Sunday, May 30, 2010

Bila Si Bodoh Berlagak Alim

Susah untuk describe manusia yang bersifat begini. Dosa diri sendiri tidak pernah cuba untuk muhasabah, sibuk cari salah orang lain itu dan ini. Hey Najib, sedar kah engkau betapa jijiknya kedudukan engkau untuk mengutuk rakyat Palestine. Adakah engkau kira diri engkau suci umpama malaikat?

Ini lah akibatnya apabila si bodoh cuba berlagak alim. Adakah engkau ingat rakyat negara ini buta hati untuk menilai patah kenyataan sempit dan prejudis engkau itu?

Kenyataan engkau tak ubah seolah-olah ulama’ besar dan tidak kurang pula dengan laporan Utusan Melayu yang cuba menjadikan tulisan ini sebuah kenyataan yang amat benar.

Antara petikan berita Utusan bertarikh 28 Mei, yang mencatatkan Najib di Pekan telah membuat semua kenyataan prejudis ini.

“… Kegagalan umat Islam di Palestine membina kekuatan menyebabkan negara mereka yang besar pada suatu ketika dahulu kini hanya tinggal dua bahagian kecil iaitu Tebing Barat dan Gaza, sementara rakyat Palestine yang hidup di luar pula jauh lebih ramai berbanding di dalam negara sendiri….”
“… Kelemahan umat Islam Palestine juga telah menyebabkan Masjid Al-Aqsa iaitu masjid suci ketiga umat Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, dikuasai oleh bangsa Yahudi, manakala umat Islam Palestine pula tidak dibenarkan solat di sana kecuali golongan tua…”
“… Tidak ada contoh lebih jelas bila masjid ketiga teragung dalam Islam tidak lagi dalam kawalan orang Islam sebabnya bila kita tidak ada kekuatan, kita boleh dijajah. Bukan setakat dijajah, tetapi agama kita boleh dikawal oleh orang lain…”
“… Kalau kita hendak memacu umat Islam ke arah umat yang unggul dan cemerlang, maka kita perlu kepada asas paling penting sekali iaitu kekuatan. Kita mesti ada kekuatan sebagaimana yang dituntut oleh Islam iaitu bersifat menyeluruh, sebab itu Islam disebut agama yang syumul, lengkap dan tiada yang lengkap selain Islam…”
"… Tetapi, kalau kita berjuang hanya untuk mencari satu aspek sahaja dan (perkara) lain kita tidak ambil peduli, maka tidak akan sampai hasrat kita hendak melahirkan umat cemerlang kerana tidak ada kekuatan sebenarnya…”

Kemudian, dia cuba bandingkan usaha “murni” UMNO untuk melahirkan umat yang kuat. Dia memuji usaha UMNO. Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mengucapkan terima kasih di atas peruntukan RM25,000 yang diberikan kerajaan negeri Pahang kepada Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia kawasan Pekan untuk menjalankan kegiatan keagamaan.

Jamil Khir juga tidak berkecuali untuk tumpang sekaki. Dia juga dicatatkan oleh pemberita mengatakan program imam muda itu akan diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha melahirkan imam dan masjid cemerlang bagi membina kembali kekuatan di kalangan umat Islam.

Patutlah bangsa Malaysia atau kaum Melayu begitu cemerlang dan kuat. Kerana adanya UMNO dan pemimpin yang sebat seperti Najib.

Apa pun, aku cuma nak beritahu premis aku berkenaan kenyataan ini. Budak-budak Palestine, dan rakyat mereka keseluruhannya jauh lebih hebat dan mulia dari engkau Najib. Masalah terbesar di sini ialah, Najib ini telah merapu merabang tak tentu arah.

Kalau tidak tahu tentang Palestine, usah bercakap mengenainya. Ia Cuma akan menggoreskan hati umat Islam, mereka yang siang dan malam berjuang untuk membebaskan bumi para nabi itu. Kenal kah engkau wahai Najib siapa itu Belfour sebelum engkau menuduh rakyat Palestine itu dan ini?

Tahu kah engkau sekutu rapat Malaysia yang dilantik secara sah, APCO itu merupakan penyokong gerakan pembantaian etnik di bumi Palestine?

Moga Malaysia mendapat lebih ramai pemimpin yang boleh berfikir, bukan sekadar tin kosong begini!

Saturday, May 29, 2010

Kisah Ashabul Ukhdud (Siri 2)

Kisah Ashabul Ukhdud ini juga diceritakan oleh ALLAH dalam Surah aL-Buruj. Jom kita baca apakah yang diceritakan oleh ALLAH dalam surah ini,
“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang. Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan. Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan. Celaka lah kaum yang menggali parit. (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksa kan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada ALLAH Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), ALLAH sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. Sesungguhnya azab Tuhan mu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat. Sesungguhnya Dia lah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati). Dan Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih. Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya. Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya. Sudah kah sampai kepada mu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?. (Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh). (Kaum mu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaran mu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran. Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaan-nya)!. (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya. (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.” 
aL-Buruj: 1-22
Dalam surah ini, ALLAH menceritakan kisah seorang anak muda yang mempertahankan keimanannya ketika berdepan dengan pemerintah yang zalim. Kisahnya ini ada disebut dalam hadith yang aku telah coret kan pada siri 1 yang lepas.

Dr Ali Ash-Syalaby dalam bukunya Fiqh Tamkin wa Nashr (Fiqh Kejayaan dan Kemenangan) menyebut bahawa, kemenangan yang dialami oleh anak muda ini atau Ghulam ini adalah kemenangan hakiki kerana risalah dakwah anak muda itu tersebar ke semua masyarakat, walaupun pada zahirnya anak muda ini nampak seperti kalah. Hal ini nampak seperti mana yang dihadapi oleh HAMAS di Palestine. Meskipun mereka dihujani peluru dan bom setiap hari, namun mereka berjaya menyampaikan mesej keamanan dan ISLAM itu sendiri kepada seluruh dunia.

Dalam surah ini dan juga surah aL-Kahfi, kita dapat lihat bagaimana ALLAH mencanangkan peranan anak muda dalam membantu gerakan ISLAM di seluruh dunia. Kisah Ashabul Kahfi dalam surah Kahfi turut menceritakan kehebatan yang ada pada sekumpulan anak muda yang jiwa mereka memberontak terhadap kekufuran yang bermaharajalela dalam kalangan masyarakat. Lantas mereka mengambil keputusan untuk memisahkan diri daripada masyarakat dan berusaha menentang pemerintah yang zalim ketika itu. Jom kita hayati cerita anak muda ini dalam al-Quran,
“Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?. (Ingatkan lah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakan lah kami rahmat dari sisi Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepada mu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”. (Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna.” 
aL-Kahfi: 9-16
Dari ayat di atas, kita dapat menilai betapa ALLAH telah menjelaskan peranan anak muda dalam memperjuangkan akidah ISLAM dalam masyarakat. Dari tafsir 2 surah ini, kita simpulkan bahawa kebersamaan corak karakter mereka adalah,
  1. Idealisme perjuangan
  2. Aktivisme, demonstrasi dan pengaplikasian
Perjuangan mereka ini berlandaskan idealisme perjuangan ISLAM dan mereka menyatakan melalui semangat aktivisme dan demonstrasi seperti kita lihat dalam surah Kahfi dalam ayat ke-14 di mana mereka meneguhkan hati mereka dan BANGKIT menyatakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim itu.

Saya teringat kata-kata Presiden GAMIS, Ustaz Mohd Idris Mohd Yusoff ketika beliau menceritakan perihal anak muda aL-Kahfi ini, katanya dalam Tafsir Fi Zilalil Quran tulisan As-Syahid Syed Qutub ada menyebut perkataan “bangun” dalam ayat tersebut melambangkan satu bentuk perbuatan yang menunjukkan sesuatu iaitu DEMOSTRASI kepada keyakinan mereka terhadap ALLAH iaitu berbentuk HARAKI yakni sebuah GERAKAN yang bergerak, ada perancangan, bukan sekadar berdiri sahaja atau dalam keadaan duduk meskipun berseorangan sepertimana kisah Ghulam dalam surah aL-Bujur.

Mereka tidak pernah gentar menyatakan kebenaran akidah mereka meskipun berdepan dengan tangan-tangan penguasa yang Maha Zalim. Begitulah sifat ANAK MUDA.

Kisah Ashabul Ukhdud (Siri 1)

Kisah Ashabul Ukhdud atau Ghulam Dakwah ini adalah sebuah kisah benar yang diceritakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat baginda pada satu ketika. Sebelum itu eloklah untuk kita mengimbas sedikit sebanyak hadith yang menceritakan tentang kisah anak muda ,Ghulam yang bergurukan seorang ahli sihir dan juga rahib. Kisah ini merupakan salah satu contoh manifestasi keimanan Ghulam terhadap keesaan ALLAH riwayat.

Dari Sahih Muslim,

Mahmud bin Ghailan dan Abdun bin Hamid menceritakan kepada kami dengan cerita yang mempunyai makna yang sama, kedua-duanya berkata; Abdur Razak menceritakan kepada kami daripada Ma’mar daripada Shabit al-Banaani daripada Abdur Rahman bin Abu Laila daripada Suhaib bahawa beliau berkata;

“Rasulullah (s.a.w) apabila bersembahyang Asar, baginda menggerakkan dua bibirnya seolah-olah baginda bercakap. Dikatakan kepada baginda; “Kamu wahai Rasulullah, apabila kamu bersembahyang Asar, karnu menggerakkan dua bibir mu seolah-olah kamu bercakap. Maka baginda bersabda: “Salah seorang daripada para nabi merasa ajaib dengan umatnya lalu dia berkata; “Siapakah yang akan mengendalikan urusan mereka?!

Maka Allah mewahyukan kepadanya supaya memberikan mereka pilihan sama ada membunuh diri atau dikuasai oleh musuh. Mereka pun memilih membunuh din. Maka kematian berleluasa di kalangan mereka. Pada suatu hari berlaku tujuh puluh ribu kematian.”

Suhaib berkata; “Apabila Rasulullah menyebut hadis ini, baginda akan menceritakan hadis yang lain.” Baginda (s.a.w.) bersabda; Terdapat seorang raja di kalangan raja-raja yang mempunyai seorang tukang nujum’ yang berkhidmat kepadanya, Tukang nujum tersebut berkata; “Carilah untuk ku seorang ghulam yang mudah memahami atau dia berkata; yang cerdik dan cepat faham supaya aku dapat rnengajar nya ilmu aku mi, Sesungguhnya aku bimbang aku akan mati dan ilmu ini tiada yang mewarisi nya serta tiada seorang pun di kalangan kamu yang mengetahuinya.”

Baginda bersabda lagi; “Mereka pun mencarinya berdasarkan kepada ciri-ciri yang disebutkan dan ghulam yang dijumpai diperintahkan supaya menemui tukang nujum tersebut dan sentiasa mendatangi nya. Maka ghulam tersebut pun berulang-alik menemuinya. Di perjalanan, terdapat seorang rahib yang beribadat di gerejanya. Ma’mar (salah seorang perawi hadis ini) berkata; “Mereka yang berada di dalam gereja ketika itu adalah golongan Muslimin.”

Baginda bersabda lagi; “Ini menjadikan ghulam sentiasa bertanyakan rahib tersebut setiap kali dia melaluinya. Keadaan tersebut berterusan sehinggalah rahib menceritakan kepadanya dan berkata; “Sesungguhnya aku menyembah Allah.”

Baginda bersabda lagi; “Ini menjadikan ghulam berhenti untuk berjumpa rahib dan lewat menemui tukang nujum. Tukang nujum pun menceritakan kepada keluarga ghulam dengan mengatakan; “Dia lewat datang menemui ku.” Ghulam menceritakan perkara ini kepada rahib lalu dia menjawab; ‘Apabila kamu ditanya oleh tukang nujum; Di mana kamu sebelum ini?. Jawablah; Bersama-sama keluargaku. Apabila keluarga mu bertanya di mana kamu sebelum ini?, beritahulah mereka bahawa kamu bersama-sama dengan tukang nujum.

