Sunday, October 3, 2010

Hukum Couple Halal atau Haram?

Semalam, semasa berbual dengan seorang sahabat saya Hasif dia bertanyakan soal hukum ber"couple" sama ada dalam Islam dibenarkan atau tidak. Mudahnya, hukum couple halal atau haram dalam Islam?

Terus terang saya katakan padanya, saya bukanlah orang yang pandai dalam memberi hujah dan hukum namun sekadar pendapat peribadi yang masih lagi berlandaskan nas al-Quran, saya merasakan itu sahaja kemampuan yang ada.

Dia juga bertanyakan hukum apabila seseorang perempuan itu keluar bersama-sama dengan lelaki berdua-duaan di tempat yang ramai orang, apakah hukumnya.

Buat sahabat ku Hasif, jawapan ini sebagai menunaikan tanggungjawab saya untuk menyampaikan apa yang benar dan bukannya dengan tulisan ini saya berniat untuk menghukum sesiapa. Cukuplah akal kita menjadi penilainya berdasarkan hidayah yang dikurniakan ALLAH kepada kita.

Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah, CINTA itu fitrah. Mana mungkin seseorang itu mampu hidup di dunia ini tanpa cinta. Kerana kita telah diciptakan ALLAH dengan berpasang-pasangan lelaki dan wanita tidak lain tidak bukan ialah kerana CINTA.

Manusia itu hidupnya tidak pernah lengkap tidak kira dia itu lelaki atau perempuan. Maka, ALLAH menjadikan untuk Hawa untuk Adam sebagai pelengkap kepada kekurangan yang ada pada dirinya.

Maka perlu kita fahami ialah CINTA itu tidak SALAH dan ianya fitrah sebagai manusia. Namun, ingat!

CINTA itu ada saluran nya yang telah ditetapkan oleh Pencipta kita. Menggunakan saluran yang salah, maka salah lah cinta kita itu.

Jika betul jalannya, maka subur lah CINTA itu dengan RAHMAT dan REDHA dari Pemberi Rasa Cinta dalam hati kita.

Biarkanlah CINTA itu mengembara dengan jalan yang betul, maka kita akan lebih dicintai oleh Pencipta kita.

Habis, tidak salah kah CINTA sebelum nikah?

Bagaimana mahu menjadikan CINTA sebelum nikah itu HALAL dan dipandang SUCI?

Saya berkata kepada sahabat saya Hasif, Islam itu cukup lengkap dengan panduan bagaimana mahu mendapatkan taraf HALAL pada cinta kita sebelum nikah. Cukup mudah Islam itu namun kita bukan disuruh untuk mempermudah kan nya. Bagaimanakah caranya?

Islam telah menetapkan beberapa batasan dan etika dalam pergaulan antara kaum Adam dan kaum Hawa.

Tundukkan lah Pandangan mu Wahai Sahabat ku


Peringatan khas dari Maha Pencipta kepada kaum Adam dalam surah aN-Nuur,

“Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluannya (kehormatan) mereka. Maka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.” 
Surah aN-Nur: 30

Dan dalam peringatan seterusnya, khas buat kaum Hawa Dia turut berpesan kepada kita,

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”
Surah aN-Nur: 31

Maka, untuk menjadikan CINTA itu halal jagalah pandangan mu wahai sahabat ku.

Tutuplah Aurat-mu Wahai Sahabat ku


ALLAH berfirman dalam ayat yang sama di atas,

“…. dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan…”
Surah aN-Nuur: 31

Hal ini bukan tertakluk pada kaum Hawa sahaja, namun kaum Adam tidak terlepas daripada perintah ini. Ingatlah, aurat mu itu adalah harta yang tidak ternilai di sisi ALLAH. Jika tidak, mana mungkin ALLAH akan menurunkan sebuah surah KHUSUS untuk menceritakan hal berkaitan aurat dalam al-Quran.

Adanya Pembatas Antara Adam dan Hawa Wahai Sahabatku


Kita saling memerlukan dan kita mesti sedar yang kita tidak boleh hidup berseorangan. ALLAH menetapkan dalam al-Quran,

“…. dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir…”
Surah aL-Ahzaab: 53

Namun, perlu ingat perbatasan ini bukanlah alasan yang mengharamkan si Adam bertemu dengan Hawa tanpa syarat. Kerana Islam itu cukup mudah buat pengikutnya, ada keringanan yang telah dinyatakan oleh beberapa orang ulama dalam hal-hal tertentu seperti belajar, beurus niaga dan sebagainya.

Bercinta sebelum nikah boleh, tetapi jagalah PERBATASAN nya.

Adam dan Hawa Itu Tidaklah Duduk Berdua-duaan


Dalam sebuah hadith tercatat akan hal ini,

“Dari Ibnu Abbas RA berkata: saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: janganlah seorang lelaki itu berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali dengan muhrimnya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan lagi,

“Dari Jabir bin Samurah berkata: Rasulullah SAW bersabda: janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita kerana syaitan akan menjadi ketiganya.” 
(Riwayat Ahmad dan Tarmidzi)

Berat kah?

Cuma sekadar bertanya, adakah dengan dating itu baru dinamakan bercinta?

Jika tidak dating, maka tak dinamakan CINTA kah?

Mungkin kerana kita dididik bahawa konsep CINTA itu mesti wujudnya DATING, maka kita akan merasa berat bila mendengar ucapan Rasulullah SAW ini.

