Thursday, October 7, 2010

Setahun Time To Change

Kalau diikutkan tarikh sebenar, sudah terlewat untuk menyambut hari kelahiran Time to Change namun aku kira masih OK untuk mengeluarkan entri berkaitan sambutan sempena setahun wujudnya blog Time to Change ini. Masih teringat lagi entri pertama aku yang begitu ringkas namun itulah maksud sebenar kewujudan blog kecil ini;
“Give a second to think about Islam. How much you are ready yourself to be mujahedeen? This is a time to change ourselves. Insya’ALLAH!”
Blog ini merupakan tempat untuk aku meluangkan sesaat demi Islam. Memberi ruang kepada aku sesaat untuk memikirkan tentang Islam. Aku jadikan blog Time to Change ini sebagai medium kepada suara dan rasa hati aku. Sambil mengharapkan satu “turning point” mampu dicipta hasil penulisan dalam blog kecil ini.

Tidak kira sebesar atau sekecil mana pun kesan “turning point” itu namun mengambil iktibar daripada kisah sang burung pipit yang cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim as walaupun menyedari hakikat bahawa usaha itu hanyalah sia-sia sahaja maka aku bertekad biarpun hanya sedikit atau mungkin tiada langsung kesan yang mampu aku bawa melalui medium Time To Change ini untuk mengubah masyarakat tetapi aku cukup yakin bahawa ALLAH pasti tidak akan mempersia-siakan amal perbuatan hamba-Nya walau sekecil zarah sekalipun.

Biarpun pada pandangan mata manusia, usaha ini sia-sia, tetapi aku cukup insaf bahawa ALLAH tidak pernah mempersia-sia kan hamba-Nya.

Maka disebabkan itulah, aku berusaha keras untuk memajukan Time To Change dan senantiasa mengambil tips yang berguna untuk meletakkan TTC setanding dengan blog-blog hebat yang lain. Bukan tujuan untuk suka-suka atau mengumpul duit semata tetapi hajat besar yang aku tanam mula daripada entri yang pertama itulah yang menjadi kekuatan untuk aku meneruskan usaha ini.

Kira-kira di akhir bulan Ogos tahun 2009, di inspirasi kan oleh blog senior-senior aku seperti Kacapermata, TintaDuat, Tun Hisyamuddin, Zainulfaqar dan beberapa buah blog persatuan dan pergerakan mahasiswa maka aku menimbangkan niat untuk turut belajar berkecimpung dalam dunia blog ini.

Maka, aku telah membina sebuah blog yang menumpang pada free domain Blogger.com dengan nama domain aku ata-timetochange. Menggunakan title Time to Change kerana ketika itu angin perubahan tidak kira sama ada dalam atau luar kampus terhadap politik negara ternyata makin membuak-buak.

Maka, aku memilih “ini masanya untuk kita berubah” sebagai tajuk blog.

Tajuk yang hebat tidak membawa erti apa-apa jika isinya kosong. Alhamdulillah kerana ramai senior aku terutamanya Abang Farid dan Abang Ammar membantu aku untuk menjadi seorang penulis yang mampu menulis dengan baik.

Dari sini, aku lebih memahami fungsi blog yang bukan sekadar menjadi tempat untuk kita menyampaikan apa yang kita tahu, tetapi turut menjadi tempat untuk kita merungkau permasalahan yang berlaku dalam diri kita secara langsung atau tidak langsung.

Seingat aku, kira-kira 8 bulan blog ini wujud entri yang dihasilkan ternyata masih dalam jumlah yang mengecewakan dan blog ini menjadi sedikit hangat hanyalah ketika berlangsungnya Pilihan Raya Kampus (PRK) UKM sesi 2009/2010 apabila aku banyak mengeluarkan entri yang berkaitan dengan penyelewengan dan proses membodohkan mahasiswa di UKM. Sejak dari peringkat itu, aku mula belajar bagaimana untuk berdepan dengan pelbagai ragam pembaca di blog sendiri.

Merasa selamat bila ada pembaca yang menyokong namun mula marah, geram, sedih bila ada pembaca yang membangkang dan mencerca penulisan aku.

Dari situ juga, aku belajar betapa bukan semua mampu menerima corak penulisan aku. Sambil aku tak menafikan kekurangan yang aku miliki yang menyebabkan keadaan itu berlaku. Namun demikian, keinginan untuk belajar masih membuak-buak menyebabkan aku tidak menghiraukan segala mak nenek perasaan itu.