Baginda bersabda lagi; “Keadaan tersebut berterusan sehinggalah pada suatu hari dia melalui sekumpulan ramai manusia yang tertahan disebabkan seekor binatang. Sebahagian mereka mengatakan bahawa binatang tersebut adalah singa.” Sabda baginda; “Maka ghulam pun mengambil seketul batu lalu berdoa; “Ya Allah, sekiranya apa yang diperkatakan oleh rahib adalah benar, maka aku pinta daripada-Mu untuk membunuh binatang mi.” Dia pun melontar nya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai tertanya-tanya; Siapakah yang membunuh binatang ini?

Sebahagian mereka menjawab; “Ghulam”. Maka manusia menjadi takut. Mereka berkata; “Sesungguhnya ghulam ini telah mengetahui suatu ilmu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.”

Baginda menambah lagi; ‘Peristiwa ini diketahui oleh seorang buta, lalu beliau berkata kepada ghulam; Sekiranya kamu dapat mengembalikan penglihatan ku, kamu akan mendapat sekian-sekian. Ghulam menjawab; “Aku tidak memerlukan semua itu daripada kamu, tetapi apakah pandangan kamu sekiranya penglihatan mu dikembalikan kepada mu. Apakah kamu akan beriman kepada orang yang mengembalikannya?”.

Beliau menjawab; “Ya.” Maka ghulam pun berdoa kepada Allah, lalu Allah mengembalikan penglihatannya. Dengan itu si buta beriman. Keimanan mereka diketahui oleh raja dan mereka dipanggil mengadap lalu raja berkata; “Aku akan membunuh kamu semua dengan cara yang berbeza-beza.”

Maka dibawa rahib dan si buta, lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepala salah seorang daripada mereka, kemudian dia dibunuh. Seorang lagi dibunuh dengan cara yang lain. Selepas itu, arahan ditujukan kepada ghulam; “Bawa dia ke bukit sekian-sekian. Campak lah dia dari puncaknya.” Mereka pun membawa ghulam menuju bukit tersebut. Apabila mereka sampat ke tempat tuju, mereka semua jatuh daripada bukit kecuali ghulam. Kemudian dia pulang menemui raja.

Selepas itu, raja memerintahkan supaya dia dibawa ke laut dan dicampakkan ke dalamnya. Maka dia dibawa ke laut, lalu Allah menenggelamkan mereka yang bersamanya dan menyelamatkannya. Selepas itu ghulam berkata kepada raja; “Kamu tidak akan dapat membunuh aku sehinggalah kamu menyalib dan memanah ku. Kamu hendaklah berkata ketika memanah ku; “Dengan nama Allah, Tuhan ghulam ini.”

Baginda (s.a.w.) menyambung lagi; “Maka raja pun memerintahkan supaya dilakukan apa yang dicadangkan lalu ghulam disalib. Kemudian raja memanahnya sambil berkata; “Demi Allah, Tuhan ghulam ini.” Sabda baginda lagi; “Lalu ghulam meletakkan jarinya pada bahagian di antara mata dan telinganya. Selepas itu, dia pun meninggal. Dengan itu, orang ramai pun berkata; “Sesungguhnya ghulam ini mengetahui suatu ilmu yang tiada sesiapa pun yang mengajarnya. Dengan itu kami beriman dengan Tuhan ghulam ini.”

Baginda bersabda lagi; “Dikatakan kepada raja; “Apakah tuanku merasa resah gelisah ketika tiga orang tidak mengikut tuanku. Sesungguhnya alam seluruhnya telah menentang tuanku.” Baginda meneruskan cerita; “Maka parit pun digali. Kemudian dikumpulkan kayu api di dalamnya lalu dinyalakan. Selepas itu orang ramai pun dikumpulkan, lalu raja berkata; “Sesiapa yang kembali kepada agama asalnya, kami akan selamatkan dia. Sesiapa yang enggan, kami akan campakkan dia ke dalarn api ini.” Kemudian mereka pun dicampakkan ke dalam parit tersebut.

Baginda bersabda; “Allah telah berfirman “Telah dibinasakan orang-orang yang membuat parit. (Parit) api yang dipenuhi bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Dan mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Sabda baginda lagi; “Mengenai ghulam, dia telah dikebumikan.”

Disebut bahawa pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab, mayatnya dijumpai dan didapati jarinya masih berada pada bahagian di antara mata dan telinganya sebagaimana ketika dia dikebumikan.

Abu Isa berkata, “Hadith ini adalah hadith Hassan Gharib.”

Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith ini,
“Hadis ini membuktikan kebenaran keramat para wali. Di dalamnya juga mengandungi hukum harus berbohong ketika dalam peperangan dan seumpamanya, dan ketika ingin menyelamatkan diri daripada kebinasaan sama ada dirinya atau orang lain. laitu diri yang diharamkan daripada dibunuh.”
Moga kita dapat mencontohi anak muda ini yang begitu hebat mempertahankan keimanannya meskipun sedar begitu pahit kesakitan yang dialaminya….

Friday, May 28, 2010

Bagaimana Cara Untuk Mencapai Kesempurnaan Beragama?

Kesempurnaan diri yang menjadi impian buat semua mereka yang bergelar Mukmin hanyalah berasaskan kepada apa yang digariskan oleh ALLAH dan Rasul. Sama-samalah kita menghayati Hadith Muthahharah ini berkenaan kesempurnaan diri seorang Muslim.

Daripada Sayidina Khalid bin Al-Walid Radiallahuanhu telah berkata: Telah datang seorang Arab desa kepada Rasulullah SAW yang mana dia telah menyatakan tujuannya: Wahai Rasulullah! sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.

Maka baginda SAW telah berkata kepadanya Tanyalah apa yang engkau kehendaki :

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang alim…

Baginda SAW menjawab: Takutlah kepada ALLAH maka engkau akan jadi orang yang alim…

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang paling kaya….

Baginda SAW menjawab: Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya….

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang adil…

Baginda SAW menjawab: Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia…

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang paling baik….

Baginda SAW menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia…

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi ALLAH….

Baginda SAW menjawab: Banyakan zikrullah nescaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah….

Dia berkata: Aku mahu disempurnakan iman ku…

Baginda SAW menjawab: Per elokkan akhlak mu nescaya iman mu akan sempurna….

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsin (baik)….

Baginda SAW menjawab: Beribadatlah kepada ALLAH seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurang nya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsin….

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat….

Baginda SAW menjawab: Tunaikan segala kewajipan yang difardukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat….

Dia berkata: Aku mahu berjumpa ALLAH dalam keadaan bersih daripada dosa….

Baginda SAW menjawab: Bersihkan diri mu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui ALLAH dalam keadaan suci daripada dosa….

Dia berkata: Aku mahu di himpun pada Hari Kiamat di bawah cahaya….

Baginda SAW menjawab: Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada Hari Kiamat di bawah cahaya….

Dia berkata: Aku mahu dikasihi oleh ALLAH pada Hari Kiamat….

Baginda SAW menjawab: Kasihanilah diri mu dan kasihanilah orang lain nescaya ALLAH akan mengasihani mu pada Hari Kiamat…..

Dia berkata: Aku mahu dihapuskan segala dosa ku…

Baginda SAW menjawab: Banyakan beristighfar nescaya akan dihapuskan (kurangkan) segala dosa mu….

Dia berkata: Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia….

Baginda SAW menjawab: Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia….

Dia berkata: Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia….

Baginda SAW menjawab: Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada ALLAH nescaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia….

Dia berkata: Aku mahu dimurahkan rezeki oleh ALLAH….

Baginda SAW menjawab: Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya ALLAH akan memurahkan rezeki kepada mu….

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh ALLAH dan Rasul-Nya….

Baginda SAW menjawab: Cintai lah segala apa yang disukai oleh ALLAH dan Rasul-Nya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai…..

Dia berkata: Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan ALLAH pada Hari Kiamat….

Baginda SAW menjawab: Jangan marah kepada orang lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan ALLAH dan Rasul-Nya….

Dia berkata: Aku mahu diterima segala permohonan ku….

Baginda SAW menjawab: Jauhi lah makanan haram nescaya segala permohonan mu akan diterima-Nya….

Dia berkata: Aku mahu agar ALLAH menutupkan segala keaiban ku pada hari kiamat….

Baginda SAW menjawab: Tutuplah keburukan orang lain nescaya ALLAH akan menutup keaiban mu pada Hari Kiamat…..

Dia berkata: Siapa yang terselamat daripada dosa?

Baginda SAW menjawab :Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendak-Nya dan mereka yang ditimpa kesakitan….

Dia berkata: Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi ALLAH?

Baginda SAW menjawab: Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala)…..

Dia berkata: Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi ALLAH?

Baginda SAW menjawab: Buruk akhlak dan sedikit ketaatan…

Dia berkata: Apakah yang meredakan kemurkaan ALLAH di dunia dan akhirat?

Baginda SAW menjawab: Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang….

Dia berkata: Apakan yang akan memadamkan api neraka pada Hari Kiamat?

Baginda SAW menjawab: Sabar di dunia dengan bala dan musibah….

Telah berkata Imam Mustaghfirin,

“Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat selain hadith ini.”

Alangkah bertuah dan berbahagianya kita jikalau kita mampu memiliki kesemua ciri-ciri dan sifat yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith ini. Alangkah indahnya ISLAM itu mengajar kita. Inilah cara untuk mencapai kesempurnaan beragama yang ditunjukkan oleh Baginda.

Kita hamba yang DHAIF. Moga sentiasa mendapat keampunan-Nya.

Thursday, May 27, 2010

Sila Berambus Dari Bumi Ini!

2 minggu lepas heboh berita pasal penangkapan 4 orang mahasiswa UKM yang dikatakan turun berkempen di Hulu Selangor bagi pihak Pakatan Rakyat semasa PRK Hulu Selangor yang lepas. Mereka yang ditangkap itu aku cukup kenal kerana beberapa kali berjumpa dengan mereka sebelum ini berbual dan berbincang terutama berkenaan polemik yang berlaku ketika Pilihanraya Kampus UKM pada bulan Januari yang lepas.

Berbagai reaksi yang dapat kita semua saksikan berkenaan berita penangkapan itu daripada semua lapisan masyarakat sama ada pelajar, pensyarah malah pimpinan negara. Ada yang mengecam tindakan menangkap pelajar terbabit kerana mereka tidak semestinya datang le HS untuk berkempen kerana bukti poster berada di tangan mereka tidak kuat untuk menuduh mereka bertindak sedemikian.

Ada juga yang bersetuju dengan penangkapan itu dengan alasan mereka terlibat dengan politik luar. Mereka dikenakan AUKU, satu istilah yang cukup sebati dengan aktivis mahasiswa sejak dulu lagi.

Bagi ku sesiapa pun bebas mengeluarkan pendapat dan kecaman masing-masing selagi tidak menyalahi prinsip dan terma asasi kerana bagi aku, terma dan nilai demokrasi di sini biarlah hidup subur bagi mencerminkan wawasan negara kita yang berdemokrasi.

Namun demokrasi ada batasnya. Kebebasan bersuara tidak memberi hak kepada kita untuk berlaku kurang ajar. Kurang ajar pada sesuatu hak yang telah ditetapkan sejak AZALI lagi.

Hal yang aku ingin bangkitkan di sini bukanlah mengenai penangkapan mahasiswa ini sebetulnya cuma ingin mengulas mengenai beberapa komen yang aku kira amat menarik untuk dibincangkan di sini iaitu komen mereka yang begitu bersetuju dengan penangkapan mahasiswa ini. Seperti aku katakan tadi, demokrasi ada hak dan nilai yang perlu dijaga. Ya, bagi ku sesiapa pun bebas untuk memberi pendapat mereka namun biarlah berlandas dan matang.

