Sunday, February 28, 2010

Syurga Menantimu, Adik Syafiah Humaira!

Moga ALLAH memberi yang terbaik buat adik Syafiah Humaira. Pasti dan pasti syurga menantikan kehadiran mu wahai adik ku.

Malu untuk aku mengaku mereka yang melakukan ini sejantina dengan ku. Oh tuhan di manakah KEMANUSIAAN mereka. Jujur air mata ku menitis membaca perkhabaran ini lantas ingin sekali aku berkongsi dengan sahabat-sahabat betapa kita adalah insan yang dipilih ALLAH kerana masih berada dalam lingkungan IMAN dan ISLAM. Manis dan comel wajah adik ini membayangkan betapa sucinya dia dari dosa mereka yang durjana itu.

Syurga Menantimu, Adik Syafiah Humaira!

Aku bukan nak menghukum sesiapa tetapi inilah hakikat bila mana undang-undang dan syariat gagal dilaksanakan oleh mereka yang bertanggungjawab dalam negara ini.

Adik ku ini telah didera, dipukul, dipijak dan diseksa oleh manusia durjana itu teman lelaki kepada ibunya.

Masih mampu menipu petugas hospital, tempat yang dia hantar Syafiah Humairah setelah didapati badan si kecil ini sudah lumat tidak mampu lagi menanggung derita itu.

Dengan katanya si kecil ini kemalangan jalan raya. Namun petugas itu bijak bukan mudah diperbodohkan. Mana mungkin si kecil yang kemalangan begini jadinya?

Lalu dibuat laporan polis dan ALHAMDULILLAH lewat jam 3 pagi durjana itu berjaya ditangkap.

Hikmah ALLAH maha Agung. Dia mengambil nyawa adik ku ini supaya deritanya tidak terus berpanjangan selagi berada di bawah “kelolaan” durjana ini.

Apakah patut kita membiarkan durjana ini terus bebas?

Tidak sama sekali sahabat ku. WAJIB dihukum durjana ini biar dia tahu bahawa dia tidak bebas sewenang nya. Boleh baca kisah perbicaraan kes di sini, Dunia Itu.

26 Feb 2010 menjadi titik hitam buat keluarga adik ini. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini selain durjana itu?

Ibunya didapati bersekedudukan dengan durjana itu setelah bekas suaminya dimasukkan dalam penjara sehingga “bunting” 4 bulan malah anaknya sekecil 3 tahun menjadi mangsa durjana itu. Buta kah ibunya dalam menilai antara nafsu dan amanah?

Sahabat-sahabat, marilah kita sama-sama muhasabah kembali kenapa gerangan ini makin berleluasa dalam masyarakat kita. ISLAM itu tidak cukup sempurna kah?

Tidurlah engkau wahai adik ku Syafiah Humairah dengan lena. Tidurlah engkau dari mereka yang durjana itu. Tidurlah engkau dari sebarang penderitaan lagi. Sesungguhnya SYURGA menanti-nantikan kehadiran mu!

Muhammad SAW: Genius & Ideal (Bahagian 3)

Kisah cinta itu terus subur dan mekar. Dalam kegawatan jiwa menyaksikan kebobrokan masyarakat sekitar. Dan ingatlah ketika ALLAH SWT berfirman,
“Ya tuhan kami, utus lah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan hikmah serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” 
Surah al-Baqarah: 129
Insan GENIUS ini lantas menunjukkan kehebatan fikirannya lantaran petunjuk dari ALLAH dalam melayan kerenah manusia-manusia yang rendah moral di sekelilingnya. Tika usianya mencecah 35 tahun dan bah besar melanda Makkah lalu menghentam kuat dinding Kaabah yang sudah uzur dimamah usia itu. Kesannya hampir merobohkan struktur bangunan itu sendiri.

Tau pula mereka para musyrikin ini akan betapa kotornya mereka yang terlibat dengan riba, judi dan segala yang kotor itu. Ingatkan memang dah tak sedar diri pasal jahil tukil. Semuanya takut nak perbaiki Kaabah bimbang dosa yang mereka lakukan selama ini akan membuahkan BALA jika mereka cuba membangunkan rumah ALLAH itu dengan hasil mereka sendiri. Jadinya terpaksalah mereka mencari “golongan” manusia yang bersih sifatnya.

Namun bila mana al-Walid bin al-Mughirah al-Mukhzumi mula merobohkan sebahagian tembok Kaabah yang telah runtuh itu lalu disaksikan mereka bahawa tidak ada apa-apa bala menimpa, mereka terus merobohkan semua struktur yang lama itu sehingga yang tinggal hanyalah tapak asas yang dibina oleh kekasih ALLAH Ibrahim as. Baqum, seorang arkitek dari Rom telah ditugaskan menyelia kesemua proses pembinaan semula bangunan itu sehinggalah tiba saat untuk meletakkan kembali Hajar Aswad ke tempat asalnya. Mulalah para ketua kabilah ini sibuk mencanang diri sendiri agar menjadi The Selected One untuk meletakkan batu hitam itu di tempat asalnya.

Berkelahi, bergaduh, bertumbuk sudah menjadi adat “wajib” para musyrikin ini. Jadi tidak hairanlah perkara sekecil ini menjadi begitu kritikal untuk mereka.

Di tengah kekalutan ini Abu Umaiyah bin al-Mughirah al-Makhzumi telah mencadangkan agar sama-sama menerima cadangan penyelesaian dari seseorang yang paling awal tiba di pintu besar Masjidil Haram keesokan hari. Ditakdirkan ALLAH manusia al-Amin ini telah menjadi orang yang terawal tiba lalu mereka sepakat melantik insan GENIUS ini sebagai hakim.

Terserlah kebijaksanaannya. Dia terus mengambil sehelai kain lalu meminta otai-otai musyrikin itu memegang setiap penjuru kain dan baginda sendiri meletakkan batu itu di atas kain tersebut. Apabila sampai di tempat asal batu hitam itu baginda bertindak mengangkat sendiri batu hitam itu ke kedudukan asal. Semua manusia di situ menerima keputusan al-Amin dengan senang hati kerana itulah yang terbaik. THE MOST AND EVER GENIUS IS ONLY APPROPRIATE TO PUT ON HIS NAME AND WISDOM.

