Saturday, July 31, 2010

Aku dan Cinta

Manusia sering berbicara soal cinta,
apa itu cinta,
bagaimana mahu mendapatkan cinta,
kepada siapa cinta itu berhak diberi,
soal begini kerana sifatnya manusia,
lemah dan sentiasa tidak puas...

Aku jua,
tercari-cari makna cinta,
kebingungan,
aku kejung bila disoal kawan,
pernah bercinta?

Aku belajar dari seorang bijak pandai,
cinta itu tidak mengenal siapa,
aku belajar satu perkara
cinta tidak cuma mengenal manusia,
binatang pun nan bercinta...

Aku bertanyakan bijak pandai,
ketemuan lewat usia remaja,
adakah itu cinta jika sesama pria,
bah, itu uniknya cinta,
kata si bijak pandai...

Aku juga belajar perkara kedua,
cinta itu penyatuan,
Alangkah...

Mari kita fikirkan,
lahirnya bayi yang kudus atas penyatuan cinta,
yang bersulang kasih dan sayang,
ini cinta agung,
itu yang aku pelajari lagi...

Sang bapa menyintai anaknya,
si ibu bersengkang mata berlapar,
bertuah si anak untuk memiliki cinta,
aku belajar perkara ketiga,
cinta itu tuah...

Cinta tidak pernah mengenal usia,
cuma manusia yang alpa,
seringkali menyamakan cinta dan usia,
lantas, sesalnya tak sudah...

Aku mula mahu dicintai,
kerana cinta remedi usia,
perkara keempat untuk aku belajar,
dari makna cinta...

Oh cinta yang murni,
sebagai ikatan,
yang suci di hati,
lahirnya tidak berbentuk.
tapi wujudnya itu pasti...

Bandar Baru Bangi,
Julai 31, 2010

Pendidikan Seks di IPTA

Pertamanya saya ingin meminta maaf jikalau ada sesiapa terasa atau sakit hati dengan artikel ini. Namun, ini adalah pendirian dan pendapat berkenaan suatu masalah atau fenomena yang seakan merebak tanpa ada sekatan sehinggakan mengganggu kelancaran sistem dan perjalanan sesuatu matlamat.

Fenomena di sini ialah sebuah polemik yang berlaku dalam diri pelajar lelaki bilamana berada di dalam dewan kuliah untuk sesi perkuliahan. Polemik ini tercetus kerana kewujudan para pensyarah wanita yang seksi atau dengan kata lembutnya, tidak mematuhi etika pemakaian yang sepatutnya.

Sungguh, hal ini menjadi seakan barah yang bukan lagi menjadi bahan lawak sesama kami malah lebih daripada itu secara jujur nya.

Mungkin kerana hal inilah saya mengatakan bahawa betapa Pendidikan Seks secara percuma dan tidak langsung telah berlaku di dalam perkuliahan dengan sesetengah pensyarah wanita. Sekali lagi saya tekankan bahawa sudut pandang kali ini adalah berdasarkan penulis sebagai lelaki dan sebagai seorang pelajar yang sedang berusaha menuntut ilmu di IPTA.

Dalam hal pensyarah wanita memakai pakaian yang seksi atau begitu seksi, mungkin pada pandangan teman-teman perempuan lain hal ini tidak menjadi masalah namun bilamana berbicara dari pihak lelaki ternyata keadaan ini telah mengundang pelbagai masalah dan mencetuskan sebuah polemik yang tidak baik kesannya.

Saya tak mahu mempersoalkan hak peribadi atau hak asasi kerana jika menggunakan hujah sebegitu, maka tidak perlulah entri ini ditulis.

Cuba bayangkan seorang pensyarah wanita yang masih lagi belum memasuki usia senja dan kata orang, masih bergetah duduk mengajar dalam sebuah dewan kuliah yang sejuk dan nyaman di sebuah fakulti kejuruteraan yang terkenal dengan populasi lelaki sentiasa 3 kali ganda daripada bilangan perempuan dengan memakai pakaian yang cukup sendat sehingga menampakkan segala bonjolan dan lurah yang wujud pada badan mereka yang diciptakan ALLAH di hadapan kira-kira 50 orang pelajar lelaki yang dikira sudah mampu menjadi bapa jika beristeri?

Dan cuba kembali kepada realiti, apakah tanggapan kalian sebagai pembaca terhadap situasi ini?

Siapa mangsa dan siapa pemangsanya?

Mungkin pada satu pandangan, hal itu tidak menjadi masalah memandangkan umur kami secara puratanya adalah antara 19 – 21 tahun. Maka dari segi umur itu, kebiasaan kaum Adam pada saat ini akan lebih mudah menghasilkan imaginasi tahap bombastik dan mampu menilai sesuatu secara tepat rasa seumpama kata pepatah, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Oh, sekadar berimaginasi itu tidak mengapa. Namun tumpuan kami? Fokus kami ketika itu di mana? Slide atau body?

itu persepsi terhadap kami yang berusia begini.

Ok la, sebagai seorang yang bakal menjadi engineer, kamu perlu melatih imaginasi kamu sentiasa agar mampu melahirkan idea-idea baru.

Namun, bagaimana pula nasib mereka yang sudah berumah tangga dan terpaksa meninggalkan isteri mereka jauh nun di Malaysia Timur demi segulung ijazah dalam tempoh yang lama bila berdepan dengan situasi di atas?

Aduh, mahunya mereka menjadi sasau daripada belajar akibat tekanan jiwa dan batin mereka tambah-tambah bila berdepan dengan pensyarah wanita yang suka mengiklankan bukit bukau yang ada pada badan mereka.

Fokus pada kertas terus lari dan mula menangisi kerinduan terhadap isteri-isteri mereka di rumah.

Maka kami dari sini mula belajar betapa inilah Pendidikan Seks yang sebenarnya. Tak perlu susah-susah kerajaan menghabiskan duit mengkaji dan mewujudkan subjek baru dalam syllabus persekolahan mengenai seks jika hal ini berlaku kerana kami sudah mendapat lebih dari cukup untuk ini. Cuma nya ianya berlaku secara informal.

Inilah polemik yang berlaku dalam zaman sekarang di mana zaman umat Islam sendiri sudah hilang hormat pada ajaran agama Islam malah berbangga dengan budaya yang begitu berisiko tinggi itu.

Persoalan di sini ialah, pertamanya adakah para pensyarah wanita yang terlalu suka mengiklankan bukit bukau mereka secara percuma itu tidak memiliki sensitiviti terhadap kuasa “kebolehupayaan” milik setiap pelajar lelaki mereka selama mereka berada di depan untuk mengajar dalam keadaan sebegitu rupa?

Sedar kah bahawa siapakah yang menjadi mangsa dalam masalah ini dan siapakah pemangsanya?

Sungguh, saya kasihan terhadap nasib mereka para pensyarah wanita ini kerana mereka dijadikan ALLAH dalam keadaan yang cukup terpelihara kehormatan dan kemuliaan mereka. Mereka diciptakan dengan disertai pelbagai syarat-syarat khusus demi untuk menjaga “hak” mereka agar terus menjadi hak mereka dan beberapa orang yang berhak ke atas “hak” itu sahaja.

Tidak sedar kah mereka akan keistimewaan ini yang hanya dikurniakan kepada makhluk yang bernama WANITA?

Benar, kalian adalah makhluk mulia dan begitu terpuji kejadian mu. Wujud kalian adalah bukan untuk menjadi santapan nafsu dan mata syaitan milik kami senantiasa.

Beringatlah dan sedarlah akan hakikat ini. Kembalilah kepada asalan tujuan kita di dunia ini. ALLAH berfirman,
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Surah aN-Nur: 31
Pokoknya Rasulullah SAW sendiri pernah menegur Asma’ tentang etika seorang wanita terhadap pemakaian mereka dalam sebuah hadith,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan kedua tapak tangannya.”
(Riwayat Abu Daud)
Jika etika ini dipatuhi maka polemik ini tidak perlu lagi diungkit-ungkit. Islam itu amat mudah tetapi Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk mempermudah kan segala ajaran yang terkandung di dalamnya.

Mungkin skop perbincangan ini saya tumpukan tentang apa yang terjadi di dalam dewan kuliah kerana saya tahu jika kita berbicara soal ini di dalam ruang lingkup keseluruhan masyarakat maka kita akan menyaksikan perkara ini umpama tiada apa-apa.

Awas, jangan sesekali kita menganggap gejala dedah sana londeh sini adalah perkara biasa di zaman ini. Perlu dipertegaskan bahawa inilah tugas dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di buka bumi milik ALLAH ini untuk menyampaikan segala apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada kita dalam segala bidang dan cakupan kehidupan.

Maka, saya amat berharap agar jika ada pembaca yang membaca artikel ini bekerja sebagai pensyarah atau guru boleh mengambil iktibar di atas perkara ini. Jujur nya saya kata, polemik ini telah menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja.

