Friday, December 31, 2010

Setahun 2010

Hari ini, 31 Disember 2010 mungkin menunggu beberapa saat dan ketika lagi untuk menjadi satu catatan dalam lipatan sejarah dunia. Sebuah catatan kehidupan sepanjang setahun berlalu dan mencorak pelbagai ragam kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Juga ketika aku menulis ini, aku sudah mencecah umur 20 tahun 11 hari tepat. Ya, aku perlu peringatan diri aku tentang umur itu kerana ianya makin tua dan semakin pendek usia aku di dunia yang penuh dengan keseronokan sementara ini.

Mungkin menjadi kebiasaan buat seluruh umat manusia apabila tibanya di penghujung tahun dan mula menapak ke tahun yang baru, maka kedengaranlah pelbagai sorotan peristiwa dan azam-azam yang baru mula terbina bagi membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Insya ALLAH.

Aku rangkumkan sedikit sebanyak perjalanan hidup ku pada 2010, dengan harapan ianya menjadi satu dokumentari buat diri sendiri tentang sebuah perjalanan hidup seorang hamba di muka bumi ini insya ALLAH.



Aku akan merindui 2010.Tapi, mahu tak mahu kita mesti terus menapak ke depan. Yang lalu biarkan berlalu. Biarkan ia berlalu dengan penuh beramanah. Jadikan segala buruk baiknya sebagai sempadan untuk masa hadapan.

Mengkoreksi kan diri sendiri dengan muhasabah secara mendalam terhadap apa yang telah kita lalui sepanjang 2010 ini adalah cara terbaik untuk kita menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang. Tidak susah untuk memuji diri, tetapi teramat SUKAR untuk kita mengkritik diri kita sendiri. Jarang berlaku!

Azam ku, seperti aku nyatakan dalam video di atas, 2011 tahun aku ingin mencari CINTA. Moga-moga aku berjaya mencarinya. Begitu juga sahabat-sahabat, harapan aku kalian turut menemui CINTA yang ku ingin cari ini.

Kerana kita sudah tidak punya banyak masa.

Kerana si Dia tidak pernah rugi jika kita tidak mencarinya, tetapi kita yang akan rugi besar jika kita gagal mendapatkan CINTA nya.

Insya ALLAH, mari kita berazam bersama-sama!!!

Koreksi 2010


Buat Islam, apakah yang telah kau sumbangkan sepanjang 2010 kau diberi peluang bernafas di muka bumi ini?

Buat Islam, apakah HAK si Dia yang telah kau tunaikan selama kau menggunakan oksigen sepanjang 2010 ini?

Buat Islam, apakah pernah kau sampaikan kalimah-Nya kepada rakan-rakan sekitar mu?

Buat Islam, apakah kau pernah mengalirkan air mata sesalan buat segala dosa-dosa mu sepanjang 2010 berbanding air mata melayan emosi keparat mu itu?

Bersengkang mata melaksanakan kerja-kerja penyambung wasilah perjuangan Rasulullah SAW? Buat Islam, pernah kah kita memikirkan soal kebejatan umat Malaysia dan berusaha mengubahnya berbanding sekadar syok melayan sembang kosong di Twitter dan Facebook??

Dan seterusnya, berkoreksi lah diri kita supaya ianya menjadi satu muhasabah terbaik demi masa depan Islam yang lebih gemilang pada masa mendatang. Percayalah, persoalan-persoalan di atas tidak pernah terhenti di situ sahaja. Kita sahajalah yang mampu untuk memberhentikannya.

Mari kita renung dan fikirkan firman ini,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).”
AL-Haysr: 18-20

Campakkan lah ayat-ayat di atas ke atas muka kita sendiri dan rasailah ketakutan jika kita adalah seperti apa yang digambarkan di dalam ayat di atas. Aku cuma seorang penyampai. Dan aku juga adalah seorang yang teramat faqir dalam mengenali hakikat kehidupan ini sebenarnya.

Ya ALLAH, Kau ampuni lah dosa hamba-hamba-Mu ini ya ALLAH!

Moga kedatangan 2011 akan menjadi sinar untuk kita mencari CINTA yang Maha Agung.