Tidak syak lagi ALLAH “memagar” kekasih-Nya ini dengan inayat dan rahmat sejak kelahiran lagi. Contoh pemikiran yang unggul dan jitu, dengan pandangan yang waras, kecerdikan dan kebijaksanaan tersendiri, ketepatan mencari jalan dan sasaran, di sulam dengan sifat pendiam yang panjang disokong dengan pengamatan dan keseriusan berfikir serta sentiasa berpihak kan kebenaran harus menjadi contoh dan sandaran kepada mereka yang bergelar ahli GERAKAN khususnya terutama dalam mengharungi term “tribulasi” masa kini.

Kita menyaksikan bagaimana baginda menyediakan platform yang kukuh sebelum menerima jawatan tertinggi dari ALLAH dalam masyarakat. Public relation atau hubungan sesama manusia antara baginda dan penduduk sekitar adalah yang terbaik. Meskipun baginda menolak sebarang bentuk khurafat namun itu tidak menghalang baginda untuk berinteraksi dengan penuh kewaspadaan dan basirah.

Tokoh termulia dalam kaumnya, elok perangai, tinggi sifat kejiranan, lapang kesabarannya, benar percakapan, lemah lembut pergaulan, bersih jiwa, murah pemberian, mulia pekerjaan, menepati janji, beramanah, bertanggungjawab dan AL-AMIN jawapannya.

Suri hatinya menukilkan,
“Seseorang yang sentiasa menanggung beban, membantu orang yang kesempitan, memberi makan kepada tetamu, menolong menegak kebenaran”
Mencecah umur 40 tahun, jurang pemikiran baginda dengan mereka yang berada di sekitarnya begitu jauh melangit. Kekusutan personaliti dan kehancuran akidah tidak dapat diperkatakan lagi. Maka “uzlah” telah menjadi metode kepada insan KAMIL ini untuk mengelak dari masyarakat yang tidak ada tunjang akidah lagi ini. Rupa-rupanya itulah “tamrin” yang disediakan khusus untuk diri yang mulia itu sebelum dianugerahkan amanah yang serba besar nanti. 3 tahun lamanya “tamrin” itu menjadikan baginda mampu menghayati dan berinteraksi dengan alam sekeliling.

Tepat umurnya 40 tahun lalu noktah kesempurnaan terbina dalam diri insan mulia ini. Turunnya Jibrail as membawa kalam tuhan yang Esa telah menukar peradaban manusia yang penuh kejijikan ini. Ya, memang jijik. Perkiraan Qamariah mencatatkan hari Isnin, 21 Ramadan bersamaan 10 Ogos 610M ketika usianya 40 tahun 6 bulan 12 hari. Catatan Syamsiah pula 39 tahun 3 bulan 12 hari.

Peristiwa penurunan cahaya Ilahi telah menghimpit segala kekufuran dan kegelapan kesesatan hingga mengubah landskap sejarah dan norma alam sekaliannya. Aisyah RA meriwayatkan dalam peristiwa ini,

Permulaan wahyu kepada Rasulullah ialah mimpi yang elok dalam tidurnya, apa yang dilihat Baginda semasa tidurnya ialah seperti mega pagi, kemudian Baginda diperkenankan untuk berikhtila’, Baginda pun berkhalwah di gua Hira, Baginda bertahannuth dan beribadat di sana di malam-malam hari untuk beberapa ketika, kemudian pulang semula ke pangkuan keluarga, untuk mendapat semula bekalan dari Khadijah hingga tibanya saat turunnya Jibril di Gua Hira, Jibril menemui Baginda dan memerintah Baginda membaca dengan katanya:

“Bacalah!”

Jawab Baginda, “Daku tidak tahu membaca!”

Dipeluknya Baginda sehingga kepenatan dan diperintah sekali lagi dengan katanya, “Bacalah!”

Jawab Baginda, “Daku tidak tahu membaca!”

Maka dipeluknya hingga Baginda kepenatan, diseru lagi dengan katanya, “Bacalah!” Jawab Baginda dengan jawapan yang sama, dipeluknya Baginda kali ketiga.

Kemudian dilepaskan dengan katanya,
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
al-’Alaq: 1-5
Menggeletar lutut baginda melalui pengalaman “ngeri” ini lalu berlari pulang ke rumah minta diselimutkan. “Selimutkan daku…. selimutkan daku…..”

Setelah segala gigilannya itu hilang lalu bertanyalah Khadijah RA kepada kekasih hatinya itu apakah gerangan yang berlaku.

“Apakah gerangan yang berlaku ke atas ku itu, ku takutlah terhadap diriku ini

“Tidak sama sekali, demi Allah, sesungguhnya Allah tidak akan menghinakan dikau, kerana dikau sentiasa menghubungkan pertalian silaturrahim, dikau memikul beban kesusahan, menolong yang tidak berada, memberi makan tetamu dan berusaha menyelesaikan rintangan yang menghalang kebenaran.” Pujuk Khadijah.

Khadijah terus membawakan suaminya berjumpa dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abu al-Uzza, anak saudaranya untuk bertanya tentang peristiwa yang dialami Muhammad SAW itu tadi.

“Wahai Waraqah, cuba kau dengar perihal yang terjadi pada Muhammad ini…?” Khadijah bertanya dengan penuh harapan.

“Apakah gerangan nya wahai saudara ku?”

Lalu diceritakan satu persatu peristiwa “pelik” yang dialami ketika di Gua Hira’ itu.

“Itulah dia malaikat yang mendatangi Musa as, kalaulah aku masih muda, kalaulah aku ini masih hidup tika saat kau dihalau keluar oleh kaum mu.”

“Apakah aku ini akan dihalau oleh kaum ku?”

