Monday, October 18, 2010

Belanjawan 2011 dan Harapan Islam di Malaysia

Mungkin inilah Bajet Malaysia yang terbaik mampu dihasilkan oleh Dato' Seri +Najib Razak dan rakan-rakan sejawatnya. Seperti komentar seorang rakan tentang Bajet 2011 ini katanya, bukan tidak mahu bersyukur tapi…

Saya masih lagi boleh menaruhkan sedikit kepercayaan pada Bajet 2011 ini apabila mendengar antara strategi dalam menjayakan pelaksanaan Bajet 2011 ini iaitu membangunkan modal insan dan menyejahterakan hidup rakyat. Nampak sangat baik tapi kami di bawah ini amat menanti-nantikan tindakan ke arah merealisasikan strategi tersebut.

Sebenarnya, setiap kali pembentangan Bajet Belanjawan Malaysia tidak kira apa tahun sekalipun, hati kecil meminta agar bajet dan peruntukan yang sewajarnya kepada pembangunan kerohanian dan pemantapan sahsiah kepemudaan Malaysia dapat disalurkan. Namun, dalam Bajet 2011 ini sekali lagi hati kecil ini dikecewakan oleh barisan pentadbiran Malaysia.

Hari ini, kita menyaksikan Malaysia telah dijangkiti dengan wabak penyakit sosial yang begitu parah sehinggakan ada sesetengah orang mengatakan keadaan sosial di Malaysia seakan menyamai keadaan sosial di negara-negara barat.

Mungkin benar dan mungkin juga salah tapi aku pun berpendapat sedemikian kerana menyaksikan kadar kelahiran anak luar nikah yang berdaftar sahaja sudah cukup membuatkan kita terbeliak biji mata. Maka, dari situ kita sudah dapat mengagak tahap kritikal penyakit sosial di Malaysia.

Jadi, bila melihat situasi dan kondisi ini saya amat berharap jika kerajaan mampu menyediakan sesuatu dalam mengatasi masalah ini terutamanya kerana tanpa adanya bekalan modal insan yang mencukupi, manakan mungkin Wawasan 2020 dan cetusan transformasi negara dapat dijalankan. Oleh itu, sudah pasti tindakan untuk mengatasi masalah ini perlu diambil dan dipandang serius oleh kerajaan.

Namun, sekali lagi kerajaan pimpinan Najib mengecewakan saya apabila hasil pembentangan Bajet 2011 sama sekali tidak mesra kepada proses pemulihan modal insan dan pembangunan kerohanian masyarakat tidak kira di peringkat mana umur mereka. Jom kita telusur beberapa pembaziran sumber duit dalam Bajet 2011 kali ini:

  1. RM111 juta untuk pembangunan Projek Permata Pintar
  2. RM5 billion untuk projek bersepadu “Warisan Merdeka” dengan Menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia
  3. RM85 juta untuk pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman
  4. RM50 juta untuk pembinaan laluan pejalan kaki di lingkaran KLCC ke Bukit Bintang

Dan pelbagai lagi duit ke arah pembangunan material dan kroni. Cuba bandingkan dengan bajet yang disediakan untuk pembangunan pendidikan, modal insan dan kerohanian negara:

  1. RM20 juta untuk menambah peratusan akademik berkelulusan PhD
  2. RM70 juta untuk program yang melibatkan NGO terpilih bagi mengatasi kes rempit, pembuangan bayi, gengsterisme
  3. RM95 juta untuk bantuan per kapita Sekolah Agama Rakyat (SAR)

Dan beberapa lagi peruntukan ke arah melahirkan masyarakat yang teguh pendidikan dan bekalan modal insan yang mapan namun point utama saya ialah kenapa skala duit yang ditetapkan di antara senarai bajet di atas dan di bawah begitu ketara sedangkan dua strategi utama yang diumumkan oleh Najb bagi menjayakan Bajet 2011 ini ialah membangunkan modal insan dan menyejahterakan hidup rakyat.

Hal inilah yang menjadi persoalan terbesar dalam benak pemikiran saya selaku salah seorang warga Malaysia yang merdeka dan bebas berfikir. Saya boleh bersetuju dengan kata-kata seorang sahabat, Fariq betapa Bajet 2011 ini masih lagi gagal dalam membantu Malaysia ke arah memperkasakan pendidikan ke seluruh peringkat umur dan menjadi teras kekuatan kepada lahirnya warga negara yang dinamik, berakhlak dan fleksibel.

Aku tidak menafikan jika sahabat-sahabat mengatakan aku “bias” dalam mengutarakan pendapat kerana aku tidak dapat lari daripada membicarakan dalam konteks sebegini dan aku lebih suka meminjam kata-kata Fariq betapa kerajaan harus lebih fokus pada TERAS utama pembangunan yang masyarakat Malaysia mahukan.

Realiti masyarakat Malaysia yang makin tenat dengan masalah sosial dan kemarau pendidikan yang matang tidak kira dalam aspek mana sekalipun. Bukannya dengan membuang sebegitu banyak peruntukan wang negara ke arah perkara yang memungkinkan memberi keuntungan kepada mereka-mereka yang tertentu dan mengabaikan golongan yang terpencil.

Maka, sekali lagi dalam pembentangan Bajet 2011 ini saya tidak nampak usaha kerajaan ke arah memperkasakan Islam yang dimaktubkan sebagai agama rasmi negara dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Mungkin saya sendiri yang buta dalam menilai erti pembangunan material sehingga gagal menemui kebaikan-kebaikan dalam peruntukan bernilai ratusan juta yang mampu memperkasakan kerohanian dan modal insan masyarakat.

Mungkin….