Harapan mereka berada di institusi pengajian ilmu tidak kira di sekolah atau universiti adalah untuk belajar tentang segala yang baik dan elok namun bilamana kejadian atau fenomena ini makin menular maka harapan ini akan tinggal harapan sahaja tapi saya tidak mengatakan bahawa perkara ini menjadi faktor terbesar dalam menyumbang ke arah meningkatnya gejala sosial tetapi ia adalah sebahagian yang menyumbang jasa ke arah itu.

Oleh itu, beringatlah dan ambil lah pengajaran.

Tuntas nya, TOLONGLAH!

Tolonglah jaga etika pemakaian itu wahai pensyarah-pensyarah wanita yang amat disayangi kerana kalian adalah wasilah kepada kami untuk mendapat ilmu di dewan kuliah. Janganlah kerana iklan percuma itu menyebabkan fokus kami dalam dewan kuliah hilang entah ke mana!

Friday, July 30, 2010

Pementas Ceritera Dunia

Kegembiraan menerjah segenap ruang perasaan,
lantas membuahkan satu kepuasan,
cetusan keinginan terus membuak....
melahirkan kepelbagaian rasa dan hidup...

Kerana kita adalah pencerita di pentas dunia,
maka berpentas lah kita seelok-eloknya...

Tapi beringatlah!

Bukan semua cerita indah mampu kita garapkan,
mungkin sekadar sinar henjutan dalam jiwa kita,
kita tidak dilahirkan untuk menafikan peluang...

Oleh itu bangkitlah jiwa-jiwa mu,
kerana Dia tidak pernah menutup pintu untuk kita,
meskipun kita seringkali terlupa sendirinya,
bahawa kita hanyalah pelakon kepada skrip yang dahsyat...

Bandar Baru Bangi
Julai 30, 2010

Tuesday, July 27, 2010

Nisfu Syaaban Garis Mula Latihan Ramaḍān

Alhamdulillah, hari ini dan semalam merupakan nikmat ALLAH kepada hamba-Nya untuk terus beribadat dan mengerjakan kebaikan demi mengejar sebuah harapan syurga nun jauh di Akhirat nanti. Dia masih lagi membenarkan kita semua kali ini untuk sampai sekali lagi di garisan permulaan bagi menjalani sebuah latihan khusus untuk menghadapi bulan membina takwa kira-kira 2 minggu lagi.

Masya-Allah kita sentiasa berdoa agar ALLAH mencapaikan hasrat itu moga-moga kita dapat menjejakkan hati kita di Ramadhan ini.

Nisfu Syaaban sebagai “starting point” buat diri kita sebagai umat Islam dalam menyediakan diri untuk berdepan ujian keimanan di Ramadan nanti. Analogi nya begitu mudah, umpama seorang atlet yang sedang bersiap menghadapi kejohanan yang besar dan lumayan ganjarannya, sudah pasti persediaan dan latihan yang perlu dilakukan adalah bukan sedikit dan main-main. Sudah tentu INTENSIF maka tunggulah INSENTIF nya.

Makanya, Ramadan adalah sebuah kejohanan ketakwaan yang menawarkan ganjaran bertaraf platinum atau mungkin lebih dari itu. Kita adalah contestant dan kita berharap agar kita mampu layak ke kejohanan itu.

Latihan dan persediaan mestilah penuh rapi dan tersusun. Maka Nisfu Syaaban pada hari ini tidak salah jika kita menganggapnya sebagai titik mula untuk kita memulakan latihan intensif kita.

Saya menulis sebagai peringatan untuk diri sendiri khususnya dan semua teman-teman. Mungkin sebelum ini kita sukar membuka lembaran al-Quran sebagaimana kita menatal Facebook atau mungkin sebelum ini kita susah menghampar sejadah sebagaimana kita bersembang maya dengan kawan-kawan kita.

Dan mungkin juga sebelum ini kita teramat sukar untuk berjalan ke masjid berbanding kita blogwalking berjam-jam dan berkemungkinan besar kita juga sebelum ini sering gagal berdiri 2 rakaat di Subuh hari berbanding kita mampu melakukan movie marathon sehingga tidak tidur malam.

Atau mungkin segala-galanya yang memungkinkan ke arah itu?

Moga ALLAH memberikan hidayah dan kekuatan buat diri kita semua untuk mula menyesali dosa dan lara kita sebelum ini dan menginsafinya demi menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan, rahmat dan keampunan tidak lama lagi.

Kami reda menerima ALLAH sebagai Tuhan kami. Islam sebagai agama kami dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul kami.

Dengan nama ALLAH yang bersama nama-Nya, tiada suatu pun yang dapat mengenakan mudarat sama ada di Bumi atau langit, dan Dia adalah tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Ya ALLAH, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu. Jangan kami menyekutukan-Mu dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami mohon keampunan-Mu terhadap penyekutuan yang tidak kami ketahui.

Ya ALLAH engkaulah Tuhan kami. Tiada tuhan melainkan Engkau. Engkaulah yang menjadikan kami. Kami adalah hamba-Mu dan kami berusaha sedaya upaya mendapatkan janji-Mu. Kami memohon perlindungan-Mu dari apa-apa kejahatan yang telah kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu terhadap kami dan kami mengakui DOSA kami. Maka ampuni-lah kami, kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kami melainkan Engkau ya ALLAH.

Peringatan dan doa buat diriku dan sahabat-sahabat semua sempena malam Nisfu Syaaban ini. Kita berusaha ke arah itu dan akan terus berusaha ke arah itu. Marilah kita sama-sama memanfaatkan tempoh 2 minggu Syaaban sebelum menjelang Ramadan untuk mempersiapkan diri kita ke arah mendapat darjat dan impian setiap individu Muslim sepertimana firman ALLAH dalam al-Quran,

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhan-mu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhan mu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba ku yang berbahagia dan masuklah ke dalam Syurga Ku!”
Surah aL-Fajr: 27-30

Insha’Allah!

Friday, July 23, 2010

Masihkah Terbuka Pintu Taubat Untukku?

Terdapat sebuah hadith menceritakan satu kisah penuh tragis dinukilkan dalam Sahih Bukhari, Muslim dan Ahmad yang menceritakan bagaimana seorang lelaki yang telah membunuh sebanyak 99 orang yang terpelihara jiwanya. Kemudian datang sesalan di dalam dirinya akan dosanya yang mungkin tidak terampun.

Bayangkan jika kita membunuh 1 jiwa yang terpelihara, adakah pintu syurga masih lagi terbuka untuk kita?

Tentu saja dia akan dihumbankan ke dalam neraka yang tidak terperi azabnya pada anggapan kita.

Seluruh badannya dilumuri darah, tangan dan jari jemarinya bertukar warna menjadi kemerahan dek disimbah darah mereka yang dibunuhnya. Pedangnya terus terhunus dan matanya melilau mencari mangsa.

Saat tiba bila mana ALLAH meniupkan hidayah dan rasa kekesalan di dalam dirinya, dirinya yang begitu hebat dan gagah tika membunuh orang tetiba menjadi sejuk kedinginan dan menggeletar bila mengenangkan azab seksa Neraka yang bakal ditempuhinya jika di meninggal sebelum sempat bertaubat.

Dia memikirkan saat pertemuannya dengan ALLAH di Akhirat kelak dalam keadaan membawa dosa yang tidak terperi besarnya. Namun di sebalik itu dia cukup yakin bahawa ALLAH pasti akan mengampuni dosanya kerana tiada yang mengampuni dosa, yang menghukum, yang menghisab dan yang membenci hamba-Nya kerana dosa kecuali ALLAH SWT.

Lantas dia berbisik, “Sesungguhnya para raja pun bila para suruhan mereka telaah tua dan beruban dalam perkhidmatan mereka, mereka akan dimerdekakan dengan pemerdekaan dan pembebasan yang baik. Maka Engkau, wahai Pencipta ku jauh lebih pemurah dan penyayang daripada itu. Sekarang sungguh aku telah tua dalam perhambaan diri maka bebaskan lah diriku dari neraka.”

Kemudian dia pun keluarlah dengan pakaiannya yang masih berlumuran darah dan pedangnya masih lagi mengalirkan darah mangsanya sambil berjalan dalam keadaan mabuk seraya meracau dan bertanya kepada orang ramai, “Adakah aku masih boleh meminta pengampunan ALLAH?”

Orang ramai berkata kepadanya, “Pergilah kamu kepada seorang rahib yang tinggal di sebuah kuil di hujung kampung ini dan tanyalah sama ada kamu masih boleh meminta ampun atau tidak.”

Lantas dia pergi kepada rahib tersebut kerana dia menyedari hanya para alim mampu memberi fatwa akan dirinya yang begitu berdosa ini.

Namun sayang sekali bilamana rahib tersebut rupa-rupanya hanyalah seorang hamba yang tertipu dengan keasyikan beribadah sehinggakan dia gagal memenuhi dirinya dengan ilmu agama dan pengetahuan yang mencukupi malah telah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada dalam agama.

Selari dengan firman ALLAH dalam al-Quran,
“Kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) “Rahbaniyyah” – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkan nya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka.”
Surah aL-Hadid: 27
Aduh, si pencari kata tuhan itu telah menemui orang yang salah.