“Bahkan….. tidak datang seorang manusia seperti kau ini dengan ajaran-Nya, malah kesemuanya ditentang… kalaulah aku masih hidup tika saat-saat itu pasti aku akan menolong engkau sepenuhnya!”

Sungguh, betapa peristiwa itu mengubah segalanya. Maka bermulalah era insan IDEAL dan GENIUS ini meneroka segala cabaran dan getir ujian yang disajikan demi ISLAM tertegak utuh.

Bersambung….

Rujukan:
  1. Fiqh Harakah 1 karangan Tuan Guru Haji Hadi
  2. Laman web www.dakwah.info

Wednesday, February 24, 2010

Muhammad SAW: Genius & Ideal (Bahagian 2)

Biarkan mereka para orientalis terus bermain namun jangan sesekali kita terpesong akidah kerana dakyah mereka. Nasihat untuk diri dan sahabat sempena bulan penuh “kegembiraan” ini.

Ingatlah ketika ALLAH SWT berfirman
“Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya ,menyucikan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (sunnah),meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata” 
Surah Al-Jumu’ah: 2
Al-Fujjar telah menyediakan satu medan yang cukup mantap buat diri insan IDEAL ini meskipun baru mencecah umur 10 tahun ketika itu. Membantu bapa saudaranya mengutip anak panah cukup mengajar erti “survival” di padang pasir demi maruah dan hak kendiri terpelihara. ALLAH mengatur yang terbaik buat kekasih-Nya.

Natijah gelora al-Fujjar telah melahirkan satu ikatan yang berasaskan semangat keadilan meskipun para pencaturnya adalah golongan musyrikin iaitu Perjanjian Al-Fudul. Kesemua kepala-kepala Arab Quraisy berkumpul di rumah Abdullah bin Jadaan Al-Taiyimi bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaja yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya. Insan KAMIL ini berada sama menyaksikan persetiaan itu lalu menukilkan dalam sebuah kata-katanya setelah dilantik menjadi Rasul bahawa,

“Daku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al-Jadaan. Perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenangan ku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya daku beri persetujuan segera”

Nyata itulah dalil betapa gerakan-gerakan Islam moden menjadikan “DEMOKRASI” sebagai platform dan alat untuk mencapai cita-cita daulah Islamiyah. Manusia GENIUS ini sendiri mengaku bahawa dia pasti akan memberi persetujuan dalam perjanjian itu meskipun cara dan pelaksanaannya mengikut manhaj Musyrikin bahkan merekalah yang MENCIPTAKAN perjanjian itu!

Jahil sangat kah Muhammad SAW untuk menerima cara “orang kafir” sewenang-wenangnya?

Dangkal sangat kah Islam sehinggakan insan MULIA ini sanggup mempersetujui cara “orang kafir” untuk meneruskan survival dakwah?

Nyata TIDAK SAMA SEKALI!

Malah itulah bentuk pemikiran insan yang GENIUS. Menampakkan penyelesaian berbanding permasalahan yang tak kunjung habis.

Oh, tuhan kurniakan lah petunjuk pada hamba-Mu ini…

ALLAH swt pengatur yang terbaik. Mempertemukan baginda dengan saudagar wanita ulung Siti Khadijah dalam misinya mencari seorang pekerja yang AMANAH dan HEBAT PERIBADINYA. Muhammad calon yang terbaik pabila dia menerima perkhabaran bahawa ada seorang pemuda yang unggul yang sedang mencari pekerjaan di sekitar Makkah.

Muhammad ketika itu sudah biasa dengan segala jenis pekerjaan termasuklah menggembala kambing. Sama sekali itu tidak menjadikan baginda manusia yang hina malah tarbiah itulah yang mendidik baginda agar mempunyai rasa dan sifat merendah diri.

Tanpa menunggu lagi, Khadijah terus menjemput Muhammad melalui pesuruhnya untuk menjadi peniaga hartanya sehingga ke bumi Syams. Insan IDEAL ini menerima pelawaan itu dengan senang hati lalu bertemankan Maisarah, baginda mengetuai angkatan “business” Siti Khadijah itu ke Syams.

Satu perkara ajaib bila mana Khadijah melihat hasil keuntungan dan jumlah hartanya yang diniagakan oleh Muhammad makin bertambah tidak berkurang. Nyata resipi AMANAH dan BERKAT itu begitu ampuh dalam kehidupan baginda. Tidak pernah berlaku sebegini.

Lalu melalui “perisik” sambilan yang dilantik secara tidak lansung, Maisarah mengkhabarkan segala budi pekerti dan keperibadian insan KAMIL ini maka terbukalah hati wanita jutawan ini untuk berkongsi hidup dengan seseorang meskipun sebelum ini begitu ramai pembesar Quraisy melamar akan dia untuk dijadikan suri hati.

Bagaikan bertemu dengan sebutir mutiara berharga, Khadijah terus melamar baginda melalui Nafisah binti Manyah sebagai orang tengah.

Nyata wanita bangsawan ini tidak bertepuk sebelah tangan. Lamarannya disahut baginda dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Melalui paman nya Abu Talib baginda meminang dan menikahi wanita bertuah ini dengan mahar sebanyak 20 ekor unta betina. Inilah seafdal-afdal wanita dari segi nasab keturunan, harta dan pemikirannya untuk baginda SAW.

Cinta tidak mengenal usia….

Meskipun baginda hanyalah berumur 25 tahun ketika itu dan Khadijah berumur 40 tahun, jurang ini tidak bermakna apa-apa. Bukan nafsu jadi sandaran baginda tapi amanah dan tanggungjawab menjadi jawapan segalanya. Dari rahim suci wanita inilah lahirnya 2 putera dan 4 puteri namun ALLAH telah merancang segalanya. Kesemua puteranya dipanggil mengadap Ilahi ketika masih lagi kecil.