Sunday, December 26, 2010

Qasidah Muhammadiyah

Entah mengapa sukar untuk menggambarkan perasaan ini. Semenjak dua menjak ini, rasa rindu ku pada suasana dan dayuan suara mengalunkan qasidah semakin membuak-buak. Nyata ingatan ketika mendapat pentarbiahan di bumi berakah Baitul Qura’ wal Ilmi di Melaka ketika di Matrikulasi Melaka satu ketika dahulu amat terkesan di jiwa aku yang serba gersang ini.

Sungguh rindu pada suasana kami di Baitul Qura’ wal Ilmi mengalunkan qasidah bersama-sama Syeikh Habib Kazem ibn Ja’far As-Seggaf Al-Hussaini, ahlul bait dari Tarim, Yaman yang datang ke Baitul Qura’ wal Ilmi ketika sambutan maulid rasul dua tahun yang lepas.

Sungguh rindu pada kemerduan dendangan qasidah oleh pelajar-pelajar Baitul Qura’ wal Ilmi yang diketuai oleh Ustaz Shauqi, adik kepada Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Ismail, mudir Baitul Qura’ wal Ilmi. Sungguh, aku rindu!

Bukan mudah untuk mencari suasana “mahabbatul rasul” sedemikian di Malaysia pada hari ini.

Namun, dua tiga hari ini kerinduan itu seakan terubat apabila dayuan dan kemerduan qasidah ini mula menjengah. Terima kasih buat sahabat dunia akhiratku, Fariq Fitri yang berusaha keras mewujudkan suasana itu di UKM pada hari ini. Moga usaha beliau mendapat tempat di sisi ALLAH kelak.

Dan aku membawakan sebuah qasidah yang begitu menyusuk hati jika kita menghayati dan memahami kata-katanya iaitu Qasidah Muhammadiyah. Sebuah qasidah yang menunjukkan ketinggian cinta kita kepada insan yang serba sempurna, Muhammad SAW.

Silalah tonton video di bawah dan hayati lirik serta makna qasidah Muhammadiyah ini dengan penuh semangat kecintaan kepada Muhammad SAW. Moga-moga dengan itu rasa cinta kita kepada kekasih ALLAH itu makin bertambah.



Lirik Qasidah Muhammadiyah

مُحَمَّدٌ أَشْرَفُ الأَعْرَابِ وَالْعَجَمِ ‍ ‍
مُحَمَّدٌ خَيْرُ مَنْ يَمْشِيْ عَلَى قَدَمِ

Muhammad adalah termulia di hadapan Arab dan Ajam
Muhammad lah sebaik-baik manusia yang berjalan di bumi ini

مُحَمَّدٌ بَاسِطُ الْمَعْرُوْفِ جَامِعُهُ
مُحَمَّدٌ صَاحِبُ الإِحْسَــانِ وَالْكَرَمِ

Muhammad adalah luas kebaikannya,dialah pengumpulnya
Muhammad lah penghulu segala kebaikan dan kemuliaan

مُحَمَّدٌ تَاجُ رُسْلِ اللهِ قَاطِبَةً
مُحَمَّدٌ صَادِقُ الأَقْوَالِ وَالكَلِمِ

Muhammad adalah mahkota para rasul ALLAH,seluruhnya
Muhammad adalah benar pada kata-katanya

مُحَمَّدُ ثَابِتُ المِيْثَاقِ حَافِظُهُ
مُحَمَّدُ طَيِّبُ الأَخْلَاقِ وَالْشِيَمِ

Muhammad adalah tetap pada janjinya
Muhammad itu cantik akhlak dan rupanya

مُحَمَّدُ رُوِيَت بِالنُّورِ طِيْنَتُهُ
مُحَمَّدُ لمَْ يَزَلْ نُوْراً مِّنَ الْقِدَمِ

Muhammad,tanah semadinya disirami dengan Nur
Muhammad,dia masih bercahaya sejak azali

مُحَمَّدُ حَاكِمُ بِالعَدْلِ ذُوْ شَرَفٍ
مُحَمَّدُ مَعْدِنُ الإِنْعَامِ وَالْحِكَمِ