Alhamdulillah, walaupun sedikit tertekan Time to Change masih lagi bertahan dan wujud.

PRK UKM berlangsung dalam bulan Januari 2010 dan selepas itu aku lebih banyak mengupas suasana politik luar dalam gaya aku sendiri. Keras, offensive itulah sifat penulisan aku.

Hal ini berlangsung terus sehinggalah aku mengenal Gengblogger.com, sebuah laman ping aggregator yang begitu popular khususnya dalam kalangan blogger Malaysia. Dari dunia Gengblogger.com inilah aku mula mengenal dunia blog yang begitu luas dan menarik. Dari Gengblogger.com inilah aku mula mengenal ramai blogger tidak kira dia blogger otai atau newbie namun cukup menggambarkan aku mengenali mereka yang datang dari pelbagai corak kehidupan namun berkongsi kan satu minat yang sama iaitu blogaholic.

Bermula dari sinilah jugalah, aku mula belajar untuk memahami kehendak pembaca. Namun begitu, aku sesekali tidak mengubah tekad dan niat aku mewujudkan Time to Change ini. Konsep aku mudah, yang baik aku ambil dan yang tak baik, aku tinggalkan.

Dunia online dan dunia offline sama sahaja. Masing-masing membina perwatakan masing-masing dan kita sebagai makhluk yang dianugerahkan akal, haruslah bijak dalam meletakkan diri kita di mana sahaja.

Dan bermula daripada dunia Gengblogger.com inilah aku mengenal Nuffnang.com, sebuah syarikat pengiklanan yang menawarkan platform untuk blogger menjana pendapatan melalui iklan yang tersiar di dalam blog mereka. Bermula dari sini, aku mula merasakan betapa peluang untuk menambahkan pendapatan tidak harus disia-sia kan. Aku mesti merebut peluang ini dan pada masa yang sama, aku pastikan matlamat blog Time To Change ini wujud tidak lari dari asalannya.

Bermula daripada saat ini jugalah, aku mula belajar ilmu blogging dan teknikal blog. Mula berjinak-jinak dengan Alexa ranking, Page Ranking (PR), Search Engine Optimization (SEO), google index, ping site, Google webmaster, unique visitor, bounce rate, link wheel, Search Engine Result Page (SERP), profile backlink, RSS feed dan pelbagai lagi istilah-istilah pelik dalam dunia blog ini.

Memang susah nak faham tetapi bila dah faham ternyata memberi satu kepuasan terutama apabila percubaan dan uji kaji menjadi dan memberi kesan pada prestasi blog Time To Change ini. Untuk ini, aku tujukan ucapan terima kasih buat Denaihati.com dan ariffshah.com kerana banyak entri mereka membantu aku untuk memahami segala ilmu ini.

Sepanjang setahun Time to Change, antara isu besar yang aku kupas secara panjang ialah kes tembak mati Allahyarham Adik Aminulrasyid Amzah. Cukup terasa kepuasan apabila blog Time To Change menjadi rujukan banyak pihak untuk mengetahui perkembangan dan ulasan tentang kes itu walaupun pada aku ulasan itu lebih bersifat personal namun mungkin bahana “hot keyword” telah menyebabkan blog ini sering mendapat 1st page dalam carian Google untuk kes Adik Aminulrasyid ini.

Sehingga kini, aku masih mencari rentak penulisan yang terbaik dan konsisten agar ia mampu menjadi “niche” kepada corak penulisan aku dan insya-Allah aku sentiasa mendoakan agar Dia memberi kekuatan kepada aku untuk meneruskan usaha ini.

Itulah serba sedikit cerita Time to Change buat pembaca-pembaca blog kecil selama ini. Menceritakan setahun Time to Change ini wujud di dalam dunia online. Pada aku sumbangannya amatlah sedikit dan kerdil tetapi aku optimis dengan penghargaan ALLAH kepada setiap usaha hamba-Nya insya-ALLAH.

Kini, usaha aku lebih kepada untuk mempromosikan blog Time to Change agar ianya dikenali ramai dan mempunyai pembaca setia. Inilah impian aku selain menjadikan blog Time to Change ini sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan aku.

Jom bersama-sama saya berubah dan mengubah…