Jangan membiarkan pendapat kita itu menunjukkan diri kita yang begitu naif dalam menilai sesuatu. Satu komen yang aku kira amat menyakitkan hati ialah bilamana mereka ini mencadangkan agar mereka ayang ditangkap ini dibuang universiti seolah-olah mereka langsung tak layak untuk menduduki serta belajar di universiti kerajaan lantaran kegagalan mereka mematuhi AUKU itu.

Kalau rasa tak nak ikut sangat AUKU, sila keluar daripada universiti kerajaan. Oh begitu mudah sifir kehidupan mereka. Jika tak suka atau bersetuju, keluar sekarang.

Jika macam itu, kalau kita gagal mengikut serta patuh pada setiap arahan ALLAH, maka sila keluar dan BERAMBUS dari bumi ini kerana bumi ini milik ALLAH dan WAJIB patuh pada syariatnya. Atau macam mana?

Mudah bukan. Maka sedikit hari lagi sudah tentu tidak ada langsung mereka yang ingkar di dunia ini kan?

Dan pastinya orang kafir langsung tak wujud di bumi ini kalau semua orang berfikiran pendek seperti itu.

Apakah akta itu dicipta untuk menghukum manusia atau mendidik manusia?

Kenyataan sebegitu umpama meletakkan akta sebagai indicator terpenting dalam menilai samada layak atau tidak layak seseorang itu duduk dan belajar di universiti.

Pendapat aku semua akta yang dicipta dan direka oleh manusia mempunyai had tersendiri dan tidak sewenang-wenangnya mampu menghukum manusia sebegitu. Ia bertujuan memberi panduan kepada manusia dalam situasi yang cukup TERHAD bukan meletakkan akta itu sebagai jaminan bahawa ianya mencakupi seluruh hak asasi seseorang.

Komen bahawa sesiapa yang GAGAL mengikuti AUKU sila keluar dari universiti adalah komen yang begitu DANGKAL dan SEMPIT pemikiran kerana beranggapan bahawa AUKU adalah segala-galanya dan bila tidak bersetuju maka itulah penyelesaiannya.

Adakah mereka ini bersetuju dengan semua akta yang wujud di Malaysia ini?

Normal kah mereka itu kalau berfikiran sebegitu rupa?

Komen sebegitu telah menafikan hak keampunan dan kasih sayang manusia sesama manusia secara TOTAL. Malah seakan menafikan sifat PENGAMPUN yang ada pada ALLAH. Mengapa saya kaitkan ini semua?

Tidak lain adalah kerana memikirkan apakah di dunia ini kita hidup aman damai dan sejahtera kerana bergantung pada akta ciptaan manusia. Sudah tentu tidak.

Kalau sebegini rupa mudahnya sifir kehidupan kita, maka mereka yang memberi lesen JUDI di negara kita untuk Piala Dunia 2010 WAJIB mencari bumi yang lain kerana gagal dan ingkar pada AKTA yang telah ditetapkan oleh ALLAH.

Bukan begitu?

Dan sesiapa yang memberi komen sebegitu harus sedar bahawa mereka WAJIB BERAMBUS dari bumi ini jika gagal menunaikan hak yang ALLAH tetapkan walaupun sekali mereka melakukan kesalahan itu. Kerana mereka tak layak.

Mereka yang memberi komen sebegini aku rasa sama sekali tidak berani untuk mengatakan bahawa mereka yang ingkar pada perintah ALLAH seperti contoh yang aku buat di atas supaya BERAMBUS dari bumi ini.

Walaupun mereka sendiri sedar dan mengakui terma JIKA TAK BERSETUJU ATAU INGKAR SILA KELUAR. Maka di sini syurga neraka sudah tidak diperlukan lagi kerana mereka sudah dihukum. Dangkal sekali pemikiran mereka ini.

AUKU dicipta adalah untuk mengawal mahasiswa. Ini terbukti. Aku sendiri langsung tak bersetuju dengan AUKU bukan pada semua bahagian cuma pada sesetengah part sahaja kerana terang-terang ia melanggar hak asasi mahasiswa. Menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan bertindak.

Sedangkan masyarakat melabelkan mahasiswa sebagai generasi yang menjadi harapan dan tonggak negara pada masa hadapan. Namun sebaliknya mereka dilayan.

Persoalannya adakah menjadi kesalahan besar jika mahasiswa dibenarkan untuk terlibat sama dalam politik semasa?

Adakah kerana ini mengancam keselamatan dan menggugat kedudukan parti pemerintah sehingga sanggup mengurung mahasiswa sebegini rupa?

Mereka iaitu merujuk kepada pihak kerajaan amat cepat dan tepat dalam mengambil tindakan terhadap mahasiswa yang berhimpun dan terlibat dengan politik luar. Polis-polis seakan menjadi rutin kepada mereka untuk menangkap mahasiswa yang berjiwa aktivis ini.

Namun bila polis terlibat dalam kes keselamatan orang awam seperti kes tembak Adik Aminurrashid, pihak polis dan kerajaan terutamanya begitu LEMBAB dalam mengambil tindakan.

Mengapa sedemikian rupa boleh terjadi?

Adakah keterlibatan mahasiswa dalam politik luar begitu membahayakan keselamatan negara berbanding kes tembak melulu anggota polis terhadap orang AWAM?

Semua sahabat-sahabat mempunyai jawapan tersendiri bagi persoalan di atas.

Jelasnya di sini ialah AKTA ciptaan manusia bukanlah jawapan kepada semua masalah yang berlaku. Akta dicipta untuk memenangkan satu pihak dan menjatuhkan pihak yang lain. Kewujudan akta ini begitu seiring dengan imej dan pembawaan sesebuah kerajaan itu. Jika zalim kerajaan itu, maka banyaklah akta yang dicipta dan direka itu turut ZALIM umpama penciptanya.

Oleh itu, seruku pada mereka yang menyokong atau membantah akta-akta ciptaan ini silalah menggunakan akal yang dipandu oleh wahyu. Kegagalan menurut apa yang diperintahkan oleh wahyu akan menyebabkan KOMEN sebegitu muncul di mulut mereka yang mengaku kenal akan ALLAH yang memiliki alam ini.

Aku begitu tertarik dengan sarana agar mahasiswa diberi kebebasan untuk terlibat dengan politik luar kerana mereka pasti akan terjun dalam masyarakat nanti. Alasan bimbang mahasiswa akan terpengaruh dengan doktrin politik luar sepatutnya tidak timbul kerana kita sendiri melabelkan mereka sebagai golongan cerdik pandai.

Biarlah “cerdik pandai” mereka yang menjadi hakim di sini.

Persoalan mengenai terpengaruh dengan doktrin yang tak sepatutnya adalah soal kedua malah itu tak sepatutnya dipersoalkan kerana menjadi resmi kepada mahasiswa sebagai Agent of Change dalam masyarakat.

Kenapa mereka terpengaruh dengan doktrin politik tersebut juga perlu diambil kira dengan faktor-faktor kelemahan mereka yang memerintah sekarang. Jika pemerintahan sekarang sudah cukup sempurna, maka apakah bodohnya seorang mahasiswa sanggup menentang mereka yang memerintah tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat lain.

Maka dari sudut ini, pihak yang memerintah sendiri perlu sedar dan bermuhasabah kenapa mahasiswa bangkit menentang mereka.

Bangkit menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Jika pemerintah negara sekarang jujur dengan tindak tanduk mereka, buat apa mereka takut pada suara mahasiswa. Biarlah mahasiswa bersuara dan bergerak sejajar dengan title yang ada pada mereka.

Jangan jadikan AUKU sebagai perisai supaya mahasiswa semuanya lahir menjadi “yes man” atau macai yang berjaya. Jika AUKU sudah cukup baik, pasti sudah ramai yang bersetuju dengan akta ini. Malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri mengeluarkan kenyataan bersetuju dengan pindaan AUKU ketika menghadiri forum di UKM sebagai panelist pada tahun lepas semasa Minggu Mesra Pelajar sesi 2009/2010.

Terbukti bukan sekadar mereka yang bergelar mahasiswa yang aktif berdemonstrasi sahaja yang mahukan pindaan pada akta ini, malah menteri kabinet pun mempunyai denyut nadi yang sama terhadap akta ini. Kerana mahasiswa bukan BUDAK SEKOLAH.

Mereka yang ditangkap atas tuduhan terlibat dengan politik luar itu semuanya pelajar Jurusan Sains Politik. Biarlah mereka merasa jatuh bangun remuk rendam kacau bilau suasana politik Malaysia. Biarlah PRK menjadi medan latihan buat mereka untuk menilai secara dekat pihak manakah yang lebih “baik” perangainya dalam memperjuangkan nasib rakyat. Bukan begitu?

Justeru, tindakan menahan mahasiswa UKM ini ketika mereka berada di Hulu Selangor dengan tuduhan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana seakan menafikan hak kebebasan bersuara dan bertindak yang sepatutnya dimiliki mahasiswa masa kini. Kita bukan lagi berada pada zaman FEUDAL yang memutlakan sesuatu pada seseorang dan memberi ketaatan tanpa rela dan membeli jiwa umpama hamba.

Biarlah pembangunan jiwa mahasiswa seiring dengan kehendak negara pada golongan ini pada masa akan datang.

Dan buat mereka yang memberi komen yang kurang ajar seperti di atas, eloklah bertaubat sekarang ataupun mereka ini harus sedar betapa mereka harus BERAMBUS dari BUMI ini jika gagal menurut perintah ALLAH mulai sekarang sepertimana mereka meminta agar mahasiswa yang dikenakan AUKU ini BERAMBUS dari universiti kerajaan kerana gagal patuh pada “perintah” AUKU.

Jom turunkan tandatangan ANDA beramai-ramai pada Petisyen Referendum Bantahan 4 Orang Mahasiswa UKM Dikenakan AUKU.

Rujukan:

  1. IPT Tidak Boleh Sekat Kebebasan Bersuara Siswa
  2. Don't Expel Students Demonstrating Against Campus Election, Universities Told
  3. Mahasiswa Bukan ‘Budak Sekolah’

UKM4: Undi Anda Sangat Berharga

Fakta kes:

  1. 4 orang mahasiswa UKM jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Sdr Hilman Idham (Presiden), Sdr Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Sdri Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Sdr Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah pada 22 April 2010 semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
  2. Turut ditahan bersama mereka adalah 3 orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama (sebuah kereta dan van).
  3. Dalam penahanan itu, polis telah merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga CD kempen.
  4. Kemudian pada 23hb April 2010, sekitar jam 10 malam, Sdr Hilman Idham telah ditahan sekali lagi oleh pihak polis dalam sekatan jalan raya. Bersama-sama beliau adalah 4 orang aktivis yang lain. Dalam penahanan ini, polis hanya menjumpai sekeping VCD ceramah parti politik.
  5. Hasil daripada tangkapan ini, mereka akan dibicarakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Malaysia (AUKU) pindaan 2008 di Mahkamah Universiti pada 2 Jun dan 3 Jun 2010.. Hal ini amat mendukacitakan hati semua masyarakat yang cintakan nilai DEMOKRASI yang sering di war-warkan oleh pihak pemerintah kerana jelas terang lagi bersuluh penangkapan ini bercanggah dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihan raya.

Justeru, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama front-front pergerakan mahasiswa lain seperti Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Malaysia Youth & Students Democratic Movement (DEMA) telah mengadakan satu petisyen untuk menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak HEP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menarik dan menggugurkan semula pertuduhan itu dengan mengumpulkan 10000 tandatangan pada petisyen ini.

Referendum Bantahan 4 Mahasiswa UKM dikenakan AUKU

Dengan ini Time To Change dengan penuh sedar dan insaf menyatakan sokongan 100% terhadap petisyen UKM4 ini dan meletakkan banner Referendum Bantahan ini di blog Time To Change secara rasminya bermula artikel ini ditulis.

