Monday, December 20, 2010

Aku Mencari Siti Khadijah

Kata seorang senior, “Fikir awal untuk kahwin bukan bermakna mencari siapa dia itu, tapi fikir awal untuk mempersiapkan diri kita untuk menjaganya.”

Manusia dilahirkan dalam keadaan mempunyai keinginan untuk memiliki sesuatu yang lebih daripada segala-galanya. Itu hakikat penciptaan kita. Kerana kita dibekali Tuhan dengan nafsu yang sentiasa bersedia berunding dengan iman kita ketika mahu melakukan apa sahaja, maka beringatlah!

Kebiasaannya, nafsu akan menang dalam setiap rundingan itu. Kita semua tahu.

Tahu sahaja tidak cukup, kerana perlu pada praktiknya. Sama juga akan hal yang akan ku bicarakan di sini. Soal aku ingin mencari Siti Khadijah dalam hidup ku. Pelik bukan?

Tetiba jari ini mahu berbicara soal teman hidup. Setelah berkali-kali telinga aku mendengar pelbagai ungkapan cinta dan mabuk jiwang dalam kalangan rakan-rakan ku.

Aku tak bercinta. Jauh sekali untuk mengejar cinta. Itu bukan hak aku tika ini. Tetapi cuma ingin berbicara barang sedikit dan berkongsi dengan mereka di luar sana isi hatiku.

Satu ketika apabila kakak sulung ku mahu melangsungkan perkahwinannya dengan Abang Ipar ku kira-kira setahun yang lepas, aku dan abang-abang ku mula tidak berkeruan.

Bukan apa, hanya kerana perkahwinan itu umpama satu lonjakan paradigma buat kami berempat dalam seumur hidup kami. Kenapa ianya bagaikan satu lonjakan paradigma?

Cukup untuk diri aku menyedari betapa urusan kahwin dan kahwin ini bukan sesuatu yang kecil dan mudah dipandang begitu sahaja. Kata aku, “Sedar atau tidak, hal ini jadi penentu kepada tempat kita di Akhirat kelak sama ada di neraka atau syurga.”

Sebagai amaran.

Mungkin sedikit keras tapi itulah realitinya. Tambah pula apabila melihat abang-abang ku sibuk mencari dan mengejar cinta. Oh, realiti anak muda zaman sekarang. Sedikit sebanyak terasa bersalah dalam diri kerana merasa akan hal itu tidak betul dan perlu diperbetulkan.

Perbincangan itu terus berlanjutan sehingga satu tahap di mana kami mula menerima “ahli baru” dalam keluarga kami hasil keterikatan perkahwinan itu. Fikiran ku mula dapat membayangi suatu gambaran tentang ikatan hati antara dua insan. Mungkin juga abang-abang ku begitu.

Soal ini bukan hanya sekadar memenuhi 5 syarat sah ijab kabul.

Tetapi ianya mula berlanjutan kepada soal amanah dan kebertanggungjawaban kita di hadapan Rabbul Izzati kelak. Kami sering bertelagah. Mungkin. Bertelagah akan hal ini. Sekadar untuk mencari pencerahan dan amaran buat diri.

“Ini bukan soal main-main. Aku tahu siapa yang akan aku kahwini nanti.”

“Alah, masing-masing kena sedarlah apa yang patut dan apa yang tidak patut.”

“Entah-entah, kau yang akan kahwin dulu nanti.”

“Tak mengapa, aku masih muda. Isikan dulu dada kau dengan ilmu, baru lah senang jika nak bercakap soal ini. Kau ingat perempuan itu macam seluar baju kah.”

“Senang-senang, hidup membujang lagi syok.”

“Abah tidak kisah dengan siapa yang korang nak kahwin nanti, asalkan dia mampu ikut apa yang ugama nak.”

“Aku tak nak kahwin dengan perempuan Melayu.”

“Isteri kita nanti mesti yang tahu jaga mak dan suka pada mak.”

