Friday, October 8, 2010

Mencontohi Furkan Doğan Si Syuhada Mavi Marmara


“Ayah, saya nak pergi ke Palestine kerana mahu menolong saudara-saudara saya yang menderita di sana.”

Itulah kata-kata Furkan Doğan, syuhada berumur 19 tahun dalam peristiwa serangan Mavi Marmara beberapa bulan yang lepas kepada ayahnya ketika dia ditegah daripada mengikuti rombongan kemanusiaan itu.

Mendengar cerita ini dari mulut Tuan Azman, salah seorang sukarelawan daripada Malaysia yang turut berada di atas Mavi Marmara ketika diserang membuatkan saya teringat kembali kisah bagaimana semangatnya dua putera ‘Arfa untuk pergi berperang bersama-sama Rasulullah SAW dalam peristiwa Perang Badar semata-mata untuk memenggal kepala Abu Jahal yang begitu banyak menyeksa kehidupan Rasulullah SAW tika di Makkah seketika dulu sebelum berhijrah ke Madinah. Kisah ini diceritakan dalam Sahih Bukhari oleh Abdul Rahman bin Auf r.a.

Mungkin ALLAH SWT masih mahu menunjukkan kepada dunia betapa semangat jihad itu masih tertanam dalam diri umat Islam yang peka dan beriman dengan kewujudan Hari Akhirat kelak. Mereka yang syuhada ini dijanjikan Firdausi. Maka, Furkan pasti mahu merebut itu.

Sungguh, jika nak dibandingkan semangat kita dengan semangat Furkan, jiwa kita dengan jiwa Furqan, ketabahan kita dengan ketabahan Furkan, kekentalan kita dengan kekentalan Furkan maka kita begitu jauh sekali.

Bukan mahu merendah-rendahkan diri sendiri tetapi bila melihat sendiri video serangan itu yang dipertontonkan kepada kami semalam dalam sebuah program LL4G: End of Siege oleh Haluan Palestin di UKM telah menyebabkan saya mengakui betapa mereka yang sanggup bersama-sama dalam operasi itu adalah mereka yang benar-benar cintakan dan rindukan title syuhada.

Mereka pergi ke sana dengan matlamat syahid. Mereka tidak bermimpi untuk pulang dengan selamat. Kerana itu, apabila kapal-kapal pengintip kawalan jauh milik Israel laknatullah mula mendekati Mavi Marmara para penghuni kapal tersebut langsung tidak meneriakkan ketakutan mereka malah laungan takbir makin kuat bergema.

Menyaksikan bagaimana salah seorang ahli rombongan dari Turki yang bernama Cetin sanggup menjadikan badannya sebagai bentang kepada peluru yang ditembak oleh seorang komando Israel daripada mengenai seorang bayi perempuan yang berusia 2 tahun setengah cukup menggambarkan cita-cita mereka untuk mengejar syahid yang dijanjikan makam tertinggi di Akhirat kelak. ALLAHU AKBAR!

Bergetar tangan menulis artikel ini. Bila mengenang balik video serangan itu menyebabkan saya mahu menangis. Bila mengenangkan kisah Furkan yang masih muda belia sebaya dengan umur saya menyebabkan saya kembali terfikir apakah diri ini layak untuk digolongkan bersama-sama mereka dalam keadaan masih terbuai dengan keseronokan sementara ini tanpa sedar diri terleka daripada memikirkan kehidupan di alam akan datang yang kekal abadi.

Terfikir, jika saya mendapat panggilan untuk menyertai rombongan ke Palestine demi membantu saudara-saudara di sana apakah saya menyetujuinya dan mengikutinya atau akan menolak memikirkan keselamatan diri dan perkara-perkara lain?

Ya tuhan, kurniakan lah kekuatan iman dan takwa kepada kami…

Bangkitkan lah jiwa-jiwa kami ini untuk sama-sama mengimpikan janji-Mu itu ya ALLAH.

Buat semua syuhada Mavi Marmara, berbahagialah mereka dengan kenikmatan Firdaus yang dijanjikan untuk para syuhada. Satu muhasabah buat kita semua agar kita mengambil iktibar dan kekuatan daripada pengisahan ini. Benar, hanya ALLAH sahaja tempat tujuan hidup kita.

Berbahagialah wahai Furkan Doğan!