Tuesday, September 7, 2010

Metafora Pencarian Hidayah Ramaḍān

Dulu, cikgu sekolah rendah aku pernah bertanyakan soalan 10 + 1. Jawab aku, 11.

Ya, aku masih pegang jawapan itu kerana aku amat yakin jikalau waktu sekarang aku menekan kalkulator Canon ku pasti dan pasti 10 + 1 jawapannya masih 11.

Malah, hukum alam juga begitu. Namun, bila mana masuk ke UKM aku mula merasakan jawapan 10 + 1 bukan lagi 11. Entah mengapa setelah hampir separuh buku Advanced Engineering Mathematic diulang dan di syarah oleh pensyarah, aku rasa jawapan aku kepada cikgu sekolah rendah dulu salah.

Bukan 11 dan lagi mustahil nak jadi 101. Habis?

“Syeikh, ana ni makin teruk la…”

“Teruk apa?”

“Entah la, ana ingat nak duduk dengan anta biar kasi elok balik diri ana ni…”

“Hmmm, ana OK je…”

Persoalan mengenai 10 + 1 mula berkisar dalam ruang lingkup perubahan. Bukan lagi bermain dengan sentimen hingusan. Pencarian aku terhadap jawapan persoalan itu tidak terhenti setakat itu sahaja tapi cuba untuk menusuk jauh ke dalam lagi.

Setelah sebulan, jawapan kepada soalan itu masih lagi tidak berubah. Masih gagal menjadi angka 11. Oh, mungkin ini permulaan.

Kita cuba tengok bulan seterusnya.

“Hmmm, kita makin lagha ni syeikh”

“Tau tak pe…”

“Habis camne ni?”

“Tak pe, kita berusaha lagi.”

“Kali ni ana berazam. Laptop ni ana akan tutup awal.”

“Huhu, baguslah kalau anta ada azam.”

Bulan ke-3, aku melihat dalam mimpi angka 11 masih belum mampu keluar daripada kepungan musuh. Yes, tepat sekali mimpi aku. Ternyata 10 + 1 sudah bertukar jawapan sekarang. 7!

Kalau cikgu sekolah rendah aku tanya aku sekali lagi soalan yang sama, pasti aku menjawab dengan penuh yakin.

“10 + 1 = 7, cikgu!”

Mahunya aku kena lempang. WiFi dan laptop, kau memang pengacau minda dan raga ku!

Terus mencari dan kini bulan ke-4 mula tiba bersama-samanya si cantik Ramadan. ALHAMDULILLAH.

Seakan mendapat peti oksigen maka aku mula mengatur strategi agar soalan 10 + 1 itu akan memberikan aku jawapan 11.

Tercungap-cungap mengejar segala zarah kumulatif supaya jawapan itu dapat aku temui. Helai demi helai suratan wasiat aku selak untuk mencari petua bagi memudahkan mendapat jawapan tersebut. Meskipun ke kadang tekak aku dihinggapi habuk yang melekat di celah-celah helaian suratan wasiat itu akibat sudah terlalu lama aku tidak cuba membukanya, namun jiwa ku meronta untuk meneruskan penerokaan wasiat-wasiat dari zaman purba kala tersebut.

“Alif-lam-mim…”

Cuba mencari intonasi seakan Syeikh Sudais supaya kekagetan dapat cepat dihapuskan. Hari pertama Ramadan, WOW!

Masuk hari ke-5, aku bermimpi.

“Wahai si penjaga soalan cepumas…”

“Ya, ada apa?”

“Sudah kah kau mendapat jawapannya?”

“Hah…!”

Alamak, lupa nak kira Bro!

Sudah seminggu tamu Ramadan berlalu, aku masih terkial-kial dengan soalan yang sama. Teringin nak ambil Ubat Minda Jus Tok Guru kasi cerdik skit tapi bila tengok dompet lemah semangat eden. Cukup-cukup nak buat makan seminggu campur berbuka kat Surau Jubli sekali dua.

Terpaksa la aku teruskan tradisi tradisional demi memajukan minda berkarat aku ini.

Bukan apa, jawapan mesti di cari. Kalau tidak malu pada cikgu sekolah rendah aku.

Bangkit pagi 12 Ramadhan, jam sudah menunjukkan angka….. Tetttt….

Hmm, lagi sekali. Patut pun 10 + 1 jadi 7. Tak mengapa,esok kita cuba lagi.

Ziarah para wali bermula untuk mencari formula demi menyelesaikan persoalan “matematik” ini. Sampai ke Pasir Gudang mencari jawapan, namun masih gagal menemui jawapan yang diberi ketika cikgu sekolah rendah ku bertanya pada aku dulu.

“Ana baru sampai juzuk’ 7 syeikh.”

“OK la tu. Ana baru juzuk 2 rilek je…”

Aku garu kepala sendiri. Umpama seorang pengemis datang ke sebuah rumah dengan harapan ingin meminta sesuap nasi namun didapati si tuan rumah itu pun sudah tidak menyentuh nasi selama 3 hari maka?

Petang 20 Ramadan, aku terlelap seketika.

“Ustaz, kenapa semalam ana mimpi gadis cantik bla bla bla bla ana tak peduli bla bla bla bla melepas bla bla bla bla syaitan kena ikat bla bla bla rugi betul bla bla bla ……….”

“Padan muka anta…”

Padan muka aku. Siapa suruh gatal sangat?

“Syeikh, dah 25 Ramadan”

“Habis?”

“Dah dapat jawab belum?”

“Nak jawab camne kalau asyik tergelincir je kerjanya.”

“Habis lah kita.”

“Kalaulah…”

Sudah-sudah!

LailaturQard sudah berlalu. Ramadan pula nak balik ke rumah asalnya. Jawapan aku masih belum ketemu lagi. Macam mana aku nak balik beraya kat kampung nanti?

Dibuatnya cikgu sekolah rendah aku tanya soalan yang sama sekali lagi time solat raya, apa aku nak jawab?

Arghhhh!

“Syeikh, tolong ana.”

“OK, malam ni….”

Tiba-tiba Balckberry aku bergetar dengan isyarat.
“Apabila kamu terlanjur melakukan sesuatu dosa, maka janganlah kamu menjadikan ia sebagai alasan untuk kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhan mu kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu.” 
(Ibn Ata’illah)
Alhamdulillah, dapat formulanya!

Aku menghembus nafas lega kerana aku yakin selepas ini soalan “simple” itu pasti aku boleh jawab. Azam ku, lepas ini aku akan menjadi 11. Bukan lagi 1!

Nota kaki: Ini metafora pencarian hidayah ALLAH ketika Ramadan. Hidayah ALLAH itu tidak datang bergolek. Bukan orang lain, tetapi KITA yang boleh mengubah diri kita sendiri. Janganlah kita berputus asa dengan rahmat dan keampunan ALLAH. 

Aku cuma membawa nilai 1, tetapi aku mengharapkan mereka – RAKAN SEKELILINGKU – yang membawa nilai 10 akan membantu ku untuk mencapai nilai 11. 

Ramadan hampir berlalu, tanyalah soalan pada diri kita sama ada kita sudah layak untuk bergelar graduan yang berjaya atau tidak. Keseluruhan Ramadan prestasi ku? 

Ramadan itu umpama si gadis cantik yang diberi percuma kepada kita untuk dijadikan isteri, kenapa kita sombong untuk menerima hadiah itu?