Saturday, September 4, 2010

Sport Toto Menghina Islam: Mengapa JAKIM Membisu?

Terkejut aku bila membaca berita hari ini, 3 September 2010 dari The Star Online tentang Sport Toto menganjurkan majlis berbuka puasa untuk rumah anak yatim dan ibu tunggal di sekitar Selangor.

Antara rumah anak yatim yang terlibat ialah Persatuan Anak Yatim dan Ibu Tunggal Kampung Medan, Petaling Jaya dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat,Banting.

Majlis tersebut diadakan dengan kerjasama Bukit Kiara Equestrian & Country Resort dan Sport Toto.

Baca ini dengan penuh rasa amanah terhadap agama Islam dan harga diri terhadap anak-anak yatim dan ibu tunggal yang menjadi mangsa keadaan.

Aku ulang, SPORT TOTO buat majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim dan ibu tunggal!

Sudah berubah ke hukum makan duit judi dan ramalan dalam al-Quran sehinggakan majlis ini sebegitu senang berlangsung tanpa ada sebarang kritikan dan hentaman terutamanya daripada pihak media?

Alangkah begitu senangnya mereka mempermainkan ibadat wajib dalam Islam iaitu puasa dengan mencampuri adukkan dengan duit yang keji lagi HARAM itu.

Ke manakah perginya sensitiviti mereka yang berada di sekitar itu terutamanya mereka yang beragama Islam?

Padahal hampir 100% mereka yang tinggal dan bekerja di rumah anak yatim itu adalah ISLAM. Ke mana maruah agama kita sehingga sebegitu senang kita menadah api neraka masuk ke dalam rongga badan kita lalu menjadi darah daging yang akan mengalir ke segenap keturunan akan datang?

Aku tidak mempersalahkan si anak yatim yang dijemput ke majlis tersebut kerana aku cukup yakin betapa mereka begitu naif tetapi ke mana mereka yang berpangkat sebagai pegawai di sana atau orang yang bertanggungjawab ke atas mereka ini untuk menghalang perkara ini daripada berlaku?

Geram. Marah. Ke mana perginya suara-suara media yang begitu sensitif terhadap isu yang membabitkan agama sebelum ini?

Kalau sebelum ini, isu doa minta hidayah oleh khatib di sebuah masjid di Pulau Pinang untuk Lim Guang Eng begitu hebat di palu oleh media arus perdana, kenapa bila hal ini berlaku tidak terdengar sedikit pun suara yang menentang?

Begitu juga isu Adun Serdang masuk masjid dan dikatakan menghina Islam, habis bila Sport Toto menganjurkan majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim tidak di kira MENGHINA ISLAM kah padahal hukum dan jawapan untuk setiap hal ini begitu jelas!

Ke mana suara mereka yang begitu sayangkan Islam sebelum ini?

Tidakkah kalian merasa kasihan bilamana melihat anak-anak yatim diberi makanan dari sumber yang jelas HARAM dan KEJI. Ke mana maruah kita?

Sudah tiada nilai ibadat pada puasa itu?

Sudah gugur nilai pahala dan berkat pada berbuka puasa itu?

Mana JAKIM yang begitu lantang menegakkan kesucian Islam bila dihina sebelum ini?

Mana arahan Raja-Raja Melayu untuk menghalang kemaksiatan ini?

Mana suara Perdana Menteri yang sebelum ini begitu hebat membela Islam bila dihina?

Mana suara Kementerian Jabatan Perdana Menteri terhadap penghinaan ini?

Siapakah kita di hadapan ALLAH kelak jika kita diberi kuasa namun gagal menjalankan dan mencegah maksiat dan penghinaan ini daripada berlaku?

Bagi aku, dan aku turut yakin sahabat-sahabat aku juga berpendirian sebegini bahawa Sport Toto menghina Islam bilamana langsung tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam dalam nilai ibadat khusus mereka.

Namun, aku lebih suka menujukan kecaman ini terhadap mereka yang bertanggungjawab dan mereka yang berada di sekitar majlis tersebut yang beragama Islam kerana GAGAL menghalang penghinaan ini daripada berlaku.

Hukum tentang memakan hasil judi begitu jelas pengharamannya dalam al-Quran dan kerana itulah aku begitu terkilan bila membaca berita ini.

Persoalannya,kenapa berita ini tidak disiarkan dalam Berita Harian atau Utusan Melayu padahal sebelum ini kedua-dua media arus perdana ini begitu lantang mengecam isu yang membabitkan penghinaan terhadap agama Islam.

Sudah mandul kah?

Cukup sedih bila teringat anak-anak yatim yang masih kecil itu telah menjamah makanan yang ditaja oleh syarikat yang haram lagi keji di sisi syariat Islam.

Cukup terkilan dengan nasib mak cik dan ibu tunggal yang di rai ketika majlis tersebut kerana telah menelan juadah berbuka puasa yang sumbernya haram lagi keji.

Lagi menyedihkan bilamana penghinaan ini terang dan jelas berlaku di bulan yang penuh barakah, RAMADAN KAREEM yang sepatutnya menjauhkan diri kita daripada api neraka namun.

Marilah kita sedar hakikat ini wahai sahabat-sahabatku. Kian lama kita lihat si kafir begitu mudah mencerca dan menghina Islam. Ke mana kita seterusnya?

Aku sangat berharap akan ada suara pihak berwajib menyanggah penghinaan ini agar ianya tidak akan berulang sekian kali lagi. Biarlah ini yang terakhir.

Hati kecil ku merayu agar Ketua Agama Islam Negara, Tuanku Yang Dipertuan Agong bersuara untuk menghalang segala bentuk penghinaan terhadap Islam yang benar-benar jelas hukum dalam al-Quran dan Hadis.