aidilfitri adalah ibadah yang disyariatkan oleh ALLAH. Di dalamnya terkandung seribu keberkatan dan hikmah. Hal ini perlu kita sedar dan insafi. Keterlaluan dan ketaksuban kita dalam menyambut Aidilfitri akan menyebabkan kita mudah terpengaruh dengan cara-sambutan perayaan orang-orang Kafir.

Inilah perkara yang perlu kita ambil iktibar. Sebagai cadangan, tidak ada salahnya pihak TV3 atau mana-mana produksi penyiaran cuba melakukan sesuatu yang kreatif dan berlainan untuk menarik minat penonton selagi ianya tidak mengancam pemikiran dan akidah umat Islam.

Untuk bersangka baik, mungkin iklan ini bertujuan untuk lari daripada kebiasaan namun sayangnya kekeliruan dalam meletakkan konsep sebenar menyebabkan tujuan iklan ini tidak sampai kepada penonton. Semua keliru.

Kenapa tidak dalam iklan tersebut TV3 menggambarkan suasana takbir raya sebagai contoh dan lain-lain yang sinonim dengan masyarakat Malaysia sahaja.

Cukup sekadar itu celoteh saya mengenai isu iklan raya ini. Tuntasnya, marilah kita sama-sama berusaha membanteras segala bentuk dan proses kristianisasi yang cuba dimasukkan ke dalam kehidupan seharian kita termasuklah dalam hal-hal ibadat yang khusus.

Moga segala usaha kita akan mendapat tempat di sisi-Nya insya-Allah…

Saturday, September 4, 2010

Sport Toto Menghina Islam: Mengapa JAKIM Membisu?

Terkejut aku bila membaca berita hari ini, 3 September 2010 dari The Star Online tentang Sport Toto menganjurkan majlis berbuka puasa untuk rumah anak yatim dan ibu tunggal di sekitar Selangor.

Antara rumah anak yatim yang terlibat ialah Persatuan Anak Yatim dan Ibu Tunggal Kampung Medan, Petaling Jaya dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat,Banting.

Majlis tersebut diadakan dengan kerjasama Bukit Kiara Equestrian & Country Resort dan Sport Toto.

Baca ini dengan penuh rasa amanah terhadap agama Islam dan harga diri terhadap anak-anak yatim dan ibu tunggal yang menjadi mangsa keadaan.

Aku ulang, SPORT TOTO buat majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim dan ibu tunggal!

Sudah berubah ke hukum makan duit judi dan ramalan dalam al-Quran sehinggakan majlis ini sebegitu senang berlangsung tanpa ada sebarang kritikan dan hentaman terutamanya daripada pihak media?

Alangkah begitu senangnya mereka mempermainkan ibadat wajib dalam Islam iaitu puasa dengan mencampuri adukkan dengan duit yang keji lagi HARAM itu.

Ke manakah perginya sensitiviti mereka yang berada di sekitar itu terutamanya mereka yang beragama Islam?

Padahal hampir 100% mereka yang tinggal dan bekerja di rumah anak yatim itu adalah ISLAM. Ke mana maruah agama kita sehingga sebegitu senang kita menadah api neraka masuk ke dalam rongga badan kita lalu menjadi darah daging yang akan mengalir ke segenap keturunan akan datang?

Aku tidak mempersalahkan si anak yatim yang dijemput ke majlis tersebut kerana aku cukup yakin betapa mereka begitu naif tetapi ke mana mereka yang berpangkat sebagai pegawai di sana atau orang yang bertanggungjawab ke atas mereka ini untuk menghalang perkara ini daripada berlaku?

Geram. Marah. Ke mana perginya suara-suara media yang begitu sensitif terhadap isu yang membabitkan agama sebelum ini?

Kalau sebelum ini, isu doa minta hidayah oleh khatib di sebuah masjid di Pulau Pinang untuk Lim Guang Eng begitu hebat di palu oleh media arus perdana, kenapa bila hal ini berlaku tidak terdengar sedikit pun suara yang menentang?

Begitu juga isu Adun Serdang masuk masjid dan dikatakan menghina Islam, habis bila Sport Toto menganjurkan majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim tidak di kira MENGHINA ISLAM kah padahal hukum dan jawapan untuk setiap hal ini begitu jelas!