Anak pertamanya bernama Qasim, dengannya baginda digelar Abu al-Qasim, kemudian Zainab, Rukiah, Umi Kalthum, Fatimah dan Abdullah, baginda bergelar sebagai al-Tayyib dan al-Tahir, anak lelakinya kesemuanya meninggal semasa kecil, manakala anak-anak perempuannya kesemuanya sempat dengan kebangkitan baginda sebagai Rasul utusan Allah, kesemua mereka memeluk Islam dan kesemua mereka berhijrah, semua mereka ini wafat semasa hayat baginda kecuali Fatimah seorang sahaja yang wafat selepas kewafatan baginda enam bulan kemudian.

Kisah cinta agung ini nyata tiada siapa mampu menandingi nya.

Bersambung…

Rujukan:
  1. Laman web www.dakwah.info

Tuesday, February 23, 2010

Muhammad SAW: Genius & Ideal (Bahagian 1)

Ingatlah ketika ALLAH SWT berfirman,
“Dan ingatlah ketika Isa bin Maryam berkata:”Hai Bani Isra’il,sesungguhnya aku adalah utusan ALLAH kepada kamu,membenarkan kitab yang diturunkan sebelumku iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan datangnya seorang Rasul yang akan datang sesudahku yang namanya MUHAMMAD.Maka tatkala Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata,mereka berkata:”Ini adalah sihir yang nyata.” 
Surah as-Saff: 6
Dunia amat mengharap ketika itu bilamana semuanya tersadung dalam lembah kehinaan. Bangsa Arab yang penuh kejahiliahan Latta,Uzza dan Manat. Kesyirikan Rome setelah bersaksi pada Injil yang diubah suai. Yahudi terus dalam kesombongan dan kekufuran lantaran enggan menerima kebenaran. Parsi pula asyik dengan hikayat-hikayat penindasan.

Negara China tenggelam dalam pemujaan sesama sendiri hasil didikan Buddha, Confutze dan Lotze. India pula dihantui kesesatan Hindu. Itulah hakikat dunia sebelum lahirnya insan GENIUS dan IDEAL ini. Membawa perubahan dengan izin ALLAH SWT menjadi pesuruhnya lalu menyampaikan segala risalahnya kepada semua tanpa mengira darjat umur dan pangkat.

Mimpi demi tragedi dilalui semua mereka yang sedar dan tidak sedar. Makkah bersinar. Api Parsi padam terus gelita.

Gajah dan angkatan Abrahah berangan “bermimpi” menghancurkan Ka’bah lalu Ababil jadi pemusnah dan pelbagai lagi peristiwa ajaib melanda seakan memberitahu bahawa Makkah akan menerima seorang yang teramat mulia dan istimewa. Nyata janji ALLAH itu tidak sia-sia pabila tanggal 12 Rabi’ul-Awal tahun Gajah menjadi hari yang paling bahagia kepada seluruh muka bumi ini dengan lahirnya MUHAMMAD BIN ABDULLAH.

Seorang insan kamil lahir dengan taklifan yang begitu hebat dan berat di bahunya. Namun segalanya telah berada dalam perancangan Dia yang Maha Mengetahui. Nasabnya begitu cantik dari keturunan Ibrahim AS melalui anaknya Ismail AS terus ke golongan pemegang ekonomi Makkah ketika itu, Bani Hasyim.

Gembira si datuk Muhammad ini lalu membawanya ke dalam Kaabah untuk memanjatkan doa kesyukuran kepada ALLAH dan memuji-Nya kerana mengurniakan dia seorang cucu lelaki lalu menamakan akan bayi itu Muhammad yang bermaksud terpuji. Memang sesuai. Meskipun lahirnya dalam keadaaan yatim sejak dalam kandungan ibunya Aminah lagi.

Itu perancangan Dia yang Maha Agung tanpa kita mengetahui kenapa begitu pada awalnya. Namun itulah tarbiah yang maha dahsyat demi melahirkan seorang pemimpin unggul dan penunjuk kebenaran yang tegak istiqamah meskipun dilanda tsunami ujian manusia yang penuh kejahilan itu. Berpindah tangan susuan dari Thuwaibah ke Halimatus Sa’diah selama dua tahun telah mengajar Muhammad erti “hidup cara kampung”.

Sayang keluarga Halimahtus Sa’diah pada diri itu makin utuh lantaran kehebatan yang ALLAH zahir kan pada diri Muhammad seakan tanda bahawa dia bukanlah mereka yang kebanyakan itu. Hidup di perkampungan Bani Sa’ad itu menjamin kefasihan Arab si kecil Muhammad ini dan mengajarkan dia akan hidup penuh kesederhanaan tanpa kepura-puraan.

Meskipun akhirnya dia terpaksa berpisah dengan keluarga penyayang ini namun ALLAH telah mengatur segalanya. Nyata tidak lama dia mampu mengecapi kasih sayang ibunya Aminah pabila dipanggil mengadap Ilahi selepas melawat maqam bapanya Abdullah di Yathrib. Kasihnya berpindah pada datuknya Abdul Mutalib seorang insan yang begitu dihormati dalam kalangan Quraisy ketika itu.

Sayang dia pada cucu dia yang hebat ini telah jelas terpancar pabila dia membenarkan Muhammad duduk bersamanya di hamparan khas ketika perjumpaan pembesar-pembesar Quraisy. Sayang seribu kali sayang Abdul Mutalib ketika itu sudah mencecah 120 tahun umurnya telah dipanggil mengadap-Nya meninggalkan Muhammad yang hanya berumur 8 tahun sahaja.

Dia masih kecil untuk mengerti semua ini. Lalu kasihnya berpindah ke bapa saudaranya, Abu Talib. Membesar dan bermain bersama sepupunya sehingga dirinya besar dan kuat untuk memikul pelbagai amanah pada masa akan datang. Melalui bapa saudaranya itu Muhammad telah belajar pelbagai survival hidup sebagai seorang manusia di dunia padang pasir itu.

Meskipun baru berumur 9 tahun namun Abu Talib nyata telah begitu berani memberi amanah kepada Muhammad untuk mengikutinya berniaga di Syams, bumi yang begitu jauh dari Makkah ketika itu lantaran kehendak dan permintaan Muhammad sendiri. Pertemuan Muhammad dengan Buhaira, seorang rahib di Syams telah membuka sedikit rahsia bahawa Muhammad adalah bukan insan biasa.

