Friday, October 22, 2010

Penawar Penyakit Mabuk Cinta

Berbicara soal cinta membuatkan aku penasaran kerana aku bukanlah orang yang sesuai untuk bersoal jawab dan berhujah berpolemik dalam lubuk hati dan perasaan ini. Bukan apa, kerana sehingga kini aku masih belum dapat merasa apakah itu CINTA yang dicanangkan oleh kebanyakan rakan aku sejak dari sekolah rendah sehingga ke alam universiti.

Pernah teringin untuk mencintai dan dicintai namun apakan daya, nak peluk gunung tangan tak sampai. Kata seorang sahabat, kau bertuah kerana ALLAH menyelamatkan kau dari bahana CINTA.

Minta maaf jika pembuka bicara ini agak mengarut tetapi itulah hakikat yang aku lalui selama ini. Tujuan aku menulis ini bukan untuk menceritakan perihal diri aku yang tidak pernah merasa nikmat cinta bercinta tetapi untuk berkongsi rasa dengan semua sahabat-sahabat tentang perihal cinta di alam remaja terutamanya.

Konteksnya, setengah aku jumpa mereka ada yang terlalu MENGEJAR cinta dan ada pula yang DIKEJAR cinta tak berkesudahan. Itulah hakikat putaran dan percaturan dunia. Masing-masing ada hikmah tersendiri. Cuma tinggal kita untuk menilai dan bermuhasabah kembali tentang hakikat itu. Semalam, aku berbual dengan seorang sahabat dunia akhirat aku tentang soal cinta.

Panjang dan lebat. Panas dan menggetarkan jiwa.

Tak perlu aku sebutkan nama dia di sini tetapi cukuplah aku mengaku bahawa aku turut mahu bersama dia di syurga kelak. Itulah sahabat aku yang umpama jika dia merasa kesakitan sebegitu, aku turut merasai kesakitan itu dan aku cuba menyelami perasaan dia demi mengeluarkan dirinya daripada kemelut jiwa dan perasaan itu.

Sungguh, aku bukanlah pakar apatah lagi seorang alim tetapi cuma seorang sahabat seakidah. Aku katakan pada dia betapa sang pemberi hidayah itu adalah ALLAH. Maka, umpama kata seorang pensyarah ku, merintihlah pada tuhan mu nescaya akan ada pertolongan buat mu.

Dirinya tersepit kerana dia sering DIKEJAR cinta. Makin ditolak makin berbondongan cinta datang mengejar hatinya. Aku menghela, bertuahnya kau sahabat.

Tapi, diri dan jiwanya tidak pernah merasa bertuah kerana diberi peluang sebegitu. Lantaran kesan daripada pentarbiahan jiwa dan nafsu maka dia merasa amat berdosa dan bersalah. Nah, terkesima aku di kala dia menyebut bahawa dia amat takut jika kerana nikmat itu dosanya terus bertambah dan bertambah.

Aku pula merasa malu kerana sekurang-kurangnya ingat pada dosa itu menjadi pendinding kepada melakukan dosa yang lebih besar. Tapi, aku jarang sekali merasa sebegitu. Sekarang aku baru sedar keunikan penciptaan manusia oleh ALLAH SWT di dunia ini.

Dia meletakkan sahabat aku dalam situasi DIKEJAR cinta tapi dalam pada masa yang sama dia dikurniakan rasa berdosa yang amat pada Penciptanya tapi, ada juga mereka yang gagal merasa takut dengan dosa yang diperbuat oleh mereka. Bersyukur kerana ALLAH sayangkan kita sebenarnya.

Dia menceritakan pada aku bagaimana dirinya DIKEJAR cinta sejak sekolah rendah lagi. Masuk ke alam menengah adegan ini berterusan sehinggakan membawa kepada satu tahap yang kritikal. Bukan pada dirinya sahaja, tetapi sesama mereka yang mengejar CINTA sahabat aku ini.