Lalu dia mengetuk pintu kuil itu untuk bertemu dengan si rahib tadi. “Aku memohon perlindungan ALLAH dari kejahatan mu,” si rahib tadi berdoa setelah melihat penampilan lelaki tadi.

Lantas si lelaki tadi bertanya kepada rahib tadi, “Wahai rahib si ahli ibadah, aku telah membunuh 99 orang yang terpelihara jiwanya. Maka apakah masih ada pintu taubat untuk ku?”

Si rahib lantang menjawab, “Tiada taubat untuk mu!”

Maha Suci ALLAH, apakah kau ditugaskan untuk menghukum manusia atau memberi tunjuk ajar kepada mereka?

Apakah hak kamu untuk menutup pintu taubat yang dibuka oleh ALLAH kepada manusia dengan sewenang-wenangnya?

Apakah kau adalah ahli dalam memberi fatwa dalam bidang ini sedangkan hanya ulama’ sahaja yang berhak ke atasnya?

Lalu si lelaki tadi berputus asa dari rahmat ALLAH dan kemarahannya memuncak. Dia pun terus mengangkat pedang dan melibas kan ke atas badan si rahib tadi untuk menggenapkan mangsanya kepada 100 sebagai balasan setimpal kepada rahib tersebut.

Namun jiwanya masih merasakan bahawa dirinya berhak untuk mendapatkan keampunan ALLAH. Dia pun keluar untuk terus mencari siapakah yang mampu memberi pertolongan dan petunjuk kepadanya untuk meminta ampun dari ALLAH.

Kepada orang ramai dia bertanya, “Masih ada lagi kah jalan untuk ku bertaubat?”

“Pergilah kau mencari rumah Fulan bin si Fulan. Dia seorang ulama bukannya rahib. Moga-moga dia dapat membantu kau,” nasihat orang ramai yang mengelilinginya.

Si pembunuh tadi langsung pergi ke rumah ulama itu. Di saat itu si ulama sedang mengajarkan anak murid mereka dalam sebuah majlis ilmu lantas ulama terbabit mempersilakan lelaki itu untuk duduk di dalam majlisnya setelah menyambutnya dan memeluknya sambil bertanya, “Apakah hajat mu ke mari wahai anak muda?”

Dia pun berterus terang, “Aku telah membunuh 100 orang yang terpelihara jiwanya. Apakah pintu taubat masih terbuka untuk ku?”

“Lalu siapakah yang menghalang kamu daripada taubat dan siapakah yang mencegah mu daripada meminta taubat? Sesungguhnya pintu taubat itu terbuka luas dan lebar untuk mu. Maka bergembiralah dengan keampunan-Nya dan bergembiralah dengan perkenan-Nya dan bergembiralah dengan taubat kepada-Nya” ulama tersebut mengujarkan kata-kata yang begitu dekat dengan jiwa si pembunuh tersebut. Inilah yang dia tercari-cari selama ini.

“Aku mahu bertaubat dan memohon keampunan daripada-Nya,” si pembunuh itu menyuarakan hasratnya.

“Aku akan memohon kepada ALLAH agar Dia menerima taubat mu. Sesungguhnya kamu tinggal di kampung yang jahat, kerana kadangkala suasana kampung itu memberi pengaruh untuk melakukan kemaksiatan dan kederhakaan kepada tuhan kepada para penduduknya. Barang siapa yang lemah imannya dan berada di tempat sebegini, maka dia mudah untuk melakukan kemaksiatan dan terasa ringan lah baginya setiap dosa yang dilakukannya. Akan tetapi jika suasana masyarakatnya memperkasakan amar makruf dan nahi mungkar, nescaya akan tertutuplah segala lubang-lubang kemaksiatan itu. Oleh itu, keluarlah kamu dari kampung ini menuju ke kampung yang lebih baik. Gantikan lah tempat tinggal mu yang lalu dengan tempat tinggal yang baik dan bergaul lah dengan para pemuda yang soleh yang akan menolong dan membantu mu untuk bertaubat!” nasihat sang ulama dengan penuh kasih sayang.

Langsung si pembunuh tadi terus pergi meninggalkan tempat itu demi memenuhi suruhan dan perintah ulama tadi. Namun sayang 1000 kali sayang, ketika hatinya penuh dengan kegembiraan dan pengharapan, ALLAH telah menghantar Malaikat Izrail untuk menjemputnya lantas dia terus meninggal dunia di pertengahan jalan.

Dia tidak pernah solat dan tidak pernah mengenal puasa. Apatah lagi zakat juga syahadah. Dan juga langsung tidak pernah mengerjakan amal kebaikan. Namun saat kematian datang kepadanya, dia dalam keadaan penuh sesalan dan ingin bertaubat. Lalu, ketika mautnya menjelma mulutnya menguman kalimah syahadah. ALHAMDULILLAH.

Pelik, apabila takdir menentukan nyawa si pembunuh tadi menjadi pertikaian antara dua malaikat yang datang menyambut nyawanya dari Malaikat Izrail. Malaikat Rahmat ingin membawanya ke syurga namun dibantahi oleh Malaikat Azab yang mahu membawanya ke neraka.

Pertikaian itu berlanjutan sehinggakan menyebabkan mereka terpaksa mengadap ALLAH untuk bertanya apakah solusinya.

Malaikat Rahmat berhujah, “Sesungguhnya dia datang untuk bertaubat dan mengadap ALLAH menuju ke jalan yang taat serta kembali kepada ALLAH dan dilahirkan semula melalui taubatnya. Oleh itu dia adalah hak kami!”

Namun Malaikat Azab membantah, “Sesungguhnya dia belum pernah melakukan kebaikan. Tidak pernah sujud, solat, zakat dan bersedekah. Maka atas alasan apa untuk dia menerima balasan rahmat. Sungguh, dia adalah milik kami!”

Pertikaian itu akhirnya terlerai bila mana ALLAH mengirimkan malaikat lain sebagai pengadil dan orang tengah lantas juri tadi memberi arahan, “Berhentilah kalian daripada terus bertikai. Ikutlah arahan ku ini untuk mencari solusinya. Menurut ku, kalian haruslah mengukur jarak jenazah si pemuda tadi antara kampung yang baik dengan kampung asalnya.”

Lantas mereka terus mengukur dan ditakdirkan jenazah si pembunuh tadi adalah lebih dekat dengan kampung yang baik berbanding kampung asalnya. Maka Malaikat Rahmat telah mendapat hak ke atas nyawa si lelaki terbabit. Diriwayatkan ketika mereka sedang mengukur, ALLAH memerintahkan agar jenazah si lelaki itu mendekati kampung yang baik berbanding kampung yang jahat.

Kerana niatnya begitu ikhlas dan suci, maka ALLAH mengangkatnya ke martabat orang-orang yang tergolong dalam golongan mereka yang memiliki tanah di syurga ALLAH.

Kisah dari hadith sahih ini telah mengungkit kan beberapa titik utama dalam agama Islam itu sendiri. Marilah kita menghayati beberapa potong ayat al-Quran ini,
“(Engkau kah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
Surah aZ-Zumar: 9
Ayat di atas menjadi dalil kepada para pendusta dalam membawa ajaran agama ALLAH kerana merekalah yang menyebabkan berlakunya perpecahan dan kekeliruan dalam masyarakat kini.

Mengeluarkan fatwa yang pelik-pelik dan bercanggah dari syariat ALLAH, menunjukkan penampilan diri yang tidak selari dengan tuntutan sebenar, suka menimbulkan kontroversi dengan melaga-lagakan perbezaan dalam masyarakat sama ada melalui faktor ras atau agama dan sebagainya gelagat jijik mereka si pendusta agama.

Namun ALLAH telah memberi peringatan yang jelas bahawa antara mereka dan orang-orang yang membawa peringatan yang sebenar amat berbeza sekali. Oleh itu kita WAJIB berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan si pendusta agama yang makin bercambah dalam masyarakat kita.

Lagi ALLAH berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkan lah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
Surah aL-Mujaadalah: 11
Memang ada beza yang amat ketara antara mereka yang beriman dan berilmu dengan yang lain. Ayat di atas ALLAH telah memberi jaminan bahawa si soleh yang berilmu mempunyai darjat yang lebih tinggi dari kita semua dan mereka bukan soleh untuk diri mereka sahaja, kerana seperti kisah pembunuh di atas, ulama itu telah berjaya memandu si pembunuh tadi dengan penuh kesedaran dan keinsafan malah memberi petunjuk jelas betapa berbezanya dia dengan si rahib pendusta tadi.

Oleh itu beringatlah kita bahawa mereka para ulama adalah golongan yang lebih tinggi darjat dan makam mereka berbanding diri kita. Jagalah adab kata dan tingkah laku kita ketika berbicara soal mereka. Moga-moga dengan usaha kita sekecil itu akan mendapat rahmat daripada ALLAH SWT.

Dan pastinya cerita ini telah membuahkan harapan buat mereka yang sedang tercari-cari kata tuhan yang Maha Esa. Mungkin mampu menjadi inspirasi buat si pelaku maksiat kepada ALALH untuk terus mengejar taubat. Menyalakan impian untuk memiliki tanah di syurga-Nya kelak insya-Allah.