“Apakah hubungan dia dengan kau?” tanya si rahib.

“Anakku!” jawab Abu Talib.

“Dia bukan anakmu, tidak patut ayah kepada budak ini masih hidup.” Ujar si rahib dengan penuh yakin. Dia telah melihat sinar kerasulan pada diri Muhammad.

“Ya, dia anak saudara ku….” Abu Talib beralah.

“Di mana bapanya?” Rahib itu tidak berhenti lagi.

“Bapanya meninggal ketika dia dalam kandungan….” Abu Talib dengan jujur memberitahu.

“Betul, bawalah dia pulang ke negeri mu. Berwaspada lah dari orang Yahudi. Demi Tuhan, kalau mereka melihatnya di sini akan berlaku perkara buruk kepadanya. Sesungguhnya akan berlaku kepada anak saudara mu ini perkara besar…” Si Rahib memberi amaran kepada Abu Talib. Dia masih terpinga-pinga kebimbangan.

Maka tergesa-gesa lah Abu Talib membawa Muhammad pulang ke Makkah.

Tuduhan Carre De Vaux, orientalis Perancis yang mengarang buku Pengarang Al-Quran bahawa Buhaira bukan sahaja bertemu dengan Muhammad tetapi mengilhamkan Muhammad untuk mengarang Al-Quran nyata telah menunjukkan kedangkalan si orientalis ini berfikir lantaran kebongkakan untuk menerima kebenaran.

Nampak cerdik namun bodoh semata umpama lansung tidak belajar. MUSTAHIL pertemuan yang sekadar mengadap makanan dalam hidangan antara seorang Rahib dan kanak-kanak mampu memberi impak maksima sehingga melahirkan seorang “pengarang” kitab yang begitu hebat sehingga sekarang tiada siapa mampu mencabar kitab “karangannya” itu.

Fikirlah sikit Carre. Muhammad itu amanah kata kawan dan lawan. Fakta ini tidak mampu diubah oleh sejarah para orientalis.

Bersambung…

Rujukan:
  1. Fiqh Harakah 1 karangan Tuan Guru Haji Hadi
  2. Web Halaqah-Online.com

Monday, February 22, 2010

Manisnya Sebuah Reunion

Betapa manisnya ukhuwah setelah beberapa lama tidak berjumpa memang betul-betul terasa pabila diketemukan dalam sebuah “reunion” baru-baru ini bersama semua sahabat seperjuangan di bumi Hang Tuah dua hari lepas. Merayakan ikatan suci ini mengingatkan aku sesungguhnya kita tidak pernah berpisah meskipun diri dan jasad berada di merata tempat namun HATI itu terus bertaut dengan utuh.

Beberapa keping gambar untuk dikongsi kan semasa “reunion” kami di rumah Abang Mohsen dan Kak Mas ketika kami semua menyambut birthday Rahman, sahabatku dari Nogori.




SELAMAT HARI LAHIR ABG MAN!

Tak tahu macam mana nak digambarkan perasaan itu. Hanya ALLAH mengetahui segalanya….

Moga pertalian ini terus utuh biarpun dilanda GARUDA sekalipun. Maaf kerana tidak ada gambar sahabat Muslimat untuk aku upload dalam post ini. Redha-Nya kita sama-sama harapkan moga-moga segala perancangan kita akan dipermudahkan insya ALLAH.

Sunday, February 21, 2010

Kisah Air Mata di Stesen R&R Temerloh

Perjalanan pulang ke kampung halamanku kali ini setelah hampir dua bulan meninggalkan keluarga tercinta dengan Abang Long aku menggamit seribu makna dan erti sebagai seorang insan yang diberikan ALLAH dengan pelbagai nikmat yang ke kadang tak mampu di bilang dengan jari.

Singgahan sebentar aku di R&R Temerloh untuk menunaikan solat Asar secara qasar dan makan sementelah baki perjalanan masih jauh benar-benar telah mendidik iman aku.

Tika aku mula hendak berwudu’ datang seorang kanak-kanak lelaki kecil di mana anggaran umurnya sekitar 4-5 tahun mengikut firasat aku lantaran cara bercakap dan perlakuannya duduk di sebelah aku lalu mengambil wudu’ sama. Masya-Allah masih kecil tapi sudah ada kesedaran yang begitu tinggi untuk menunaikan suruhan ALLAH.

Kagum aku bila melihat dia mengambil wudu’ begitu sempurna tidak sepadan dengan umurnya. Kebiasaan pemerhatian ku kanak-kanak yang berada di dalam lingkungan umur sebegini amat sukar untuk berwudu’ secara sempurna lantaran sifat mereka yang tidak faham apa sebenarnya maksud perbuatan mereka itu.

Aku terus memerhatikan kanak-kanak itu sambil berwudu’ sama sehingga selesai wudu’ dia.

Secara tidak langsung aku teringat tika mana sahabatku, Fariq Fitri menceritakan bagaimana dia menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki yang masih kecil mengambil wudu’ dengan begitu sempurna di sebuah masjid dalam area Bangi.

Dia berpendapat tidak hairanlah itu kerana mereka tinggal di Bandar Baru Bangi yang terkenal dengan tahap keilmuan yang tinggi.

Seakan sama kisah aku dengan pengalaman sahabat ku ini kerana secara tidak langsung ia memberi petunjuk yang jelas bahawa didikan agama pada peringkat awal itu TERAMAT penting dalam melahirkan generasi ulul albab dan modal insan yang bermutu tinggi. Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai zuriat semacam ini fikir ku.

Habis berwudu’ kanak-kanak itu tadi terus mendapatkan ayahnya yang berada di sejadah untuk solat Asar secara qasar. Terus terang aku mula tahu apa itu solat qasar dan jama’ adalah ketika aku berumur 12 tahun. Itu pun dalam keadaan samar-samar dan tidak jelas.