Saya MERAYU dan MEMOHON kepada semua pembaca Time To Change untuk sama-sama menyatakan sokongan terhadap petisyen ini dengan meletakkan tandatangan pada Referendum Bantahan ini.

Kerana UNDI dan TANDATANGAN anda amat BERHARGA demi maruah sebuah DEMOKRASI!

Wednesday, May 26, 2010

Mengenang Sebulan Pemergian Adik Aminulrasyid


Hari ini, 26 Mei 2010 pada pukul 2:15 am ketika saya menulis entri ini maka genaplah sebulan pemergian Allahyarham Adik Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak secara melulu oleh polis pada bulan yang lepas. Bukan niat saya ingin mengenang kesedihan akan kematian tragis ini tapi sekadar mahu memanaskan tungku api yang semakin kekurangan suhunya dek simbahan isu-isu lain yang timbul selepas kejadian.

Ternyata kes ini sudah tidak menjadi perhatian akhbar untuk menyiarkan beritanya dan saya bimbang jikalau kes ini terus senyap dan tak mendapat pembelaan sewajarnya.

Sebelum kita meneruskan penerokaan jiwa pada kali ini, eloklah kita menyedekahkan aL-Fatihah buat Arwah moga-moga ALLAH meletakkan dia dalam kalangan mereka yang beriman.

Bagi saya, setiap isu yang sedang bergelojak di tengah masyarakat mahu tak mahu sebagai warga yang prihatin sewajarnya dia mengambil “port” secara proaktif dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu tersebut dan menjadi agent of true message untuk isu tersebut. Kebenaran di sebalik kes tembak ini mungkin semua orang yang mengikuti perkembangan kes ini tahu dan bijak menilai siapa yang betul dan siapa yang bersalah dalam kes ini.

Ini kekuatan dan nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita untuk menilai sesuatu secara mendalam. Alhamdulillah kerana kita masih tergolong dalam golongan manusia yang mahu menjadi sebahagian daripada warga yang proaktif dalam apa-apa jua sekalipun isu yang melanda masyarakat sekitar. Dalam sebuah hadith, Rasulullah bersabda,

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia-punya daya sensitiviti yang baik”

Ya, umat ISLAM wajib ada deria ini. Bukan kita nak jaga tepi kain orang tapi kita nak jaga badan kita daripada dibakar api neraka. Erti hidup kita adalah bergantung kepada berapa banyak kita mampu bagi sumbangan kebaikan kepada masyarakat. Bila kita faham akan sabda Rasulullah ini, maka tidak akan timbul isu sibuk hal orang lain, saya dengan kerja saya dan kau dengan hal kau, itu masalah family dia bukan kita, tak elok kita main-mainkan isu sensitif ini sal kita bukannya orang yang ada time tu Dan macam-macam lagi.

Proses perundangan yang berjalan untuk kes Adik Aminulrasyid ini adalah hasil desakan masyarakat yang kuat daya sensitiviti nya dalam masyarakat. Bukan bertujuan untuk mencari publisiti murahan kerana menjaja cerita ketika isu tengah meletup tapi itulah resminya yang perlu kita hadam. Saya sendiri terkesan dengan sikap beberapa responden tentang isu ini yang memberi respons dan kritikan yang cukup tidak melambangkan sikapnya sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Saya mengklasifikasikan tugas dan peranan kita kepada dua part utama iaitu tugas dan peranan kita terhadap diri sendiri dan tugas serta peranan kita terhadap orang sekitar termasuklah keluarga, jiran tetangga, masyarakat sekitar, penduduk negara ini malah seluruh umat manusia. Besar tugas dan peranan kita dalam hal ini untuk menyediakan kefahaman yang jitu dalam diri sendiri sehinggakan kita mampu bertindak sebagai warga yang betul-betul masak dengan isu di sekelilingnya.

Saya kira rasa sayang dan kasihan akan nasib arwah adalah faktor terbesar kenapa isu ini begitu meledak dalam masyarakat. Selain hal berkaitan dengan keadilan dan keselamatan, sebenarnya nilai kasih sayang kita sesama manusia adalah tak ternilai harganya kerana itulah nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH kepada kita sebagai manusia.

Bayangkan jika ALLAH menarik nikmat kasih sayang ini daripada kita?

Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya bukan daripada kalangan umat ku mereka yang tidak mengasihani saudaranya sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri”
Dan ALLAH berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara….” 
aL-Hujurat: 10

Ketetapan ALLAH itu pasti maka sebagai umat ISLAM kita menerimanya dengan REDHA. Sehingga saat artikel ini ditulis, tiada perkembangan yang ketara berkenaan isu ini dan kita menyerahkan kepercayaan kepada panel khas yang dilantik untuk bertindak secara matang dalam menangani kes ini dan berusaha mengembalikan keadilan kepada mereka yang teraniaya.

Dalam poll side yang saya buat di Nuffnang, setelah sebulan berlalu saya memaparkan poll berkenaan respons pembaca tentang kes tembak ini, saya mendapati respons dan sokongan pembaca amat menggalakkan kerana jumlah pembaca yang menjawab survey itu adalah seramai 285 orang. Dan golongan yang terbanyak menjawab survey ini adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 18-23 tahun.

Daripada seramai itu yang memberi respons, kira-kira 59% mereka bersetuju bahawa anggota polis itu sendiri sepatutnya bertanggungjawab dalam kes ini dan selain daripada itu 25% bersetuju bahawa kes ini adalah tanggungjawab PDRM dan Kementerian Dalam Negeri manakala selebihnya 15% bersetuju bahawa ibu bapa Adik Aminulrasyid yang sepatutnya bertanggungjawab di atas kes ini.

Namun ini bukanlah indicator sebenar kes ini. Hanya melibatkan sebilangan kecil masyarakat yang membaca dan menjelajah Time To Change sahaja. Namun perkara yang menarik perhatian saya ialah keputusan survey pada soalan ketiga iaitu berkenaan imej polis selepas kes ini berjaya. Ternyata 88% pembaca bersetuju bahawa imej PDRM rosak dengan teruk sekali akibat kes ini.

Dan saya yakin peratusan ini akan terus meningkat jika PDRM gagal menangani dan menguruskan persepsi masyarakat terhadap mereka dengan bijaksana. Seperti saya utarakan sebelum ini dalam artikel saya mengenai PDRM perlu belajar dari Stephen R Covey tentang prinsip First Seek To Understand, Then To Be Understood dalam bukunya 7 Habits of Highly Effective People.

Mereka seharusnya bijak mengambil peluang ini untuk membaiki imej mereka berbanding bertindak tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap mereka sendiri.

Apa pun sokongan rakyat Malaysia terhadap isu ini amatlah diperlukan agar keadilan yang sewajarnya buat Arwah dapat ditegakkan. Walaupun tergores dengan sikap sesetengah mereka yang suka memburuk-burukkan Arwah dan keluarga, namun saya lebih suka mengingatkan mereka ini dengan sepotong ayat al-Quran,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi lah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." 
aL-Hujurat: 12

Moga roh Adik Aminulrasyid terletak bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Renungi lah kata-kata Imam Ibnu Qayyim R.A. ketika menerangkan kebesaran ALLAH dalam setiap kejadian di dunia ini.

Jom kita semarakkan KEMPEN tuntut KEADILAN buat Adik Aminulrasyid!

Perlesenan Judi: Bagaimana Umat Islam Bersikap?

ALHAMDULILLAH, rasa syukur yang teramat sangat pada tuhan yang memiliki hati-hati manusia kerana telah membenarkan Diskusi Ilmiah ISIUKM yang bertajuk Judi: Halal atau Haram? sebentar tadi berlangsung dengan jayanya.

Meskipun pada permulaan sebelum saya sempat memasuki Bilik Kuliah FSSK505, beberapa orang pak guard menyerbu kami semua dan mengarahkan program diskusi itu dibatalkan serta-merta kerana tidak mendapat kelulusan pentadbiran.

Masya-Allah, nak luruh jantung ketika sorang pak guard tu soal macam-macam tentang program ni. Akhirnya, bagi meredakan keadaan saya jemput mereka join sekali dengan kami dalam perbincangan.

Ya, memang isu ini SENSITIF untuk dibangkitkan kerana ianya berkaitan dengan kepentingan kerajaan sekarang. Sebenarnya kami dah tahu apa point mereka nak halang diskusi ini. Saja buat alasan yang kami tak dapat kelulusan. Namun seperti yang saya nyatakan awal-awal tadi, sesungguhnya hati manusia itu milik ALLAH.

Tengah mereka sibuk-sibuk halang kami, tetiba datang big boss mereka untuk bagi kebenaran kepada kami untuk teruskan program tadi. Alhamdulillah, meskipun selepas itu dia menghalang beberapa orang sahabat yang terlewat untuk masuk sekali, tapi sekurang-kurangnya apa yang dah dirancang berjaya dilaksanakan.

Diskusi ilmiah ini adalah program ISIUKM sepanjang short semester di kampus ini memikirkan bahawa tugas dakwah itu tidak boleh beralasan dengan cuti semester, maka ISIUKM mengambil langkah utama untuk meneruskan beberapa agenda dakwah dan tarbiah agar terus subur di perbukitan ilmu ini meskipun mengalami banyak kesulitan terutamanya sal protokol dan pentadbiran.

Tak mengapa, syurga itu MANIS, maka mujahadah itu PAHIT untuk membeli syurga.

Dimoderator oleh sahabat saya, Ustaz Fadhlan, diskusi ini amat BERNAS dan MENARIK sekali kerana mendapat sambutan yang cukup baik dari semua front politik dan pergerakan mahasiswa UKM. Bayangkan dalam satu diskusi yang terbuka dan berkaitan isu semasa, tiga arus pemikiran mahasiswa mampu bertemu dalam satu perkongsian. MPP PMUKM sendiri hadir dengan 4 orang wakilnya.

Ustaz Fadhlan membuka bicara dengan memperkatakan tentang konsep dan prinsip kita sebagai orang ISLAM dalam kehidupan seharian. Menerangkan bahawa perkataan yang terbaik adalah perbincangan yang menjurus kepada pembinaan iman kita kepada aL-Khaliq. Menjelaskan siapakah manusia yang bijak dan manusia yang bodoh. Manusia yang bijak ialah seorang manusia yang memilih sesuatu yang besar nilainya dan tiada penamatnya.

Lebih suka memikirkan kehidupan AKHIRAT yang ada permulaan dan TIADA pengakhirannya berbanding memilih kehidupan DUNIA yang pendeknya umpama sejengkal sahaja dan manusia yang BODOH pula adalah manusia yang mengikut hawa nafsu mengejar keduniaan tapi berangan-rangan memiliki SYURGA.

Dalam dunia ini manusia hanya tergolong dalam 3 golongan SAHAJA. Bila berbicara pasal kaum, banyaknya tidak terkira. Begitu juga warna kulit, bahasa dan macam-macam lagi. Tapi hakikatnya di hadapan ALLAH kita cuma terbahagi kepada 3 golongan iaitu, MUKMIN, KAFIR, dan MUNAFIQ.

Persoalan besarnya ialah, kita berada dalam golongan mana?

Berbalik kepada persoalan JUDI tadi, kalau dia MUKMIN, maka bagi dia judi itu tetap HARAM, dan kalau dia KAFIR maka dia akan cakap judi itu HALAL, dan si MUNAFIQ akan cakap judi itu HALAM. OK ini satira.

ALLAH berfirman dalam al-Quran,

“Apabila orang-orang munafik datang kepada mu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” 
aL-Munafiqun: 1 
“(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)”, serta di adakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu)…” 
aL-Hadid: 13
“Dan di antara mereka (yang hadir di majlis mu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaran mu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisi mu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabat mu yang setia): “Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeterai kan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa …” 
Muhammad: 47

Inilah gambaran yang ALLAH bagi pada si Munafik. Mulutnya berkata itu HARAM, tapi hatinya tegar menyatakan hukumnya HALAL. Kena faham ini hanyalah kiasan sahaja.

