Saturday, November 13, 2010

Menjengah Kekusutan Dengan Perbincangan

Alhamdulillah, sesi pertama perbincangan kami sudah selesai dengan memperlihatkan penumpuan pada aspek-aspek asas atau fundamental dalam sesebuah gerakan atau organisasi terutama dengan penekanan dalam aspek pengurusan organisasi, konsep bekerja secara berkumpulan yang teratur serta sistematik dan strategi pra-syarat kemenangan dan keunggulan gerakan.

Kita semuanya akan bermula dengan kusut dan serabut kerana kita sedar bahawa kita tiada peneman yang sudi menguraikan kekusutan itu. Oleh itu, dengan pertemuan dan perbincangan secara matang dan masak inilah mampu membantu ke arah membuka segala ikatan-ikatan yang bersimpul itu.

Mencetuskan penumpuan pada aspek-aspek yang kritikal sebenarnya mampu menyedarkan diri kita sebagai salah seorang ahli dalam sesebuah organisasi itu secara tidak langsung.

Baiklah, saya mahu bercakap soal menjengah kekusutan dengan perbincangan.

Maka pada pendapat saya, menjadikan perbincangan ini sebagai satu medan untuk menegur dan mengkritik secara matang dalam segala perkara tidak kira sama ada melibatkan keseluruhan organisasi ataupun atas kapasiti individu adalah langkah terbaik bagi memastikan perancangan dan pelan tindakan yang akan diambil oleh kepimpinan yang baru lebih terarah dan tersusun serta kepimpinan baru dapat belajar daripada mengulangi kesilapan yang sama.

Namun begitu, kritikan dan teguran itu haruslah menjejak pada bumi yang nyata dan bertepatan dengan ruang lingkup perbincangan. Setiap ahli perlu faham akan fungsi mereka untuk bersuara dan WAJIB menggunakan fungsi tersebut untuk menjamin kemaslahatan organisasi dan kelangsungan survival akan datang.

Mengambil langkah untuk berdiam diri atau suka bersifat menyembunyikan sesuatu daripada meluahkan kepada seluruh ahli yang lain akan mendatangkan masalah kepada pergerakan organisasi dan perancangan pada masa depan.

Hal ini perlu diambil berat oleh setiap individu yang menjadi ahli kepada sesebuah gerakan atau organisasi terutamanya apabila mereka bekerja dalam sebuah gerakan yang bersifat kritikal, berstrategi, tersusun dan mempunyai matlamat yang jelas.

Dalam menjana kritikan dan teguran terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan kelemahan atau sikap peribadi sesetengah ahli yang lain seharusnya pada masa yang sama, kita harus sedar tentang kewujudan rasa lemah dan hina dalam diri kita yang telah dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada kita agar dalam setiap kritikan dan teguran itu adalah dibuat bukan bertujuan untuk menghina sesiapa atau menjatuhkan air muka ahli yang lain.

Di sinilah indahnya Islam mengajar kita bagaimana mahu menguruskan sesebuah organisasi dengan cemerlang tidak kira di mana sahaja posisi kita dalam sesebuah organisasi itu. Agama kita telah mengajar diri kita tentang tiadanya nilai kita di sisi ALLAH jika tanpa iman dan takwa dalam hati kita.

Maka, beringatlah selalu betapa kesilapan ahli yang lain itu sepatutnya bukan dijadikan sebagai bahan gurauan atau sendaan semata tetapi selayaknya kita sendiri merasakan kebertanggungjawaban terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada pada ahli tersebut dalam menguruskan organisasi dengan cuba meletakkan diri kita pada posisi mereka itu.

Saya percaya, dengan berusaha untuk merasai kesilapan dan kelemahan ahli yang melakukan kesalahan itu akan mampu memberi satu teguran kepada diri sendiri agar kita berwaspada agar kesilapan dan kelemahan itu tidak akan berulang lagi.

Maka secara tidak langsung, segala teguran dan kritikan yang kita lontarkan itu akan turut menjadi satu peringatan dan muhasabah untuk diri sendiri. Kritikan dan teguran itu bukan hanya berlalu sebagai sebuah kritikan dan teguran yang bersifat menghentam semata-mata tetapi turut menjadi inti pati kepada peringatan untuk ahli-ahli yang lain.

Saya melihat dari pemerhatian selama ini, seringkali setiap kali lontaran kritikan dibuat ianya tidak lebih daripada sekadar bersifat menghiburkan hati atau melepaskan geram atau mungkin bertujuan menjatuhkan moral ahli yang lain. Maafkan saya jika ada yang terasa dengan penulisan ini tetapi inilah luahan dan nasihat daripada saya untuk diri saya sendiri dan juga sesiapa sahaja yang membaca artikel ini.

Dalam erti kata yang mudah, kita gagal menyerapkan semangat MEMBINA sesama ahli dalam gerakan atau organisasi kita. Walau bagaimanapun, tulisan ini bukanlah bererti kita tidak boleh mengkritik atau menegur sesiapa dalam organisasi kita tetapi berpada-padalah dan ingatkan lah diri kita tentang perkara yang sama, saya yakin natijahnya akan menjadi lebih positif.

Terma “komunikasi” akan menjadi aspek terpenting dalam situasi sebegini. Percayalah bahawa Islam itu syumul, maka sudah tentu Islam telah menggariskan panduan yang jelas dalam kita menggunakan nikmat “komunikasi” ini. ALLAH berfirman dalam Quran,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi lah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan berfatwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Surah aL-Hujurat: 12
Ya, jauhi lah sangkaan yang bukan-bukan kerana kita bimbang sangkaan itu DOSA buat kita. Seterusnya dalam ayat di atas, ALLAH menegaskan kepada kita dalam berkomunikasi, janganlah sesekali kita mencari-cari kesalahan orang lain.

Ini lah satu sifat yang ada pada diri kita yang begitu sukar untuk dibuang iaitu sifat suka melihat orang lain jatuh. Inilah etika dan garis panduan yang pertama ditetapkan oleh ALLAH tentang ilmu komunikasi ini. Seterusnya, hamparkan sutera HIKMAH dalam kritikan dan teguran kita sebagaimana ALLAH berfirman,
“Seru lah ke jalan Tuhan mu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahas lah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan mu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Surah aL-Nahl: 125
Mana mungkin sesebuah organisasi itu tiada berlakunya pertembungan pendapat dan kritikan. Oleh itu, hamparan sutera HIKMAH ini adalah ubat kepada penyakit komunikasi ini insya ALLAH. Tujuan utama kita duduk berbincang dan berlaga pendapat adalah untuk menjengah segala kekusutan yang dialami oleh gerakan atau organisasi kita.

Jika kesudahannya adalah bersifat negatif, maka bermuhasabah lah kembali agar pulangnya kita daripada perbincangan itu dengan hati yang lapang dan yang paling penting perbincangan itu berjaya meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita kepada ALLAH SWT.

Saya amat berharap agar lontaran kecil ini dapat membuka sedikit ruang kepada kritikan dan teguran yang bakal kita lontarkan kelak pada pertemuan akan datang untuk mengenal erti matang dan malu kepada diri sendiri. Sesungguhnya saya cuma menyampaikan dan sewajibnya kita beriman betapa tiada upaya dan kudrat melainkan pemilik cakerawala ini, Rabbul Izzati.

Maka, saya menyampaikan hal ini hanya kerana-Mu ya ALLAH.