Oleh itu ingatlah, betapa pintu taubat itu dibuka ALLAH seluas langit dan bumi. Rebutlah peluang ini untuk menjamin rumah kita di Akhirat kelak nyaman dan sejahtera.

Jom kita sama-sama mencari, mengejar dan memiliki keampunan-Nya yang Maha Pengampun.

Hadith ini dari Sahih Bukhari no. 3395, dalam Sahih Muslim no. 6957 dan dalam Sahih Ahmad no. 10924.

Tuesday, July 20, 2010

Melayu Bersatu

Tun Mahathir menulis isi hatinya dalam blog berjudul Melayu Ke Mana dan disambut girang oleh PERKASA dan beberapa individu lain dalam UMNO, dan dikuatkan lagi dengan kenyataan-kenyataan melalui Utusan Malaysia.

Tun Mahathir menulis,
"Dengan ini besar kemungkinan Melayu secara sebenar sudah menjadi puak minoriti yang tidak berkuasa di negara sendiri. Kalau mereka berpendapat mereka akan diberi layanan yang baik apabila sudah tidak sebenar berkuasa, lihatlah sahaja nasib kaum mereka yang sudah menjadi kaum minoriti di negara jiran. Masa sudah tiba untuk orang Melayu memikir dengan mendalam akan nasib masa depan mereka. Bersatu teguh, bercerai roboh. Pilihlah yang mana satu. Saya akan dituduh “chauvinist” dan “racist” kerana menyuarakan pendapat saya ini. Saya sanggup di label dengan apa sahaja label. Niat saya ialah untuk memperingati kita semua sebelum nasi jadi bubur. Berpecah dan berebut lah. Akhirnya yang dikendong akan berciciran dan yang dikejar tidak tercapai. Wahai Melayu, ke mana kamu?"
Utusan Malaysia juga tidak kurang galak menyambut saranan ini. Pada 19 Julai tersiar satu artikel yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kenyataan Mahathir.
"Orang Melayu dapat merasai betapa tidak selesanya apabila pentadbiran dikongsi bersama dengan kaum yang tidak mahu memahami adat dan agama yang dianuti oleh Melayu. Usaha untuk memecah-belahkan orang Melayu dan Islam akan terus dilakukan oleh musuh dalam selimut. Melayu kena berwaspada kerana apabila kita hilang kuasa, perkara dalam undang-undang negeri boleh diketepikan sesuka hati. Bayangkan apa kemungkinan yang berlaku jika perubahan berlaku di peringkat Parlimen?"
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar menyeru orang Melayu agar duduk berbincang dan mengetepikan perbezaan ideologi politik demi kesejahteraan bersama.
“Tulisan Tun saya sifatkan sebagai satu bentuk peringatan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Cuba renungkan, andai kita berpecah belah dan hilang kuasa, kita akan dipijak-pijak bangsa lain.”
Perlu kah?

Perlu kah bersatu?

Timbul persoalan dalam diri bila membaca ini semua. Mengapa baru sekarang?

Apa yang kamu telah buat selama 55 tahun memerintah?

Terbela kah Melayu selama 55 tahun itu?

Pernah kah Pulau Pinang itu menjadi milik Melayu selama 55 tahun itu?

Mengapakah penguasaan Melayu dalam sains dan matematik makin menurun dalam tempoh 55 tahun itu?

Mengapakah 55 tahun itu tidak mampu membela tanah sekangkang kera di Kampung Baru Kuala Lumpur?

Mengapakah tempoh 55 tahun itu menyaksikan harga barangan terus menyebabkan para petani mati kebuluran?

Terbelabkah ISLAM selama 55 tahun itu?

Selama 55 tahun, berapa ratus ribu kah mereka yang dibaptiskan?

Mengapakah 55 tahun ini menunjukkan indeks anak luar nikah terus meningkat berkali ganda besarnya?

55 tahun juga menyaksikan rasuah 5 bintang terus berleluasa, di mana kau berada?

Warga FELDA terus kempunan geran tanah juga dalam tempoh 55 tahun ini, maka apakah maknanya?

Kenapa selama 55 tahun kau tidak pernah membantah judi dan arak di Malaysia malah kau cuba menghalalkan nya lagi?

Mengapa baru sekarang kau sedar Melayu itu mundur dan terus mundur?

Tidakkah 55 tahun itu menyedarkan kau tentang hakikat penipuan DEB?

Atau kau menipu dengan mimpi ekuiti 18 peratus dalam DEB milik kroni Melayu?

Mengapa sekarang baru terhegeh-hegeh macam kera sumbang?

Buta kah kau selama ini?

Biar terus berpecah, jika itu menjanjikan kebaikan untuk rakyat. Bersatu atas maksud apa?

Bersatu untuk mengenyangkan kroni?

Bersatu untuk mengaut duit rakyat?

Bersatu untuk menabrak hak asasi marhaen?

Bersatu untuk mengentutkan para arjuna atasan?

Bersatu untuk menabur janji manis?

Bersatu untuk menutup mata revolusioner?

Bersatu untuk membeli kepercayaan?

Bersatu untuk terus kekal berkuasa?

Bersatu untuk terus bernafas menjelang PRU-13?

Jika kau mampu menjawab persoalan di atas maka aku sanggup memilih mu. Berpecah kah kita kerana memilih PAS atau mengundi PKR atau mengibarkan bendera DAP?

Atau pada kau bersatu itu hanya dengan memakai lambang keris sahaja?

Kami bukannya buta wahai sang arjuna atasan kerana kami sedar kami berada di negara demokrasi kononnya.

Aku mencoret kan ini sambil memikirkan bagaimanakah nasib harga minyak dalam tempoh 2 bulan akan datang kerana aku yakin kau pasti tidak akan menyusahkan rakyat di bawah jagaan mu ini.

Dan kau amat membela nasib kaum Melayu ini. Sungguh aku tak tipu sebab utamanya segalanya datang tanpa minyak, maka naikkan lah sesuka hatimu.

Sedih mengenang Melayu ku mula bersatu….

Monday, July 19, 2010

Langit Ilahi itu Hilal Asyraf


Mungkin keterlaluan untuk aku mengatakan bahawa Langit Ilahi adalah blog terbaik kerana persoalan itu begitu subjektif dan semua orang mempunyai pendapat masing-masing.

Tak mengapa cuma nya saya ingin berkongsi sedikit review mengenai sebuah blog yang saya kira amat patut untuk dibaca oleh setiap blogger terutamanya dan semua orang umumnya kerana isi kandungan blog Langit Ilahi adalah isi kandungan yang mengajak kita untuk mengenal kehidupan.

Jemputlah teman-teman yang lain juga untuk turut sama kita menjelajahi blog yang serba bermanfaat ini agar segala kebaikan yang terkandung di dalamnya tersebar luas.

Tak pernah saya bermimpi nak buat satu entri berkenaan “blog review‘ namun Langit Ilahi seakan memanggil untuk berkongsi link blog ini kepada mereka yang lain.

Pemiliknya sudah dikenali ramai iaitu Saudara Hilal Asyraf, seorang anak muda yang berumur kira-kira 21 tahun yang masih menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Usuluddin.

Moto blognya cukup mudah, Mari menjadi Hamba.

Tadi saya berpeluang bersua muka dengan Saudara Hilal Asyraf di Masjid UKM. Pertemuan yang sekejap dan amat dinanti-nantikan oleh saya secara peribadi. Mana mungkin mahu melepaskan peluang itu sebegitu sahaja.

Sebenarnya saya bertuah kerana dapat bertemu awal dengan beliau kerana pada malam ini juga saya ada meeting yang penting untuk menjayakan program mega INTEG 2011, maka pertemuan yang tidak disangka-sangka itu amat bermakna buat insan yang begitu kerdil berbanding susuk Hilal Asyraf.

Terkejut bilamana ketika saya menyapa Saudara Hilal Asyraf, dia memanggil nama pena yang sering saya gunakan di dunia dalam talian, ATA.

Wahh, gimana kamu kenal aku sih?

“Macam mane abang kenal nama saya?” tanya saya dalam penuh keterujaan.

“Uhh, tengok muka dah tahu…” beliau menjawab dengan selamba.

“Subhanallah, tak sangka boleh berjumpa dengan abang malam ni dekat sini. Ingat dah terlepas sal ada meeting malam ni…,” tidak terperi rasa bertuah ketika itu.

Sedikit perbualan saya dengan Abang Hilal, mungkin ada yang tertambah tertinggal. Tapi begitulah tuntas perbualan awalan kami, saya tak sangka ALLAH menggantikan pertemuan dalam program dengan sebuah pertemuan di luar program secara kebetulan.

Maha Suci ALLAH yang mendengar setiap doa hamba-Nya. mungkin Abang Hilal mengenali muka saya melalui blog ini. Syukur pada-Mu kerana teknologi kini banyak kali menautkan hatiku dengan mereka yang lain.