Ustaz Fadhlan memberi tiga point utama dalam sesi diskusi ini iaitu:

  1. Hubung kait antara IMAN dan JUDI. Di mana bila kita berbicara soal JUDI, maka kita tak akan terlepas dari berbicara soal KEIMANAN kita kepada ALLAH. Kaitannya dengan lemah atau kuat iman seseorang. Kaitannya dengan akidah kita jika kita REDHA dengan maksiat judi ini. Kaitannya bila berbicara soal HUKUM yang telah di tetapkan oleh ALLAH sejak azali lagi. ALLAH telah memberi “nasihat” kepada kita iaitu jangan kau tanya apa yang SAYA buat, tapi kau akan ditanya apa yang kau buat. Jelas bukan antara kaitan JUDI dan IMAN.
  2. Rezeki, makan minum, keamanan, keselamatan sudah mendapat JAMINAN ALLAH. Tak perlu manusia mencabuli jaminan yang telah diberikan ini. Cuba kita perhatikan alasan Pak Menteri yang membenarkan lesen judi ini jadi HALAL, “Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram. Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui pelesenan sah.” Itu katanya tapi ALLAH cakap apa?
  3. Amar ma’aruf nahi mungkar. Ini adalah perkara mungkar maka di sini adalah tanggungjawab kita untuk menanganinya. Mahu tak mahu, itulah kewajipan kita. Kita buat setakat yang termampu dan masing-masing ada kelebihan yang ALLAH kurniakan. Maka manfaatkan sebaiknya dalam usaha kita menentang perkara mungkar ini. Jika menulis adalah kepakaran, maka hasilkan penulisan yang mendidik masyarakat agar menjauhi MUNGKAR ini. Rasulullah bersabda, Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra.: “Barang siapa di antara kalian melihat kemungkaran (hal yang keji, buruk), maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisan nya. Kalau tidak sanggup, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.” Siapa yang berani kata TIDAK pada amanah dan tanggungjawab ini?


Kemudian sesi diskusi dibuka oleh Ustaz Fadhlan berkenaan apakah sarana utama kami sebagai MAHASISWA dalam mendepani isu ini dan apakah resolusi yang mungkin boleh di kedepankan hasil perbincangan ini dan cara mengatasi masalah JUDI yang kian merebak dalam kalangan masyarakat.

Antara respons terbuka soal isu ini ialah:
  1. Apakah benar wujud Lembaga Totalisator Malaysia yang menguruskan kesemua sumber-sumber yang haram dan kemudiannya di salurkan kepada pembangunan sukan di Malaysia. Hal ini kena kewujudan lembaga ini tidak disedari oleh rakyat Malaysia dan ternyata semua mereka yang berada dalam diskusi tadi tak mengetahui kewujudan LTM ini. Malah di internet pun, struktur dan segala maklumat tentang LTM ini juga tidak dapat diakses dan dicari. Wujud persoalan adakah benar hal ini dan apakah tindakan kita ke arah memastikan kewujudan LTM ini benar-benar diketahui?
  2. Hasil judi dan arak juga di salurkan kepada sektor Pembangunan Luar Bandar. Apakah hal ini benar? Kami tak dapat mencari jawapannya. Kalau hal ini benar, maka amat malanglah nasib kita sebagai rakyat kerana memberikan kepercayaan kepada mereka yang KHIANAT pada AGAMA dan NEGARA.
  3. JUDI tetap haram sampai bila-bila sekalipun dan ianya menjadi mangkin kepada jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin makin besar jika JUDI berleluasa secara HALAL.
  4. Semua ini bergantung kepada diri sendiri. Selidik lah dan buatlah pemerhatian agar tak terjebak dengan apa-apa anasir JUDI dalam segala gerak hidup kita.
  5. JUDI adalah tindakan terdesak individu untuk mengumpul harta dalam masa yang singkat. Malah itu mungkin sebab kenapa “mereka” membenarkan JUDI.
  6. Bersetuju dengan respons di atas, menghalalkan lesen JUDI ini bermakna ia adalah hasil tindakan kerajaan yang begitu terdesak untuk menampung segala kos perbelanjaan negara dan termasuklah segala kepentingan mereka akibat daripada merudum nya ekonomi KAPITALIS di dunia masa kini.
Lihat saja bagaimana negara-negara Eropah saling berhutang antara satu sama lain dalam angka yang MUSTAHIL dapat dibayar lagi. Namun desakan kapitalis menyebabkan negara yang berhutang masih memberi pinjaman kepada negara yang berhutang juga dengan mereka sendiri. Hancur ekonomi Kapitalis akibat kerakusan manusia merebut harta dunia.

Malaysia pastinya terkena tempias ini lantaran Malaysia turut dijajah oleh ekonomi Kapitalis. Pemimpin yang bercakap soal ekonomi negara kita di tahap yang terbaik adalah pemimpin yang menganggap semua rakyat BODOH macam dia juga kerana tak tahu berfikir.

Dan antara perkara atau RESOLUSI yang mungkin akan diketengahkan oleh Mahasiswa UKM dalam menyelesaikan kemelut ini ialah:

  1. Menerapkan sistem Ekonomi Islam bagi menggantikan sistem Ekonomi Kapitalis yang sedang di imani oleh semua negara di dunia ini. Menerapkan sistem zakat, Mudarabah dan berbagai lagi tanpa sebarang prejudis lain secara sistematik.
  2. Mendesak NGO dan badan bertanggungjawab supaya mengambil bahagian secara AKTIF dalam menasihati kerajaan dalam setiap dasar yang diluluskan seperti JAKIM, JIM, GAMIS, ABIM dan sebagainya.
  3. Individu berpengaruh yang tiada kepentingan politik semasa di atas namanya sepatutnya bersuara menuntut kerajaan membuat revolusi terhadap sistem ekonomi negara seperti Mufti, Panel Syariah Bank-Bank Malaysia dan sebagainya.
  4. Menuntut agar GAJI di Malaysia dinaikkan. Dengan menggunakan analogi bahawa kenaikan gaji maka perjalanan dan aliran keluar masuk duit negara makin bercambah kerana kuasa pembelian makin bertambah. Dan mampu menyelesaikan masalah TERDESAK dalam kalangan masyarakat sehinggakan mereka mengambil JUDI sebagai alternatif. Contohnya, sebuah keluarga memerlukan RM 3200 sebulan untuk menjalani kehidupan tetapi pendapatan keluarga hanya mencecah RM500 sahaja. Maka kita sendiri boleh bayangkan betapa TERDESAK nya keadaan mereka ini.
Dari cadangan ini, maka timbul cadangan supaya kerajaan adakan kempen satu keluarga mesti mempunyai satu perniagaan. Tak kira samada perniagaan kecil atau besar, itu bergantung kepada keperluan mereka dan modal yang mereka ada.

Kerana dari sini, kesannya kita dapat lihat ialah galakan untuk melabur makin berkembang dan secara tak langsung kewangan mula membiak. Ini merupakan cadangan hasil dari pepatah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Maka kerajaan perlu memikirkan bagaimanakah cara terbaik dalam membantu soal modal dan sebagainya.

Kerajaan sepatutnya mengembalikan semula peruntukan kepada pendidikan yang dipotong sejak tahun ini dan menggunakan sebaiknya peruntukan itu untuk membina dan mengasuh para remaja menjadi INSAN.

Memprogramkan satu bentuk pentarbiahan sejak kecil lagi dan menyemai nilai moral kepada generasi mendatang secara sistematik, adil, telus, amanah dan penuh rasa patriotik. Membentuk manusia menjadi INSAN dan itulah benteng mereka berdepan dengan dunia realiti.

Dan banyak lagi komentar lain yang saya tak sempat salin dan catatkan kerana cuba memberi tumpuan ketika orang lain membahaskan idea mereka. Apa pun segala yang tertinggal di sini harap di maafkan kerana kelemahan mencatat tadi.

Begitulah perbincangan tadi yang begitu SEGAR dan MANTAP dan akhirnya setelah 2 jam berdiskusi, Ustaz Fadhlan menutup diskusi tadi dengan beberapa kerat peringatan tentang tanggungjawab serta amanah kita terhadap agama kita dan terhadap masyarakat kita.

Tuesday, May 25, 2010

Go Home and Love Your Family

Analogi dan contoh yang diberi oleh Ustaz Hasrizal dalam membicarakan persoalan pengurusan keluarga ternyata amat realistik dengan situasi dan kondisi masyarakat masa kini.

Walaupun saya masih belum berkahwin, tapi saya dapat rasakan betapa kahwin itu bukanlah sesuatu yang boleh kita persenda di mulut kita sahaja. Kerana term itu menentukan letak duduk kita di AKHIRAT kelak.

Selamat menonton.



Kata Mother Teresa,

“Go HOME and LOVE your family.”

Teruja bila mendengar Ustaz Hasrizal memberi pandangan.

Bernas.

Apa pun, sebenarnya Rasulullah telah pun menunjukkan contoh teladan yang baik cuma berbalik pada diri kita yang begitu malas mengkaji sirah kehidupan Baginda SAW.

Moga video ini bermanfaat buat kita semua. Harus kita sedar bahawa RUMAH adalah GURU terbaik sekolah dan lain-lain hanyalah supplement sahaja.

Kita adalah ciptaan terbaik kerana dianugerahkan akal untuk berfikir. Bukan itu sahaja, malah ALLAH turut mengurniakan sifat KASIH-SAYANG kepada kita semua sebagai nikmat-Nya yang tak terperi takjubnya.

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka dipenuhi meskipun terpaksa bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan hitam dan penjenayah dan sanggup menjadi bodoh pabila mereka menjadi penentang kepada kumpulan yang cuba menegakkan keadilan.

Dalam komik Jejak Wira, Sekolah Wusyu Naga dan Harimau yang terdiri daripada anak-anak muda yang berjiwa besar dan tulus ikhlas seperti Tiger Wong, Wong Siu Long, Dragon Long, Eagle Wong, Waja Batu dan Wei Tuo berjuang bermati-matian melawan para penjahat daripada kumpulan hitam terbesar di Jepun iaitu Kultus Raksasa, sebuah kumpulan yang mempunyai banyak jaringan gelap dengan semua ahli parlimen dan penguasa Jepun dan mempunyai ribuan pengikut yang menjalankan aktiviti utama mereka, perdagangan dadah antarabangsa dan sindiket pelacuran.

Aktiviti pengedaran dadah dan pelacuran dalam kalangan masyarakat sendiri menjadi sumber utama pendapatan mereka. Diketuai oleh Dewata Awam Berapi yang mempunyai kekuatan yang tidak terduga, maka setiap operasi yang dilancarkan oleh kumpulan anak-anak muda yang cintakan keadilan dan keamanan sentiasa mendapat kesulitan. Dewata Awam Berapi bukan sekadar mahu menghapuskan Sekolah Wusyu Naga dan Harimau malah dia mahu membunuh kesemua anak-anak muda itu.


Kultus Raksasa dibantu oleh politikus-politikus yang tamak dan cuba mengambil kekayaan dengan sekelip mata. Tanpa menghiraukan nasib anak bangsa, mereka dengan tanpa rasa malu sanggup membelakangi kehendak dan kemahuan rakyat Jepun supaya negara mereka aman dan bebas dari jenayah.

Kebangkitan anak-anak muda ini mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuklah Kuil Tosho yang amat dihormati oleh semua pihak termasuklah Kultus Raksasa, pihak polis yang cintakan keadilan seperti Inspektor Tani Jiro, sekolah-sekolah wusyu lain, masyarakat setempat dan beberapa jaguh terbilang seperti Hong Dong.