Tapi kanak-kanak itu cukup hebat pabila ayahnya cakap, “Kita solat qasar Asar 2 rakaat.” Dia mengangguk tanda faham dan meneruskan solat berimankan ayahnya.

Aku terpegun seketika lantas perlahan-lahan berdoa agar ALLAH mengurniakan zuriat sebegini kepada ku nanti. Cukup beruntung ibu bapa kanak-kanak tersebut dan pastilah ganjaran yang begitu besar menanti mereka di Akhirat kelak lantaran kejayaan mereka mendidik zuriat yang diamanahkan kepada mereka itu.

Memang itu bukan kayu pengukur segalanya namun ia mampu menjadi indicator yang terbaik untuk melihat sejauh mana kehebatan ibu bapa mereka mendidik anak-anak mereka. Melentur buluh biarlah dari rebungnya memang satu pepatah Melayu yang bertepatan dengan situasi yang aku alami tadi.

Moga-moga ALLAH meletakkan kita dalam golongan yang sentiasa diberi kebaikan olah ALLAH SWT. Itulah air mata kesyukuran kerana ALLAH telah memperlihatkan kebesaran-Nya pada sesiapa yang dikehendakinya.

Selesai solat aku terus pergi ke restoran berhampiran untuk membeli makanan dan melihat Abang Long ku turut berada di situ sedang menikmati air Nescafé. Aroma gulai lemak cili padi ikan patin dengan tempoyak benar-benar membuka selera ku pada petang tadi biarpun harganya agak mahal.

Aku duduk bersama Abang Long ku sambil menikmati makanan tadi dan fikiran ku turut merayau entah ke mana menggamit segala memori lama. Bila Nescafé nya habis Abang Long ku terus minta diri untuk pergi solat Asar sementelah aku menghabiskan makanan ku.

Di tengah keenakan aku menikmati gulai lemak cili padi itu datanglah seorang lelaki berumur pertengahan membawa anak lelaki kecilnya lalu dia meletakkan anaknya itu di sebelah aku dan pergi membeli air.

Aku perasan tika mana anak lelakinya yang dipimpin itu berjalan dalam keadaan yang tidak sempurna namun wajahnya cukup comel dan manis untuk dipandang menyebabkan hatiku berdetak mengatakan bahawa ini adalah kanak-kanak istimewa.
Sayu seketika mengenangkan betapa tabahnya hati seorang bapa dan seorang ibu yang menerima kelahiran anak mereka dalam keadaan sebegitu.

Ditakdirkan ALLAH kanak-kanak istimewa itu terlanggar siku aku tika aku tengah makan dan dalam keadaan bersusah payah dia cuba melafazkan perkataan “sorry’ padaku.

Jujur betapa hampir menitis air mata ku bila mendengar kanak-kanak itu cuba meminta maaf padaku meskipun dalam keadaan teramat sukar untuknya menyebutkan bait “sorry” itu. Selera makan ku terus hilang langsung lantaran rasa bersalah pada kanak-kanak itu sambil mengenangkan nasib dia.

Mulia sungguh hatimu wahai adik…

Aku melihatnya sambil menjawab “Tak da apa-apa adik...”

Dia terus merenung aku menyebabkan aku makin rasa bersalah. Oh tuhan, Maha Suci engkau dari segala kekurangan.

Selera ku terus mati dan aku berpaling dari melihat wajah kanak-kanak lelaki itu kerana tidak sanggup melihat dia begitu teruji. Sekali lagi fikiran ku menerawang mencari kenangan tika mana aku menjadi “pengasuh” kanak-kanak istimewa semasa aku di Tingkatan 2 di sebuah kelas Pendidikan Khas hampir setahun lamanya di sekolah lamaku.

Aku bekerja di situ tanpa apa-apa bayaran cuma sekadar mahu membantu Cikgu Adli yang begitu baik padaku selama ini. Pengalaman berada bersama dunia mereka amat mencabar emosi aku terutamanya walaupun aku sekadar mengajar mereka mengenal abjad dan nombor.

Ya, jika seorang cikgu yang tugas dia hanya mendidik dan dia sudah berada dalam keadaaan tertekan cuba bayangkan bagaimanakah perasaan ibu bapa kanak-kanak tersebut dalam usaha menerima kehadiran itu sebagai satu amanah dan memikirkan ketidakupayaan mereka membina masa depan sendiri pabila ibu bapa mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Tapi sesungguhnya perancangan ALLAH itu jauh lebih dahsyat dari apa yang kita sangka kan dan PERCAYALAH.

Pasti dan pasti setiap ketentuan ALLAH itu ada kebaikannya tersendiri. Cuma kita diminta untuk berfikir dan berfikir. Moga ALLAH memberi kekuatan keimanan dan ketakwaan kepada ibu bapa kanak-kanak lelaki istimewa itu tadi.

Aku turut terfikir macam manalah jika ALLAH mentakdirkan ujian itu berlaku di atas diriku nanti. Mampu kah aku menghadapi dan menerimanya dengan penuh rasa keimanan kepada-Nya?

Hanya IMAN mampu menjawab tika itu….moga-moga ALLAH memelihara kita dari ujian sebegitu.

Aku berjaya menahan air mata ku daripada menitis lantaran rasa bersalah dan sedih memikirkan si kecil itu menghadapi satu ujian yang berat. Akulah orang yang paling malang jika aku gagal untuk mensyukuri segala kesempurnaan sifat yang ALLAH kurniakan kepada ku ini untuk digunakan bagi melangsai segala amanah yang ALLAH taklifkan di atas bahu ku.

Ya ALLAH kau ampuni lah segala dosa hamba-Mu ini yang sering alpa untuk mensyukuri segala kurnia-Mu itu…

Aku pulang pada petang itu dengan penuh rasa syukur kerana DRAMA yang ALLAH sajikan untuk ku seketika di Stesen R&R sebentar tadi telah, menyedarkan aku akan kesalahan dan kesilapan aku selama ini. Hidayah ALLAH itu disampaikan dalam pelbagai cara. Kita hamba-Nya memang tidak mampu memikirkan kesemua itu.