Muhammad seorang hakim yang adil,punya kemuliaan
Muhammad adalah kunci kenikmatan dan hikmah

مُحَمَّدُ خَيْرُ خَلْقِ اللهِ مِنْ مُضَرِ
مُحَمَّدُ خَيْرُ رُسْلِ اللهِ كُلِّهِِمِ

Muhammad adalah semulia-mulia makhluk ALLAH, dari kaum Mudhar
Muhammad itu semulia-mulia rasul ALLAH, seluruhnya

مُحَمَّدُ دِيْنُهُ حَـــقٌّ نَدِيْنُ بِهِ
مُحَمَّدُ مُجْمِلاً حَقاً عَلَى عَلَمِ

Muhammad,agamanya adalah kebenaran,yang kita anuti
Muhammad adalah kebenaran, sebenar-benarnya

مُحَمَّدُ ذِكْرُهُ رُوْحٌ لِأَنْفُسِنَا
محمد شُكْرُهُ فَرْضٌ عَلَى الأُمَمِ

Muhammad,mengingatinya adalah seperti roh bagi kita
Muhammad, wajib kita berterima kasih kepadanya

محمد زِينَةٌ الدُنْيَا وَبَهْجَتُهَا
محمد كَاشِفٌ الغُمَّاتِ وَالظُلَمِ

Muhammad adalah penghias dunia dan penghiburnya
Muhammad, ibarat penghapus duka dan kegelapan

محمد سَيِّدُ طَابَتْ مَنَاقِبُهُ
محمد صَاغَهُ الرَحمَنُ بِالنِعمَِ

Muhammad, penghulu yang suci perbuatannya
Muhammad, diberikan sebaik-baik nikmat oleh ALLAH

محمد صَفْوَةٌ البَارِي وَخِيْرَتُهُ
محمد طَاهِرٌ مِنْ سَائِرِ التُهَمِ

Muhammad, adalah insan pilihan ALLAH,sebaik-baik makhluk
Muhammad, adalah suci daripada segala tohmahan

محمد ضَاحِكٌ لِلضَيْفِ مُكْرِمُهُ
محمد جَارُهُ وَاللهِ لمَ يُضَمِ

Muhammad, tersenyum buat tetamunya,bahkan memuliakannya
Muhammad, jirannya,demi ALLAH tidak dizaliminya

محمد طَابَتِ الدُنْيَا بِبَعْثَتِهِ
محمد جَاءَ بِالآيَاتِ وَالحِكَمِ

Muhammad, alangkah indahnya dunia dengan kehadirannya
Muhammad, telah datang dengan mukjizat dan hikmah-hikmah

محمد يَوْمَ بَعْثِ النَّاسِ شَافِعُنَا
محمد نُورُهُ الهَادِي مِنَ الظُّلَمِ

Muhammad, kelak di hari kebangkitan,dialah pemberi syafaat kita
Muhammad, nurnya ibarat penyuluh hidayah dari kegelapan

محمد قَائِمٌ لِلّهِ ذُو هِمَمِ
محمد خَاتَمُ لِلرُّسْلِ كُلِّهِمِ

Muhammad, tidak putus-putus menghadap ALLAH dengan penuh harapan
Muhammad adalah penamat sekalian rasul ALLAH, seluruhnya

Subhanallah, indahnya kata-kata pujian ini. Golong lah kami dalam golongan yang senantiasa merindui akan kekasih-Mu ini ya ALLAH.

Benar, jika kita didik hati kita dengan rasa cinta kepada ALLAH dan Rasul, kita pasti akan dapat mengerti apakah tujuan sebenar kita berada di muka bumi ini.

Hayati-lah qasidah ini, yang telah ditulis oleh seorang ulama tersohor dalam mengungkapkan rasa kecintaan beliau terhadap Rasulullah SAW. Marilah kita belajar untuk turut sama merindui dan mencintai Rasulullah SAW sebagaimana para ulama mencintai Rasulullah SAW.

Asuh lah dan ajar lah anak-anak kita yang masih kecil itu dengan alunan qasidah dan selawat berbanding membiarkan mereka terlena dengan Tom Tom Bak, Bintang Kecil dan sebagainya.