Semalam saya membaca jilid terakhir untuk minggu ini yang mengisahkan bagaimana Dewata Awam Berapi mula gelisah bilamana seorang pengikutnya membunuh seorang Ketua Penyiasat Jepun dan menyebabkan Kultus Raksasa berkemungkinan diharamkan


Dari situ banyaklah tekanan dari politikus yang jahat yang mengambil pelindungan daripada Kultus Raksasa bimbang akan kepentingan mereka terjejas dan kejahatan mereka akan terdedah. Bukan mereka sahaja, malah Tenno Jepun yang amat dihormati itu turut terlibat dalam perniagaan dadah dan pelacuran dengan Kultus Raksasa ini.

Kegagalan pihak berkuasa dalam mempertahankan INTEGRITI mereka menyebabkan mereka begitu mudah dibeli oleh duit untuk merosakkan masyarakat.

Merekalah sebenarnya yang menyebabkan negara hancur.

Mereka sanggup memperjudikan nasib negara dan bangsa demi kepentingan nafsu mereka. Para pemimpin negara sanggup meluluskan apa sahaja permintaan mereka asalkan kehendak mereka dipenuhi.

Dalam komik ini, hampir semua negara yang terlibat memperlihatkan betapa penguasa dan pemimpin negara mereka amat rendah akhlaknya. Mereka di catur dengan wang ringgit demi mendapatkan kuasa.


Di Thailand, Perdana Menteri Thailand sendiri mempunyai hubung kait yang rapat dengan kumpulan hitam di sana iaitu Kultus Angkasa dan di Korea Selatan, pemimpin mereka amat bergantung pada kumpulan hitam seperti Kumpulan Ginseng dan Kultus Teratai Putih.

Dan begitu juga halnya dengan Jepun dan China – nasib baik Tony Wong tak kaitkan Malaysia.

Sebenarnya apa yang cuba disampaikan oleh Tony Wong ini benar-benar terjadi di dunia realiti. Itulah politik dunia sekarang.

Saya mengakui bahawa karya Tony Wong ini adalah bertujuan memberi mesej kepada para pembaca bahawa istilah AMANAH dan JUJUR langsung tak wujud dalam dunia politik sekarang.

Mereka berkuasa kerana duit.

Mereka membeli sokongan dengan duit.

Mereka menjatuhkan seseorang juga menggunakan duit dan duit adalah tuhan mereka.

Mereka berlindung di sebalik kata-kata dan janji manis ketika pilihan raya.

Mereka cipta manifesto yang melambangkan keprihatinan mereka dengan masalah rakyat namun semua itu hanyalah kulit yang membalut segala jenis kejahatan yang mereka lakukan.

Merekalah PENGKHIANAT NEGARA yang sebenar. Sudah nyata mesej yang ingin disampaikan oleh Tony Wong melalui karyanya itu jelas terpampang. Inilah sindiran penulis terhadap mereka yang terlibat. Saya tidak nafikan hal semacam inilah yang sedang melanda negara yang tercinta ini.

Duit dan kepentingan diri mengatasi segalanya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja biarpun membodohkan rakyat sendiri demi kekal berkuasa.

Untung para karyawan seperti Tony Wong kerana mempunyai peluang menyampaikan mesejnya berkenaan KEADILAN dan AMANAH dalam berpolitik melalui karyanya yang menjadi minat orang ramai itu. Saya kira bukan dia seorang mempunyai misi sebegitu, malah hampir semua karyawan mempunyai misi tersendiri dalam menghasilkan karya mereka. Mereka secara sinis menyindir dan menempelak golongan penguasa yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan hawa nafsu mereka.

Saya ternanti-nanti apakah yang akan berlaku seterusnya kepada watak-watak utama komik ini yang begitu gigih memperjuangkan KEADILAN dalam masyarakat.

Apakah anak-anak muda ini akan berjaya melepasi segala onak ranjau dalam perjuangan mereka ini dan adakah KEJAHATAN dan KEZALIMAN yang berleluasa itu akan terhapus selama-lamanya.

Kadang kala saya sendiri jadi tidak keruan bila membaca komik ini. Meskipun hanya sebuah komik rekaan semata-mata, namun bilamana membandingkan dengan dunia realiti maka itulah gambarannya.

Oh tuhan, apakah nasib kami generasi mendatang akan terus kekal hidup merdeka jika begini sifatnya kepimpinan negara masa kini?

Renung-renungkan wahai sahabat-sahabat ku.

Adakah kita mahu hal ini berterusan sedangkan ALLAH memberi peluang kepada kita untuk berfikir dengan akal yang cukup sihat dan hebat?

Adakah kita sudah berpuas hati dengan hal berlaku kini tanpa memikirkan dan mengendahkan nasib negara dan agama pada masa akan datang jika kita gagal melakukan perubahan pada masa sekarang?

Meskipun ini hanyalah plot-plot dalam sebuah komik, namun ini tak bermakna ia tak perlu kita fikirkan sama sekali.

Saya berimaginasi jikalau Noli Me Tángere karya José Rizal mampu membangkitkan kesedaran dalam masyarakat tentang peri pentingnya bangkit menentang kezaliman penjajah, maka apakah mustahil karya-karya sebegini mampu menaikkan semangat kesedaran dalam kalangan anak muda yang cintakan KEADILAN dan KEAMAN untuk bangkit menghukum para penguasa yang gila sekarang ini?

Masing-masing mempunyai jawapan tersendiri.

Berani kah kita menafikan betapa revolusi yang berlaku di dunia ini dan membentuk tamadun manusia yang baru adalah hasil titik peluh dan jerit perih ANAK-ANAK MUDA yang cintakan PERUBAHAN?

Marilah kawan mari kita kobarkan, sebuah perjalanan JIWA yang sedar.

Marilah kawan mari kita kobarkan, di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa.

Marilah kawan mari kita bangkitkan, suatu KEBANGKITAN perubahan.

Marilah kawan mari kita nyanyikan, sebuah lagu tentang PEMBEBASAN tanpa PENDUSTAAN.

Sesungguhnya tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri.

Kasih Seorang Abang Terhadap Adiknya


Gambar ini dihantar melalui e-mel oleh seorang rakan saya. Dia mengirim gambar ini tanpa mengungkapkan apa-apa kata di bawahnya. Melihat gambar ini, saya faham kenapa dia tidak mampu menulis perasaannya ketika itu. Saya yakin, semua yang melihat akan berkongsi rasa yang sama. Speechless.

Lalu cuba berkongsi kesedihan nya dengan orang lain. Moga gambar ini memberi cetusan rasa SEDAR dalam diri kita yang masih lagi bertuah.

Tenung lah, selami lah gambar ini. Di tengah-tengah masyarakat bergaduh soal kalimah ALLAH, gereja, mufti, harga barang dan sebagainya, nasib mereka ini – underprivileged langsung tiada siapa berani membelanya. Ke manakah hilangnya kemanusiaan kita?

Kasihnya dia pada adiknya yang masih kecil. Meskipun dia sendiri tak pasti apakah dia mampu menyara dirinya sendiri. Alangkah indahnya sifat KASIH-SAYANG yang dikurniakan oleh ALLAH kepada kita yang bergelar manusia di bumi ini.

Alangkah sempurnanya ciptaan yang Maha Esa yang meletakkan KASIH-SAYANG sebagai sifat kejadian kita.

Dialah BAPA, dialah IBU, dialah ABANG buat si kecil yang berada dalam pelukannya itu. Inilah lambang kasih sayang dan kemanusiaan.

Bayangkan jika kita berada di tempat si abang itu. Apakah kita sanggup menjadi sepertinya?

Moga ALLAH menyelamatkan insan yang berada dalam gambar di atas. Sungguh, saya sendiri menitis air mata ketika menerima email ini.

Sunday, May 23, 2010

Kafir Gelap vs Kafir Terang

Sejak dari kecil lagi, seringkali aku dengar ayah ku memberitahu ku bahawa di dunia ini terdapat 2 golongan manusia iaitu kafir GELAP dan kafir TERANG. Apakah itu semua ayah?

Ayah ku menerangkan kepada ku,
“Din, kafir TERANG itu ialah orang kafir yang benar-benar menyatakan kekafiran mereka tanpa berselindung seperti Buddha, Hindu dan sebagainya tetapi kafir GELAP pula ialah orang KAFIR yang mengaku ISLAM. Mereka berpura-pura hidup dengan amalan ISLAM dengan mengambil sedikit sahaja daripada inti pati ISLAM itu sendiri dan meninggalkan sebahagian besar yang lain. Mereka ini yang bahaya, kita mestilah sentiasa berwaspada dengan golongan sebegini kerana ramai orang MELAYU kita bersifat begini. Mulutnya berbicara ISLAM namun hatinya tegar mengakui KEKUFURAN”
Masa dulu aku agak tidak dapat menerima kata-kata ayah ku ini kerana apa yang aku belajar di sekolah, kafir terbahagi kepada 5 iaitu kafir harbi, zimmi dan sebagainya. Dalam syllabus mana istilah semua ini wujud?

Namun bilamana umur ku meningkat barulah aku faham bahawa apa yang diperkatakan oleh ayah ku itu bukanlah melanggar apa yang ditetapkan oleh ulama Fiqh tapi hanyalah kiasan atau analogi kepada realiti umat Islam zaman sekarang yang semakin celaru identitinya.

ISLAM hanya di bibir dan itulah perkara yang patut kita takuti bimbang-bimbang kita termasuk dalam golongan sebegitu. Naʿuzubillah!

Kita memohon agar ALLAH menjauhkan diri kita daripada termasuk dalam golongan itu. Golongan ini amat licik dalam muamalat seharian mereka. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi rongga-rongga nafsu mereka biarpun jelas melanggar batas syariat

Tiba di hari raya, mereka umpama ISLAM yang sejati dengan sambutan yang begitu hebat atau tiba musim haji, merekalah mendahului senarai ke Tanah Suci dan bila tiba pada raya Korban, mereka terus dengan sifat murah hati mereka mengorbankan seberapa banyak lembu.

Sifat mereka kalau dinilai dari sudut itu ternyata merekalah umat ISLAM yang sejati namun bilamana mereka berurusan dengan bank, mereka lebih suka mengambil riba’. Mereka gagal mendidik isteri dan anak-anak mereka mengikut lunas-lunas ISLAM yang sebenar. Mereka rela membiarkan anak isteri mereka mendedahkan aurat sana sini dan menelanjangkan diri sana sini.

Dalam hal pentadbiran dan pengurusan, mereka terus digagalkan dengan rasuah dan penyelewengan. Hidup mereka dilingkari dengan hasad dengki, takbur, tamak dan penuh kebongkakan. Mereka lebih selesa mengamalkan bidaah berbanding beramal dengan ajaran ISLAM yang sebenar. Solat bukanlah menjadi KEPERLUAN bila rasa RINGAN dia solat tapi bila merasa BERAT maka solat bukanlah wajib bagi mereka.

Arak dan judi adalah lambang kemegahan mereka. Puasa dan zakat hanyalah “pilihan” buat mereka sebagai kulit bagi mencantikkan pandangan orang lain terhadap mereka. Dan inilah sebahagian sifat mereka yang bergelar KAFIR GELAP tanpa mereka sedari

Mereka terus menyangka bahawa mereka ISLAM namun mereka buta dalam menilai sesuatu mengikut fitrah nya. Kerana itulah kita sering dikalahkan kerana kita hanyalah ILUSI. ILUSI akan dikalahkan oleh REALITI. Ini sunnatullah. Kita mengaku bahawa kita adalah MUKMIN namun bilamana kita menyelak lembaran al-Quran, ternyata sifat dan sikap sebagai orang BERIMAN sepertimana digambarkan oleh ALLAH dalam al-Quran langsung tidak menepati dengan diri kita.

Maka ini bermakna kita sedang bermimpi sebagai orang Islam. Kita berilusi, berangan-angan.

Syeikh Abu Hassan Ali an-Nadwi dalam kitabnya Ila al-Islam Min Jadeed iaitu Kembali Semula Kepada Islam di bawah tajuk Antara Ilusi dan Realiti menulis satu analogi yang cukup berkesan untuk menggambarkan sunnatullah ini.