Pengakhiran tinta, aku menyeru pada diriku sendiri dan sahabat-sahabat semua agar kita sentiasa memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT kerana sesungguhnya nikmat ALLAH itu tidak mampu dan mustahil pada namanya untuk di bilang.

Kadang kala kita merasakan bahawa kita adalah yang “terburuk” tapi sedarlah bahawa kita masih lagi beruntung berbanding mereka yang jauh lebih hebat ALLAH meletakkan ujian-Nya kepada mereka…..

Thursday, February 11, 2010

Of Integrity and Good Governance

Since I enter UKM to do a degree study here, I heard a lot of people talking about GOOD GOVERNANCE. Yes, especially my seniors.

Apart this question I would like to share an article I read at The Star Online that talked about GOOD GOVERNANCE. Please click here, Integrity and good governance.
"Marilah kawan mari kita kobarkan
di tangan kita arah agama dan bangsa
marilah kawan mari kita nyanyikan
sebuah lagu tentang PEMBEBASAN tanpa PENDUSTAAN
tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!

Wednesday, February 10, 2010

Mahasiswa Mandom vs Mahasiswa Mandiri

Malam teristimewa buat ku pabila berpeluang bertemu muka dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan beberapa orang pimpinan reformasi tadi dalam sebuah majlis dialog antara Kerajaan Negeri Selangor dan pimpinan MAHASISWA kampus.

Ya, itu kali pertama bertemu dengan orang yang paling banyak diperkatakan dalam media masa kini dan di sebalik bayangan pelbagai isu besar yang melingkari hidup beliau. Bukan niat ku untuk memuja sesiapa namun hakikat beliau sebagai salah seorang penggerak dan aktivis kebangkitan MAHASISWA sekitar era 70-an tidak ada sesiapa mampu menafikannya.

Perjuangan itu pasti dan pasti akan diteruskan sehingga KEADILAN dalam erti kata yang sebenar dapat ditegakkan di bumi MALAYSIA yang ku cintai ini. Beberapa isu besar telah dibangkitkan dalam sesi soal jawab seperti isu Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor, isu kenaikan yuran kolej di KUIS, isu penyelewengan PRK di beberapa kampus utama di Selangor, isu Cancelor UniSEL dan pelbagai lagi.

Sedikit perkongsian aku untuk sahabat-sahabat ku yang tidak dapat hadir pada majlis tadi insya ALLAH aku akan cuba titipkan di sini moga-moga kita akan mendapat kebaikannya bersama-sama.

Pemidato pertama ialah Adun Batu Caves, YB Amiruddin Sha’ari yang begitu menekankan peranan mahasiswa dalam masyarakat khasnya antaranya ialah:
  1. Mahasiswa perlu ada sifat MANDIRI, INDEPENDENT, KRITIKAL dalam semua aspek.
  2. Sentiasa menghasilkan kritikan yang GENUINE di mana dalam erti kata yang lain kritik jika SALAH dan sokong jika BETUL
  3. Perlu sedar bahawa mahasiswa itu adalah JURU BICARA masyarakat
Manakala YAB Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim pula menegaskan bahawa ini adalah langkah pertama dan terbaik dalam meneruskan kesinambungan perjuangan REFORMASI ini pabila menyaksikan kebangkitan mahasiswa begitu berani menegakkan HAK MAHASISWA di beberapa kampus utama sejak kebelakangan ini.

Pemidato utama pada majlis tadi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya telah memberi beberapa input segar lagi berguna kepada para penggerak mahasiswa kampus serta melampirkan pengalaman beliau sebagai aktivis MAHASISWA era 70-an dahulu. Walaupun beliau tengah sibuk menghadiri prosiding mahkamah untuk tuduhan liwat oleh Saiful Bahari, namun masih mampu meluangkan sedikit masa untuk menjelaskan beberapa isu dan memberi kata-kata perangsang kepada kami semua.
  1. Mahasiswa adalah elemen SEDAR dalam masyarakat
  2. Sentiasa CONCERN denyut nadi masyarakat
  3. Mahasiswa perlu sentiasa cinta pada KEBENARAN
  4. Mahasiswa mesti belajar MEMPERTAHANKAN HAK mereka
  5. Mahasiswa perlu ada MARUAH jangan mudah diperbodohkan
  6. Kenapa perlu TAKUT jika berada di pihak yang BENAR
DSAI turut membacakan sepotong ayat al-Quran yang menjelaskan peranan mahasiswa dalam masyarakat demi menegakkan keadilan dari surah al-Kahfi ayat 13 dan 14 yang bermaksud,
“Kami ceritakan kepada kamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.Dan kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain dia. Sungguh kalau kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari KEBENARAN.”
YB Azmin Ali pula ketika berucap menegaskan akan membawa isu PRK ini ke Parlimen apabila Dewan Negara mula bersidang pada 15 Mac 2010 ini. Hal ini kerana trend penipuan dan penyelewengan ini makin menular dan terus menular di dalam kampus. Biar masyarakat luar turut boleh menjadi PENGADIL dalam isu ini bukan mengharap HEP semata yang dilihat semakin mandul.

Itulah serba sedikit perkongsian yang dapat aku titipkan di sini sepanjang berada di majlis dialog itu tadi. Sebenarnya amat besar bezanya antara mahasiswa MANDIRI dan mahasiswa MANDOM. Besar harapan aku agar kita semua bijak menilai dalam semua perkara jangan hanya menjadi penerima sahaja.

Jika hanya pandai BELAJAR namun pada masa yang sama tidak mempunyai PRINSIP maka apalah untungnya negara melahirkan seorang GRADUAN sebegini rupa.