Insya ALLAH, usaha kita membina rasa cinta ini pasti tidak akan sia-sia kerana pastinya ada janji syafaat Baginda di Akhirat kelak.

Jom kita lagu kan Qasidah Muhammadiyah ini bersama-sama.

Wednesday, December 22, 2010

Seksualiti Merdeka: Saya Gay, Saya OK

Terbaru, seantero rakyat Malaya gempar dengan video pengakuan terbuka lagi berani seorang lelaki Melayu yang mengaku sebagai GAY dan merasa yakin jalan yang dipilihnya itu betul biarpun tahu situasi dan kondisi rakyat Malaysia masih belum dapat menerima hakikat tersebut.

Dalam sebuah video pendek kira-kira berdurasi 2:42 minit itu, lelaki Melayu tersebut yang bernama Azwan Ismail telah mengaku bahawa beliau mengambil masa yang agak lama untuk membuat pengakuan tersebut secara umum dan kini, hasilnya beliau mendakwa dirinya menjadi semakin yakin dan bersemangat untuk menempuhi masa-masa yang mendatang.

Layaknya binatang sahaja membuat pengakuan sebegini yang begitu jelas menentang kuasa Tuhan yang menciptakan diri dia daripada setitis air yang begitu hina lagi kotor itu.

Sebenarnya, saya bukan ingin menjadikan penulisan ini sebagai sebuah tempat untuk melepaskan geram kepada lelaki di atas dan juga mereka yang terlibat sama, tetapi cuma ingin menguar-uarkan kepada seluruh masyarakat tentang sebuah wabak penyakit yang mula melanda masyarakat Malaysia yang tercinta ini.

Semakin hari, barah sosial dalam kalangan masyarakat makin kelihatan dan tidak tahu di mana penghujung untuk melihat ianya sembuh seperti sediakala.

Dalam kes di atas, rasanya semua maklum akan wujudnya sebuah gerakan yang cuba menghalalkan amalan seksual yang bertentangan dengan tabi’e manusia normal seperti Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) di Malaysia iaitu Seksualiti Merdeka yang dianggotai beberapa buah gerakan NGO seperti SUARAM, PT Foundation, Malaysian Bar Council dan sebagainya.

Melalui gerakan Seksualiti Merdeka ini, mereka telah mengadakan beberapa aktiviti bagi menarik sokongan masyarakat dan juga menghebohkan kewujudan mereka dalam komuniti di negara tercinta ini.

Hanya dengan beralasan bahawa setiap orang bebas untuk menjadi siapa mereka, Seksualiti Merdeka terus bergerak tanpa sebarang ancaman dan ugutan secara rasmi daripada pihak yang berwajib.

Hal ini menjadi satu kekesalan dalam setiap umat Islam di Malaysia terutamanya kerana kita sedia maklum sebarang aktiviti yang berunsurkan faktor di atas adalah amat dilarang dan dikeji oleh agama yang suci ini.

Tambahan pula, nyata begitu ramai mereka yang beragama Islam tidak segan silu untuk terlibat sama dalam gerakan yang terang-terang menyanggah hukum hakam dalam agama Islam.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa, kini sudah tiba pada zaman di mana manusia sudah tidak lagi segan silu untuk berzina meskipun di hadapan manusia yang lain sepertimana dalam sebuah hadith Rasulullah SAW tentang gambaran peristiwa di akhir zaman.

Persoalan di sini, di manakah pihak yang berwajib yang sepatutnya terkehadapan dalam menjawab dan menangani isu ini?

Bila mengenang tentang azab seksa yang diturunkan ALLAH kepada Kaum Luth yang mengamalkan homoseksual secara berleluasa, dan juga bagaimana ALLAH telah melenyapkan sebuah generasi ketamadunan Rom di Bandar Pompey akibat daripada segala aktiviti ini menjadi status “halal” dalam masyarakat mereka, rasa gerun terus menerjah apakah suatu hari nanti giliran Malaysia pula untuk mencatat sejarah yang sama?

