Friday, September 24, 2010

Puasa 6 Syawal Penebus Dosa Ketika Ramaḍān

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH yang masih lagi memberi kesempatan kepada kita untuk terus menyedut udaranya menghabiskan sisa umur untuk menambah sebanyak mungkin koleksi pahala untuk kemaslahatan diri di hari kemudian.

Bahang idul’fitri masih jelas terasa di bumi ini saya kira kerana melihat masih ramai yang begitu bersemangat mengadakan pelbagai sambutan untuk meraikan idul’fitri ini. Minggu lepas, dalam twitter saya ada menceritakan pengalaman beraya di rumah orang Johor buat pertama kalinya dan sedikit terkejut bila tuan rumah itu memberitahu bahawa orang Johor biasanya akan menyambut idul’fitri selama sebulan lamanya.

Boleh tahan orang Johor ini beraya dan perkara-perkara sebegini saya kira hanyalah adat dan warisan amalan sahaja dan tidak lebih daripada itu. Mungkin pada yang mampu, mereka akan menyediakan stok kuih raya untuk sebulan lamanya demi menampung keperluan raya sebulan dan bermacam-macamlah ragam raya di Malaysia.

Namun, di sebalik kegembiraan dan kegirangan kita menyambut idul’fitri seharusnya kita tidak lupa bahawa diri kita ini adalah graduan Universiti Ramadan dan dari situ seharusnya kita sedar betapa menjadi salah seorang graduan Universiti Ramadan pastinya di bahu kita terletak suatu nilai yang sewajibnya kita jaga setaraf dengan kemuliaan Universiti Ramadan.

Nilai yang saya katakan itu ialah nilai TAQWA kerana nilai atau pointer itulah yang menjadi buruan kita sepanjang sebulan di Universiti Ramadan. Amat malang bagi diri kita jikalau kita sanggup menggadaikan nilai TAQWA itu ketika kita sedang bersuka ria meraikan sambutan idul’fitri.

Oleh itu, sewajarnya kita mengambil sikap berpada-pada agar kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang melampaui batas dalam menyambut idul’fitri ini insyaALLAH.

Itu mukadimah sebelum saya masuk ke dalam topik utama artikel ini tentang Puasa 6 Syawal. Pada perkiraan saya, rata-rata sahabat-sahabat pasti sudah maklum akan apa itu puasa 6 Syawal dan bagaimana pelaksanaannya. Kita juga sering dialamatkan tentang kelebihan puasa 6 Syawal ini supaya kita bersemangat untuk merebut sama hadiah daripada amalan itu sepertimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadith,
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” 
(Riwayat Muslim)
Tentunya sahabat-sahabat sudah jenuh mendengar hadith di atas. Sejak dari kecil sehingga ke besar begitulah rupa hadith itu dan tidak berubah-rubah. Alhamdulillah, ALLAH itu Maha Mengetahui akan kelemahan hamba-Nya maka Dia menghadiahkan kepada kita puasa selama 6 hari pada bulan Syawal kemudian dianugerahkan dengan pahala yang begitu menakjubkan.

Saya sifatkan bahawa pelaksanaan puasa 6 ini umpama penebus kepada kesilapan kita sepanjang menjalani ibadat di bulan Ramadan. Saya cukup yakin kerana bila berbalik kepada diri, ternyata saya melihat betapa banyak lompang dan cacat cela pada puasa ku di bulan Ramadan. Dan ternyata amat terasa kekesalannya.

Namun, hakikat masa itu tidak dapat lagi di balik di undur oleh kita. Maka, sebagai pilihannya ALLAH telah memberi peluang kepada kita untuk menebus nya pada bulan Syawal.

Jadi, sewajibnya pada diri kita meskipun hukum melaksanakannya adalah sunat cuba untuk melaksanakannya walaupun kita tahu cabaran nafsu di bulan Syawal teramat besar.

Ya, dengan deretan jemputan untuk ke rumah terbuka dan juga kepentingan untuk melayan tetamu yang datang berziarah tentunya menjadi satu halangan kepada kita untuk komited melaksanakannya. Namun, cubalah untuk tidak menjadikan hal-hal yang amat kebudak-budakan itu sebagai alasan. Laksanakan lah sebagaimana kesungguhan kita melaksanakan ibadat puasa Ramadan.

Saya menulis ini demi mengingatkan jiwa saya dan jiwa sahabat-sahabat tentang hakikat kita sebagai seorang hamba yang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya sendiri teramat bersyukur kerana ALLAH memudahkan kepada saya untuk melaksanakan puasa ini bersama mak dan abah di kampung dan sahabat-sahabat di kampus.

Mungkin akibat daripada kekesalan yang menebal setelah gagal memanfaatkan sebaik mungkin peluang Ramadan yang lepas menyebabkan saya merasakan begitu terkilan lantas berazam untuk menjadikan puasa 6 ini umpama Ramadan layaknya.

Insya-Allah, siapa yang berusaha maka dia akan mendapat hasilnya….

Seperti apa yang saya tulis di atas mengenai nilai yang kita bawa pada diri kita selepas Ramadan, seharusnya kita berusaha menjaga nilai tersebut agar ianya makin bertambah dan bercambah.

Berdoalah kepada ALLAH dan pintalah pertolongan nya kerana kita sedar betapa kita amat lemah dan faqir dalam segenap hal. Moga-moga ALLAH akan memberi ruang kepada kita untuk mendapat keampunan dan kasih sayangnya insya-Allah.

Ape pun, selamat menjalankan ibadah puasa 6 hari di bulan Syawal buat sesiapa yang belum atau sedang melaksanakannya dan tahniah buat sesiapa yang sudah selesai menunaikan tuntutan yang istimewa itu. Moga-moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sering mendapat keredaan-Nya.