Wednesday, November 24, 2010

Optimis dan Berstrategi: Syarat Kemenangan Gerakan Islam

Sesebuah gerakan yang mempunyai misi dan visi yang besar serta benar, maka sedar dan insaflah betapa misi dan visi itu hanya akan tercapai apabila pra-syarat kepada pencapaian itu dipenuhi oleh pendukung gerakan tersebut terutamanya.

Dengan kesedaran inilah akan tercetusnya sebuah gerakan dari dalam hati setiap ahli dan pendukung gerakan untuk menggembleng seluruh tenaga dan upaya mereka dalam menjayakan dan memenuhi pra-syarat untuk mencapai visi dan misi gerakan tersebut.

Perbincangan demi perbincangan dan perbahasan demi perbahasan dilakukan semata-mata mahu mendapatkan keputusan dan strategi yang benar-benar mantap dalam menjayakan visi dan misi gerakan tetapi malangnya, dalam pada masa yang sama ahli dan pendukung gerakan gagal untuk menginsafi tentang pra-syarat kepada kejayaan segala strategi dan hala tuju gerakan tersebut.

Maksud saya, kegagalan ini adalah terbahagi kepada dua iaitu kegagalan atas kapasiti individu dan juga kegagalan dalam bentuk kolektif dalam sesebuah gerakan. Di sini pertamanya, saya lebih suka untuk menjurus kepada persoalan tentang pra-syarat kemenangan yang harus diisi di atas kapasiti individu.

Untuk berbicara dengan lebih lanjut mengenai pra-syarat yang wajib dipenuhi oleh setiap ahli gerakan dalam menggapai kemenangan yang dijanjikan ALLAH, marilah kita sama-sama menghayati video ucapan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyentuh secara khusus mengenai keperibadian yang sepatutnya ada pada setiap ahli gerakan.



Itu adalah pra-syarat individu, bukan lagi berbicara soal solidariti, optimisme dan tekad sesebuah gerakan. Hal ini kerana tanpa adanya faktor kedua itu, mana mungkin sesebuah gerakan mampu merangka dan menggerakkan sesuatu kemenangan. Sebab itu, saya mengutarakan dalam artikel ini mengenai sebuah gesaan tentang peri pentingnya kita bersikap optimis terutama dalam menyampaikan idea dan melaksanakan idea yang disampaikan.

Harus diingat bahawa, setiap keputusan yang diambil bukanlah atas kapasiti individu tetapi itu adalah keputusan bersama dan perkara ini seharusnya menjadi teras keyakinan kepada kita untuk merasa optimis terhadap keputusan yang diambil. Soal komitmen dan kemampuan, hal itu sepatutnya kita selesaikan sebelum kita berbincang dan mengambil keputusan. Mengapa saya berpendapat sedemikian?

Seharusnya kita ingat bahawa tujuan berbincang atau berbahas bukan untuk menunjukkan siapa yang hebat dan cekap tetapi adalah sebuah medan untuk kita bermuhasabah dan mengatur langkah demi perjalanan gerakan untuk fasa yang seterusnya. Oleh itu, secara tidak langsung kita akan merasa kebertanggungjawaban terhadap idea dan cadangan yang kita lontarkan sesuai dengan keupayaan dan komitmen yang kita ada.

Disebabkan faktor inilah saya mengatakan bahawa jika kita masih lagi mempersoalkan tentang kemampuan atau komitmen ahli gerakan, ternyata kita telah melakukan sesuatu keputusan yang tergantung dan tidak menjejak pada bumi yang nyata. Itu silap konsepnya.

Oleh itu, seharusnya kita OPTIMIS terhadap setiap keputusan yang diambil secara bersama dan merasakan beban tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan itu dengan penuh amanah. Namun, optimis sahaja tidak mencukupi dan tidak berupaya untuk berdiri dengan sendiri. Keputusan itu mestilah bersifat matang dan realistik dengan kata lain, keputusan itu mestilah penuh dengan STRATEGI untuk mencapainya.

Formula SMART adalah tepat dalam menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan keputusan yang berstrategi. SMART adalah:

Specific

Keputusan yang diambil sewajibnya spesifik dan menjurus pada matlamat yang hendak dicapai dan juga hal yang bersifat teknikal seperti masa, tempat, tarikh dan sebagainya.

Measurable

Keputusan yang diambil seharusnya setaraf dengan kemampuan yang kita mampu sediakan dan ini berkait rapat dengan faktor sumber manusia dalam sesebuah gerakan. Dalam kriteria ini, Key Performance Index (KPI) menjadi rujukan kepada tahap keberjayaan sesuatu keputusan tersebut.

Achievable

Keputusan itu seharusnya kita mampu mengagak pencapaian terakhir setelah keputusan itu dilaksanakan dan kesannya terhadap keseluruhan pergerakan organisasi kita.

Realistic

Sumber manusia, keterbatasan perundangan, beban dan tanggungjawab yang lain seharusnya diambil kira dalam melaksanakan strategi tersebut.

Time

Strategi tersebut seharusnya berada tepat pada masa yang sesuai dan bertindak dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh organisasi atau gerakan.

Faktor-faktor common dalam bertindak dan merencana juga seharusnya tidak diabaikan seperti pengurusan masa, kesanggupan untuk berkorban, kefahaman yang jitu dan pelbagai lagi faktor kebiasaan dalam amalan pengurusan. Inilah antara syarat kemenangan gerakan Islam.

Itulah lontaran saya dalam hal ini dan amat mengharapkan agar lontaran ini akan menjadi nasihat yang berguna kepada sang penulis sendiri dan turut memberi sedikit manfaat kepada seluruh rakan-rakan pembaca blog kecil ini. Sekali lagi saya tegaskan, saya hanyalah seorang penyampai dan amat mengharapkan keampunan daripada Tuhan Yang Esa jika ada sebarang salah dan silap dalam lontaran idea ini.

Permintaan saya, jika ada sebarang cadangan dan pembetulan sahabat-sahabat boleh lontarkan di bahagian ruangan komen.