Ayuh, marilah kita sama-sama menentang pergerakan yang begitu bahaya ini dalam usaha menyelamatkan seluruh generasi manusia di bumi petualang ini daripada terus menjadi hamba penjajahan moral dan penyakit sosial yang parah.

Artikel ini bukan bersikap skeptikal terhadap golongan LGBT atau mana-mana individu yang bersangkutan dengan kes ini tetapi sebuah pandangan umum dari kaca mata seorang penganut agama Islam dan juga salah seorang anggota masyarakat di negara Malaysia yang begitu jauh daripada gejala yang keji lagi jelik seperti LGBT ini.

Buat mana-mana individu Muslim yang terlibat menjayakan usaha ini, bertaubatlah sebelum terlambat. Nyata sama sekali cakap-cakap anda dan usaha-usaha anda itu cuma menjurus ke arah memuaskan nafsu dan emosi semata. Percayalah.

Pada saya, jika hal ini dibiarkan tanpa sekatan dan ianya terus berleluasa di depan mata, itulah satu penghinaan yang cukup keji buat agama Islam yang cukup suci dan mulus ini.

Jika sebelum ini kita telah dihidangkan dengan pelbagai penghinaan buat agama seperti iklan raya TV3, Sport Toto dan majlis berbuka puasa, Islamic Fashion Show, karikatur Muhammad dan gejala riddah, adakah kita turut mahu melihat isu ini terus menjadi bara dalam sekam yang suatu hari nanti akan menjadi perosak paling berbahaya kepada seluruh generasi mendatang.

Fikir-fikirkanlah wahai pihak yang berwajib!

NOTA: Tulisan ini tidak lagi mewakili sikap penulis pada hari ini. Justeru, pembaca harus menanggapi tulisan ini tidak lebih dari sekadar arkib penulisan blog Time To Change semata-mata. Sebarang usaha ulang siar tulisan ini ke mana-mana media adalah dilarang sama sekali.

Monday, December 20, 2010

Aku Mencari Siti Khadijah

Kata seorang senior, “Fikir awal untuk kahwin bukan bermakna mencari siapa dia itu, tapi fikir awal untuk mempersiapkan diri kita untuk menjaganya.”

Manusia dilahirkan dalam keadaan mempunyai keinginan untuk memiliki sesuatu yang lebih daripada segala-galanya. Itu hakikat penciptaan kita. Kerana kita dibekali Tuhan dengan nafsu yang sentiasa bersedia berunding dengan iman kita ketika mahu melakukan apa sahaja, maka beringatlah!

Kebiasaannya, nafsu akan menang dalam setiap rundingan itu. Kita semua tahu.

Tahu sahaja tidak cukup, kerana perlu pada praktiknya. Sama juga akan hal yang akan ku bicarakan di sini. Soal aku ingin mencari Siti Khadijah dalam hidup ku. Pelik bukan?

Tetiba jari ini mahu berbicara soal teman hidup. Setelah berkali-kali telinga aku mendengar pelbagai ungkapan cinta dan mabuk jiwang dalam kalangan rakan-rakan ku.

Aku tak bercinta. Jauh sekali untuk mengejar cinta. Itu bukan hak aku tika ini. Tetapi cuma ingin berbicara barang sedikit dan berkongsi dengan mereka di luar sana isi hatiku.

Satu ketika apabila kakak sulung ku mahu melangsungkan perkahwinannya dengan Abang Ipar ku kira-kira setahun yang lepas, aku dan abang-abang ku mula tidak berkeruan.

Bukan apa, hanya kerana perkahwinan itu umpama satu lonjakan paradigma buat kami berempat dalam seumur hidup kami. Kenapa ianya bagaikan satu lonjakan paradigma?

Cukup untuk diri aku menyedari betapa urusan kahwin dan kahwin ini bukan sesuatu yang kecil dan mudah dipandang begitu sahaja. Kata aku, “Sedar atau tidak, hal ini jadi penentu kepada tempat kita di Akhirat kelak sama ada di neraka atau syurga.”

Sebagai amaran.