Syeikh menggambarkan seorang pemimpin yang hebat semasa hidupnya yang amat ditakuti kawan dan lawan membina sebuah patung dirinya yang benar-benar menyerupai dirinya termasuklah wajahnya. Patung besi itu diletakkan di tengah-tengah kota bagi semua orang mengingati akan dirinya.

Suatu hari seekor burung kecil hinggap seketika di atas kepala patung tersebut lalu berak di atas hidung patung itu. Namun patung tersebut tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang kejadian yang mengaibkan itu meskipun di bawah kakinya tercatat nama pemimpin agung tersebut yang begitu ditakuti oleh kawan dan lawan semasa hidupnya.

Kenapa itu boleh terjadi?

Bukankah dia adalah seorang yang begitu hebat?

Kenapakah dia begitu mudah dimalukan oleh seekor burung kecil?

Oleh itu sedarlah wahai sahabat-sahabat ku, sesungguhnya patung itu adalah ilusi semata meskipun tercatat padanya nama pemimpin agung tersebut. Pemimpin itu hanyalah ilusi berbanding seekor burung kecil yang realiti. Yang benar-benar wujud, makanya REALITI pasti akan mengalahkan ILUSI…

Ini sunnatullah.

Kafir GELAP ini adalah Muslim yang ILUSI semata. Mereka tidak berpijak pada bumi yang nyata. Ciri-ciri mukmin yang REALITI yang digambarkan oleh ALLAH dalam al-Quran sama sekali tidak menyerupai golongan ini meskipun mulut mereka sibuk berzikir mengatakan mereka sebagai MUSLIM. Oleh sebab itulah maka kita sering dikalahkan oleh REALITI.

Kita membicarakan seorang YAHUDI yang benar-benar YAHUDI nya. Yahudi REALITI sebagaimana sifatnya yang ALLAH gambarkan dalam al-Quran.

Dan kita berdepan juga dengan NASRANI iaitu Kristian yang benar-benar Kristiannya. Maka mereka adalah KRISTIAN yang REALITI bukan ILUSI.

Bilamana kita berdepan dengan mereka, umpama berdepan antara ILUSI dan REALITI maka kekalahan akan sentiasa berpihak pada kita. Mereka dididik dan diasuh untuk menjadi penganut yang REALITI bukan hanya sekadar ILUSI di bibir mulut sahaja. Sebab itulah kita sering gagal dalam apa jua masalah yang dihadapi.

Ghauzatul-fiqri yang dilancarkan oleh puak-puak REALITI ini menjadi senjata yang cukup ampuh untuk melumpuhkan umat ISLAM zaman kini. Cukup sekadar memetik beberapa button pada keyboard, kita sudah dibawa jauh belayar dari SYURGA menuju ke NERAKA. Begitu hebat!

Kerana mereka sedar kita hanyalah ILUSI bukan the REAL MUSLIM. Islam kita hanya di bibir bukan pada amalan dan penghayatan. Sebenarnya inilah golongan yang kita amat takuti sekarang kerana kita mudah tertipu dengan mereka.

Ayah ku berkata lagi, golongan sebegini adalah jauh lebih berbahaya berbanding kafir yang terang-terang menunjukkan KEKAFIRAN mereka. As-Syahratani dalam kitabnya, aL-Milal wal Nihal berkata bahawa perkara yang berlaku pada zaman dahulu akan berlaku pada zaman muta’akhirin ini.

Puncanya sama iaitu golongan yang berpura-pura ISLAM sentiasa menjadi gunting dalam lipatan kepada umat ISLAM.

Mereka sentiasa mengintai peluang dan ruang bagi memesongkan fahaman orang ISLAM daripada ajaran yang sebenar. Golongan sebegini mampu mencetuskan pertarungan hebat antara golongan yang menyeleweng dan golongan yang tetap berpegang teguh dengan ajaran ISLAM.

Berbalik pada cerita asal tadi berkenaan kafir GELAP dan kafir CERAH, kita cuba hayati sebuah hadith Rasulullah SAW berkenaan keadaan umat ISLAM pada akhir zaman, Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata:
Telah bersabda Rasulullah SAW: ”Sudah hampir sampai satu masa di mana tidak tinggal lagi daripada ISLAM itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong(naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu kembali” 
(Riwayat Baihaqi)
Keterangan hadis, kalau kita perhatikan dunia ISLAM pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah ulama su’ iaitu ULAMA JAHAT yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari semasa ke semasa.

Benar, ISLAM kita hanya pada kulit dan iman kita sehelai kulit bawang. Walaupun kita ramai umpama buih di lautan, namun kita hanyalah ilusi semata. Kita tak mampu untuk membela diri kita sendiri apatah lagi membela dan memperjuangkan agama kita ini. Kelahiran para ulama jahat ini makin memeningkan kita umat ISLAM.

Mereka senyap bilamana berdepan kemungkaran.

Mereka rela memilih kepentingan peribadi berbanding memikirkan masalah umat.

Sungguh, benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah. Itulah REALITI kita umat ISLAM zaman sekarang. Kita pantang diuji maka kita terus rebah tak berbalas. Kita sering mengimpikan SYURGA namun kita gagal melunaskan bayarannya dengan sebaiknya.

Oleh itu, aku menyeru pada diriku sendiri dan sahabat-sahabat semua agar kita MUHASABAH kembali akan nasib IMAN kita yang kita sering tayangkan konon-konon kitalah penghuni Firdaus itu.

Adakah ia benar-benar REALITI bukan ILUSI semata.

Adakah ia benar-benar TERANG untuk mengalahkan KEGELAPAN kekufuran yang ada pada hati kita.

Maka sama-samalah kita bermuhasabah, jadilah MUKMIN yang REALITI.

Berusahalah, bermujahadah la, bermuhasabah lah….

Janganlah kita membiarkan diri kita termasuk dalam golongan KAFIR GELAP tanpa kita sedari. Sesungguhnya hidayah itu milik ALLAH, maka wajiblah kita memohon daripada-Nya. Sesungguhnya peringatan itu berguna untuk orang-orang Mukmin. Aku memperingati diriku sendiri dan sahabat-sahabat agar kita sentiasa berjaga-jaga.

Rujukan:
  1. Fahaman & Ideologi Umat Islam karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
  2. 40 Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman karya Abi Ali Al-Banjari An-Nadwi

Sunday, May 16, 2010

Terima Kasih Cikgu Wan!

Sebentar tadi cikgu saya yang dikasihi di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (SBPIBR), Cikgu Wan Mahmud yang aku pernah ceritakan dalam artikel sebelum ini menghantar mesej kepada aku berupa kata-kata nasihat,

“Mencari intelek Muslim bertakwa di dunia sekarang ibarat mencari gagak putih di tengah gagak hitam. Pastikan kita generasi yang meredah jalan-jalan perjuangan menuju destinasi iaitu KEREDHAAN ALLAH.”

Ringkas namun cukup terkesan kerana itulah rencam utama sebagai MAHASISWA ISLAM. Sama-sama kita fikirkan.

Terima kasih, cikgu…

Ekspedisi Sungai Gabai: Alam Guru Kami

Alhamdulillah, tidak tergambar kegembiraan aku kerana Ekspedisi Sungai Gabai yang aku pernah war-warkan sebelum ini berjalan dengan lancar tadi. Bermula dari pagi, ekspedisi itu telah mendidik aku sendiri dalam beberapa perkara tanpa aku sedari.

Ya, tarbiah RABBANI itu tidak mengira waktu dan tempat. Kadang kala ia amat menuntut kepada kesabaran yang tinggi. Namun keseronokan berekspedisi telah menutup segala rongga emosi akibat berlakunya “peristiwa” di luar jangkaan.

Apa pun biarlah gambar-gambar ini berbicara.

Malam Sebelum Program



Program di Sungai Gabai








Ekspedisi ini mendidik aku untuk sedar betapa kuasa pengaruh itu penting. Yes, politik dalam persahabatan.

Turut mengajar erti kerjasama dan kemanisan bersahabat. Berlainan ideologi dan latar belakang pemikiran bukanlah menjadi penghalang segalanya.

Panjat 300 anak tangga, bukan setakat jantung tapi limpa aku pun nak pecah. Huhu, kena pikul naik air mineral satu kotak. Berat betul!

Berenang di tempat yang paling dalam, terpaksa bergayut tepi batu kerana tersangat dalam sehingga kaki kami sendiri tak cecah dasar sungai.

Buat time weekend, jadi terpaksalah berebut-rebut dengan orang lain. Nasib baik kami hampir 20 orang so bolehlah mengalahkan crowd yang sedikit bilangannya untuk kuasai port-port menarik.

Apa pun, alam adalah GURU buat mereka yang beriman,

“Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat Nya (tanda-tanda kebesaran Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan Nya).Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa.” 
Yunus: 5-6

Mohon agar ALLAH mengampuni segala kekurangan dan kelemahan yang berlaku ketika mengendalikan program dan berharap kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang melampaui batas.

Bingkisan Buat Cikgu Wan Mahmud

Sebentar tadi saya menelefon Cikgu Wan Mahmud, bekas guru Fizik saya untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada dia. Lama sungguh tak bersua muka dengan Cikgu Wan. Berbicara dan bergurau dengan cikgu adalah satu perkara yang tak dapat dilupakan. Semoga rahmat ALLAH sentiasa melingkari hidup cikgu selama-lamanya.

Tadi Cikgu Wan sempat bertanyakan ehwal diri saya semenjak masuk ke UKM. Ternyata sikap prihatin cikgu sentiasa sebati dengan perwatakan cikgu. Menceritakan pengalamannya ketika belajar di UKM dulu membuatkan saya terasa begitu rapat dengan cikgu kerana cikgulah insan pertama yang mengenalkan saya dengan dunia pentarbiahan.

Mengenalkan saya kepada buku “Apa Ertinya Aku Menganut Islam” sebagai syllabus usrah di sekolah dulu. Sekolah kami dulu – alma mater, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit merupakan tempat pertama yang membawa saya ke dalam dunia usrah, meskipun sebelum ini ayah saya sering bawa dalam usrah bersama rakan-rakannya. Tetapi sebelum ini tidak pernah saya serius atau dengan kata lain, menelaah dan meneladani benar-benar syllabus usrah tersebut.

Langsung tak terfikir keterlibatan saya dalam dunia ini sebelum aku mengenal susuk tubuh yang bernama Cikgu Wan Mahmud. Alhamdulillah, meskipun berjauhan dengan anak muridnya ini, cikgu masih bertanyakan tentang keadaan anak murid dia di sini.

Malah bertanyakan saya adakah aku mengikuti apa-apa usrah di UKM ini.. Alhamdulillah saya akan cuba menghidupkan amalan ini sedaya upaya moga-moga ALLAH memberi balasan setimpal kepada cikgu.

Kami pelajar Sains Mekanikal masih lagi teringat akan telatah kami ketika Cikgu Wan masuk mengajar Fizik dulu, ketika memulakan kelas. Walaupun kadang-kala kami gagal menyiapkan kerja sekolah dengan sempurna, namun perkataan marah seakan tidak timbul pada kelibat cikgu.

Kami amat-amat menghormati susuk bukan hanya kerana cikgu mengajar kami Fizik, tapi kami menghormati cikgu kerana personaliti cikgu berbeza dengan cikgu-cikgu yang lain. Kami tidak pernah kering gusi dalam kelas meskipun Fizik antara subjek yang sukar, namun dedikasi mu kepada kami tidak pernah padam dalam mendidik kami.

Moga ALLAH melimpahkan keampunan buat cikgu…

Tadi Cikgu Wan bertanyakan aku adakah aku kenal Dr. Kayu. Sebenarnya saya baru berjumpa Dr. Kayu tempoh hari. Rupa-rupanya Dr. Kayu berbesan dengan Cikgu Wan. Dulu mereka kawan rapat ketika belajar di UKM, kini mereka menyatukan anak mereka berdua pula.