Saya selidiki makna ikhlas di sebalik susuk anak muda ini kerana saya turut bercita-cita mahu menjadi sepertinya. Saya teramat yakin hanya mereka yang ikhlas sahaja akan mendapat perhatian dan kasih-sayang daripada-Nya. Saya mahukan sinar keikhlasan yang memancar dari rauk wajah dan jajaran pena Hilal Asyraf menjalar dalam darah ku insya-Allah.

Pertemuan singkat itu berakhir dengan nasihat dari Abang Hilal agar aku belajar bersungguh-sungguh agar cita-cita tercapai. Insya-Allah, syukran ya akhi!

Mari menjadi hamba, tuhan menghilangkan suria dengan hujan namun menggantikannya dengan pelangi yang nan indah…

The Freshman Camp 2010

ALHAMDULILLAH, akhirnya program pertama di bawah seliaan saya berjaya dengan jayanya. The Freshman Camp terlaksana dengan jayanya selama 2 hari di Hutan pendidikan Alam UKM dengan kerjasama mantap semua urusetia dan koordinator program yang lain.

Terima kasih buat semua teman-teman yang bertungkus lumus menjayakan program ini demi adik-adik 1st year yang disayangi semua.

Kali ini biarlah gambar berbicara.

Ini candid facilitator!

Ini pula candid budak Freshman!
Huhu, tak larat nak tulis serba serbi tentang program ini. Anyway, you all are the best and can’t describe it by words. Really and really satisfied to all factors and hope will done well for the next program.

Thanks to Masha Ismail untuk gambar-gambar di atas. Lepas ni boleh la ajar kami guna DSLR.

Thursday, July 15, 2010

Kisah Ashabul Ukhdud (Siri Akhir)

Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan raja itu terus pening memikirkan apakah cara yang sepatutnya dia gunakan untuk membunuh si Ghulam ini. Sungguh, keadaan sebegini jugalah membantu Ghulam untuk berfikir secara lateral sehinggakan terbitnya idea “gila-gila” Ghulam untuk menyampaikan dakwah nya ketika itu.

Idea gila yang difikirkan oleh Ghulam ketika kini telah menyebabkan satu kampung memeluk agama tauhid. Idea gila ini telah mengorbankan dirinya namun ALLAH membalas dengan memberi hidayah kepada seluruh penduduk kampung.


Masya-Allah, kita cuba melihat hadith ini dari konteks metodologi dakwah dan menyesuaikan dengan keadaaan sekeliling kita. Sebagai seorang pendakwah, perlunya kita mempunyai kekuatan untuk menerbitkan idea “gila-gila” dalam pendekatan dakwah kita agar para mad’u mudah menerima apa yang kita sampaikan.

Saya suka memetik kata-kata Presiden GAMIS, Abang Idris ketika menyampaikan ucapan berkenaan pemikiran lateral. Katanya sebagai contoh kita tengok bagaimana Salman aL-Farisi menerbitkan sebuah idea yang cukup gila ketika tentera umat Islam bermesyuarat untuk menghadapi tentera Ahzab.

Salman aL-Farisi telah mencadangkan agar dikorek kan parit di sekeliling kota Madinah bagi menyekat kemaraan tentera Ahzab dan kita bertambah terkejut apabila semua sahabat begitu “gila” bersetuju dengan idea “gila” yang dibawa oleh Salman aL-Farisi.

Gila di sini bukan bermaksud menghina sahabat tetapi sebagai perumpamaan kepada betapa mencapah nya pemikiran mereka dalam menghadapi masalah dan memperalatkan kekuatan pengalaman dan tenaga untuk menyelesaikan masalah.

Kita lihat bagaimana Sultan Muhammad aL-Fateh telah mengeluarkan cadangan yang begitu “gila” dalam operasi beliau dan tentera Turki Uthmaniyyah untuk menawan kota Constantinople. Dalam keadaan laluan laut yang tidak dapat ditembusi oleh tentera baginda, maka terkeluarlah idea yang cukup “gila” sehinggakan pada masa kini pun ramai sejarawan tidak dapat menerima idea ini secara total namun mereka tidak mampu menyanggah kebenaran idea ini.

Sultan Muhammad aL-Fateh telah mengarahkan agar kapal-kapal perang mereka ditolak dan ditarik melalui bukit merentasi selat Turki sehingga sampai ke dalam kota Constantinople. Mereka menarik kapal merentasi bukit melalui daratan yang kering kontang dalam keadaan tidak ada teknologi canggih ketika itu.

Cuba bayangkan kalau kita berada di tempat tentera baginda, adakah kita sanggup menolak sama kapal-kapal perang yang cukup besar itu merentasi bukit?

Dan itulah 3 contoh idea “gila-gila” yang dijana oleh tokoh-tokoh Islam dalam usaha mereka menyebarkan dakwah kepada orang ramai.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah penuh pengajaran Ashabul Ukhdud ini agar diri kita sentiasa diperingatkan bahawa tugas kita di dunia ini bukan sekadar makan, minum, pergi kerja, balik kerja, layan suami, layan isteri, tulis blog, gelak-gelak di FB, lepak di cafe, fikir pasal duit, fikir pasal beban kerja tanpa menghiraukan tanggungjawab kita yang sebenar sebagai manusia yang diutuskan ALLAH ke atas muka bumi ini.

Marilah kita semarakkan dalam diri kita bahawa tugas kita bukan sekadar memenuhi kehendak diri kita sahaja tapi nun jauh lebih besar yang perlunya kita bergerak secara kolektif dan tersusun.

Saya sangat berharap agar komik ini disebar luaskan agar lebih memudahkan kita memahami cerita dalam hadith yang dinukilkan dalam siri yang pertama. Tidak ada klausa hak cipta terpelihara di sini kerana bagiku ilmu yang bermanfaat WAJIB disebarkan agar saham kita di Akhirat mencurah berlori-lori insya-Allah.

Insya-Allah saya akan cuba terbitkan satu artikel berkenaan pemikiran lateral sedikit masa lagi untuk kita lebih memahami apakah yang dimaksudkan dengan pemikiran lateral ini. Moga segala yang diusahakan di sini yang begitu kecil nilainya akan mendapat perhatian daripada ALLAH SWT ameen.

Sunday, July 11, 2010

Selamat Datang Semester Baru!


Semalam aku pergi daftar masuk Kolej Pendeta Za’ba UKM setelah cinta suciku ditolak mentah-mentah oleh Kolej Burhanuddin Helmi UKM. Terima kasih Abang Harith kerana tolong angkut barang ke kolej Za'ba.

Dan aku mula memikirkan jadual kuliah yang memenatkan. Tutorial dan assignment yang mula bertandang. Exam sheet yang mula berselerak. Juga terfikirkan siri-siri makmal. Buku rujukan yang bertimbun-timbun atas meja.

Terbayang-bayang pigeon para pensyarah untuk submit assignment.

Tapi aku tak nak negative thinking. Insya-Allah aku nak buat lagi baik semester ini. Aku mahu ucapkan selamat datang kepada semua CABARAN yang bakal aku hadapi semester ini. Sungguh, aku tak punya apa-apa kekuatan bila memikirkan apa yang akan terjadi selepas ini.

Terfikir nak sambung Kelas Bahasa Mandarin setelah tergendala semester lepas gara-gara jadual yang padat.

Saturday, July 10, 2010

5 Pengajaran Israk Mikraj Dari Risale-i Nur

Alhamdulillah semalam saya berpeluang mengikuti usrah bersama Abang Idris dengan sahabat dari Turki, Ustaz Sadiq. Mode usrah kali ini berkisar kan peristiwa Israk Mikraj yang disambut oleh umat Islam pada 27 Rejab yakni pada hari ini. Maka berpandukan dengan Risale-i Nur tulisan Bediuzzaman Said Nursi, berusrah lah kami di rumah Ustaz Sadiq yang turut dihadiri oleh Ustaz Firdaus dari Shoutul Amal.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit input yang sempat saya sematkan dalam ruang otak berkenaan peristiwa besar yang berlaku pada batang tubuh Rasulullah yang kita cintai ini.

Seperti yang kita tahu, Israk Mikraj berlaku pada tahun 10 Hijrah dan mempunyai banyak versi dalam catatan tarikh sebenarnya secara tepat dan berlaku selepas kewafatan 2 insan tersayang Baginda Rasulullah iaitu Saidatina Khatijah dan Abu Thalib, bapa saudara nabi.

Sesetengah ulama’ mengatakan bahawa Israk Mikraj adalah peristiwa yang ALLAH tetapkan untuk “memujuk” hati baginda yang begitu sedih dengan peristiwa kewafatan kedua-dua insan tersayang itu.

Menurut Risale-i Nur, terdapat 5 pengajaran utama peristiwa agung ini iaitu,

Pertama, peristiwa ini memberi cahaya kepada akal manusia yang diseliputi dengan kejahilan. Manakan tidak jika peristiwa ini adalah ujian terbesar buat orang Islam untuk mempercayai sesuatu yang begitu jauh dari logik akal jika hanya berfikir menggunakan satu layer pemikiran sahaja. ALLAH turunkan peristiwa ini kepada Rasulullah SAW adalah untuk menguji keimanan para sahabat terhadap-Nya. Maka dari sini, kita melihat peristiwa ini adalah khas buat umat Islam dan bukan-Muslim tidak berhak untuk mempersoalkan peristiwa ini.