“Apa kata lepas ni kita pergi pondok khatam kan dulu semua kitab Fiqh, lepas tu baru berbincang pasal hal ini.”

“Orang sekarang ramai kahwin muda. Kena cari kerja dulu, bukan nak bagi anak orang makan pasir je nanti.”

Dan ianya berterusan. Dan sebagainya pertelagahan kami.

Aku cuba menarik perhatian dalam perbincangan ini untuk merenung sejauh manakah kita merancang dalam hal ini strategi bagi berhadapan dengan pertanyaan ALLAH di Padang Mahsyar kelak akan tanggungjawab ini yang telah dibebani di atas pundak kita. Bukan hanya berbicara soal nikmat kahwin semata.

Teringat akan romantiknya kisah percintaan antara Rasulullah SAW dan Siti Khadijah RA. Sebuah kisah cinta yang Maha Agung seakan tidak layak untuk diceritakan dalam layar buruk ini. Sebuah kisah cinta yang senantiasa ditasbihkan keredaan-Nya seisi langit dan bumi, sekalian makhluk yang bernyawa.

Bagaimana Rasulullah membina hubungan cintanya dengan isterinya yang tercinta hanya berlandaskan rasa TAQWA dan HARAP yang begitu tinggi kepada Dia.

Sebuah kisah cinta yang menjadi bara semangat buat si Rasul akhir zaman untuk terus berdakwah dan berjuang di tengah-tengah medan syirik dan berhala.

Sebuah kisah cinta yang bersulamkan sejuta pengorbanan jiwa, harta dan anak-anak.

Sebuah kisah cinta yang disaksikan segenap alam dan para malaikat serta dirindu oleh syurga-syurga.

Maka, bertanyalah dalam diri masing-masing yang begitu sibuk berbicara soal ini apakah kita sudah menginsafi kisah cinta dua makhluk agung di atas?

Aku insaf. Aku memilih untuk mencari Siti Khadijah yang MAHU dan MAMPU menempah bilik untuk aku di syurga kelak.

Orang akan cakap bahawa aku ini “high-demand” dan segala bagai. Seperti apa yang aku nyatakan di atas, ini biasa kerana lumrah nafsu manusia pasti mahukan sesuatu yang lebih dari segala-galanya meskipun diri ini sedar betapa hal itu amat sukar. Tak mengapa, selagi kita diberi ruang dan peluang untuk mendapatkannya, ayuh jangan buang masa.

Selagi ianya tidak melanggar batasan syariat. Maka senantiasa berwaspadalah, dalam pada kamu mengejar atau dikejar, ingat ALLAH itu penawarnya.

Aku mencoret ini sebagai sebuah ingatan kepada diri yang sudah mencecah umur 20 tahun pada hari ini. Orang cakap, sudah tiba di garis umur untuk mula berbicara dalam satu dimensi yang berbeza. Mungkin perlu ditulis sebagai satu perubahan dalam jiwa.

Kerana hanya memikirkan satu tanggungjawab yang datang selari dengan penambahan umur pada diri ini. Tidak boleh terus di takuk yang lama. Tiada niat lain, SUMPAH!

Juga mahu memperingati diri tentang sebuah pujian dan amaran dari Junjungan Besar Muhammad SAW,
“Sebaik-baik manusia menurut pandangan ALLAH (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya.” 
(Riwayat Ahmad dan Al-Hakimi)
Juga sebagai peringatan untuk bersedia menjadi sehebat mujahid dan abid yang soleh lagi taat, sebagai imbalan kepada cinta Siti Khadijah yang dicari-cari.

Alhamdulillah, aku bersyukur pada-Mu di atas segala nikmat umur yang Kau berikan kepada aku selama ini.

Aku memohon keampunan-Mu di atas segala kealpaan ku dan kekufuran ku atas nikmat umur yang Kau berikan selama ini ya ALLAH.