Friday, December 31, 2010

Setahun 2010

Hari ini, 31 Disember 2010 mungkin menunggu beberapa saat dan ketika lagi untuk menjadi satu catatan dalam lipatan sejarah dunia. Sebuah catatan kehidupan sepanjang setahun berlalu dan mencorak pelbagai ragam kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Juga ketika aku menulis ini, aku sudah mencecah umur 20 tahun 11 hari tepat. Ya, aku perlu peringatan diri aku tentang umur itu kerana ianya makin tua dan semakin pendek usia aku di dunia yang penuh dengan keseronokan sementara ini.

Mungkin menjadi kebiasaan buat seluruh umat manusia apabila tibanya di penghujung tahun dan mula menapak ke tahun yang baru, maka kedengaranlah pelbagai sorotan peristiwa dan azam-azam yang baru mula terbina bagi membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Insya ALLAH.

Aku rangkumkan sedikit sebanyak perjalanan hidup ku pada 2010, dengan harapan ianya menjadi satu dokumentari buat diri sendiri tentang sebuah perjalanan hidup seorang hamba di muka bumi ini insya ALLAH.



Aku akan merindui 2010.Tapi, mahu tak mahu kita mesti terus menapak ke depan. Yang lalu biarkan berlalu. Biarkan ia berlalu dengan penuh beramanah. Jadikan segala buruk baiknya sebagai sempadan untuk masa hadapan.

Mengkoreksi kan diri sendiri dengan muhasabah secara mendalam terhadap apa yang telah kita lalui sepanjang 2010 ini adalah cara terbaik untuk kita menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang. Tidak susah untuk memuji diri, tetapi teramat SUKAR untuk kita mengkritik diri kita sendiri. Jarang berlaku!

Azam ku, seperti aku nyatakan dalam video di atas, 2011 tahun aku ingin mencari CINTA. Moga-moga aku berjaya mencarinya. Begitu juga sahabat-sahabat, harapan aku kalian turut menemui CINTA yang ku ingin cari ini.

Kerana kita sudah tidak punya banyak masa.

Kerana si Dia tidak pernah rugi jika kita tidak mencarinya, tetapi kita yang akan rugi besar jika kita gagal mendapatkan CINTA nya.

Insya ALLAH, mari kita berazam bersama-sama!!!

Koreksi 2010


Buat Islam, apakah yang telah kau sumbangkan sepanjang 2010 kau diberi peluang bernafas di muka bumi ini?

Buat Islam, apakah HAK si Dia yang telah kau tunaikan selama kau menggunakan oksigen sepanjang 2010 ini?

Buat Islam, apakah pernah kau sampaikan kalimah-Nya kepada rakan-rakan sekitar mu?

Buat Islam, apakah kau pernah mengalirkan air mata sesalan buat segala dosa-dosa mu sepanjang 2010 berbanding air mata melayan emosi keparat mu itu?

Bersengkang mata melaksanakan kerja-kerja penyambung wasilah perjuangan Rasulullah SAW? Buat Islam, pernah kah kita memikirkan soal kebejatan umat Malaysia dan berusaha mengubahnya berbanding sekadar syok melayan sembang kosong di Twitter dan Facebook??

Dan seterusnya, berkoreksi lah diri kita supaya ianya menjadi satu muhasabah terbaik demi masa depan Islam yang lebih gemilang pada masa mendatang. Percayalah, persoalan-persoalan di atas tidak pernah terhenti di situ sahaja. Kita sahajalah yang mampu untuk memberhentikannya.

Mari kita renung dan fikirkan firman ini,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).”
AL-Haysr: 18-20

Campakkan lah ayat-ayat di atas ke atas muka kita sendiri dan rasailah ketakutan jika kita adalah seperti apa yang digambarkan di dalam ayat di atas. Aku cuma seorang penyampai. Dan aku juga adalah seorang yang teramat faqir dalam mengenali hakikat kehidupan ini sebenarnya.

Ya ALLAH, Kau ampuni lah dosa hamba-hamba-Mu ini ya ALLAH!

Moga kedatangan 2011 akan menjadi sinar untuk kita mencari CINTA yang Maha Agung.