Hal ini adalah kerana turunnya peristiwa ini adalah untuk menguji kesempurnaan 6 rukun IMAN yang kita imani. Logiknya bagaimana mungkin seseorang yang tidak percaya akan kewujudan syurga dan neraka mahu percayakan cerita yang dibawa oleh Rasulullah. Oleh itu, Israk Mikraj adalah ujian kepada kaum Muslimin bagi memantapkan keyakinan mereka dengan kewujudan ALLAH, malaikat, kebenaran al-Quran, adanya Hari Akhirat, balasan syurga dan neraka dan sebagainya perkara ghaib lain yang wajib kita imani.

Kedua, Israk dan Mikraj adalah satu wasilah kepada penganugerahan terbesar ALLAH kepada kita umat Islam iaitu solat. Rasulullah turun dari Mikraj dengan membawakan satu tugasan yang ALLAH amat meredai dengan tugasan itu. Pastinya solat 5 waktu sehari semalam adalah tugasan yang akan sentiasa mendapat keredaan ALLAH pada tempat yang pertama. ALLAH telah mengurniakan nikmat ini kepada kita melalui peristiwa agung ini dan menjadi titik tolak kepada penerimaan amalan hidup kita.

Ketiga, berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini kepada diri Rasulullah telah membawa berita gembira buat kesemua umat Islam iaitu dengan berita bahawa benar akan wujudnya syurga sebagai balasan untuk orang-orang beriman. Maka pastinya berita ini memberi motivasi yang memuncak kepada semua umat Islam untuk terus melakukan kebajikan dan kebaikan dan secara terus membuktikan betapa benarnya sabda Rasulullah SAW.

Keempat, dan pastinya hikmah terbesar peristiwa agung ini ialah perkhabaran Rasulullah tentang peluang untuk umat Islam menatap wajah kekasih yang paling dirindu iaitu ALLAH SWT yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Ketika peristiwa ini, Rasulullah telah diberi peluang untuk mengadap ALLAH secara face to face dan Baginda telah diberi peluang untuk bercakap langsung dengan ALLAH tanpa hijab. Subhanallah, sesungguhnya nikmat seribu tahun di syurga masih tidak dapat menandingi satu jam melihat ALLAH di syurga kelak. Let’s imagine.

Kelima, ibrah terakhir ialah peristiwa Israk Mikraj membuktikan bahawa manusia adalah makhluk yang istimewa berbanding makhluk ALLAH yang lain dan Nabi Muhammad SAW adalah paling istimewa berbanding nabi-nabi yang lain apabila Baginda dipanggil secara khusus dan dijemput semata-mata untuk menghadapnya. Analogi nya seperti seorang Sultan yang menjemput seseorang secara khusus ke istananya, pasti orang tersebut adalah begitu istimewa di kaca mata sultan tersebut. Maka begitulah akan halnya Baginda Rasulullah yang mendapat jemputan khas untuk mengadap ALLAH di Arasy. Pastinya Rasulullah amat istimewa cukup hebat kemuliaannya di depan ALLAH SWT.

Itulah 5 pengajaran utama Israk dan Mikraj yang dipetik dari Risale-i Nur karangan Bediuzzaman Said Nursi. Walaupun saya secara jujur nya tidak dapat memahami secara jelas setiap butir perbahasan semalam oleh Ustaz Sadiq kerana masalah bahasa Melayu nya yang agak pelat kerana Ustaz Sadiq adalah orang Turki, namun itu tidak menjadi masalah buat kami semua untuk memahami inti pati usrah semalam dan mengambil pengajaran bagi setiap perbahasan itu.

Sebenarnya banyak lagi perkara lain yang dibahaskan termasuklah hadith samada Rasulullah di”Isra’ Mikraj”kan bersama roh dan badan atau dengan roh sahaja.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian yang dapat saya coret kan di sini untuk dikongsi kan bersama sahabat-sahabat dengan harapan Israk Mikraj kali ini membawa satu semangat baru kepada kita semua untuk terus bermotivasi dalam mengerjakan ibadat dan kebajikan selari dengan konsep dunia adalah ladang untuk akhirat.

Moga kita sama-sama mendapat manfaatnya. Selamat beramal =)

Anak Kecil Menangis

Sebuah kisah pengajaran yang ringkas dan pendek ini amat berguna kepada kita semua untuk di jadikan iktibar bersama-sama. Moga kita semua akan mendapat manfaatnya.

Satu ketika pada zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid, ada seorang anak kecil menangis. Dia menangis ketika melihat sebuah unggun api yang sedang marak menyala.

Lantas Khalifah Harun Ar-Rasyid bertanya kepadanya akan halnya dia menangis. Lalu si anak kecil itu menjawab, “Aku takutkan api neraka!”

Khalifah yang adil itu memujuk, “Anak kecil seperti mu ini tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka.”

Namun si anak kecil itu menjawab dengan tegas, “Aku lihat ketika orang menyalakan api, mereka akan memasukkan ranting-ranting kecil dahulu. Setelah ranting-ranting kecil itu terbakar, barulah dimasukkan kayu-kayu yang besar-besar. Aku takut hal yang sama berlaku di dalam neraka kelak, aku umpama ranting kecil itu kah?”

Mendengar jawapan si anak itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid turut menangis. MasyaALLAH!

Kita bagaimana?

Pernah kah kita berfikir seperti anak kecil itu?

Friday, July 9, 2010

Paul The Octopus


Satu dunia sekarang seakan demam dengan fenomena sotong kurita yang menjadi Tukang Tilik yang berjaya. Sotong kurita yang popular dengan nama Paul The Octopus mula meningkat naik populariti apabila satu demi satu ramalan yang dibuatnya tepat dan boleh dikatakan hampir 90% ramalannya adalah menepati keputusan sebenar.

SUBHANALLAH kehebatan ALLAH menciptakan makhluk itu.

Namun menjadi tidak selesa apabila binatang ini yang langsung tidak bersalah mula menjadi bahan kepada para penggila judi bola sepak untuk bertaruh malah bergaduh kerana ramalan sotong kurita ini.

Saya mengagumi kesempurnaan ciptaan ALLAH dan jelas ALLAH menunjukkan kebesarannya melalui binatang laut ini. Amat sayang jika kita gagal memanfaatkan peluang ini untuk meneliti kehebatan dan kebesaran ALLAH serta mengambil iktibar daripadanya.

Bagi saya daripada manusia yang membuat ramalan, biarlah binatang laut in menjadi galang gantinya kerana pastinya binatang ini tidak tahu makna sebenar bola sepak dan Paul The Octopus ini tidak akan mendapat ganjaran wang ringgit pun jika ramalannya betul untuk dirinya.

Jika manusia membuat ramalan dan bertaruh dengan ramalan itu, sah-sah itu termasuk dalam kategori judi dan hukumnya sudah jelas. Walau bagaimanapun, saya secara terang dan jelas mengharamkan sebarang aktiviti yang melibatkan Paul The Octopus untuk membenarkan diri kita bertaruh dan membuat ramalan nasib.

Tidak sama sekali, biarlah binatang yang tidak berdosa itu meramal atau membuat apa sahaja tapi TIDAK pada kita.

Cukup sedih apabila melihat banyak sekali umat Islam tergadai syurga gara-gara bertaruh dan berjudi semata-mata bola sepak. Apa hasilnya?

Kita berdoa agar ALLAH menjauhkan diri kita daripada termasuk dalam golongan sebegini. Saya melihat walaupun yang bermain di atas padang itu adalah manusia, namun si sotong berkaki lapan ini turut menjadi popular di wall FB dan Twitter.

Dalam keadaan masih lagi tidak pasti apakah agenda di sebalik fenomena Paul The Octopus, saya menasihatkan kepada semua pembaca agar kita menjauhkan diri kita daripada sebarang rasa YAKIN pada ramalan yang dibuat oleh sotong yang tidak bersalah ini.

Mungkin ada yang mula merasakan bahawa setiap ramalan sotong ini adalah BETUL dan mesti di guna pakai. Awas!

Bimbang kita terjatuh dalam perangkap SYIRIK apabila kita meletakkan kepercayaan terhadap ramalan melebihi segalanya. Kita mana tahu jika ini adalah agenda tersembunyi Yahudi dan musuh-musuh Islam untuk menyesatkan umat Islam yang ghairah menonton bola sekarang dan wajib untuk kita terus berhati-hati dalam percakapan kita mengenai perkara ini.

Cukuplah sekadar kita menjadikan ia sebagai bahan gurauan. Jangan kita memperjodohkan diri kita dengan mempercayai ramalan karut dari seekor binatang laut yang diciptakan ALLAH untuk beribadah kepada-Nya.



Melalui video di atas, adakah si sotong itu faham apakah semua gerangan yang berlaku di sekeliling akuarium itu?

Kadang kala pelik melihat seorang manusia obsesi dengan sotong sedangkan dia dicipta lagi sempurna untuk melakukan perkara lain yang lebih utama lagi. Sama-sama kita mengambil iktibar.