Mungkin sedikit keras tapi itulah realitinya. Tambah pula apabila melihat abang-abang ku sibuk mencari dan mengejar cinta. Oh, realiti anak muda zaman sekarang. Sedikit sebanyak terasa bersalah dalam diri kerana merasa akan hal itu tidak betul dan perlu diperbetulkan.

Perbincangan itu terus berlanjutan sehingga satu tahap di mana kami mula menerima “ahli baru” dalam keluarga kami hasil keterikatan perkahwinan itu. Fikiran ku mula dapat membayangi suatu gambaran tentang ikatan hati antara dua insan. Mungkin juga abang-abang ku begitu.

Soal ini bukan hanya sekadar memenuhi 5 syarat sah ijab kabul.

Tetapi ianya mula berlanjutan kepada soal amanah dan kebertanggungjawaban kita di hadapan Rabbul Izzati kelak. Kami sering bertelagah. Mungkin. Bertelagah akan hal ini. Sekadar untuk mencari pencerahan dan amaran buat diri.

“Ini bukan soal main-main. Aku tahu siapa yang akan aku kahwini nanti.”

“Alah, masing-masing kena sedarlah apa yang patut dan apa yang tidak patut.”

“Entah-entah, kau yang akan kahwin dulu nanti.”

“Tak mengapa, aku masih muda. Isikan dulu dada kau dengan ilmu, baru lah senang jika nak bercakap soal ini. Kau ingat perempuan itu macam seluar baju kah.”

“Senang-senang, hidup membujang lagi syok.”

“Abah tidak kisah dengan siapa yang korang nak kahwin nanti, asalkan dia mampu ikut apa yang ugama nak.”

“Aku tak nak kahwin dengan perempuan Melayu.”

“Isteri kita nanti mesti yang tahu jaga mak dan suka pada mak.”

“Apa kata lepas ni kita pergi pondok khatam kan dulu semua kitab Fiqh, lepas tu baru berbincang pasal hal ini.”

“Orang sekarang ramai kahwin muda. Kena cari kerja dulu, bukan nak bagi anak orang makan pasir je nanti.”

Dan ianya berterusan. Dan sebagainya pertelagahan kami.

Aku cuba menarik perhatian dalam perbincangan ini untuk merenung sejauh manakah kita merancang dalam hal ini strategi bagi berhadapan dengan pertanyaan ALLAH di Padang Mahsyar kelak akan tanggungjawab ini yang telah dibebani di atas pundak kita. Bukan hanya berbicara soal nikmat kahwin semata.

Teringat akan romantiknya kisah percintaan antara Rasulullah SAW dan Siti Khadijah RA. Sebuah kisah cinta yang Maha Agung seakan tidak layak untuk diceritakan dalam layar buruk ini. Sebuah kisah cinta yang senantiasa ditasbihkan keredaan-Nya seisi langit dan bumi, sekalian makhluk yang bernyawa.

Bagaimana Rasulullah membina hubungan cintanya dengan isterinya yang tercinta hanya berlandaskan rasa TAQWA dan HARAP yang begitu tinggi kepada Dia.

Sebuah kisah cinta yang menjadi bara semangat buat si Rasul akhir zaman untuk terus berdakwah dan berjuang di tengah-tengah medan syirik dan berhala.

Sebuah kisah cinta yang bersulamkan sejuta pengorbanan jiwa, harta dan anak-anak.

Sebuah kisah cinta yang disaksikan segenap alam dan para malaikat serta dirindu oleh syurga-syurga.

Maka, bertanyalah dalam diri masing-masing yang begitu sibuk berbicara soal ini apakah kita sudah menginsafi kisah cinta dua makhluk agung di atas?

Aku insaf. Aku memilih untuk mencari Siti Khadijah yang MAHU dan MAMPU menempah bilik untuk aku di syurga kelak.

Orang akan cakap bahawa aku ini “high-demand” dan segala bagai. Seperti apa yang aku nyatakan di atas, ini biasa kerana lumrah nafsu manusia pasti mahukan sesuatu yang lebih dari segala-galanya meskipun diri ini sedar betapa hal itu amat sukar. Tak mengapa, selagi kita diberi ruang dan peluang untuk mendapatkannya, ayuh jangan buang masa.