Dulu ketika di UKM, Cikgu Wan menceritakan akan kehidupan dia di KAMSIS D yang kini saya pula tinggal di tempat yang sama. Sekarang KAMSIS D sudah dijenamakan dengan nama tokoh iaitu Kolej Kediaman Dr. Burhanuddin Helmi. Hati berseri, seolah antara kami ada persamaan. Moga saya berupaya mengikuti jejak langkah guru yang mulia ini.

Moga ukhuwah ini terus subur dan mekar.

Sambutan Hari Guru pada hari ini sudah tentu memberi makna yang besar buat Cikgu Wan. Saya cukup yakin kerana cikgu sudah mencurahkan bakti dalam mendidik anak bangsa dalam tempoh masa yang begitu lama sejak dulu lagi. Bayangkan berapa banyak keringat yang dicurahkan untuk memastikan anak bangsanya berjaya dunia dan akhirat.

Cikgu Wan tidak pernah kenal erti jemu mendidik kami. Bukan sahaja mendidik kami untuk menjadi manusia yang berguna pada diri sendiri dan keluarga, malah mendidik kami supaya menjadi manusia yang berguna pada agama ini.

Terima kasih Cikgu Wan!

Moga keredaan ALLAH sentiasa menemani cikgu setiap masa dan ketika….

Ya ALLAH, kau berilah kekuatan pada cikgu ku ini untuk dia terus menaburkan baktinya pada kami semua. Kau berilah kedudukan yang mulia di sisi engkau ya ALLAH di akhirat kelak. Cucur lah keampunan-Mu kepada cikgu ku ini setiap masa dan ketika.

Selamat Hari Guru buat Cikgu Wan Mahmud. Jasa baik mu akan dikenang selama-lamanya!

Anak muridmu yang nakal,
Bandar Baru Bangi

Saturday, May 15, 2010

Kenapa Malaysia Gagal Dalam Piala Thomas 2010?

Malaysia gagal memenuhi harapan 1Malaysia apabila kalah di separuh akhir Piala Thomas 2010 petang tadi. Apa pun saya sebagai penyokong dari jauh tak nak menyalahkan sesiapa kerana saya cukup yakin pemain-pemain telah cuba yang terbaik. Logiknya kalau saya yang main pun, mesti saya nak menang juga.

Sudah tentu para pemain pun tidak mahu kalah. Jadi tak timbul soal mereka tak bersemangat atau apa-apa lagi kerana apa yang saya tengok banyak komen mengatakan pemain itu dan ini. Cukup setakat itu.

Saya cuma ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk melihat kekalahan ini dari satu sudut perspektif yang lain yakni kita menilai dari segi kekuatan kuasa BERKAT dalam kejohanan itu.

Saya bukan nak hukum sesiapa cuma sekadar pandang sisi saya tentang kekalahan ini sahaja. Beberapa kali saya dengan beberapa rakan berbincang mengenai nasib Malaysia sebagai tuan rumah yang begitu lemah kuasa dan pengaruhnya.

Tidak mampu menunjukkan dan memberi peluang kepada ISLAM untuk menonjolkan nilai mereka dalam permainan itu serta membiarkan orang luar memberi penghormatan pada ISLAM sebagai agama rasmi negara ini.

Pandang sisi saya yang sempit ini berkisar mengenai jadual perlawanan Piala Thomas sendiri yang begitu mencerminkan bahawa Malaysia gagal memainkan peranannya sebagai tuan rumah yang proaktif dalam memastikan orang luar menghormati ISLAM sebagai cara hidup masyarakat di sini.

Perhatikan semua jadual perlawanan disusun antara 6 petang sehingga 9 malam secara kasar. Secara jelas memberi gambaran betapa pemain, staff jurulatih dan penonton terpaksa “mengorbankan” solat Maghrib mereka.

Ini secara rambang saya boleh mengata begitu. Setuju tak pada telahan ini?

Maka di sini timbul persoalan kenapa Malaysia sebagai tuan rumah gagal memainkan peranannya supaya hal ini tidak berlaku.

Logiknya, masa Maghrib yang berlalu begitu singkat dan kemudahan surau di stadium begitu terhad untuk menampung bilangan ribuan penonton yang memberi sokongan. Saya tak menuduh mereka semua ponteng sembahyang tapi saya tekankan ialah pasti Maghrib itu menjadi optional buat mereka.

Pemain serta jurulatih terpaksa menghabiskan waktu di gelanggang demi memastikan sebuah kemenangan. Jikalau perlawanan yang bermula pada pukul 7:15 pm dan berlarutan sehingga satu jam lebih dan tambah pula dengan layanan untuk media serta sebagainya, sudah pasti Maghrib akan terus terlucut begitu sahaja.

Maka persoalan di sini ialah kita gagal menilai faktor BERKAT dalam analisis kekuatan kita. Siapa yang berani mempertikaikan ketokohan Misbun Sidek sebagai jurulatih atau Lee Chong Wei sebagai pemain?

Tapi faktor BERKAT itu mempersoalkan kita semua.

Tidak memadai kita menganalisis kenapa berlakunya kekalahan dengan hanya menumpukan pada aspek teknikal dan taktikal sahaja sedangkan aspek dalaman tidak di ambil kira. Malang untuk kita yang beragama Islam jika terus menerus dalam kebodohan ini.

Saranan DS Najib Razak supaya diadakan siasatan menyeluruh kenapa boleh berlakunya kekalahan ini harus disambut dengan baik namun jika siasatan ini sekadar melibatkan perkara “luar” maka bagi saya ianya sia-sia.

Kembali kepada fitrah kita sebagai HAMBA, tuhan dengan cantiknya memberi panduan kepada kita dengan begitu lengkap sekali melalui al-Quran dan Sunnah nabi-Nya. Kenapa perlu dilupakan aspek ini?

Saya kasihan melihat beberapa kawan yang jiwanya patriotik, sayangkan negara, cuba memberi sokongan pada pasukan negara meskipun dari jarak yang jauh terpaksa melupakan hasrat berjemaah di masjid semata-mata untuk memberi sokongan secara maya di depan televisyen. Berbaloi kah?

Apakah itu menjanjikan syurga untuk kita?

Saya menggunakan perkataan KASIHAN kerana memikirkan peluang untuk menonton pasukan kebangsaan bermain dalam pertandingan yang hebat di tempat sendiri adalah begitu jarang untuk dinikmati.

“Biarlah mereka… Bukannya selalu ada tournament begini di Malaysia…” hati kecil saya cuba berbaik sangka.

Namun di sinilah pedihnya mula merebak. Kenapa kita GAGAL mengawal keadaaan ini sedangkan kita TUAN RUMAH. Pemilik tempat kejohanan. Kita berkuasa penuh. Sepatutnya inilah peluang untuk kita membuktikan bahawa KITA SENDIRI MENGHORMATI HAK AGAMA KITA. Kenapa waktu itu di pilih?

Sehingga saya sendiri kecewa untuk menonton secara live. Memikirkan tugas berjemaah di masjid itu jauh lebih penting dari duduk melanguk di depan TV.

Saya tak salahkan sahabat-sahabat yang TERPAKSA korbankan maghrib secara berjemaah atau maghrib di awal waktu demi pasukan negara, namun saya suka MEMPERSALAHKAN mereka yang GAGAL dalam menyusun jadual perlawanan itu.

Apa salahnya jika perlawanan dimulakan selepas Isyak?

Bukankah lagi cantik aturannya?

Saya pasti penonton mesti lebih ramai dari biasa.

Kerana inilah saya membuat kesimpulan betapa KEKALAHAN ini adalah BAHASA ALLAH kepada kita supaya kita yang mengaku HAMBA-NYA pandai menghormati hak agama sendiri. ALLAH sentiasa memberi kepada kita PELUANG dan PILIHAN.

Bijaksana lah dalam memanfaatkan PELUANG dan membuat PILIHAN agar PELUANG dan PILIHAN itu tidak menjadi asbab kepada kemurkaan-Nya.

Cuba persoalkan diri kita kenapa ALLAH mengurniakan kekalahan ini di rumah sendiri bukan di tempat orang?

Sekadar nak memalukan kita di depan penonton sendiri?

Tiada motif sebegitu rupa. ALLAH menetapkan sesuatu dengan tujuan untuk kita berfikir. Kita begitu hebat beraksi di negara orang namun lemah longlai di depan peminat sendiri. ALLAH tidak pernah mempersia-siakan usaha hamba-Nya cuma kita gagal memahami BAHASA-NYA.

Itulah bahasa ALLAH kepada kita bahawa kita tidak mendapat BERKAT-NYA.

KEBERKATAN, satu istilah yang begitu besar pengertiannya. Seorang pelajar yang mungkin prestasi dalam kelasnya tidak begitu menyerlah namun kerana BERKAT ilmunya maka ALLAH memberi kesenangan dan kebahagiaan pada masa depannya. Sekadar analogi kepada pengertian BERKAT begitu juga dengan peristiwa ini.

Bukan prestasi, kecergasan, kehebatan, ranking, status, kepantasan, persepsi dan sebagainya yang menjadi penentu kepada kemenangan namun kebergantungan kita kepada ALLAH itu menjadi jawapan kepada segalanya.

Sejauh mana kita meletakkan ALLAH sebagai matlamat dalam apa jua keadaan dan kondisi. Jika faktor ini tidak diambil kira maka tidak hairanlah ALLAH menarik segala kekuatan kita untuk kemenangan piala ini.

Saya mengajak sahabat-sahabat untuk merenung sepotong ayat al-Quran,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada mu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada mu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu” 
Al-Baqarah: 120

Jadi, kebimbangan saya di sini ialah adakah ini merupakan salah satu AGENDA YAHUDI untuk menjauhkan umat Islam daripada agama Islam itu sendiri. Dengan menawarkan siaran langsung yang MENARIK ketika azan berkumandang yang akhirnya menyebabkan ramai umat Islam membuat keputusan untuk berjemaah di depan TV masing-masing berbanding menunaikan HAK AGAMA mereka di masjid atau surau-surau.

Adakah perancangan YAHUDI sudah berjaya?

Tepuk dada tanya IMAN.

Berdoalah memohon ALLAH melindungi kita dari termasuk dalam golongan yang lalai mengikut telunjuk Yahudi Laknatullah ini. Mereka akan terus menerus merancang untuk menjauhkan kita dari ajaran ini. Maka nasihat buat diriku dan sahabat-sahabat semua, BERHATI-HATILAH…

Tuntas nya biarpun sekadar bersukan, fikir-fikirkanlah HAK AGAMA kita yang wajib dipenuhi setiap masa dan ketika agar kita tidak menjadi hamba-Nya yang lalai. Saya memohon agar kerajaan atau pihak berwajib agar mengambil berat tentang hal ini.

Jika kita sebagai TUAN RUMAH, tunjukkan lah betapa kita berkuasa. Rebutlah peluang ini untuk mendapatkan penghormatan agama lain terhadap ISLAM yang kita cintai ini. Jangan sesekali kita menuruti jejak langkah syaitan dan Yahudi yang sentiasa memusuhi kita.

Berpandu lah pada al-Quran dan Sunnah setiap masa meskipun kita merasakan itu hanyalah sekadar badminton, namun perlu ingat bahawa kesemua yang berlaku ini adalah ketetapan ALLAH yang Maha Esa.

Oleh itu berhati-hatilah dalam membuat PILIHAN dan merebut PELUANG. Buatlah analisis yang benar-benar menyeluruh dan lengkap.

Saya sendiri kecewa kerana terlepas kesemua perlawanan badminton pasukan negara secara live termasuklah pada hari ini..

Ambil lah ini sebagai iktibar dan pengajaran kepada kita. Saya yakin kita KALAH bukan kerana pasukan kita LEMAH, tapi kita KALAH kerana kita hilang BERKAT-NYA.

Sama-sama kita renung-renungkan…