Terpaksa menjauhkan diri supaya dapat mengelak daripada terjebak dengan lebih jauh lagi. Namun, nafsu ke kadang mengatasi iman. Ya itu normal sebagai manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Bukan dia yang meminta atau memujuk rayu untuk dicintai oleh sesiapa tetapi ujian ALLAH pada dia telah meletakkan posisinya yang mudah menarik minat orang lain untuk mengejar CINTA nya. Katanya lagi, jika kisah pengalamannya itu dibukukan mungkin sudah terbit sebuah novel yang begitu tebal untuk menggarap kisah hatinya yang senantiasa DIKEJAR cinta.

Maka dia bertanyakan pada aku apakah penyelesaiannya yang sepatutnya dia ambil kerana bimbang jika keadaan ini akan terus menyebabkan dia makin berdosa dan bersalah.

Alhamdulillah, ingat ALLAH itu adalah penawar yang mujarab. Jika boleh mengelak, cuba elakkan tapi bagaimana pula dengan mereka yang berada di sekeliling dia setiap hari setiap waktu. Sudah tentu sukar untuk memberi alasan.

Jadi, aku menasihatinya agar ubahlah landskap itu menjadi medan dakwah kita kepada mereka yang cuba ingin mendapatkanINTA kita. Susah memang diakui tetapi sepatutnya kita bersyukur diuji sebegitu kerana ALLAH Maha Mengetahui kenapa Dia meletakkan kita dalam situasi sebegitu.

Namun, berbeza pula dengan situasi mereka yang terlampau MENGEJAR cinta. Percakapan seharian mesti akan berkait rapat dengan situasi yang mereka alami itu. Kadang kala rasa kasihan menjengah diri melihat beberapa orang sahabat-sahabat yang terlalu MENGEJAR cinta.

Kerana perasaan dan keterujaan itu menyebabkan mereka mudah mendekati perkara yang tidak sepatutnya. Malah ke kadang cuba mencari dalil bagi menghalalkan perbuatan mereka itu. Aku tidak tujukan pada sesiapa penulisan ini tetapi jika ada sahabat-sahabat terasa, ambillah iktibar.

Seperti sahabat aku di atas yang hidupnya sentiasa DIKEJAR cinta, begitu juga nasihat aku pada mereka yang terlalu asyik MENGEJAR cinta ini iaitu ingatlah ALLAH. Sungguh, ini adalah penawar yang paling mujarab yang mampu mencegah diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang menghampiri zina terutamanya.

Untuk aku mengatakan cukup-cukuplah itu wahai sahabat ku, mungkin agak berat untuk mereka tetapi ambillah peringatan ini. Supaya setiap langkah kita itu masih lagi dapat menahan hasutan syaitan laknatullah. Bukan bermaksud aku menggalakkan kalian untuk terus MENGEJAR cinta tetapi jikalau kalian memang tidak mampu lari daripada polemik itu,beringatlah senantiasa pada sang Pencipta.

Teringat kata-kata sahabat aku yang hatinya sentiasa DIKEJAR cinta apabila dia melihat kawan-kawannya yang sibuk MENGEJAR cinta, “Bodohnya kalian kerana tidak mengetahui betapa merananya kalian jika memiliki cinta yang direka-reka itu.”

Ya, aku dan sahabat aku itu mengakui bahawa CINTA itu tidak haram dan BERCINTA pun tidak haram tetapi perlulah dengan syarat dan kondisi nya. Nak tau bagaimana mahu menjadikan CINTA itu halal, ada petuanya di sini.

Akhirnya, perbualan kami pada malam itu berakhir dengan satu kesimpulan – betapa hanya kerana rasa takutkan ALLAH sahaja mampu menyelamatkan diri kita daripada terjerumus ke dalam perangkap syaitan terutamanya lelaki di mana ALLAH sendiri telah menyebut dalam al-Quran bahawa ujian untuk kaum Adam yang terbesar ialah makhluk yang dicipta dari tulang rusuk mereka sendiri. Ini mungkin penawar penyakit cinta yang tidak berkesudahan, yang aku boleh kongsikan sedikit buat para pembaca.

Buat sahabat aku yang sudi berkongsi rasa hati ini kepada aku tentang kisah hidupnya, aku mendoakan agar dia terus mampu teguh melawan hasutan dan takut pada Dia yang memerhatikan kita setiap tika dan waktu.

Wallahualam…