Selagi ianya tidak melanggar batasan syariat. Maka senantiasa berwaspadalah, dalam pada kamu mengejar atau dikejar, ingat ALLAH itu penawarnya.

Aku mencoret ini sebagai sebuah ingatan kepada diri yang sudah mencecah umur 20 tahun pada hari ini. Orang cakap, sudah tiba di garis umur untuk mula berbicara dalam satu dimensi yang berbeza. Mungkin perlu ditulis sebagai satu perubahan dalam jiwa.

Kerana hanya memikirkan satu tanggungjawab yang datang selari dengan penambahan umur pada diri ini. Tidak boleh terus di takuk yang lama. Tiada niat lain, SUMPAH!

Juga mahu memperingati diri tentang sebuah pujian dan amaran dari Junjungan Besar Muhammad SAW,
“Sebaik-baik manusia menurut pandangan ALLAH (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya.” 
(Riwayat Ahmad dan Al-Hakimi)
Juga sebagai peringatan untuk bersedia menjadi sehebat mujahid dan abid yang soleh lagi taat, sebagai imbalan kepada cinta Siti Khadijah yang dicari-cari.

Alhamdulillah, aku bersyukur pada-Mu di atas segala nikmat umur yang Kau berikan kepada aku selama ini.

Aku memohon keampunan-Mu di atas segala kealpaan ku dan kekufuran ku atas nikmat umur yang Kau berikan selama ini ya ALLAH.

Thursday, December 2, 2010

Iman Sakit Namun Tuhan Tidak Buta

Semalam, saya berbual dengan seorang sahabat lama di Matrikulasi Melaka dulu melalui Facebook setelah sekian lama tidak bertegur berbual bergurau dengan dia.

“Apa khabar? Sihat?”

“Tak sihat… Iman tengah sakit.”

“Huh, jangan cakap macam itu… Apa kurangnya dengan ana?”

“Haha, ana lagi teruk… Seteruk-teruknya…”

“Tak baik cakap macam itu…”

“Betul…”

“Entah, bila anta cakap macam itu ana pun akan cakap perkara yang sama pada diri ana.”

“Itulah hakikatnya. Nak tipu diri sendiri memang tak boleh. Tapi, alhamdulillah kerana ALLAH masih lagi memberi rasa itu pada kita.”

“Huhu, itu hakikatnya untuk ana yang lemah… Mungkin kot.”

“Ustaz Hasrizal ada menyebut pasal fikir dan zikir tempoh hari di Surau Annur, berkenaan dengan iman kita, kadang kala kita seakan menaruh rasa tidak percaya pada ALLAH. Padahal kita kena patut sedar yang Dia tidak pernah leka melihat kita. Memang patut untuk kita rasa macam itu, mungkin boleh jadi tazkirah buat kita. Tapi, dalam pada masa yang sama Islam mengajar kita untuk optimis. Ya, ini pun nasihat pada diri ana juga. Asif jiddan ya akhi, ana rasa perlu kongsi akan hal ini. Moga bermanfaat.”

“Insya ALLAH…”

“Insya ALLAH, kita sama-sama perbaiki diri.”

Habis berbual secara maya, saya dan dia berpisah dalam doa moga dipertemukan suatu hari nanti insya-Allah.

Pesan buat diri dan sahabat-sahabat, marilah kita sedar Maha Suci ALLAH daripada segala sifat alpa terhadap nasib yang menimpa kita. Maha Suci ALLAH daripada sifat buta terhadap penderitaan kita. Maha Suci ALLAH daripada sifat pekak terhadap keluh kesah kita. Maha Suci ALLAH daripada segala sifat lupa pada sakit dan perit kita.

Sesungguhnya tuhan tidak buta. Tidak sekali-kali.

Sesungguhnya, hakikatnya kita lah sebenarnya yang buta, pekak, lupa, bodoh terhadap Tuhan yang Maha Suci. Sedarlah!

Bersyukurlah, kerana kita masih lagi mampu mengeluh bila iman kita jatuh sakit. Optimis lah dengan janji Tuhan yang mustahil dimungkiri.