Thursday, July 8, 2010

Spain dan Teori Six Thinking Hats


Semalam Spain memenangi Piala Dunia apabila mengalahkan German 1-0 di perlawanan akhir. Sekadar keluar dari topik kebiasaan yang bercakap soal strategi dan taktikal dan sebagainya, saya memilih untuk menghuraikan pengaplikasian teori Six Thinking Hats oleh Edward de Bono dalam perlawanan semalam.

Mereka bermain dalam pengaruh dan kekuatan pemikiran lateral. Mencapah dalam mengatur strategi, penuh kreatif, sekali-sekala menimbulkan provokasi membina, perlahan-lahan membina pengaruh psikologi, jelas tujuan dan matlamat akhir dan pastinya kebijaksanaan mereka dalam menyusun keperluan teori 6 topi milik Edward de Bono pada setiap saat permainan.

Taktikal nya, mereka bergerak dalam sebutan tiki-taka, permainan hantaran pendek yang membentuk rangkaian serangan yang menakjubkan serta penguasaan bola yang begitu mengagumkan.

Spain bermula dengan menggunakan topi Hijau apabila sejak bermulanya permainan, kelihatan beberapa pergerakan kreatif dapat dilakukan yang memaksa pemain German bekerja keras untuk mencantas peluang itu. Babak pertama meskipun agak membosankan namun tidak terburu-buru dalam menjana serangan adalah kekuatan Spain untuk membina pengaruh psikologi ke atas German.

Walaupun sebelum perlawanan, mungkin statistik gol yang di miliki German dalam 5 perlawanan agak menggerunkan namun gaya permainan Spain bermulanya permainan menyebabkan German mula hilang arah tujuan. Serba tidak kena.

Bukan sekadar kreatif tapi Spain turut konstruktif dalam strategi permainan mereka. Ternyata makin lama mutu permainan Spain terus meningkat naik berbanding German yang makin tidak keruan. Mungkin di sini boleh saya analogi kan kepada pengaplikasian teori topi Kuning Edward de Bono yang melambangkan kepada pemikiran konstruktif.

Penjanaan serangan secara bertali arus sejak awal permainan memperlihatkan kelemahan German di bahagian kawalan Boeteng. Akhirnya, Spain mengambil peluang ini dengan memanfaatkan kelemahan yang terpampang ini dengan menyusun gerak serangan yang lebih berbahaya terhadap German menerusi gandingan Xavi dan Iniesta.

Dari serangan ini, Spain mengkaji kelemahan serangan mereka yang masih mampu menyebabkan kubu German terus utuh.

Sesekali menyemai matlamat mereka dengan jelas apabila Alonso menyorongkan beberapa kali rembatan kencang ke arah goalie German walaupun tersasar. Tapi, sekurang-kurangnya semua tahu bahawa Spain bermain untuk mencari gol bukan sekadar menendang bola.

Edward de Bono menjadikan topi Putih sebagai lambang kepada pemikiran yang objektif serta tidak prejudis. Malah, dengan adanya beberapa siri rembatan ini ternyata mampu menanam perasaan yakin kepada Spain untuk terus merobek melalui Iniesta dan Xavi serta percaturan Ramos dan Pique, Spain menunjukkan bahawa mereka benar-benar menguasai teori topi Hitam Edward de Bono.

Gerakan mereka di atas penuh kritikal, walaupun kadang kala tidak menepati sasaran namun cukup baik untuk menyebabkan German terus terbungkam dan panik. Penuh cemas dan gulana namun dibantu dengan kelembapan pengadil menyebabkan German terselamat daripada dikenakan hukuman penalti dan sebarang kad.

Namun begitu, kadang kala Spain emosional lantaran keletah nakal German dan pengadil dan turut terpengaruh dengan beberapa siri serangan yang dilakukan German. Penggunaan topi Merah ketika situasi sebegini menyelamatkan Spain daripada beberapa situasi mencemaskan terutamanya selepas mereka menjaringkan gol menerusi Puyol. Kadang kala mereka kelihatan terpaksa berhempas pulas dan mengatur strategi asal agar rentak permainan terus menjadi milik mereka.

Tapi, Spain lahir untuk menguasai dunia bola sepak. Mereka begitu pakar dalam penggunaan topi Biru. Semua lawan mereka pasti akan tunduk mengalah dan terikut-ikut gaya permainan mereka yang penuh ketengan itu.

Sifat dan gaya mereka yang hebat menguasai orang lain menyebabkan German tiada peluang untuk menguasai bola secara lama. Spain bijak mengawal suasana agar sentiasa berpihak kepada mereka. Walaupun kadang kala nampak leakage dan loose dalam corak permainan mereka, namun kemampuan mereka menguasai pemikiran topi Biru ini patut di puji dan di contohi. Walaupun berdepan dengan pasukan yang laju rentak permainan mereka, Spain masih lagi cool dengan corak mereka tanpa terpengaruh sedikit pun.

Sebenarnya menulis entri ini sekadar suka-suka dengan menganalogikan match semalam dengan kaedah pemikiran yang diperkenalkan oleh Dr Edward de Bono. Cuba membawakan satu kelainan dalam memahami Teori Pemikiran Lateral dengan memanfaatkan situasi yang berlaku dalam dunia bola sepak sekarang.

Wednesday, July 7, 2010

Pendirian Mahasiswa Islam Berkenaan Isu Lesen Judi

Berikut adalah sedutan ucapan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Saudara Mohd Idris Mohd Yusoff Al-Hafiz semasa Himpunan Tak Nak Judi di Masjid Negara pada 3 Julai 2010 yang lepas,

“Kami gabungan mahasiswa Islam mewakili suara mahasiswa bertegas di sini bahawa kami akan bersama dengan masyarakat dan rakyat untuk memberi kesedaran bahayanya judi dalam masyarakat. Apa sekalipun alasan, judi adalah haram di kalangan masyarakat Islam,”

“Tuan-tuan, tidak ada khilaf di kalangan ulama’ tentang haram nya judi, maka tuan-tuan, tidak ada alasan yang patut kita bincangkan. Yang keduanya tuan-tuan, tidak sekali-kali boleh kita kaitkan dengan mana-mana kaum, pada hari ini tuan-tuan, kite bersama dengan masyarakat kerana judi secara jelasnya menghancurkan masyarakat. berapa banyak kes-kes perceraian di kalangan masyarakat dari segi kekeluargaannya, bagaimana kita lihat kes bunuh diri di kalangan masyarakat pada hari ini. sebelum ini kita lihat kajian kes along, kebanyakan mereka yang meminjam dengan along ialah mereka yang terlibat dengan perjudian,”

“Tuan-tuan yang saya hormati sekalian, yang seterusnya kita nak nyatakan judi mengakibatkan produktiviti negara semakin merudum. Tuan-tuan, kita nak cadangkan di peringkat mahasiswa paling mudah, paling awal yang mesti dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri, yang pertama sekali ialah supaya melarang mana-mana akhbar terbitkan keputusan judi,”

Moga ini mendapat rahmat tuhan!

Tuesday, July 6, 2010

Mana Milik Kita?



Nasyid ini disyorkan oleh naqib saya, Abang Farid semasa menaiki kereta dengannya selepas bermain badminton pada minggu lepas. Secara peribadi nasyid ini telah mengajarkan kepada kita satu erti TAUHID yang Maha Tinggi dan seringkali gagal digapai oleh kita semua.

Namun bila mengenangkan insan yang mengalunkan lagu ini rasa sedih mengundang dalam diri biarpun langsung tak pernah mengenali susuk tubuhnya selain melihat di kulit-kulit album atau di kaca televisyen.

Itulah dia Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Gemersik suaranya mengalunkan lagu ini cukup menyentuh perasaan selaku seorang hamba yang sering melakukan kesalahan pada-Nya.

Ya ALLAH kau ampuni lah dosa-dosa kami semua…

Mana Milik Kita – Asri Rabbani

♫♫♫
Mana milik kita? Tidak ada milik kita;
Semua yang ada, ALLAH yang punya;
Tidak ada kita punya, Kita hanya mengusahakan saja;
Apa yang kita dapat, ALLAH sudah sediakannya;
Kita Allah punya, Dunia ini ciptaan-Nya.
Milik lah apa saja, Tidak terlepas dari ciptaan-Nya;
Mana kita punya, Tidak ada kepunyaan kita;
Kita hanya mengusahakan, Apa yang telah ada;
Mengapa kita sombong, Memiliki Allah punya;
Mengapa tidak malu, Kepada Allah yang empunya;
Patut bersyukur kepada Allah, Yang memberi segala-galanya;
Malu lah kepada Allah, Kerana milik Ia punya;
Janganlah berbangga, Apa yang ada pada kita;
Kalau Allah tidak beri, Kita tidak punya apa-apa.
Janganlah mengungkit, Mengungkit jasa kita;
Jasa kita di sisi-Nya, Yang sebenarnya Allah punya;
Marilah kita bersyukur, Bukan berbangga;
Bersyukur kepada Allah, Bukan mengungkit jasa;
Gunakanlah nikmat Allah itu, Untuk khidmat kepada-Nya;
Selepas itu lupakan saja, Agar tidak mengungkit-ungkit nya.
♫♫♫

Mempersoalkan mengenai keadaan diri kita yang sering tidak sedar diri. Memperlakukan sesuatu seolah-olah segalanya itu milik kita bahkan nyawa kita pun bukan hak mutlak kita.