Untuk kaum Hawa, Janganlah Kalian Melunakkan Suara Tika Berbicara Dengan Ajnabi


Bukan apa, kerana suara mu itu umpama panah berbisa buat kaum Adam. Gunakanlah ia untuk mereka yang halal bagi kalian kerana itu ALLAH berfirman lagi,

“… janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” 
Surah aL-Ahzaab: 32

Untuk apa merengek dan bermanja dengan mereka yang tidak sah buat kalian?

Untuk tujuan apa dan jika tidak merengek dan bermanja, tidak dinamakan cinta kah?

Etika nya, berkata Imam Ibnu Katsir dalam Tafsir Ibnu Katsir,

“Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada isteri-isteri Rasulullah dan wanita-wanita mukminah sekalian, iaitu hendaklah kalau dia hendak berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dengan pengertiannya janganlah seseorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.” 
(Tafsir Ibnu Katsir: 3/350)

Usah Menyentuh Si Dia Wahai Sahabat ku


Jika kalian betul sayang kepadanya, usahlah heret si dia ke neraka sekali dengan kalian. Jika kalian sanggup mengatakan akan ku renangi lautan api sekalipun, buktikan dengan tidak membiarkan si dia turut berenang dalam lautan api neraka bersama-sama dengan kalian jika benar kalian menyayanginya dan mencintainya.

Bayangkan situasi ini,

“Dari Maqil bin Yasar RA beliau berkata seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi maka itu lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginya.” 
(Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

Fikir lah wahai sabahat ku, jika kalian sayangkan si dia.

Itulah petua mujarab untuk menjadikan CINTA sebelum NIKAH kita itu HALAL dan SUCI.

Habis, apakah hukum berpasangan-pasangan dan bercinta sebelum kahwin?

Tidak saya nafikan ramai orang menyatakan ianya haram kerana syarat di atas semuanya memberi batasan kepada mereka yang bercinta. Kita sering menganggap bila bercinta mesti begini,

  1. Orang bercinta mana mungkin akan menundukkan pandangannya kepada kekasihnya
  2. Orang bercinta tidak akan dapat menjaga batasan mereka
  3. Orang bercinta biasanya akan berdua-duaan dengan kekasih mereka
  4. Pasangan kekasih suka bermanja-manja dan merengek-rengek sesama mereka
  5. Orang bercinta mesti suka saling bersentuhan – romantik katakan
  6. Orang bercinta pasti akan terbayang wajah si dia bila tidak bersama dengan dia

Maka, jika kita bercinta seperti di atas, salah lah jalan percintaan itu wahai sahabatku. Kerana jalan itu mendekatkan diri kita dengan ZINA. Masih ingatkah ayat ini?

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Surah aL-Israa’: 32

Kerana kebiasaannya, bila bercinta tanpa ada syarat maka senanglah untuk membina jalan ke arah zina. Haramnya bila dikatakan bercinta itu adalah jalan menghampiri ZINA.

Di sini saya cuba memperluaskan skop bercinta itu sendiri kerana selama ini kita cuma melihat bercinta itu dengan satu perspektif sahaja. Baiklah mulakan dengan persoalan-persoalan ini,

  • Tidak dinamakan cinta kah kalau kita menundukkan pandangan kita daripada perkara yang haram atau menundukkan pandangan daripada si dia?
  • Tidak dinamakan cinta kah jika kalian menutup aurat kalian dengan sempurna?
  • Tidak dinamakan cinta kah jika tidak bertemu dan berbual?
  • Tidak dinamakan cinta kah jika kita tidak dating?
  • Tidak dinamakan cinta kah jika kita tidak merengek dan bermanja?
  • Tidak dinamakan cinta kah jika kita tidak bersentuhan?
  • Apakah cinta itu mesti dizahirkan seperti alasan di atas baru layak dipanggil sebagai sepasang kekasih?

Jadi jika kita bercinta dengan menjaga batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh Maha pencipta kita, masih salah kah cinta itu?Hakikatnya tidak ramai yang mampu berbuat demikian.

Bercinta lah kerana itu fitrah. Namun, perlu diingat cinta itu mesti kerana ALLAH bukan kerana nafsu dan keinginan. Kalian menyayanginya kerana ALLAH sebagai jalan untuk kalian mengikat si dia sehingga ke gerbang perkahwinan.

Pesanan buat sahabat-sahabat lelaki ku, jika kalian sanggup bercinta dengan syarat di atas maka kejar lah CINTA. Carilah CINTA. Nikmatilah CINTA kalian. Biarkanlah CINTA itu mengembara dengan penuh keredaan-Nya. Kalian pasti akan menemui cahaya kebahagiaan di penghujungnya nanti.

Sesungguhnya Tuhan amat menyayangi kita. Dia tidak mahu kita tersesat arah dalam nikmat bercinta. Dia tidak mahu kita terjerumus dalam perangkap syaitan laknatullah.

Dia tidak mahu kita lupa kepada-Nya jika kita asyik dengan CINTA kita itu.

Dia tidak mahu kita mengotori nilai CINTA itu dengan nafsu dan keinginan kita. Dia mahu kita menemui reda-Nya dan rahmat-Nya dalam percintaan kita.

Buat sahabat saya Hasif ini jawapan buat pertanyaan semalam. Jadikan ini sebagai perbandingan sahaja. Saya cuma memberi pandangan berdasarkan pengetahuan yang terhad dan penilaian sahabat-sahabat itu lagi penting dan hebat.

Wallahualam…