Ke mana suara mereka yang begitu sayangkan Islam sebelum ini?

Tidakkah kalian merasa kasihan bilamana melihat anak-anak yatim diberi makanan dari sumber yang jelas HARAM dan KEJI. Ke mana maruah kita?

Sudah tiada nilai ibadat pada puasa itu?

Sudah gugur nilai pahala dan berkat pada berbuka puasa itu?

Mana JAKIM yang begitu lantang menegakkan kesucian Islam bila dihina sebelum ini?

Mana arahan Raja-Raja Melayu untuk menghalang kemaksiatan ini?

Mana suara Perdana Menteri yang sebelum ini begitu hebat membela Islam bila dihina?

Mana suara Kementerian Jabatan Perdana Menteri terhadap penghinaan ini?

Siapakah kita di hadapan ALLAH kelak jika kita diberi kuasa namun gagal menjalankan dan mencegah maksiat dan penghinaan ini daripada berlaku?

Bagi aku, dan aku turut yakin sahabat-sahabat aku juga berpendirian sebegini bahawa Sport Toto menghina Islam bilamana langsung tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam dalam nilai ibadat khusus mereka.

Namun, aku lebih suka menujukan kecaman ini terhadap mereka yang bertanggungjawab dan mereka yang berada di sekitar majlis tersebut yang beragama Islam kerana GAGAL menghalang penghinaan ini daripada berlaku.

Hukum tentang memakan hasil judi begitu jelas pengharamannya dalam al-Quran dan kerana itulah aku begitu terkilan bila membaca berita ini.

Persoalannya,kenapa berita ini tidak disiarkan dalam Berita Harian atau Utusan Melayu padahal sebelum ini kedua-dua media arus perdana ini begitu lantang mengecam isu yang membabitkan penghinaan terhadap agama Islam.

Sudah mandul kah?

Cukup sedih bila teringat anak-anak yatim yang masih kecil itu telah menjamah makanan yang ditaja oleh syarikat yang haram lagi keji di sisi syariat Islam.

Cukup terkilan dengan nasib mak cik dan ibu tunggal yang di rai ketika majlis tersebut kerana telah menelan juadah berbuka puasa yang sumbernya haram lagi keji.

Lagi menyedihkan bilamana penghinaan ini terang dan jelas berlaku di bulan yang penuh barakah, RAMADAN KAREEM yang sepatutnya menjauhkan diri kita daripada api neraka namun.

Marilah kita sedar hakikat ini wahai sahabat-sahabatku. Kian lama kita lihat si kafir begitu mudah mencerca dan menghina Islam. Ke mana kita seterusnya?

Aku sangat berharap akan ada suara pihak berwajib menyanggah penghinaan ini agar ianya tidak akan berulang sekian kali lagi. Biarlah ini yang terakhir.

Hati kecil ku merayu agar Ketua Agama Islam Negara, Tuanku Yang Dipertuan Agong bersuara untuk menghalang segala bentuk penghinaan terhadap Islam yang benar-benar jelas hukum dalam al-Quran dan Hadis.

Friday, September 3, 2010

Aku Ingin Bangun

Terpana… terjatuh… terduduk…
Sakit… kecewa…
Sejenak ku terjatuh dan terpaku,
Terbayang kehitaman menjengah wajah si penduka,
Sedang hati ku terus teraba-raba,
Mencari-cari titik temu kesaktian semangat,
Perlahan aku bangkit,
Cuba bangkit,
Namun…

Aku gagal memberi jawapan,
Bukan ku nukil untuk memberi alasan,
Atau cuba berlagak matang,
Cuma secebis kata demi keheningan jiwa,
Ku pohon dan doa lazim patah kata di bibir…

Meski hati menjerit meminta kudrat,
Dengar kah kalian di luar sana,
Ku pohon dari segenap juzuk zarah,
Ku pinta dan rayu….

Hulurkanlah tangan mu buat ku berpaut,
Untuk bangkit dari kegelapan ini,
Kerna aku yakin,
Aku berada dalam jiwa MEREKA,
Aku ingin bangun….

Bandar Baru Bangi, 
3:32 PM