Wednesday, February 3, 2010

Warkah Istimewa Buat Pentadbiran UKM

Itu diri mereka yang SEDAR
Laungan itu kian menjadi
Aku mula panasaran
Menantikan buah yang tak kunjung gugur
Namun MEREKA pedulikan itu
Hanya kerna SATU natijah
Aku makin mengerti
Itulah RELATIF diri mereka yang SEDAR
Jauh dari sudut hati
Mereka SEDAR siapa tuan
Tuan yang berhak
Mencoraki gaya…
Membentuk kata…
Mengukir perasaan…
Mencatur langkah…

Namun diri-diri mereka ITU
Enggan memicing pandangan
Menyaksikan MEREKA sudah bersuara
Jauh sekali menjadi penilai
Itu MEREKA tak harapkan
Jauh sekali merayu merengek
Asalkan mereka ITU
Sedar siapa PEMAIN UTAMA
Agar tahu memberi hormat
Kalau tidak sedikit ruang
Biar MEREKA belajar bernafas

Sayang MEREKA pada diri-diri ITU
Entah bentuk apakah perlu DIPERSEMBAHKAN
Aku sendirian mula kekeliruan
Antara sayang dan benci
Siapa perlu lahir pada kemudiannya
Agar natijah itu
Baik untuk MEREKA dan diri-diri ITU
Bangkit merangkul kebenaran
Biar keadilan jadi neraca
Ketelusan umpama rakan
Memadam hasrat jelik diri-diri ITU
Moga DIA menilai
Siapa benar siapa salah
Dian AKU di sana
Mahu memancing segalanya
Agar poket mata hatiku terisi
Dengan segala kekuatan

Kawan mula menyoal
Itu kah diri-diri ITU?
Aku kelu…
Aku bisu…
Aku panasaran…
Bimbang kawan tak mampu cekup
Itu luar dari norma kebiasaan
Terpana seketika
Digoyang bahu agar SEDAR
Oh tuhan, ini kah bicara-MU
Aku hamba leka tak sedar
Ampuni aku
Moga hidayah-MU jadi peneman ku
Dalam atur hidup ku
Aku membuka ruang FIKIR
Biar segalanya menerobos masuk
Menjengah isi petualang
Mahu kawan bangkit SEDAR
Apakah permainan semua ini
Di tengah ruang perkelahian
IDEOLOGI dan PRINSIP
KUASA dan PANGKAT
Manakah pilihan mu?
Kita MEREKA yang SEDAR
Sedarkan mereka yang LENA
Dewasa ini bukan saat duduk bersandar
Kerna buah itu hampir gugur
Dirimu kawan bukalah neraca hatimu
Diri-diri ITU sudah tak senang duduk
Mengenangkan tali gantung itu terlampau dekat
Hasil pintalan reformasi
Diikat dengan simpulan KESEDARAN
Dibalut kuat pelekat semangat
Dicampur digaul biar sebati
Kita gunakan itu
Melilit leher diri-diri ITU
Sedikit masa lagi
Saksikanlah!

Bukan memujuk
Apatah lagi merayu
Kerna MEREKA sudah lali
Janji umpama ruji
Namun makin dikunyah makin kosong rasanya
Zahirnya TERTAKJUB
Rasanya TERKEJUT
Entah kenapa
Teman, itu tugas mu
Selidik akan halnya
Agar tak terus tertipu
Dek mainan akal diri-diri ITU
MEREKA bijak aku beritahu
Usah ulang tayang drama yang sama
Saban musim itu modal diri-diri ITU
Bagai senjata ampuh
Berdiri tegak biarpun dalamnya reput
Biar papa asalkan bergaya
Resmi itu jadi pegangan

Aku ingatkan diri-diri ITU
MEREKA sudah SEDAR!

Biarkan mereka belajar bertatih
Sebelum mereka belajar berjalan
Biarkan mereka berlari
Pabila sudah bisa jatuh berdarah
Jangan disekat dihalang
Kerna itu satu proses
Asalkan mereka belajar
Dari situ mereka tahu
Betapa hidup ini sukar
Mahu pegang amanah DIA
Sebelum ke hari pengadilan
Bumi ini menjadi saksi

Namun aku kepelikan
Mereka terus dibuai
Oleh diri-diri ITU
Biarpun sudah hebat menendang
Layak kah sebegitu teman
Kita bukan hingusan
Sudah cukup semua itu
Cuma ruang dan peluang
Sukar kah permintaan MEREKA
Jika kambing mengerti apa itu kebebasan
Manakan lagi mereka yang SEDAR

Cukuplah permainan ini
Biar segalanya berakhir
Dengan sebuah KEBANGKITAN
Diri-diri ITU menjadi penonton
Lalu diseret ke ruang PENGADILAN
Diajar bahawa langit itu tinggi
Bukan rendah
Dan diri-diri ITU bukan penongkat nya
Dibasuh agar bersih
Dari dongengan KEBOBROKAN
Lalu membina jisim yang kotor
Cuba mewarnai segalanya
Sedarlah itu karut
Selamanya…

Teman aku berbicara
Agar kau mengerti
Bahawa kita bukan ternakan
Bebas disendung diikat
Makan jika diberi
Lapar jika dipedulikan
Senandung budi bukan hiasan hujah
Tapi layanan itu jadi pembedal
Agar tak terus terpedaya
Dengan diri-diri ITU
Aku beritahu mu teman
Kita pemain utama
Dalam padang DEMOKRASI ini
Biarpun ianya tak rata
Namun itu bukan alasannya
Jadikan kita makhluk berfikir
Agar pemberian itu tidak sia-sia
Sebagai bukti kita percayakan DIA
Wasilah kepada risalah KEBENARAN
Mencernakan segala takhlifan
Biarkan itu mewarnai seluruhnya

Wahai diri-diri ITU
Sesungguhnya munafik itu ada 3 wataknya
Dusta katanya
Khianat amanah nya
Mungkir janjinya
MEREKA bijak menilai
Kerna jelas kontra diksinya
Antara benar dan palsu
Hasil tarbiah RABBANI dan MANHAJI
Usah terus perbodohkan MEREKA
Itu amaran aku
Kepada diri-diri ITU

Marilah kawan mari kita kobarkan
Di tangan kita arah agama dan bangsa
Marilah kawan mari kita nyanyikan
Sebuah lagu tentang PEMBEBASAN tanpa PENDUSTAAN
Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!

Kolej Burhanuddin Helmi, 12.O1 AM