Jadi di manakah relevansi untuk kita mengakui dan menunjuk-nunjuk nikmat yang ALLAH berikan kepada kita. Segalanya sudah diatur dan ditetapkan untuk kita dan kita cuma mengusahakannya sahaja. Tidak lebih dari itu ketetapan dan kemampuan yang ALLAH kurniakan kepada kita.

Lirik ini mengajarkan kita tentang tauhid Rububiyyah. Ia mengajar kita siapakah pencatur, pengatur, pencipta, penguasa, pemerintah dan pendidik yang sebenar terhadap setiap zarah di muka bumi ini kerana ALLAH itu bersifat mutlak atas segala-galanya.

Kata Abang Idris, lagu ini mengajarkan kita bagaimana nak buang pakaian keegoan dalam diri kita. Ya, kita menerima sesuatu tanpa kita mengingati siapakah pemberi yang sebenar. Apatah lagi mahu mengungkapkan kesyukuran kita kepada-Nya pada setiap nikmat yang kita terima.

ALLAH memperingatkan kita bahawa kita hanyalah seorang yang fakir miskin. Firman-Nya dalam sebuah hadith kudsi,
“Hai manusia, kamu semua berada dalam keadaan kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufik dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku.”
“Hai manusia, kamu semua lapar kecuali mereka yang Aku beri makan. Oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.”
“Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.”
Lantas apakah kita masih mahu berbangga dengan barang empunya-Nya?

Sesungguhnya fitrah manusia itu sudah pun mengakui Rububiyyah ALLAH. Hakikat ini langsung tidak dapat dinafikan pabila ALLA reveal segala pengakuan manusia kepada-Nya dalam al-Quran,
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhan mu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”…”
Surah aL-Aa’raf: 172
“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakan-Nya)?”
Surah aZ-Zukhruf: 87
“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakan nya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”…”
Surah aZ-Zukhruf: 9
Kita bagaimana?

Umpama memiliki sebuah syarikat konglomerat yang begitu ramai pekerjanya, maka sudah tentu kita sebagai boss mahu mereka para pekerja mematuhi setiap arahan kita dalam setiap perkara yang berkaitan dengan syarikat kita dan sudah pasti setiap aset dalam syarikat itu adalah milik kita.

Maka tidak hairanlah jika kita merasa tercabar dan marah jika ada antara mereka yang gagal mengikut arahan dan peraturan yang kita tetapkan. Namun itu kita sebagai manusia yang cukup lemah.

ALLAH tidak pernah miskin kerana keingkaran kita. ALLAH tidak pernah tergugat kekuasaannya kerana MAKSIAT kita.

Kerana kita ego maka kita merasakan segalanya kita punya.

Kerana kita ego maka kita berani menyanggah tuan punya nyawa kita.

Sunday, July 4, 2010

German dan Kuasa Anak Muda


Seorang sahabat, Muhammad Hafizan menulis di wall Facebook nya,
“Kekalahan Argentina membuktikan kuasa ANAK MUDA yang luar biasa mampu mengubah dunia….walaupun Argentina mempunyai beberapa figure yang “digeruni” seperti HEP di kampus, tetapi percayalah kombinasi gerakan anak muda yang tersusun mampu menewaskan figure yang kononnya berkuasa!!!”
Bernas perumpamaan ini. Jelas mesejnya dan ini bukan ilusi. Umur pemain Jerman secara puratanya ialah 25 tahun. Ternyata begitu muda berbanding pasukan yang lain yang dibarisi kuda-kuda tua.

Biarpun tidak mempunyai figure yang GAH namanya seperti Messi namun mereka mampu bergerak sebagai sebuah unit yang cukup berkesan dan meranapkan impian Argentina yang dibarisi oleh figure yang cukup terkenal dan hebat.

Piala dunia kali ini seakan memberi mesej yang cukup jelas kepada penduduk dunia bahawa mereka membina tamadun adalah melalui jerit perih ANAK MUDA. Komponen ini amat penting dalam usaha membina sebuah masyarakat yang benar-benar jitu dan utuh.

Kuasa anak muda terbukti dalam lipatan sejarah dunia apabila mereka menjadi watak penting dalam mencorakkan tamadun manusia masa kini.

Kita mengimbau kembali bagaimana kehebatan Sultan Muhammad Al-fateh yang memimpin kerajaannya membuka Kota Constantinople, kegagahan Salahuddin Al-Ayubi berjihad membuka Baitul Maqdis dan beberapa orang tokoh anak muda seperti Mou Zhi Thong, Jose Rizal membuktikan bahawa anak muda adalah golongan yang mampu mengubah peta sosio-politik dunia dengan penggemblengan tenaga dan upaya mereka dalam sebuah unit yang tersusun dan penuh berstrategi.

ALLAH berfirman dalam aL-Quran,

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Surah as-Saff: 4

Bagai sebuah bangunan yang kukuh dan tersusun. Berjuang dalam sebuah barisan yang cukup sistematik dan berstrategi pasti mampu mengalahkan kesemua kuasa besar yang sebenarnya langsung tidak berkuasa seperti mereka yang zalim dalam HEP di kampus-kampus atau di peringkat nasional sekalipun.

German membuktikan pangkat atau gelaran itu adalah “useless” jikalau hanya mengharapkan keajaiban berlaku di atas riba masing-masing tanpa cuba mengerahkan empat kerat tulang kering milik mereka.

Berdepan dengan sebuah team yang cukup popular seperti Argentina bukanlah sesuatu yang mudah dalam keadaan mereka yang cukup daif dengan pengalaman dan pemain bintang. Namun perkara kecil itu tidak menjadi persoalan buat mereka.

Mereka membuktikan kuasa “muda” mereka mampu mengatasi kehebatan title yang dimiliki Argentina. Kelincahan dan kehebatan menghidu peluang seperti mana ditunjukkan oleh Jerman sepatutnya dicontohi oleh gerakan Mahasiswa dalam usaha mereka membawa kesedaran kepada rakan-rakan di kampus dan masyarakat di luar kampus.

Tenaga dan keupayaan yang tidak terbatas di miliki oleh pemain German telah menyebabkan permainan semalam menjadi begitu menarik. Walaupun pada mulanya saya menyokong Argentina kerana nak merebut hadiah RM250 dari Denaihati.com namun setelah melihat 2 gol awal Jerman terus meletakkan sasaran Jerman 5-0 Argentina.

Walau bagaimanapun, tahniah buat sekumpulan anak muda dari German yang berjaya menundukkan Argentina walaupun rata-rata mereka tidaklah begitu popular sebelum ini sepertimana Messi atau[un pemain Argentina yang lain.

Siapa yang kenal Ozil atau Muller sebelum ini?

Anda telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil buat anak muda untuk terus bergerak mencanang idealisme dan mengubah masyarakat. Anak-anak muda German ini telah memberi satu lonjakan motivasi buat kami di kampus-kampus untuk terus berjuang demi kebangkitan sebuah kesedaran.

Saturday, July 3, 2010

Belanda dan Teori Maslow


Semalam satu dunia menyaksikan kekecewaan Brazil apabila dikalahkan oleh Belanda di peringkat suku akhir Piala Dunia 2010 dengan keputusan 2 berbalas 1.

Jangkaan awal meleset apabila melihat Robinho menyumbat gol pertama Brazil seawal minit kelapan dan menyangka Brazil mampu mencatat kemenangan mudah semalam. Namun…

Kejayaan Belanda mengaplikasikan Teori Maslow dalam corak dan strategi permainan mereka menyebabkan mereka mampu menghapuskan defisit 1 gol milik Brazil dengan 2 gol kemudiannya oleh Wesley Sneider.

Apa itu Teori Maslow?

Teori ini meletakkan MOTIVASI adalah segala-galanya dalam menggerakkan sesuatu fungsi di dalam sesebuah organisasi mengikut kepada keperluan seseorang secara berperingkat-peringkat.

Jelas walaupun Belanda ketinggalan pada awalnya namun mereka masih lagi mampu bangkit untuk menang dalam keadaan penuh tekanan apabila pasukan yang mereka berdepan ialah juara 5 kali Piala Dunia!

Jika bukan kerana MOTIVASI mereka yang tinggi sudah tentu impian separuh akhir mereka terkubur begitu sahaja sebelum permainan itu tamat. Sungguh, apabila mereka meletakkan MOTIVASI mereka di tempat yang tertinggi walau bagaimana sekalipun keadaan mereka ternyata mereka mampu mengatasi kelincahan dan kelajuan pemain Brazil.

Namun begitu, mereka telah melakukan kesalahan yang begitu BODOH apabila gagal memanfaatkan peluang itu untuk memalukan Brazil dengan jumlah jaringan yang lebih besar biarpun tersangat besar peluang mereka untuk berbuat demikian.

Siapa lagi mahu menyokong Brazil?